Terjemahan Dunia Baru Edisi 2013 yang Dikemaskinikan dalam Bahasa Inggeris
SELAMA bertahun-tahun, Kitab Suci Terjemahan Dunia Baru telah dikemaskinikan beberapa kali. Tetapi terjemahan yang dikemaskinikan pada tahun 2013 mempunyai perubahan yang paling besar. Contohnya, jumlah perkataan bahasa Inggeris telah dikurangkan sebanyak 10 peratus dalam edisi ini. Beberapa istilah Bible juga telah diubah dan sesetengah bab ditukar ke dalam bentuk puisi. Nota kaki yang menjelaskan istilah tertentu juga telah ditambahkan. Rencana ini tidak dapat membincangkan semua perubahan itu. Namun, mari kita lihat beberapa perubahan utama.
Apakah istilah Bible yang telah diubah? Seperti yang dibincangkan dalam rencana sebelum ini, istilah bagi “Sheol,” “Hades,” dan “soul” telah dikemaskinikan. Tambahan lagi, beberapa istilah lain telah diubah.
Misalnya, perkataan “pesta pora” telah digantikan dengan “pesta liar” kerana istilah ini lebih mudah difahami pada hari ini. (Gal. 5:19-22) “Kebaikan hati yang penuh kasih” pula digantikan dengan “kasih yang setia.” Istilah ini lebih selaras dengan istilah asal yang juga mempunyai maksud “kesetiaan.”—Mzm. 36:6; 89:2.
Dahulu, sesetengah istilah biasanya diterjemahkan secara konsisten dengan menggunakan satu ungkapan sahaja. Kini, istilah tersebut diterjemahkan mengikut konteks keseluruhan ayat. Contohnya, perkataan Ibrani ʽoh·lamʹ selalunya diterjemahkan sebagai “masa yang tidak tertentu” dalam edisi sebelum ini. Perkataan ini juga boleh membawa maksud “selama-lamanya.” Maka, terdapat perubahan di Mazmur 90:2 dan Mikha 5:2 dalam edisi 2013.
Perkataan Ibrani dan Yunani untuk “benih” banyak digunakan dalam Bible. Perkataan ini biasanya digunakan dalam bidang pertanian. Namun perkataan ini juga boleh membawa maksud kiasan, iaitu “keturunan.” Edisi Terjemahan Dunia Baru sebelum ini selalu menggunakan perkataan “benih,” termasuk di Kejadian 3:15. Tetapi sekarang, perkataan “benih” dalam bahasa Inggeris jarang dikaitkan dengan maksud “keturunan.” Oleh itu, edisi 2013 menggunakan perkataan “keturunan” di Kejadian 3:15 dan ayat-ayat yang berkaitan. (Kej. 22:17, 18; Why. 12:17) Selain itu, perkataan ini diterjemahkan mengikut konteks keseluruhan ayat.—Kej. 1:11; Mzm. 22:31; Yes. 57:3.
Mengapakah banyak ungkapan harfiah diubah? Lampiran A1 dalam edisi 2013 menyatakan bahawa terjemahan Bible yang baik akan menterjemahkan maksud yang tepat bagi suatu perkataan atau ungkapan sekiranya terjemahan harfiah akan mengubah atau mengaburkan maksud sebenar. Jika ungkapan bahasa asal dapat difahami dalam bahasa tertentu, ungkapan itu akan diterjemahkan secara harfiah dalam bahasa itu. Contohnya, ungkapan “menyelidiki hati” yang terdapat di Wahyu 2:23 mudah difahami dalam banyak bahasa. Namun, ungkapan “menyelidiki ginjal” dalam ayat yang sama susah difahami. Maka ungkapan ini diterjemahkan sebagai “fikiran manusia yang tersembunyi” kerana dapat menyampaikan maksud asal. Di Ulangan 32:14 pula, ungkapan “lemak ginjal daripada gandum” diterjemahkan sebagai “gandum yang terbaik” supaya maksudnya lebih jelas. Ungkapan “bibirku tidak bersunat” juga telah ditukarkan kepada “aku tidak dapat berkata-kata dengan lancar.”—Kel. 6:12.
Mengapakah ungkapan “anak-anak lelaki Israel” dan “anak lelaki yatim” ditukarkan kepada “orang Israel” dan “anak yatim”? Dalam bahasa Ibrani, perkataan yang berbeza digunakan untuk merujuk kepada lelaki atau perempuan. Namun, sesetengah ungkapan yang digunakan untuk merujuk kepada kaum lelaki juga boleh merangkumi kaum perempuan. Contohnya, konteks sesetengah ayat menunjukkan bahawa ungkapan “anak-anak lelaki Israel” merangkumi lelaki dan perempuan. Maka ungkapan ini ditukarkan kepada “orang Israel.”—Kel. 1:7; 35:29; 2 Raj. 8:12.
Dalam Terjemahan Dunia Baru edisi sebelumnya, perkataan Ibrani “anak-anak lelaki” di Kejadian 3:16 telah diterjemahkan sebagai “anak-anak.” Maka perkataan yang sama di Keluaran 22:24, iaitu “anak-anak lelaki” dalam bahasa Ibrani, kini diterjemahkan sebagai “anak-anak.” Selain itu, “anak lelaki yatim” telah ditukarkan kepada “anak yatim.” (Ul. 10:18; Ayb. 6:27) Kaedah terjemahan ini telah digunakan dalam Septuagint Yunani.
Mengapakah banyak kata kerja dalam bahasa Ibrani diterjemahkan dengan ringkas? Kata kerja Ibrani menunjukkan sama ada sesuatu sedang atau sudah dilakukan. Maka, Terjemahan Dunia Baru yang sebelumnya telah berusaha untuk membezakan kedua-dua kata kerja Ibrani ini dengan menggunakan ungkapan seperti “proceeded to” atau “went on to” (terus atau mula). Ungkapan ini menunjukkan bahawa suatu kata kerja ialah perbuatan yang berterusan atau yang berulang-ulang.a Bagi kata kerja yang merujuk kepada perbuatan yang sudah selesai, perkataan “certainly,” “must,” dan “indeed” (pasti, memang, dan tentu) telah digunakan.
Dalam edisi 2013, ungkapan tambahan seperti di atas hanya akan digunakan jika maksud teks menjadi lebih jelas. Contohnya, kata kerja bahasa Ibrani yang menunjukkan perbuatan yang berterusan telah digunakan apabila Yehuwa berkata, “Hendaklah ada cahaya.” Namun, edisi 2013 tidak lagi menterjemahkan kata kerja tersebut. (Kej. 1:3) Di Kejadian 3:9 pula, Yehuwa berulang kali memanggil Adam. Maka ayat ini diterjemahkan sebagai “Yehuwa memanggil lelaki itu berkali-kali.” Secara keseluruhan, kata kerja dalam bahasa Ibrani diterjemahkan dengan lebih ringkas. Hal ini supaya terjemahan lebih berfokus kepada tindakan yang dilakukan, dan bukannya sama ada tindakan itu sedang atau sudah dilakukan. Maka terjemahan sekarang lebih ringkas dan padat seperti bahasa Ibrani asal.
Banyak bab kini diubah ke dalam bentuk puisi untuk mencerminkan tulisan asal
Mengapakah banyak bab kini diubah ke dalam bentuk puisi? Banyak bahagian dalam Bible pada asalnya ditulis dalam bentuk puisi. Dalam bahasa moden, puisi mengandungi rima. Dalam puisi Ibrani pula, aspek yang terpenting ialah persamaan dan perbandingan. Selain itu, rima dalam bahasa Ibrani bukan berdasarkan bunyi perkataan, tetapi berdasarkan susunan ayat secara logik.
Dalam Terjemahan Dunia Baru sebelum ini, format bagi buku Ayub dan Mazmur adalah dalam bentuk puisi. Hal ini kerana buku ini pada asalnya merupakan nyanyian atau dapat dibaca dengan irama. Format ini menekankan aspek puisi supaya ayat itu lebih mudah diingati. Dalam edisi 2013, buku Amsal, Kidung Agung, dan banyak bab yang ditulis oleh para nabi juga dalam format puisi. Cara ini dapat menekankan persamaan dan perbandingan dalam ayat. Contohnya di Yesaya 24:2, setiap baris mengandungi perbandingan dan berkait dengan baris seterusnya untuk menekankan bahawa Tuhan menghakimi semua orang. Terjemahan sebegini menunjukkan bahawa penulis Bible bukan sekadar mengulangi kata. Sebaliknya dia menggunakan teknik puisi untuk menekankan mesej Tuhan.
Kadangkala tidak mudah untuk mengenal pasti sama ada petikan Ibrani ditulis dalam bentuk puisi atau tidak. Maka terdapat perbezaan pendapat antara penterjemah Bible mengenai hal ini. Penterjemah perlu membuat penilaian tentang ayat-ayat mana yang dapat diterjemahkan dalam bentuk puisi. Sesetengah petikan Bible mengandungi puisi, gambaran, mainan kata, dan persamaan untuk menekankan isi penting.
Satu ciri yang baru ialah Rangka Kandungan. Rangka ini sangat berguna, terutamanya untuk mengenal pasti siapa yang sedang mengucapkan puisi dalam buku Kidung Agung.
Bagaimanakah kajian naskhah kuno mempengaruhi edisi 2013? Terjemahan Dunia Baru yang asal adalah berdasarkan teks Masoret Ibrani dan teks Yunani yang dihasilkan oleh Wescott dan Hort. Hari ini, naskhah kuno Bible dikaji untuk memperjelas makna ayat Bible. Salinan Gulungan Laut Mati lebih mudah didapati dan banyak lagi naskhah Yunani telah dikaji. Maklumat daripada kajian sebegini boleh didapati menerusi komputer. Hasilnya, lebih mudah untuk mengkaji perbezaan antara naskhah-naskhah kuno serta menentukan teks Ibrani dan Yunani yang paling tepat. Jawatankuasa Terjemahan Bible Dunia Baru memanfaatkan perkembangan ini dan hal ini menghasilkan beberapa perubahan.
Contohnya, 2 Samuel 13:21 dalam Septuagint Yunani mengatakan, “Tetapi dia tidak sanggup menyakiti perasaan Amnon, kerana Amnon ialah anak sulungnya dan dia sangat mengasihi Amnon.” Teks Masoret tidak mengandungi ayat ini. Oleh itu, ayat ini tidak dimasukkan dalam Terjemahan Dunia Baru edisi awal. Namun, edisi 2013 menterjemahkan ayat itu kerana ayat itu terdapat dalam Gulungan Laut Mati. Nama Tuhan juga telah ditambah sebanyak lima kali dalam buku 1 Samuel. Kajian terhadap teks Yunani juga membawa perubahan dalam urutan idea di Matius 21:29-31. Oleh itu, sesetengah perubahan adalah berdasarkan bukti kukuh daripada kajian naskhah Bible dan bukannya bergantung pada satu teks Yunani sahaja.
Perubahan ini telah menghasilkan Terjemahan Dunia Baru yang mudah dibaca dan difahami oleh orang yang menganggapnya sebagai kurniaan daripada Tuhan.
a Lihat New World Translation of the Holy Scriptures—With References, Lampiran 3C bertajuk “Hebrew Verbs Indicating Continuous or Progressive Action.”