“Apakah Jawapan Anda?”
1 Walaupun anda mencintai Firman Tuhan, adakah anda berasa sukar untuk mengingat kembali butir-butir tentang naratif dalam Bible atau di mana letaknya pernyataan tertentu dalam Bible? Adakah anda inginkan anak-anak anda mempunyai pemahaman yang betul akan ajaran dan fakta Bible yang asas? Artikel khas “How Would You Answer?” (“Apakah Jawapan Anda?”) yang diterbitkan setiap bulan pada muka surat 31 di dalam majalah berita boleh membantu kaum muda mahupun kaum tua supaya lebih mengenali Firman Tuhan.—Kis. 17:11.
2 Bagaimanakah kita dapat menggunakan artikel khas ini dengan sebaik-baiknya? Majalah berita terbitan Januari 2006 memberikan cadangan yang berikut: “Luangkan sedikit masa untuk melihat muka surat 31 . . . Sesetengah bahagian di muka surat ini akan menarik perhatian pembaca muda; bahagian lain akan mencabar daya ingatan pelajar Bible yang lebih maju. Bahagian ‘When in History?’ (‘Bilakah dalam Sejarah?’) akan membantu anda membina garis masa yang menunjukkan bila tokoh-tokoh Bible hidup dan bila peristiwa-peristiwa penting berlaku. Jawapan bagi bahagian ‘From This Issue’ (‘Daripada Terbitan Ini’) terdapat di seluruh majalah, manakala jawapan kepada kebanyakan soalan lain dicetak terbalik pada salah satu muka surat dalam terbitan yang sama. Anda boleh melakukan penyelidikan sebelum anda membaca jawapan-jawapan tersebut. Kemudian beritahu orang lain apa yang dipelajari. Anda juga boleh menggunakan artikel khas yang baru ini, ‘How Would You Answer?’ sebagai dasar untuk perbincangan Bible secara keluarga atau berkumpulan.”
3 Banyak keluarga memang gemar membincangkan artikel khas ini dalam pembelajaran keluarga. Seorang ibu telah menulis, “Saya dan suami saya berpendapat bahawa dengan memasukkan ‘Children’s Picture Search’ (‘Adik-adik, Carilah Gambar’) ke dalam pembelajaran keluarga, pembelajaran akan menjadi lebih menarik bagi anak perempuan kami yang berumur tiga tahun. Kami berasa seronok melihatnya menyelak-nyelak majalah berita kepunyaannya sehingga dia menjumpai apa yang dicarinya.” Seorang ayah di Brazil berkata, “Saya dan anak lelaki saya yang berumur tujuh tahun sangat menggemari artikel khas ini dalam majalah berita. Artikel khas ini telah membantu Moises menumpukan perhatian, mencari ayat Bible, menghayati gambar-gambar, dan memahami maksud tarikh-tarikh dalam Bible.” Ashley yang berumur lapan tahun telah menulis, “Terima kasih untuk ‘How Would You Answer?’ pada halaman belakang majalah berita. Banyak yang telah saya pelajari tentang Bible daripada artikel ini.”
4 Kadang kala, anda boleh menjadikan “How Would You Answer?” sebagai sebahagian daripada bahan pembelajaran keluarga anda. Anda boleh menggunakan Index atau Watchtower Library pada CD-ROM untuk mencari jawapan bagi soalan-soalan yang lebih susah. Dengan berbuat demikian, anda akan mengajar anak-anak anda cara membuat penyelidikan. Jika anda mempunyai anak yang lebih tua, anda boleh memberi mereka tugasan untuk membuat penyelidikan sebelum pembelajaran keluarga bagi mencari jawapan kepada bahagian “Who Am I?” (“Siapakah Saya?”) atau “When in History?” Kemudian, mereka boleh membentangkan hasil penyelidikan semasa pembelajaran. Penggunaan artikel ini dengan cara yang berkesan merupakan satu kaedah yang dapat digunakan oleh ibu bapa untuk menanam Firman Tuhan dalam hati anak mereka dengan mengajar melalui pengulangan justeru membantu mereka mengenali ‘tulisan-tulisan kudus’ sejak bayi lagi.—2 Tim. 3:15; Ul. 6:7.
[Soalan Pembelajaran]
1. Apakah kesukaran yang mungkin kita hadapi?
2. Bagaimanakah bahagian-bahagian daripada artikel khas “How Would You Answer?” dapat digunakan?
3. Bagaimanakah sesetengah keluarga mendapat manfaat daripada artikel khas ini, dan bahagian manakah yang paling anda gemari?
4. Bagaimanakah sesebuah keluarga dapat menggunakan artikel khas ini sebagai sebahagian daripada pembelajaran Bible keluarga mereka?