BAB 135
Yesus Menampakkan Diri kepada Banyak Orang
LUKAS 24:13-49 YOHANES 20:19-29
YESUS MENAMPAKKAN DIRI DI JALAN KE EMAUS
DIA MENJELASKAN AYAT-AYAT SUCI KEPADA PENGIKUTNYA
TOMAS AKHIRNYA PERCAYA
Pada hari Ahad, 16 Nisan, para pengikut Yesus masih sangat sedih. Mereka tidak memahami mengapa makam Yesus kosong. (Matius 28:9, 10; Lukas 24:11) Pada hari itu juga, Kleopas dan seorang lagi pengikut Yesus pergi ke Emaus, yang terletak kira-kira 11 kilometer dari Yerusalem.
Semasa mereka sedang berbual, seorang lelaki menyertai mereka dan bertanya, “Apakah yang sedang kamu pertikaikan dalam perjalanan kamu?” Kleopas menjawab, “Bukankah kamu tinggal di Yerusalem? Jadi mengapakah kamu sahaja yang tidak mengetahui apa yang telah berlaku di situ akhir-akhir ini?” Lelaki itu berkata, “Apakah peristiwa yang kamu maksudkan?”—Lukas 24:17-19.
Mereka berkata, ‘Peristiwa-peristiwa yang berkaitan dengan Yesus, orang Nasaret itu. Kami berharap bahawa dialah orang yang akan membebaskan Israel.’—Lukas 24:19-21.
Kemudian Kleopas dan rakannya menceritakan apa yang berlaku pada hari itu. Mereka berkata bahawa beberapa orang wanita telah pergi ke makam Yesus dan mendapati makam itu kosong. Malaikat Tuhan telah memberitahu para wanita itu bahawa Yesus telah dibangkitkan. Mereka juga berkata bahawa beberapa orang telah pergi ke makam itu dan “mendapati bahawa keadaannya memang seperti yang dikatakan oleh wanita-wanita itu.”—Lukas 24:24.
Kleopas dan rakannya tidak memahami hal-hal yang telah berlaku. Maka lelaki itu berkata, “Hai kamu yang tidak berakal dan lambat mempercayai semua yang dikatakan oleh para nabi, bukankah Kristus perlu mengalami penderitaan itu agar dimuliakan?” (Lukas 24:25, 26) Kemudian lelaki itu menjelaskan kepada mereka Ayat-Ayat Suci yang berkaitan dengan Kristus.
Akhirnya mereka tiba berdekatan Emaus. Mereka ingin mendengar lebih banyak tentang Kristus, maka mereka mendesak lelaki itu, “Tinggallah bersama kami kerana hari sudah petang.” Lelaki itu pun tinggal bersama mereka. Semasa mereka makan, lelaki itu mengambil roti, mengucapkan syukur, membahagikan roti itu, lalu mengedarkannya kepada mereka. Barulah mereka sedar bahawa lelaki itu ialah Yesus, tetapi dia lenyap daripada pandangan mereka. (Lukas 24:29-31) Sekarang mereka percaya bahawa Yesus sudah dibangkitkan!
Dengan teruja, mereka berkata kepada satu sama lain, “Tidakkah hati kita berkobar-kobar semasa dia bercakap dan menerangkan Ayat-Ayat Suci kepada kita semasa kita dalam perjalanan?” (Lukas 24:32) Mereka segera balik ke Yerusalem untuk mencari para rasul dan pengikut Yesus yang lain. Tetapi sebelum mereka sempat menceritakan apa yang berlaku, orang lain berkata, “Tuan Yesus benar-benar sudah dibangkitkan dan dia telah menampakkan diri kepada Simon!” (Lukas 24:34) Kemudian mereka berdua juga menceritakan bagaimana Yesus menampakkan dirinya kepada mereka.
Pengikut Yesus telah berkumpul di sebuah bilik dan mengunci pintu kerana mereka takut kepada orang Yahudi. Tetapi Yesus tiba-tiba muncul dalam kalangan mereka dan berkata, “Salam sejahtera.” Mereka takut kerana “menyangka bahawa mereka nampak makhluk roh.”—Lukas 24:36, 37; Matius 14:25-27.
Maka Yesus menunjukkan tangan dan kakinya kepada mereka lalu berkata, “Mengapakah kamu takut? Mengapakah hati kamu ragu-ragu? Inilah aku! Lihatlah tangan dan kakiku dan sentuhlah aku. Makhluk roh tidak mempunyai daging dan tulang sebagaimana yang kamu lihat pada diriku.” (Lukas 24:36-39) Mereka hairan dan gembira, tetapi mereka masih tidak dapat percaya.
Oleh itu, untuk meyakinkan mereka bahawa dia benar-benar wujud, Yesus bertanya, “Adakah kamu mempunyai makanan di sini?” Mereka memberinya sepotong ikan. Dia mengambil ikan itu dan memakannya. Kemudian dia berkata, “Semasa aku masih bersama kamu [sebelum aku mati], aku pernah mengatakan bahawa semua perkara yang tertulis tentang aku dalam Hukum Musa, Ajaran Para Nabi, dan Mazmur mesti berlaku.”—Lukas 24:41-44.
Yesus telah membantu Kleopas dan rakannya untuk memahami Ayat-Ayat Suci, dan sekarang dia juga membantu semua orang yang berkumpul di situ. Dia berkata, “Ada tertulis bahawa Kristus akan menderita lalu dibangkitkan daripada kematian pada hari ketiga, dan atas dasar namanya, perkhabaran akan disebarkan kepada semua bangsa bermula dari Yerusalem, agar manusia bertaubat daripada dosa lalu diampuni. Kamu harus menjadi saksi untuk semua perkara ini.”—Lukas 24:46-48.
Tomas tidak hadir pada waktu itu. Oleh itu, apabila mereka memberitahunya, “Kami sudah melihat Tuan!” dia berkata, “Selagi aku tidak melihat kesan paku pada tangannya dan menyentuh kesan paku itu dengan jariku, serta menyentuh rusuknya dengan tanganku, aku tidak akan percaya.”—Yohanes 20:25.
Lapan hari kemudian, pengikut Yesus berkumpul lagi di dalam rumah, dan Tomas juga bersama mereka. Walaupun pintu sudah dikunci, Yesus muncul di tengah-tengah mereka lalu berkata, “Salam sejahtera.” Kemudian dia berkata kepada Tomas, “Letakkanlah jarimu di sini, dan lihatlah tanganku. Hulurkanlah tanganmu dan sentuhlah rusukku. Jangan ragu-ragu lagi, tetapi percayalah.” Tomas pun berkata, “Tuanku dan Tuhanku!” (Yohanes 20:26-28) Ya, sekarang Tomas percaya bahawa Yesus sudah dibangkitkan dan menjadi makhluk roh yang mewakili Tuhan Yehuwa.
Kemudian Yesus berkata, “Adakah kamu percaya kerana kamu sudah melihat aku? Berbahagialah orang yang percaya meskipun tidak melihat.”—Yohanes 20:29.