BAB 7
Ahli Nujum Melawat Yesus
AHLI NUJUM MENGIKUT SEBUTIR “BINTANG” KE YERUSALEM DAN MENEMUI YESUS
Beberapa orang ahli nujum datang dari Timur. Mereka mengkaji kedudukan bintang, dan mendakwa bahawa dengan berbuat demikian, mereka dapat mengetahui erti di sebalik apa yang terjadi dalam hidup orang. (Yesaya 47:13) Semasa mereka di Timur, mereka nampak sebutir “bintang.” “Bintang” itu memimpin mereka ke Yerusalem, bukannya ke Betlehem.
Apabila mereka tiba di situ, mereka bertanya, “Di manakah raja orang Yahudi yang telah dilahirkan itu? Kami nampak bintangnya semasa kami berada di Timur, dan kami datang untuk sujud kepadanya.”—Matius 2:1, 2.
Apabila mendengar hal ini, Raja Herodes menjadi gelisah. Maka dia memanggil semua ketua imam dan pemimpin agama Yahudi, lalu bertanya kepada mereka di mana Kristus akan dilahirkan. Mereka menjawab berdasarkan Ayat-Ayat Suci dan berkata, “Di Betlehem.” (Matius 2:5; Mikha 5:2) Kemudian Herodes mengadakan pertemuan rahsia dengan para ahli nujum itu dan berkata, “Carilah anak kecil itu dengan cermat. Apabila kamu menjumpai dia, laporkanlah kepada beta agar beta juga dapat pergi dan bersujud kepadanya.” (Matius 2:8) Tetapi sebenarnya Herodes mahu mencari dan membunuh anak itu!
Selepas ahli-ahli nujum itu berangkat, mereka nampak “bintang” itu sekali lagi. Jelaslah bahawa “bintang” itu bukanlah bintang biasa. “Bintang” itu mendahului mereka lalu berhenti di atas rumah yang didiami oleh Yusuf, Maria, dan Yesus.
Apabila mereka masuk ke dalam rumah itu, mereka nampak anak kecil itu, Yesus, bersama ibunya Maria. Mereka bersujud kepada Yesus lalu memberinya emas, kemenyan putih, dan mur. Selepas itu, mereka ingin kembali kepada Herodes, tetapi Tuhan memberikan amaran kepada mereka menerusi mimpi agar tidak berbuat demikian. Maka mereka pulang ke negeri mereka melalui jalan lain.
Pada pendapat anda, siapakah yang menggunakan “bintang” itu untuk memimpin ahli-ahli nujum? Ingatlah bahawa “bintang” itu tidak terus memimpin mereka kepada Yesus di Betlehem. Sebaliknya, mereka dibawa ke Yerusalem untuk berjumpa dengan Raja Herodes yang ingin membunuh Yesus. Sememangnya rancangan raja itu akan berjaya jika Tuhan tidak masuk campur dan memberikan amaran kepada ahli-ahli nujum itu. Jelaslah bahawa Syaitanlah yang ingin membunuh Yesus, dan dia menggunakan “bintang” itu untuk mencapai tujuannya.