Memberitahu Orang Lain Harapan tentang Kerajaan Tuhan
1 Pada hari-hari terakhir yang genting ini, ramai orang hidup di dunia ini tanpa harapan. (Ef. 2:12) Ada pula yang bertindak dengan tidak bijak; mereka menaruh keyakinan pada kekayaan kebendaan, pemerintah-pemerintah manusia, sains moden, dan sebagainya. Kita berasa sangat gembira kerana mempunyai harapan yang sejati untuk masa hadapan. Harapan ini merupakan “sauh yang menjadi pegangan hidup yang kuat dan aman.”—Ibr. 6:19.
2 Di bawah pemerintahan Kerajaan Tuhan, bumi akan diubah menjadi firdaus. Ahli keluarga dan teman terdekat yang telah mati akan dibangkitkan. (Kis. 24:15) Kemiskinan, ketidakadilan, penyakit, usia tua, dan kematian akan lenyap. (Mzm. 9:19; Mat. 12:20, 21; Pny. 21:3, 4) Perkara-perkara ini adalah sebahagian daripada janji-janji Yehuwa yang akan ditunaikan tidak lama lagi. Antara janji-janji yang terkandung dalam harapan yang telah dihulurkan oleh Yehuwa, janji manakah yang anda nanti-nantikan?
3 Umumkan Berita Baik: Harapan tentang Kerajaan Tuhan ialah harapan yang perlu dikongsi dengan orang lain. Kasih akan Tuhan dan manusia mendorong kita untuk meniru Yesus dan ‘mengkhabarkan berita baik kepada orang miskin, mengumumkan pembebasan kepada orang tawanan, kesembuhan bagi orang buta, dan kemerdekaan bagi orang yang tertindas.’ (Luk. 4:18) Hawari Paulus menyerantakan berita baik di tempat awam seperti di pasar dan di mana sahaja orang dapat ditemui. Dia menjalankan aktiviti penyebaran dengan segenap akal dan sepenuh ikhtiar. (Kis. 18:5) “Kekhuatiran tentang hidup” dan “keinginan untuk hidup mewah” akan memalapkan harapan Kristian kita. Kita dapat menghindari masalah ini jika kita meniru teladan Paulus dengan menunjukkan semangat membara semasa mengambil bahagian dalam aktiviti penyebaran.—Mrk. 4:19.
4 Meskipun kita bertemu dengan orang yang bersikap endah tak endah, yang kurang berminat terhadap berita tentang Kerajaan Tuhan, atau yang menentang kita secara terang-terangan, harapan kita akan Kerajaan Tuhan tidak menjadi pudar. Kita “berpegang teguh kepada harapan yang kita akui” tanpa goyah. (Ibr. 10:23) Kita tidak berasa malu tetapi “yakin dengan sepenuhnya” akan berita baik. (Rm. 1:16) Keyakinan dan kegigihan kita yang ketara mungkin akan mendorong sesetengah orang untuk mendengarkan berita baik.
5 Keadaan dunia yang kian merosot membuktikan bahawa nubuat dalam Bible sedang digenapi. Meskipun kita boleh menghalakan perhatian orang kepada hal ini, namun kita bukanlah penyebar berita kiamat. Sebaliknya, aktiviti penyebaran kita tertumpu pada harapan kita, yakni berita baik tentang Kerajaan Tuhan. Semoga kita menyerantakan berita baik ini dengan keyakinan yang tebal dan semangat yang membara agar “segala perkara yang [kita] harap-harapkan itu boleh [kita] terima.”—Ibr. 6:11.