Kotak Pertanyaan
◼ Bagaimanakah semua orang dapat membantu mengekalkan suasana yang sesuai untuk pembelajaran semasa perjumpaan sidang? (Ul. 31:12)
Kita amat menghormati Yehuwa dan perjumpaan yang disediakan oleh-Nya. Oleh itu, kita semua digalakkan untuk tiba awal dan bersiap sedia untuk diajar oleh-Nya. Adalah baik untuk mengisi tempat kosong di bahagian depan dewan supaya keluarga yang mempunyai anak-anak kecil dan mereka yang kadangkala tiba lewat dapat mengambil tempat duduk di belakang. Sebelum perjumpaan bermula, alat-alat elektronik patut dipadamkan atau diubah kepada tetapan (setting) lain yang tidak akan mengganggu para hadirin. Apabila semua yang hadir menunjukkan sikap hormat sepanjang perjumpaan, gangguan dapat dikurangkan.—Pkh. 4:17; Flp. 2:4.
Apabila orang baru mula menghadiri perjumpaan, seorang ahli sidang yang mengenali mereka boleh duduk bersama mereka. Tindakan ini amat bermanfaat terutamanya jika sesebuah keluarga mempunyai anak-anak yang perlu dijaga. Jika keluarga itu menghadiri perjumpaan buat kali pertama, mereka mungkin berasa lebih selesa duduk di belakang dewan. Dengan ini, ibu bapa tidak akan menimbulkan banyak gangguan jika perlu meninggalkan dewan utama buat sementara waktu untuk menjaga keperluan anak-anak mereka. (Ams. 22:6, 15) Keluarga yang mempunyai anak kecil tidak patut duduk di dalam bilik berasingan di mana anak itu berasa dia boleh membuat bising sesuka hati. Biasanya, adalah paling baik bagi ibu atau bapa untuk mendisiplinkan anak atau menjaga keperluan peribadi yang lain di luar dewan utama dan kemudian kembali ke dewan utama bersama anak mereka.
Para atendan bertanggungjawab memastikan suasana di Dewan Perjumpaan sentiasa sesuai untuk penyembahan. Mereka membantu keluarga dan orang yang kadangkala tiba lewat untuk mencari tempat duduk yang sesuai. Para atendan sentiasa bersikap sopan dan bertimbang rasa semasa membantu mereka mendapat tempat duduk tanpa menimbulkan banyak gangguan. Mereka menggunakan pertimbangan yang baik semasa menangani gangguan yang timbul tanpa diduga. Apabila kelakuan seseorang kanak-kanak mengganggu orang lain, atendan boleh menghulurkan bantuan dengan ramah.
Semua yang menghadiri perjumpaan boleh menyumbang kepada suasana yang sesuai untuk pembelajaran. Dengan ini, kita dapat menyembah Yehuwa serta belajar tentang-Nya dan tujuan-Nya untuk mewujudkan dunia baru yang aman dan adil benar.—Ibr. 10:24, 25.