Sekolah Penyebaran Teokratik
Tujuan: Melatih penyiar menjadi penyebar dan pengajar berita baik yang mahir.
Tempoh: Secara berterusan.
Lokasi: Dewan Perjumpaan tempatan.
Kelayakan: Semua orang yang menghadiri perjumpaan secara tetap, menerima ajaran Bible, dan hidup selaras dengan prinsip Bible.
Cara Menyertai: Bincanglah dengan Penyelia Sekolah Penyebaran Teokratik.
Sharon, yang lumpuh akibat penyakit amyotrophic lateral sclerosis (ALS), berkata, “Sekolah Penyebaran Teokratik mengajar saya untuk membuat penyelidikan dan menyampaikan berita baik dalam cara yang senang difahami. Saya juga berfokus pada keperluan rohani orang lain, dan bukannya kepentingan sendiri.”
Arnie yang lama berkhidmat sebagai penyelia lawatan berkata, “Saya mempunyai masalah gagap sejak kecil, dan berasa susah untuk memandang orang semasa bercakap. Sekolah ini membantu saya membina keyakinan diri dan harga diri. Dengan bantuan Yehuwa, saya belajar teknik bernafas dan menumpukan perhatian. Saya bersyukur kerana mampu memuji Tuhan dalam sidang dan aktiviti penyebaran.”
Sekolah untuk Anggota Bethel Baru
Tujuan: Membantu ahli Bethel baru menjalankan khidmat mereka dengan baik.
Tempoh: 45 minit setiap minggu selama 16 minggu.
Lokasi: Bethel.
Kelayakan: Ahli Bethel yang tetap atau sukarelawan jangka masa panjang yang dilantik sekurang-kurangnya untuk satu tahun.
Cara Menyertai: Ahli Bethel yang baru akan dijemput.
Demetrius yang menghadiri sekolah ini pada tahun 1980-an berkata, “Kursus ini membantu saya memupuk tabiat pembelajaran yang baik, dan melengkapi saya untuk berkhidmat di Bethel. Pengajar, kurikulum, dan nasihat yang praktikal meyakinkan saya bahawa Yehuwa menyayangi saya dan ingin saya berjaya dalam khidmat Bethel.”
Kaitlyn berkata, “Saya dibantu untuk berfokus pada perkara yang paling penting, iaitu menjadi seorang insan rohani. Sekolah ini membantu saya menghargai Yehuwa, Rumah-Nya, dan organisasi-Nya.”
Sekolah Bible untuk Saudara Terlantik
Tujuan: Melatih penyelia lawatan, penatua, dan pembantu sidang untuk melaksanakan tanggungjawab dalam sidang dan organisasi. (Kis. 20:28) Situasi terkini dan keperluan sidang dibincangkan. Sekolah ini diadakan sekali dalam beberapa tahun mengikut aturan Badan Pimpinan.
Tempoh: Kebelakangan ini, tempohnya dua hingga dua hari setengah bagi penyelia lawatan, satu hari setengah bagi penatua dan satu hari bagi pembantu sidang.
Lokasi: Biasanya di Dewan Perjumpaan atau Dewan Perhimpunan.
Kelayakan: Berkhidmat sebagai penyelia lawatan, penatua, atau pembantu sidang.
Cara Menyertai: Penatua atau pembantu sidang dijemput oleh penyelia litar. Pejabat cawangan akan menjemput penyelia lawatan.
“Sekolah ini ringkas dan padat. Para penatua digalakkan dan dibantu untuk tetap bersukacita dan ‘tabah hati’ dalam khidmat Yehuwa. Penatua yang baru mahupun yang berpengalaman belajar untuk menjadi gembala yang mahir serta ‘bersatu, sehati, dan sejiwa.’”—Quinn (bawah).
“Latihan ini membantu kami menghargai hal-hal rohani, mengingatkan kami tentang bahaya rohani, dan memberi cadangan praktikal tentang cara menjaga kawanan Tuhan. Yehuwa memang baik hati.”—Michael.
Sekolah Latihan Perintis
Tujuan: Membantu perintis menginjil “dengan sebaik-baiknya.”—2 Tim. 4:5.
Tempoh: Dua minggu.
Lokasi: Ditentukan oleh pejabat cawangan; biasanya di Dewan Perjumpaan.
Kelayakan: Berkhidmat sebagai perintis biasa untuk sekurang- kurangnya setahun.
Cara Menyertai: Perintis yang layak akan dimaklumkan oleh penyelia litar.
“Sekolah itu membantu saya menangani cabaran dalam aktiviti penyebaran dan kehidupan,” kata Lily (kanan). “Cara saya belajar, mengajar, dan menggunakan Bible bertambah baik. Kini, saya dapat membantu orang lain, menyokong para penatua, dan menyumbang kepada pertumbuhan sidang.”
Brenda yang sudah dua kali menghadiri sekolah ini berkata, “Sekolah ini membantu saya menyelami hal-hal rohani dengan 100 peratus, meneguhkan hati nurani saya, dan membantu orang lain. Yehuwa sangat murah hati!”
Sekolah untuk Penatua Sidang
Tujuan: Membantu penatua memikul tanggungjawab dalam sidang dan menguatkan kerohanian mereka.
Tempoh: Lima hari.
Lokasi: Ditentukan oleh pejabat cawangan; biasanya di Dewan Perjumpaan atau Dewan Perhimpunan.
Kelayakan: Berkhidmat sebagai penatua.
Cara Menyertai: Penatua akan dijemput oleh pejabat cawangan.
Perhatikan beberapa komen daripada penatua yang menghadiri kelas ke-92 di Amerika Syarikat:
“Sekolah ini sangat bermanfaat. Saya dapat memeriksa diri saya dan belajar cara untuk menjaga domba Yehuwa.”
“Sekarang saya bersedia untuk menggalakkan semua dengan menggunakan Bible.”
“Saya akan menggunakan latihan ini sepanjang hidup saya.”
Sekolah untuk Penyelia Lawatan dan Isteri Mereka
Tujuan: Melatih penyelia litar dan penyelia distrik menjadi lebih berkesan semasa “berkhutbah dan mengajar” dalam sidang.—1 Tim. 5:17; 1 Ptr. 5:2, 3.
Tempoh: Dua bulan.
Lokasi: Ditentukan oleh pejabat cawangan.
Kelayakan: Berkhidmat sebagai penyelia litar atau distrik.
Cara Menyertai: Penyelia lawatan dan isteri mereka akan dijemput oleh pejabat cawangan.
“Kami lebih menghargai bagaimana Yesus mengetuai organisasi Tuhan. Kami diingatkan untuk menggalakkan saudara saudari dan mengukuhkan perpaduan sidang. Walaupun penyelia lawatan perlu memberikan nasihat dan membetulkan orang dari semasa ke semasa, tujuan utama kami adalah untuk mengingatkan saudara saudari bahawa Yehuwa mengasihi mereka.”—Joel, kelas pertama, 1999.
Sekolah Bible untuk Saudara Bujang
Tujuan: Membantu penatua dan pembantu sidang yang bujang untuk memikul tanggungjawab tambahan. Ramai lepasan akan ditugaskan ke kawasan yang lebih memerlukan bantuan di negara asal. Ada yang mungkin ditugaskan ke negara lain jika mereka dapat berbuat demikian. Sesetengah lepasan akan berkhidmat sebagai perintis khas sementara untuk memulakan atau mengembangkan kerja penyebaran di tempat terpencil.
Tempoh: Dua bulan.
Lokasi: Ditentukan oleh pejabat cawangan; biasanya di Dewan Perjumpaan atau Dewan Perhimpunan.
Kelayakan: Saudara bujang yang berumur antara 23 dan 62 tahun, sihat, dan ingin berkhidmat di kawasan yang lebih memerlukan bantuan. (Mrk. 10:29, 30) Pernah berkhidmat sebagai perintis biasa selama dua tahun dan sebagai penatua atau pembantu sidang untuk dua tahun berturut-turut.
Cara Menyertai: Perjumpaan diadakan di perhimpunan litar bagi saudara yang berminat.
Rick yang menghadiri kelas yang ke-23 di Amerika Syarikat berkata, “Melalui kelas ini, saya digerakkan oleh daya aktif Yehuwa untuk membuat perubahan. Apabila Yehuwa memberi kita suatu tugas, Dia akan menyokong kita. Saya belajar bahawa jika saya berfokus pada kehendak Tuhan dan bukannya pada diri sendiri, Dia akan menguatkan saya.”
“Saya belajar bahawa cara organisasi Tuhan berfungsi hari ini ibarat suatu mukjizat. Saya dilengkapi untuk kerja yang akan saya lakukan. Contoh-contoh Bible mengajar saya kebenaran asas ini: Berkhidmat untuk rakan seiman dan Yehuwa membawa kebahagiaan sejati.”—Andreas dari Jerman.
Sekolah Bible untuk Pasangan Kristian
Tujuan: Memberikan latihan khas kepada pasangan suami isteri agar mereka dapat meluaskan khidmat dalam organisasi Yehuwa. Ramai lepasan akan ditugaskan ke kawasan yang lebih memerlukan bantuan di negara asal. Ada yang mungkin ditugaskan ke negara lain jika mereka sudi berbuat demikian. Lepasan mungkin berkhidmat sebagai perintis khas sementara untuk memulakan dan mengembangkan kerja penyebaran di tempat terpencil.
Tempoh: Dua bulan.
Lokasi: Sekolah ini diadakan di Amerika Syarikat. Mulai September 2012, sekolah ini juga akan diadakan di sesetengah kawasan pejabat cawangan, biasanya di Dewan Perjumpaan atau Dewan Perhimpunan.
Kelayakan: Pasangan suami isteri yang berumur antara 25 dan 50 tahun, sihat, dapat berkhidmat di kawasan yang mempunyai keperluan, dan memiliki sikap, “Inilah aku. Utuslah aku!” (Yes. 6:8) Mereka juga mesti sudah berkahwin sekurang-kurangnya dua tahun dan menceburi khidmat sepenuh masa untuk sekurang-kurangnya dua tahun berturut-turut. Suami mesti berkhidmat sebagai penatua atau pembantu sidang selama dua tahun berturut-turut.
Cara Menyertai: Pasangan yang berminat boleh menghadiri perjumpaan yang diadakan di konvensyen distrik. Jika perjumpaan ini tidak diadakan di konvensyen anda, sila menyurati pejabat cawangan untuk maklumat lanjut.
“Lapan minggu ini telah mengubah kehidupan kami! Sekolah ini sangat bagus untuk pasangan yang ingin meluaskan khidmat kepada Yehuwa. Kami bertekad untuk hidup secara seimbang agar dapat menggunakan masa dengan bijak.”—Eric dan Corina (bawah), kelas pertama, 2011.
Sekolah Latihan Gilead
Tujuan: Melatih orang untuk berkhidmat sebagai mubaligh di kawasan yang berpenduduk padat, penyelia lawatan, atau anggota Bethel. Matlamatnya adalah untuk menguatkan dan memantapkan aturan cawangan dan kerja penyebaran.
Tempoh: Lima bulan.
Lokasi: Pusat Pendidikan Watchtower di Paterson, New York, A.S.
Kelayakan: Pasangan suami isteri dalam khidmat khas sepenuh masa selama tiga tahun berturut-turut. Contohnya, mubaligh yang belum menghadiri sekolah ini, perintis khas, penyelia lawatan, atau ahli Bethel. Mesti bertutur, membaca, dan menulis bahasa Inggeris dengan baik.
Cara Menyertai: Pasangan yang dijemput oleh Jawatankuasa Cawangan dapat memohon.
Lade dan Monique berasal dari Amerika Syarikat dan sekarang berkhidmat di Afrika. “Sekolah Gilead melengkapi kami untuk berkhidmat di mana sahaja di dunia. Kami bersedia turun padang bersama rakan seiman kami,” kata Lade.
Monique berkata, “Selepas saya menerapkan apa yang dipelajari daripada Firman Tuhan, saya dapat menjalankan tugas saya dengan sukacita. Sukacita ini bukti bahawa Yehuwa mengasihi saya.”
Sekolah untuk Ahli Jawatankuasa Cawangan dan Isteri Mereka
Tujuan: Membantu ahli Jawatankuasa Cawangan mengurus Bethel, kerja penyebaran, serta menyelia litar dan distrik. Mereka juga belajar tentang kerja terjemahan, percetakan, dan penghantaran bahan bacaan.
Tempoh: Dua bulan.
Lokasi: Pusat Pendidikan Watchtower di Paterson, New York, A.S.
Kelayakan: Saudara yang sedang atau bakal berkhidmat sebagai ahli Jawatankuasa Cawangan atau Jawatankuasa Tempatan.
Cara Menyertai: Dijemput oleh Badan Pimpinan.
Lowell dan Cara dari kelas ke-25 sedang berkhidmat di Nigeria. “Saya diingatkan bahawa tidak kira apa tugas saya atau sesibuk mana saya, kunci untuk menyenangkan hati Yehuwa adalah untuk melakukan segala-galanya mengikut cara-Nya,” kata Lowell. “Sekolah ini juga menekankan bahawa kita harus meniru kasih Yehuwa semasa melayan rakan seiman.”
Cara berkata, “Satu perkara penting yang saya selalu ingat ialah jika saya tidak dapat menjelaskan sesuatu dengan senang, maksudnya saya perlu mempelajari perkara itu dengan lebih dalam lagi sebelum saya mengajarkannya kepada orang lain.”