Hargailah Kurniaan Kebebasan untuk Memilih
“Di mana ada daya aktif Yehuwa, di situ ada kebebasan.”—2 KOR. 3:17.
1, 2. (a) Apakah pandangan orang terhadap kebebasan memilih? (b) Apakah ajaran Bible mengenai kebebasan memilih? Apakah soalan-soalan yang akan dibincangkan?
SEMASA membuat keputusan, seorang wanita memberitahu sahabatnya, “Jangan suruh saya berfikir. Beritahulah saja apa yang harus saya lakukan. Itu lebih senang.” Wanita itu ingin diberitahu apa yang harus dilakukan dan tidak menghargai kebebasan memilih yang dikurniakan Tuhan. Bagaimana pula dengan anda? Adakah anda biasanya membuat keputusan sendiri, atau lebih suka jika orang lain membuat keputusan bagi anda? Apakah pandangan anda tentang kebebasan memilih?
2 Perkara ini menjadi topik perdebatan selama berkurun-kurun. Sesetengah orang mendakwa bahawa kebebasan memilih tidak wujud kerana semua tindakan kita sudah ditentukan Tuhan. Orang lain pula berfikir bahawa kebebasan memilih yang sebenar ialah kebebasan yang mutlak atau yang tidak terhad. Namun untuk memahami hal ini, kita harus membuka lembaran Firman Tuhan. Mengapa? Bible menunjukkan bahawa Yehuwa mengurniai kita kebebasan memilih, iaitu kebolehan untuk membuat keputusan bagi diri sendiri. (Baca Yosua 24:15.) Bible juga menjawab soalan-soalan seperti: Bagaimanakah kita harus menggunakan kebebasan memilih? Adakah kebebasan kita mempunyai batasan? Bagaimanakah cara kita menggunakan kebebasan memilih menunjukkan tahap kasih kita kepada Yehuwa? Bagaimanakah kita boleh menghormati keputusan orang lain?
APAKAH YANG KITA PELAJARI DARIPADA YEHUWA DAN YESUS?
3. Apakah contoh yang ditetapkan Yehuwa dalam cara Dia menggunakan kebebasan-Nya?
3 Hanya Yehuwa memiliki kebebasan mutlak. Dia menetapkan contoh yang baik semasa menggunakan kebebasan-Nya. Misalnya, Dia memilih untuk menjadikan bangsa Israel sebagai “umat-Nya yang istimewa.” (Ul. 7:6-8) Pilihan ini tidak dibuat secara sembarangan. Yehuwa menepati janji yang dibuat kepada Abraham berkurun-kurun sebelum itu. (Kej. 22:15-18) Selain itu, Yehuwa menggunakan kebebasan-Nya berdasarkan kasih dan keadilan-Nya. Contohnya, Dia mendisiplinkan orang Israel yang berulang kali mengabaikan penyembahan sejati. Tetapi apabila mereka bertaubat, Yehuwa rela menunjukkan kasih dan belas kasihan. Dia berkata, “Umat-Ku yang menyeleweng akan Kubawa kembali. Mereka akan Kukasihi dengan segenap hati.” (Hos. 14:5) Yehuwa menetapkan teladan baik dengan menggunakan kebebasan-Nya demi manfaat orang lain!
4, 5. (a) Siapakah ciptaan pertama yang menerima kurniaan kebebasan untuk memilih, dan bagaimanakah dia menggunakannya? (b) Apakah soalan yang harus kita tanya?
4 Apabila Yehuwa menciptakan segala sesuatu, Dia mengurniakan kebebasan memilih kepada makhluk ciptaan-Nya. Ciptaan pertama yang menerima kurniaan ini ialah Anak sulung-Nya yang “merupakan gambaran kepada Tuhan yang tidak kelihatan.” (Kol. 1:15) Sebelum Yesus datang ke bumi, dia memilih untuk tetap setia kepada Bapanya dan tidak menyertai pemberontakan Syaitan. Kemudian apabila Yesus di bumi, dia menggunakan kebebasan memilih untuk menolak godaan Syaitan. (Mat. 4:10) Pada malam sebelum kematiannya, Yesus berdoa dengan tekun dan memberitahu Bapanya bahawa dia ingin melakukan kehendak-Nya. Dia berkata, “Bapa, jika Bapa sudi, jauhkanlah cawan ini daripadaku. Namun, biarlah kehendak-Mu yang berlaku dan bukannya kehendakku.” (Luk. 22:42) Dapatkah kita meneladani Yesus dan menggunakan kebebasan memilih untuk memuliakan Yehuwa dan melakukan kehendak-Nya?
5 Ya, sudah tentu. Kita boleh mencontohi Yesus kerana kita juga diciptakan menurut gambaran Tuhan. (Kej. 1:26) Kita tidak memiliki kebebasan mutlak seperti Yehuwa. Firman Tuhan menjelaskan bahawa kebebasan kita mempunyai batas dan kita mesti mematuhi batas ini yang ditetapkan oleh Yehuwa. Contohnya, isteri harus tunduk kepada suami dan anak-anak harus tunduk kepada ibu bapa. (Ef. 5:22; 6:1) Bagaimanakah batasan sedemikian mempengaruhi cara anda menggunakan kebebasan untuk memilih? Jawapannya akan menentukan masa depan anda.
CARA YANG BETUL DAN SALAH UNTUK MENGGUNAKAN KEBEBASAN MEMILIH
6. Berikan perumpamaan mengapa kebebasan kita memerlukan batasan.
6 Adakah kita mempunyai kebebasan memilih yang sebenar jika kebebasan kita terbatas? Ya, sudah tentu! Mengapa? Batasan sebenarnya merupakan perlindungan bagi kita. Contohnya, kita mempunyai kebebasan memilih semasa memandu di lebuh raya. Namun, jika kita berada di lebuh raya yang tiada had laju atau undang-undang lalu lintas, dan semua orang boleh memandu sesuka hati, adakah kita berasa selamat? Sudah tentu tidak. Kita memerlukan batasan agar dapat menikmati kebebasan sebenar. Mari kita lihat beberapa contoh Bible yang menunjukkan bahawa batasan yang ditetapkan Yehuwa sebenarnya bermanfaat bagi kita.
7. (a) Bagaimanakah kurniaan kebebasan untuk memilih membezakan Adam daripada binatang? (b) Jelaskan satu cara Adam menggunakan kebebasan memilih.
7 Seperti makhluk di syurga, manusia pertama, iaitu Adam, juga dikurniai kebebasan untuk memilih. Maka, Adam berbeza daripada binatang yang hidup menurut naluri. Bagaimanakah Adam menggunakan kebebasan memilih dengan sesuai? Yehuwa memberikan penghormatan kepada manusia pertama untuk menamakan setiap binatang. Tuhan “membawa semua binatang kepada lelaki itu untuk mengetahui nama yang akan diberikannya.” Setelah Adam memerhatikan setiap binatang dan menamakannya, Yehuwa tidak menukar pilihan Adam. Bible berkata, “Demikianlah semua makhluk itu mendapat nama masing-masing, sesuai dengan apa yang disebutkan lelaki itu.”—Kej. 2:19, NW.
8. Bagaimanakah Adam menyalahgunakan kebebasannya untuk memilih? Apakah akibatnya?
8 Yehuwa mengamanahkan Adam dengan tugas untuk menjadikan bumi sebuah firdaus. Tuhan berfirman, “Hendaklah kamu mempunyai anak cucu yang banyak, supaya keturunan kamu menduduki seluruh muka bumi dan menguasainya. Hendaklah kamu menguasai semua ikan, burung, dan binatang liar.” (Kej. 1:28) Sedihnya, Adam tidak puas dengan tugas yang diberikannya. Dia memilih untuk melampaui batas yang ditetapkan Tuhan dengan memakan buah larangan. Adam menyalahgunakan kebebasan memilih dan menyebabkan keturunannya menderita selama berabad-abad. (Rm. 5:12) Contoh Adam yang buruk harus mendorong kita untuk menggunakan kebebasan memilih dengan sebaik-baiknya dan dalam batas yang ditetapkan Yehuwa.
9. Apakah pilihan yang diberikan oleh Yehuwa kepada bangsa Israel? Apakah reaksi bangsa itu?
9 Oleh sebab Adam dan Hawa tidak setia, keturunan mereka mewarisi ketidaksempurnaan dan kematian. Namun, keturunan mereka masih dapat menggunakan kebebasan memilih yang dikurniakan Tuhan. Fikirkan cara Tuhan memperlakukan bangsa Israel. Melalui Musa, Yehuwa memberi bangsa itu pilihan untuk menjadi umat-Nya yang istimewa. (Kel. 19:3-6) Apakah reaksi mereka? Mereka dengan sukarela menerima batasan yang ditetapkan oleh Yehuwa dan berjanji, ‘Kami akan melakukan segala yang telah difirmankan Yehuwa.’ (Kel. 19:8) Sedihnya, bangsa Israel menyalahgunakan kebebasan memilih dan memungkiri janji mereka. Contoh buruk ini mengajar kita untuk selalu menghargai kurniaan kebebasan memilih dengan berpaut pada Yehuwa dan mentaati perintah-Nya.—1 Kor. 10:11.
10. Apakah buktinya bahawa manusia yang tidak sempurna dapat menggunakan kebebasan memilih dalam cara yang memuliakan Tuhan? (Lihat gambar pada permulaan rencana.)
10 Dalam Ibrani bab 11, terdapat 16 penyembah Tuhan yang menggunakan kebebasan memilih dalam batas yang ditetapkan Yehuwa. Hasilnya, mereka diberkati dan memiliki harapan cerah. Contohnya, Nuh sangat beriman dan memilih untuk menuruti arahan Tuhan dengan membina bahtera yang menyelamatkan keluarganya dan garis keturunannya. (Ibr. 11:7) Abraham dan Sara rela dipimpin oleh Tuhan ke “tanah yang dijanjikan.” Setelah membuat perjalanan jauh, mereka masih “berpeluang kembali ke” kota Ur. Namun, mereka beriman dan berfokus kepada “janji-janji Tuhan” serta “berusaha untuk mendapatkan tempat yang lebih baik.” (Ibr. 11:8, 9, 13, 15, 16) Musa meninggalkan harta di Mesir dan “memilih untuk dianiaya bersama umat Tuhan daripada menikmati kesenangan hidup berdosa yang bersifat sementara.” (Ibr. 11:24-26) Semoga kita mencontohi penyembah Tuhan zaman kuno dengan menghargai kurniaan kebebasan memilih dan melakukan kehendak Tuhan.
11. (a) Bagaimanakah kita boleh menggunakan kebebasan memilih dengan bijak? (b) Apakah yang mendorong anda untuk menggunakan kebebasan memilih dengan sebaik-baiknya?
11 Kita mungkin berasa senang jika orang lain membuat keputusan bagi kita. Namun, hal itu menyebabkan kita kehilangan peluang untuk menikmati berkat yang berharga. Apakah berkat itu? Berkat itu dinyatakan di Ulangan 30:19, 20. (Baca.) Ayat 19 menjelaskan bahawa Yehuwa memberi orang Israel pilihan. Ayat 20 mengatakan bahawa mereka boleh menggunakan kebebasan memilih untuk menunjukkan kasih kepada Yehuwa. Maka, kita juga boleh memilih untuk menyembah Yehuwa. Kita boleh menggunakan kebebasan memilih untuk mengungkapkan kasih kepada Yehuwa dan memuliakan-Nya!
ELAKKAN DARIPADA MENYALAHGUNAKAN KEBEBASAN MEMILIH
12. Apakah yang tidak seharusnya kita lakukan dengan kebebasan memilih?
12 Bayangkan anda memberikan hadiah kepada sahabat tetapi kemudiannya dia membuang hadiah itu, atau lebih teruk lagi menggunakannya untuk mencederakan orang lain! Sudah pasti anda sangat kecewa! Fikirkanlah perasaan Yehuwa semasa melihat ramai orang menyalahgunakan kurniaan kebebasan memilih bahkan menggunakannya untuk menyakiti orang lain. Bible bernubuat bahawa pada “hari-hari terakhir,” ramai orang “tidak tahu berterima kasih.” (2 Tim. 3:1, 2) Semoga kita tidak menyalahgunakan atau meremehkan kurniaan ini. Jadi, bagaimanakah kita boleh mengelak daripada menyalahgunakan kebebasan memilih?
13. Apakah satu cara kita boleh mengelakkan daripada menyalahgunakan kebebasan memilih?
13 Kita semua mempunyai kebebasan untuk memilih pergaulan, pakaian dan dandanan, serta hiburan. Namun, kebebasan ini boleh dijadikan “alasan untuk berbuat salah” jika kita memilih untuk menyerah kepada keinginan berdosa atau mengikut trend dan kebiasaan dunia. (Baca 1 Petrus 2:16.) Jangan gunakan kebebasan memilih “sebagai kesempatan untuk mengejar keinginan yang berdosa.” Sebaliknya, bertekadlah untuk membuat pilihan yang “memuliakan Tuhan.”—Gal. 5:13; 1 Kor. 10:31.
14. Mengapakah kita harus mempercayai Yehuwa semasa menggunakan kebebasan memilih?
14 Dengan mempercayai Yehuwa, kita dapat mengelak daripada menyalahgunakan kebebasan memilih. Hal ini kerana kita mengikut bimbingan Yehuwa dan hidup dalam batas yang ditetapkan-Nya. Hanya Yehuwalah yang dapat ‘mengajar kita apa yang baik bagi kita dan memimpin kita di jalan yang harus kita tempuh.’ (Yes. 48:17) Kita juga harus dengan rendah hati mengakui bahawa manusia tidak “berkuasa atas hidupnya; tiada seorang pun dapat mengendalikan jalan hidupnya.” (Yer. 10:23) Janganlah dijerat oleh kecenderungan untuk bergantung pada diri sendiri, seperti Adam dan bangsa Israel. Sebaliknya, ‘percayalah kepada Yehuwa dengan sepenuh hati.’—Ams. 3:5.
HORMATI KEBEBASAN ORANG LAIN UNTUK MEMILIH
15. Apakah yang kita pelajari daripada Galatia 6:5?
15 Salah satu batas dalam kebebasan memilih ialah kita harus menghormati hak orang lain untuk membuat keputusan peribadi. Setiap orang menerima kurniaan kebebasan memilih. Oleh itu, keputusan setiap orang Kristian mungkin berbeza-beza, bahkan dalam soal kelakuan dan ibadat. Ingatlah prinsip di Galatia 6:5. (Baca.) Jika kita sedar bahawa setiap orang Kristian “memikul tanggungjawab masing-masing,” kita akan menghormati cara mereka menggunakan kebebasan untuk memilih.
Kita boleh membuat keputusan peribadi tanpa memaksa orang lain mengikut hati nurani kita (Lihat perenggan 15)
16, 17. (a) Bagaimanakah kebebasan untuk memilih menjadi isu di Korintus? (b) Bagaimanakah Paulus menyelesaikan isu itu, dan apakah pengajarannya bagi kita?
16 Perhatikan contoh Bible yang menjelaskan mengapa kita mesti menghormati kebebasan saudara saudari kita untuk membuat keputusan peribadi yang melibatkan hati nurani. Di Korintus, daging yang dipersembahkan kepada berhala kemudiannya dijual di pasar sebagai makanan. Hal ini menyebabkan perpecahan dalam kalangan orang Kristian di sana. Sesetengah orang berfikir, “Memandangkan berhala langsung tidak bernilai, daging itu boleh dimakan tanpa mengganggu hati nurani.” Namun, mereka yang dahulunya menyembah berhala berasa bahawa memakan daging tersebut merupakan suatu bentuk penyembahan. (1 Kor. 8:4, 7) Isu sensitif ini boleh mengancam perpaduan sidang. Jadi, bagaimanakah Paulus membantu orang Kristian di Korintus?
17 Mula-mula, Paulus mengingatkan kedua-dua pihak bahawa ‘makanan tidak dapat mendekatkan mereka kepada Tuhan.’ (1 Kor. 8:8) Seterusnya, dia menasihati mereka agar tidak membenarkan ‘hak mereka untuk membuat pilihan menjadi batu sandungan kepada mereka yang lemah.’ (1 Kor. 8:9) Kemudian, dia menyuruh mereka yang mempunyai hati nurani yang lebih sensitif untuk tidak menghakimi mereka yang memilih untuk makan daging itu. (1 Kor. 10:25, 29, 30) Oleh itu, dalam soal ibadat kepada Yehuwa, setiap orang perlu membuat keputusan berdasarkan hati nurani masing-masing. Maka, kita harus menghormati hak saudara saudari untuk membuat keputusan peribadi.—1 Kor. 10:32, 33.
18. Bagaimanakah anda boleh menunjukkan bahawa anda menghargai kurniaan kebebasan memilih?
18 Yehuwa mengurniai kita kebebasan memilih yang dapat memberi kita kebebasan yang sebenar. (2 Kor. 3:17) Kurniaan ini membolehkan kita membuat keputusan yang menyingkapkan kasih kepada Yehuwa. Kita ingin menggunakan kebebasan memilih untuk memuliakan Tuhan. Kita juga menghormati cara orang lain menggunakan kurniaan ini. Semoga kita menggunakan kebebasan memilih dengan sebaik-baiknya.