Jangan “Mensia-siakan Tumbukan” Anda
1. Bagaimanakah kata-kata di 1 Korintus 9:26 boleh diterapkan dalam aktiviti penyebaran?
1 Paulus menulis, “Itulah sebabnya aku lari terus ke garis penamat. Seperti petinju, aku tidak mahu mensia-siakan tumbukanku.” (1 Kor. 9:26) Paulus merujuk kepada perhatiannya yang tidak tersimpang dan tetap berfokus dalam mengejar matlamat rohani. Namun, pada dasarnya kata-kata ini boleh digunakan dalam aktiviti penyebaran. Kita ingin memastikan “tumbukan” atau usaha kita digunakan dengan bijak agar kita dapat hasil yang terbaik. Bagaimanakah caranya?
2. Bagaimanakah kita boleh mencontohi Paulus dan penginjil abad pertama ketika memilih waktu dan tempat untuk menyebar?
2 Pergi ke Tempat Orang Biasa Dijumpai: Paulus dan penginjil abad pertama menyebar di mana orang biasa dijumpai. (Kis. 5:42; 16:13; 17:17) Maka, jika kebanyakan orang dalam kawasan penyebaran hanya ada di rumah pada waktu senja, kemungkinan inilah masa yang terbaik untuk menginjil dari rumah ke rumah. Adakah stesen bas atau kereta api sibuk dengan orang yang ulang-alik dari kerja pada awal pagi atau lewat petang? Bilakah kawasan membeli-belah dipenuhi orang? Menjalankan kesaksian di tempat awam mungkin cara yang paling berkesan pada masa-masa sebegini.
3. Bagaimanakah kita boleh bijak mengerjakan kawasan penyebaran kita?
3 Bijak Mengerjakan Kawasan Penyebaran: Kita tidak mahu “mensia-siakan tumbukan” kita. Oleh itu, kita perlu mengerjakan kawasan penyebaran dengan bijak. Misalnya, adalah lebih baik untuk membentuk kumpulan yang kecil daripada kumpulan yang besar menyebar di kawasan yang sama. Ini dapat mengurangkan masa dan usaha untuk mengatur kumpulan. Begitu juga semasa mengerjakan kawasan luar bandar, jika kumpulan kereta kita adalah kecil, kita dapat meliputi kawasan dengan cepat dan berpeluang memberikan lebih kesaksian. Bolehkah anda memperoleh kawasan penyebaran peribadi berdekatan rumah anda agar dapat menjimatkan masa perjalanan?
4. Bagaimanakah kita boleh berjaya “menjala orang”?
4 Yesus menyamakan para penginjil seperti “menjala orang.” (Mrk. 1:17) Matlamat seorang nelayan bukanlah semata-mata menebarkan jalanya ke dalam air tetapi untuk menangkap ikan. Jadi, nelayan yang berjaya akan memilih tempat dan masa yang sesuai untuk menangkap ikan dengan segera. Mereka berusaha dengan bijak sekali. Semoga kita terus bergiat dalam penginjilan seperti mereka.—Ibr. 6:11.