PERPUSTAKAAN DALAM TALIAN Watchtower
Watchtower
PERPUSTAKAAN DALAM TALIAN
Melayu
  • BIBLE
  • BAHAN BACAAN
  • PERJUMPAAN
  • cl bab 9 ms. 87-96
  • ‘Kristus ialah Kuasa Tuhan’

Tiada video untuk bahagian ini.

Maaf, terdapat masalah memainkan video.

  • ‘Kristus ialah Kuasa Tuhan’
  • Hampirilah Yehuwa
  • Tajuk Kecil
  • Bahan yang Berkaitan
  • Kuasa yang Dimiliki Anak Tunggal Tuhan
  • ‘Berkuasa dalam Kata-Katanya’
  • ‘Berkuasa dalam Perbuatannya’
  • Bertanggungjawab, Bertimbang Rasa, dan Tidak Mementingkan Diri
  • Bayangan tentang Masa Depan
  • Kristus—Kuasa Tuhan
    Menara Pengawal—2015
  • Mukjizat Yesus​—Apa yang Dapat Anda Pelajari?
    Menara Pengawal—2004
  • Dia Mengasihi Orang
    Menara Pengawal—2015
  • Apakah yang Yesus Lakukan semasa di Bumi?
    Nikmati Hidup Selama-Lamanya!—Kursus Perbincangan Bible
Lihat Selanjutnya
Hampirilah Yehuwa
cl bab 9 ms. 87-96
Yesus berjalan di atas Tasik Galilea semasa angin ribut melanda.

BAB 9

‘Kristus ialah Kuasa Tuhan’

1-3. (a) Apakah pengalaman ngeri yang dilalui oleh para rasul di Tasik Galilea? Apakah yang dilakukan oleh Yesus? (b) Mengapakah Paulus menulis bahawa ‘Kristus ialah kuasa Tuhan’?

PARA rasul sedang menyeberangi Tasik Galilea. Tiba-tiba, angin ribut yang kencang melanda.a Meskipun mereka ialah nelayan yang berpengalaman, mereka berasa sangat takut kerana ribut itu sangat kencang sehingga ombak menggulung tinggi. (Matius 4:18, 19) Mereka berusaha untuk mendayung tetapi usaha mereka sia-sia sahaja. Perahu mereka dipukul ombak sehingga hampir penuh dengan air. Biarpun begitu, Yesus masih tidur di belakang perahu kerana dia letih setelah mengajar sepanjang hari. Jadi mereka mengejutkan Yesus dan berkata, “Tidakkah Guru peduli bahawa kami hampir mati?”—Markus 4:35-38; Matius 8:23-25.

2 Maka Yesus bangun lalu menegur angin dan tasik dengan berkata, “Diam! Tenanglah!” Dengan serta-merta, angin menjadi reda dan “tasik menjadi tenang sekali.” Setelah melihat mukjizat ini, para rasul berasa takut dan berkata sesama sendiri, “Siapakah sebenarnya orang ini?” Ya, siapakah lelaki ini sehingga dapat menegur angin dan tasik seperti menegur anak yang nakal?​—Markus 4:39-41; Matius 8:26, 27.

3 Yesus bukanlah manusia biasa. Yehuwa menunjukkan kuasa-Nya demi Yesus dan melalui Yesus. Itulah sebabnya Paulus menulis, ‘Kristus ialah kuasa Tuhan.’ (1 Korintus 1:24) Bagaimanakah Yehuwa menunjukkan kuasa-Nya melalui Yesus? Bagaimanakah cara Yesus menggunakan kuasa itu mempengaruhi hidup kita?

Kuasa yang Dimiliki Anak Tunggal Tuhan

4, 5. (a) Apakah tugasan yang diberikan oleh Yehuwa kepada Yesus? (b) Apakah yang diberikan kepada Yesus agar dia dapat melaksanakan kehendak Bapanya?

4 Yehuwa menggunakan “kuasa-Nya yang kekal” apabila Dia menciptakan Yesus. (Roma 1:20; Kolose 1:15) Kemudian Dia memberikan kuasa kepada Yesus agar Yesus dapat melaksanakan kehendak-Nya berkenaan dengan penciptaan. Mengenai Yesus, Bible menyatakan, “Segala-galanya wujud melalui dia, dan tanpa dia, tiada sesuatu pun yang wujud.” (Yohanes 1:3) Ya, sebelum Yesus datang ke bumi, dia memiliki kuasa yang besar.

5 Yesus membantu Yehuwa untuk menciptakan jutaan malaikat yang perkasa, alam semesta dengan galaksi yang tidak terhitung banyaknya, dan bumi dengan pelbagai makhluk hidup. Untuk melakukan semua kerja ini, Yesus diberi kuasa yang paling hebat di alam semesta, iaitu kuasa suci Tuhan. Dia mendapat sukacita yang besar kerana dapat berkhidmat di sisi Bapanya sebagai jurubina yang mahir.​—Amsal 8:22-31.

6. Apakah yang dapat kita pelajari daripada Matius 28:18?

6 Yesus diberi lebih banyak kuasa setelah dia mati dan dibangkitkan ke syurga. Dia berkata, “Aku sudah diberi kuasa atas segala sesuatu di syurga dan di bumi.” (Matius 28:18) Selaku “Raja atas segala raja dan Tuan atas segala tuan,” Yesus dapat “meniadakan semua kerajaan dan kuasa” yang menentang Bapanya. (Wahyu 19:16; 1 Korintus 15:24-26) Ya, ‘tidak ada apa-apa pun yang tidak dikuasai oleh Yesus,’ kecuali Yehuwa.​—Ibrani 2:8; 1 Korintus 15:27.

7. Mengapakah kita dapat yakin bahawa Yesus tidak pernah menyalahgunakan kuasanya?

7 Patutkah kita risau bahawa Yesus mungkin menyalahgunakan kuasanya? Tidak! Yesus amat mengasihi Bapanya dan selalu melakukan apa yang menyenangkan hati Bapanya. (Yohanes 8:29; 14:31) Yesus tahu bahawa meskipun Yehuwa maha kuasa, Dia tidak pernah menyalahgunakan kuasa-Nya. Yesus telah menyaksikan bagaimana Yehuwa “mencari orang yang menyembah-Nya dengan sepenuh hati agar Dia dapat menunjukkan kekuatan-Nya kepada mereka.” (2 Tawarikh 16:9) Seperti Bapanya, Yesus mengasihi manusia dan tidak pernah menyalahgunakan kuasanya. Semasa dia di bumi, dia membuktikan bahawa dia selalu menggunakan kuasanya demi kebaikan orang. (Yohanes 13:1) Sekarang marilah kita membincangkan bagaimana Yesus menggunakan kuasa yang dimilikinya semasa di bumi.

‘Berkuasa dalam Kata-Katanya’

8. Selepas Yesus diurapi kuasa suci Tuhan, apakah yang dapat dilakukannya? Bagaimanakah dia menggunakan kuasanya?

8 Nampaknya, Yesus tidak melakukan mukjizat semasa dia membesar di Nasaret. Tetapi setelah dia dibaptis pada tahun 29 Masihi, dia mula melakukan mukjizat. (Lukas 3:21-23) Bible menyatakan, “Tuhan telah mengurapi Yesus dengan kuasa suci-Nya dan memberinya kekuatan. Oleh sebab Tuhan menyertainya, dia dapat pergi ke serata tempat untuk berbuat baik dan menyembuhkan semua orang yang ditindas oleh Iblis.” (Kisah 10:38) Ungkapan “berbuat baik” menunjukkan bahawa Yesus menggunakan kuasanya dalam cara yang baik. Selepas dia diurapi kuasa suci Tuhan, dia menjadi “seorang nabi yang berkuasa, baik dalam kata-katanya mahupun dalam perbuatannya.”​—Lukas 24:19.

9-11. (a) Yesus selalunya mengajar di mana? Apakah cabaran yang dihadapinya? (b) Mengapakah orang ramai kagum dengan cara Yesus mengajar?

9 Yesus selalu mengajar di kawasan terbuka, seperti di tepi tasik, di kaki gunung, di tepi jalan, dan di pasar. (Markus 6:53-56; Lukas 5:1-3; 13:26) Apakah cabaran yang dihadapi oleh Yesus? Para pendengarnya dapat beredar pada bila-bila masa jika kata-katanya tidak menarik minat mereka. Lagipun, pada masa itu, tiada teknologi percetakan, dan mereka perlu mengingat kata-kata Yesus dalam minda dan hati mereka. Oleh itu, Yesus haruslah mengajar dalam cara yang mudah difahami, senang diingati, dan dapat menarik minat orang. Hal ini bukanlah penghalang baginya. Sebagai contoh, marilah kita melihat ceramah yang disampaikannya di atas sebuah gunung.

10 Pada suatu pagi tahun 31 Masihi, sekumpulan orang berkumpul di kaki sebuah gunung dekat Tasik Galilea. Ada yang datang sejauh kira-kira 100 kilometer dari Yudea dan Yerusalem. Yang lain pula datang dari kawasan Tirus dan Sidon, yang terletak di tepi laut. Banyak orang sakit menghampiri Yesus agar dapat menyentuhnya, dan dia menyembuhkan mereka semua. Kemudian dia mula mengajar mereka. (Lukas 6:17-19) Setelah dia mengakhiri ceramahnya, orang ramai berasa sangat kagum. Mengapa?

11 Bertahun-tahun kemudian, salah seorang yang mendengar ceramah itu menulis, “Orang ramai sangat kagum dengan cara dia mengajar. Hal ini demikian kerana dia mengajar mereka sebagai seorang yang berwibawa.” (Matius 7:28, 29) Mereka sedar bahawa Yesus mewakili Tuhan dan kata-katanya disokong oleh Firman Tuhan. (Yohanes 7:16) Ajaran Yesus jelas, menggalakkan, dan tidak dapat disangkal. Kata-katanya praktikal dan menyentuh hati pendengarnya. Dia mengajar mereka rahsia kebahagiaan hidup, cara berdoa, cara mencari Kerajaan Tuhan, dan cara membina masa depan yang cerah. (Matius 5:3–7:27) Kata-katanya menggerakkan orang agar mereka sudi “menolak kepentingan sendiri” dan meninggalkan segala-galanya untuk menjadi pengikutnya. (Matius 16:24; Lukas 5:10, 11) Betapa berkuasanya kata-kata Yesus!

‘Berkuasa dalam Perbuatannya’

12, 13. Bagaimanakah Yesus ‘berkuasa dalam perbuatannya’? Apakah mukjizat yang dilakukannya?

12 Yesus juga ‘berkuasa dalam perbuatannya.’ (Lukas 24:19) Buku Matius, Markus, Lukas, dan Yohanes mencatatkan secara spesifik lebih daripada 30 mukjizat yang dilakukan oleh Yesus dengan “kuasa Yehuwa.”b (Lukas 5:17) Mukjizat Yesus meninggalkan kesan yang mendalam terhadap ribuan orang. Contohnya, Yesus memberikan makanan kepada 5,000 orang lelaki, kemudiannya kepada 4,000 orang lelaki. Jika kita juga mengambil kira bilangan wanita dan kanak-kanak yang hadir semasa kedua-dua mukjizat itu dilakukan, jumlah orang yang terlibat mungkin lebih banyak daripada itu!​—Matius 14:13-21; 15:32-38.

13 Yesus melakukan pelbagai mukjizat, seperti mengusir roh-roh jahat, menukar air menjadi wain, dan berjalan di atas air. (Lukas 9:37-43; Yohanes 2:1-11; 6:18, 19) Dia juga dapat menyembuhkan pelbagai penyakit dan kecacatan. (Markus 3:1-5; Yohanes 4:46-54) Selain itu, dia menyembuhkan orang dengan pelbagai cara. Ada yang disembuhkan dari jauh, dan ada yang disembuhkan dari dekat. (Matius 8:2, 3, 5-13) Ada yang disembuhkan serta-merta, dan ada pula yang disembuhkan secara beransur-ansur.​—Markus 8:22-25; Lukas 8:43, 44.

“Mereka nampak Yesus berjalan di atas air”

14. Bagaimanakah Yesus menunjukkan bahawa dia berkuasa untuk membangkitkan orang mati?

14 Yang lebih menakjubkan, Yesus berkuasa untuk membangkitkan orang mati. Bible mencatatkan bahawa dia pernah berbuat demikian sebanyak tiga kali. Dia telah membangkitkan seorang gadis yang berusia 12 tahun. Dia juga menghidupkan semula seorang lelaki, yang mayatnya sedang diusung keluar untuk dikebumikan. Selain itu, dia membangkitkan Lazarus, yang telah mati selama empat hari. (Lukas 7:11-15; 8:49-56; Yohanes 11:38-44) Ya, tiada situasi yang terlalu mencabar bagi Yesus.

Bertanggungjawab, Bertimbang Rasa, dan Tidak Mementingkan Diri

15, 16. Apakah bukti yang menunjukkan bahawa Yesus tidak pernah menggunakan kuasanya demi kepentingan diri?

15 Bayangkanlah jika seorang pemerintah manusia memiliki kuasa yang sangat besar. Bukankah hal ini amat berbahaya? Manusia yang tidak sempurna cenderung mementingkan diri, tamak, dan menggunakan kuasa mereka untuk menindas orang lain. Tetapi Yesus sempurna dan tidak sekali-kali akan menyalahgunakan kuasanya.—1 Petrus 2:22.

16 Yesus tidak pernah menggunakan kuasanya demi kepentingan diri. Apabila dia lapar, dia enggan menukar batu menjadi roti untuk dirinya sendiri. (Matius 4:1-4) Dia tidak memiliki banyak harta benda kerana dia tidak menggunakan kuasanya untuk mengaut keuntungan. (Matius 8:20) Apabila dia melakukan mukjizat, dia perlu mengorbankan tenaga sendiri. Contohnya, apabila dia menyembuhkan seorang wanita yang sakit, dia sedar bahawa kuasa keluar daripadanya. (Markus 5:25-34) Biarpun begitu, dia membenarkan orang ramai menyentuhnya dan disembuhkan.​—Lukas 6:19.

17. Apakah bukti yang menunjukkan bahawa Yesus menggunakan kuasanya dalam cara yang bertanggungjawab?

17 Yesus menggunakan kuasanya dalam cara yang bertanggungjawab. Dia tidak pernah melakukan mukjizat untuk menunjuk-nunjuk. (Matius 4:5-7) Dia enggan melakukan mukjizat sekadar untuk memuaskan rasa ingin tahu Herodes. (Lukas 23:8, 9) Setelah melakukan mukjizat, dia sering menyuruh orang agar tidak memberitahu orang lain tentangnya. (Markus 5:43; 7:36) Hal ini demikian kerana dia tidak mahu orang membuat kesimpulan tentang dirinya berdasarkan laporan sensasi.​—Matius 12:15-19.

18-20. (a) Bagaimanakah Yesus menggunakan kuasanya? (b) Apakah perasaan anda tentang cara Yesus menyembuhkan lelaki yang pekak itu?

18 Yesus jauh berbeza daripada pemerintah yang menggunakan kuasa mereka tanpa berfikir tentang keperluan orang lain. Dia amat prihatin terhadap orang lain. Apabila dia melihat orang menderita, hatinya amat tersentuh sehingga dia ingin membantu mereka. (Matius 14:14) Dia bertimbang rasa dan selalu memikirkan perasaan dan keperluan orang lain, maka hal ini mempengaruhi cara dia menggunakan kuasanya. Kita dapat membaca salah satu contoh tentang hal ini di Markus 7:31-37.

19 Orang ramai datang kepada Yesus dengan membawa orang sakit, dan dia menyembuhkan mereka semua. (Matius 15:29, 30) Tetapi Yesus memberikan perhatian khusus kepada seorang lelaki yang pekak dan mempunyai masalah pertuturan. Dia sedar bahawa lelaki itu mungkin gementar atau malu. Maka dia menunjukkan sikap bertimbang rasa dengan membawa lelaki itu ke tempat yang jauh daripada orang ramai. Di situ, dia menggunakan isyarat tangan untuk menunjukkan bahawa dia akan menyembuhkan lelaki itu. Dia “meletakkan jarinya ke dalam telinga lelaki itu. Selepas itu dia meludah dan menyentuh lidah lelaki tersebut.”c (Markus 7:33) Kemudian dia menengadah ke langit dan menarik nafas panjang. Yesus mungkin berbuat demikian untuk menunjukkan kepada lelaki itu bahawa kuasa yang digunakannya untuk melakukan mukjizat itu berasal daripada Tuhan. Akhirnya, Yesus berkata, “Terbukalah.” (Markus 7:34) Pada saat itu juga lelaki itu dapat mendengar dan bercakap.

20 Apabila Yesus menggunakan kuasa yang diterimanya untuk menyembuhkan orang, dia selalu mempertimbangkan perasaan orang. Tidakkah anda tersentuh dengan sifat Yesus ini? Ya, kita dapat bersukacita kerana Yesus ialah raja Kerajaan Mesias yang pengasih dan bertimbang rasa!

Bayangan tentang Masa Depan

21, 22. (a) Mukjizat-mukjizat yang dilakukan oleh Yesus ialah bayangan kepada apa? (b) Memandangkan Yesus dapat mengawal kuasa alam, kita dapat yakin akan apa?

21 Mukjizat-mukjizat yang dilakukan oleh Yesus di bumi hanyalah bayangan kepada perkara yang lebih menakjubkan yang akan dilakukannya pada masa depan. Di dunia baharu, Yesus akan melakukan mukjizat sekali lagi dan pada skala yang lebih besar. Marilah kita melihat beberapa contoh.

22 Yesus akan memulihkan alam semula jadi. Semasa dia di bumi, dia menunjukkan bahawa dia dapat mengawal kuasa alam dengan meredakan angin ribut. Maka kita yakin bahawa sewaktu dia memerintah bumi kelak, kita tidak perlu takut lagi akan bahaya yang dibawa ribut taufan, gempa bumi, letupan gunung berapi, atau bencana alam yang lain. Memandangkan Yesus telah membantu Yehuwa untuk menciptakan bumi dan segala makhluk hidup, dia memahami keadaan bumi dengan sepenuhnya, dan dia tahu cara yang terbaik untuk menggunakan sumber-sumber bumi. Di bawah pemerintahannya, seluruh bumi akan berubah menjadi firdaus.​—Lukas 23:43.

23. Bagaimanakah Yesus akan memenuhi keperluan umat manusia di bawah pemerintahannya?

23 Bagaimana pula dengan keperluan umat manusia? Yesus dapat memberikan makanan yang melimpah kepada ribuan orang hanya dengan menggunakan sedikit ikan dan roti. Maka di bawah pemerintahannya, dia akan melenyapkan kebuluran buat selama-lamanya. (Mazmur 72:16) Selain itu, dia dapat menyembuhkan orang sakit, buta, pekak, cacat, dan lumpuh. (Yesaya 33:24; 35:5, 6) Dia juga dapat membangkitkan jutaan orang mati yang berada dalam ingatan Bapanya.​—Yohanes 5:28, 29.

24. Seraya kita merenungkan kuasa Yesus, kita harus ingat akan apa? Mengapa?

24 Seraya kita merenungkan kuasa Yesus, ingatlah bahawa dia dapat meniru sifat-sifat Bapanya dengan sempurna. (Yohanes 14:9) Maka cara Yesus menggunakan kuasanya mencerminkan cara Yehuwa menggunakan kuasa-Nya. Misalnya, fikirkanlah bagaimana Yesus menyembuhkan seorang pesakit kusta. Dengan penuh belas kasihan, dia menyentuh orang itu dan berkata, “Aku rela.” (Markus 1:40-42) Menerusi catatan-catatan Bible sedemikian, Yehuwa seolah-olah berfirman, “Begitulah caranya Aku menggunakan kuasa-Ku.” Tidakkah anda bersyukur dan tergerak untuk memuji Yehuwa kerana Dia menggunakan kuasa-Nya dengan penuh kasih?

a Tasik Galilea selalu dilanda ribut secara tiba-tiba. Hal ini demikian kerana tasik ini terletak kira-kira 200 meter di bawah paras laut dan udara di permukaan tasik lebih panas daripada udara di kawasan sekelilingnya. Oleh itu, angin yang sejuk dari Gunung Hermon akan bertiup ke tasik itu dan menghasilkan angin ribut yang kencang.

b Kadangkala, keempat-empat buku ini menggabungkan beberapa mukjizat ke dalam satu catatan umum. Contohnya, kisah di Markus 1:32-34 menyatakan, “Semua penduduk kota berkumpul di pintu rumah itu, lalu Yesus menyembuhkan ramai orang yang menghidap pelbagai penyakit.”

c Orang Yahudi dan orang bukan Yahudi percaya bahawa perbuatan meludah ialah cara merawat orang atau merupakan tanda penyembuhan. Tulisan para rabbi juga menyatakan bahawa air liur digunakan sebagai ubat. Tetapi Yesus tidak menggunakan air liurnya sebagai ubat. Yesus mungkin meludah untuk menunjukkan kepada lelaki itu bahawa dia akan disembuhkan.

Soalan untuk Direnungkan

  • Yesaya 11:1-5 Bagaimanakah Yesus menunjukkan bahawa dia mendapat kekuatan daripada kuasa suci Yehuwa? Berkenaan pemerintahan Yesus, kita dapat yakin akan apa?

  • Markus 2:1-12 Penyembuhan yang dilakukan oleh Yesus menunjukkan bahawa dia berkuasa atas apa?

  • Yohanes 6:25-27 Biarpun Yesus memenuhi keperluan fizikal orang secara mukjizat, apakah kerja utamanya di bumi?

  • Yohanes 12:37-43 Mengapakah sesetengah orang yang menyaksikan mukjizat Yesus tidak beriman kepadanya? Apakah yang dapat kita pelajari daripada hal ini?

    Bahan Bacaan Bahasa Melayu (2004-2023)
    Log Keluar
    Log Masuk
    • Melayu
    • Kongsi
    • Pilihan
    • Copyright © 2025 Watch Tower Bible and Tract Society of Pennsylvania
    • Syarat Penggunaan
    • Polisi Privasi
    • Seting Privasi
    • JW.ORG
    • Log Masuk
    Kongsi