CERITA 37
Yehuwa Bercakap kepada Samuel
Imam Agung Eli mempunyai dua anak lelaki, iaitu Hofni dan Pinehas. Mereka ialah imam di khemah suci Tuhan. Tetapi, mereka tidak mentaati Yehuwa dan melayani orang lain dengan buruk. Mereka juga mengambil daging terbaik daripada korban yang harus diberikan kepada Yehuwa. Eli tahu bahawa anaknya sangat jahat, tetapi dia tidak melakukan apa-apa. Adakah Yehuwa akan membiarkan hal ini terus berlaku?
Meskipun Samuel lebih muda daripada Hofni dan Pinehas, dia tidak mengikut contoh mereka. Hal ini menggembirakan hati Yehuwa. Pada suatu malam, semasa Samuel tidur, dia mendengar suara yang memanggilnya. Dia terus bangun dan berkata kepada Eli, “Ya tuan!” Tetapi Eli menjawab, “Saya tidak panggil kamu. Pergilah tidur.” Jadi Samuel pergi tidur semula. Tiba-tiba, dia mendengar suara itu lagi. Apabila Samuel mendengarnya buat kali ketiga, Eli sedar bahawa Yehuwalah yang sedang memanggil Samuel. Maka, Eli berkata, “Jika kamu dengar suara itu lagi, kamu harus kata, ‘Ya Yehuwa, bercakaplah kerana hamba-Mu sedang mendengar.’”
Selepas itu, Samuel tidur semula. Kemudian, dia mendengar suara itu berkata, “Samuel! Samuel!” Dia terus menjawab, “Bercakaplah kerana hamba-Mu sedang mendengar.” Yehuwa berkata, “Beritahulah Eli bahawa Aku akan menghukumnya dan keluarganya. Dia membiarkan anak-anaknya terus berbuat jahat di khemah suci-Ku.” Pada keesokan pagi, Samuel membuka pintu-pintu khemah suci. Kemudian, Eli berkata kepadanya, “Apa yang Yehuwa kata? Beritahulah saya.” Walaupun Samuel sangat takut, dia tetap menyampaikan pesanan Yehuwa kepada Eli.
Samuel terus membesar, dan Yehuwa sentiasa berada di sisinya. Seluruh Israel juga sedar bahawa Samuel dilantik oleh Yehuwa sebagai nabi dan hakim.
“Ingatlah akan Pencipta Agungmu semasa kamu masih muda.”—Pengkhutbah 12:1