BAB 4
Cara Sidang Diaturkan
DALAM suratnya yang pertama kepada sidang di Korintus, Rasul Paulus menjelaskan satu kebenaran yang penting: “Tuhan bukanlah Tuhan yang kacau-bilau, tetapi Dia ialah Tuhan kedamaian.” Kemudian, semasa menyebut tentang perjumpaan, Paulus menambah, “Segala sesuatu haruslah berlaku dengan baik dan teratur.”—1 Kor. 14:33, 40.
2 Pada permulaan surat itu, Paulus telah memberikan nasihat tentang perpecahan dalam sidang di Korintus. Dia menggesa orang Kristian di situ agar “seia sekata dalam percakapan” dan “bersatu padu, sefikiran, dan sependapat.” (1 Kor. 1:10, 11) Selepas itu, dia memberi mereka nasihat tentang hal-hal yang mengancam perpaduan sidang. Dengan menggunakan tubuh manusia sebagai contoh, dia menunjukkan pentingnya semangat perpaduan dan kerjasama. Paulus menyeru semua ahli sidang agar saling menjaga dan mengasihi, tidak kira apa peranan mereka. (1 Kor. 12:12-26) Persepakatan antara ahli sidang menunjukkan bahawa sidang harus diatur dengan baik.
3 Namun, bagaimanakah sidang Kristian diatur? Siapakah yang mengaturnya? Apakah struktur organisasinya? Siapakah yang akan dilantik untuk mengambil pimpinan? Bible memberi kita panduan dan jawapan yang jelas.—1 Kor. 4:6.
DIATURKAN SECARA TEOKRATIK
4 Sidang Kristian telah ditubuhkan pada abad pertama, iaitu semasa Pentakosta 33 M. Apakah yang kita perhatikan tentang sidang pada masa itu? Sidang diaturkan dan dipimpin secara teokratik, atau oleh Tuhan. Perkataan “teokratik” berasal daripada perkataan Yunani the·osʹ (Tuhan) dan kraʹtos (pemerintahan). Kedua-dua perkataan itu diterjemahkan sebagai “Tuhan” dan “berkuasa” di 1 Petrus 5:10, 11. Catatan tentang peristiwa yang terjadi di Yerusalem kira-kira 2,000 tahun lalu jelas membuktikan bahawa sidang orang Kristian terurap diasaskan oleh Tuhan. (Kis. 2:1-47) Sidang merupakan rumah-Nya dan rumah tangga-Nya. (1 Kor. 3:9; 1 Tim. 3:15) Sidang Kristian zaman ini diaturkan dan berfungsi mengikut cara yang ditetapkan bagi sidang abad pertama.
Sidang Kristian zaman ini diaturkan dan berfungsi mengikut cara yang ditetapkan bagi sidang abad pertama
5 Sidang Kristian yang pertama bermula dengan sekitar 120 orang murid Yesus. Kuasa suci Tuhan dicurahkan ke atas mereka, seperti yang dinubuatkan di Yoel 2:28, 29. (Kis. 2:16-18) Namun, pada hari yang sama, kira-kira 3,000 orang lain dibaptis dan menyertai sidang itu. Mereka memeluk ajaran tentang Kristus dan “terus menumpukan sepenuh perhatian kepada ajaran para rasul.” Selepas itu, “Yehuwa terus membawa lebih banyak orang yang diselamatkan oleh-Nya untuk menyertai mereka.”—Kis. 2:41, 42, 47.
6 Sidang di Yerusalem bertumbuh dengan begitu pesat, sehingga imam agung Yahudi mengadu bahawa murid-murid Yesus sudah menyebarkan ajaran mereka ke seluruh Yerusalem. Dalam kalangan murid-murid baharu di Yerusalem, terdapat ramai imam yang menyertai sidang Kristian.—Kis. 5:27, 28; 6:7.
7 Yesus berkata, “Kamu akan menjadi saksi-saksiku di Yerusalem, di seluruh Yudea, di Samaria, dan sampai ke hujung bumi.” (Kis. 1:8) Selepas kematian Stefanus, penganiayaan besar yang berlaku di Yerusalem menyebabkan murid-murid Yesus di situ tercerai-berai ke seluruh kawasan Yudea dan Samaria. Namun, mereka terus menyebarkan berita baik ke mana sahaja mereka pergi. Hasilnya, semakin ramai orang menjadi murid Yesus, termasuk orang Samaria. (Kis. 8:1-13) Selepas itu, berita baik juga dikhabarkan kepada orang daripada bangsa-bangsa lain yang tidak bersunat. (Kis. 10:1-48) Kerja penyebaran telah membantu ramai orang menjadi pengikut Yesus, dan sidang-sidang baharu mula dibentuk di luar Yerusalem.—Kis. 11:19-21; 14:21-23.
8 Apakah yang perlu dilakukan supaya setiap sidang baharu dapat diaturkan dan ditadbir secara teokratik, iaitu mengikut cara Tuhan? Kuasa suci Tuhan telah melantik gembala untuk menjaga sidang. Dalam perjalanan Paulus dan Barnabas yang pertama sebagai mubaligh, mereka telah melantik penatua-penatua dalam sidang. (Kis. 14:23) Lukas telah mencatatkan kata-kata Paulus kepada para penatua dalam sidang di Efesus, “Berikanlah perhatian kepada diri kamu dan seluruh kawanan, kerana kuasa suci Tuhan telah melantik kamu sebagai penyelia untuk menggembala sidang Tuhan, yang telah dibeli oleh-Nya dengan darah Anak-Nya sendiri.” (Kis. 20:17, 28) Mereka dilantik sebagai penatua kerana memenuhi syarat yang ditetapkan dalam Bible. (1 Tim. 3:1-7) Titus, rakan sekerja Paulus, juga diamanahkan tugas untuk melantik penatua dalam sidang-sidang di Kreta.—Tit. 1:5.
9 Sementara itu, para rasul dan penatua di Yerusalem terus berkhidmat sebagai penyelia utama bagi semua sidang Kristian yang terus berkembang pada abad pertama. Para rasul dan penatua ini telah membentuk badan pimpinan sidang.
10 Dalam surat kepada sidang di Efesus, Rasul Paulus menjelaskan bahawa apabila sidang bekerjasama dengan kuasa suci Tuhan dan mengikut pimpinan Yesus Kristus, perpaduan sidang akan terpelihara. Paulus menggesa orang Kristian di situ agar memupuk kerendahan hati, supaya seluruh sidang menikmati kedamaian dan “perpaduan yang dikurniakan oleh kuasa suci Tuhan.” (Ef. 4:1-6) Kemudian dia memetik Mazmur 68:18 dan mengaitkannya dengan pemberian Yehuwa yang berupa rasul, nabi, penginjil, gembala, dan guru. Saudara-saudara itu merupakan kurniaan daripada Yehuwa untuk membantu dan membina seluruh sidang supaya menjadi matang secara rohani dan menyenangkan hati Tuhan.—Ef. 4:7-16.
SIDANG HARI INI MENGIKUT CORAK YANG DITETAPKAN PARA RASUL
11 Semua sidang Saksi-Saksi Yehuwa hari ini diatur mengikut corak yang sama. Sidang-sidang itu membentuk sebuah sidang sedunia yang bersatu, dan ahli sidang daripada biri-biri lain menyokong saudara saudari mereka yang terurap. (Za. 8:23) Hal itu dapat dicapai kerana Yesus Kristus telah menunaikan janjinya untuk sentiasa menyertai para pengikutnya yang terurap “sehingga penghujung sistem ini.” Orang yang dipimpin ke sidang telah menerima berita baik, membaktikan kehidupan mereka kepada Yehuwa, dan dibaptis sebagai murid-murid Yesus. (Mat. 28:19, 20; Mrk. 1:14; Kis. 2:41) Mereka mengakui Yesus Kristus sebagai “gembala yang baik” dan Kepala seluruh kawanan, yang terdiri daripada kaum terurap dan “biri-biri lain.” (Yoh. 10:14, 16; Ef. 1:22, 23) Mereka dapat tetap bersatu sebagai “satu kawanan” dengan mengakui pimpinan Kristus dan mentaati arahan daripada “hamba yang setia dan bijaksana.” (Mat. 24:45) Semoga kita terus yakin dan percaya kepada hamba itu, yang dilantik Kristus dalam organisasi.
TUJUAN BADAN BERKANUN AGAMA
12 Untuk menyediakan makanan rohani pada masa yang sesuai dan menyebarkan berita baik tentang Kerajaan Tuhan sebelum akhir tiba, sesetengah badan berkanun telah ditubuhkan. Badan-badan ini diperakui oleh undang-undang di banyak negara, dan saling bekerjasama untuk memajukan kerja penyebaran sedunia.
STRUKTUR ORGANISASI PEJABAT CAWANGAN
13 Semua pejabat cawangan mempunyai sekurang-kurangnya tiga orang penatua sebagai Jawatankuasa Cawangan. Mereka mengurus kerja penyebaran di kawasan yang terletak di bawah jagaan cawangan mereka. Salah seorang daripada mereka akan berkhidmat sebagai koordinator Jawatankuasa Cawangan.
14 Sidang-sidang di bawah jagaan setiap cawangan dibahagikan kepada litar. Saiz setiap litar berbeza-beza mengikut lokasi, bahasa, dan jumlah sidang yang dijaga cawangan. Setiap litar mempunyai seorang penyelia litar yang akan melawat setiap sidang. Pejabat cawangan akan memberikan arahan kepada penyelia litar tentang cara melaksanakan tugas mereka.
15 Sidang-sidang rela mengikut aturan organisasi yang dibuat demi manfaat semua umat Tuhan. Ahli-ahli sidang mematuhi para penatua yang dilantik untuk menyelia kerja di pejabat cawangan, litar, dan sidang. Mereka menerima makanan rohani yang disediakan tepat pada masanya oleh hamba yang setia dan bijaksana. Hamba yang setia dan bijaksana pula mematuhi pimpinan Kristus dengan sepenuhnya, berpegang pada prinsip Bible, dan mengikut arahan kuasa suci Tuhan. Apabila kita bersatu padu dan bekerja bersama-sama, kita menikmati hasil yang baik, seperti yang berlaku kepada orang Kristian abad pertama. Bible menyatakan, “Iman orang di sidang-sidang itu semakin teguh, dan setiap hari, bilangan mereka semakin bertambah.”—Kis. 16:5.