Dukunglah Kedaulatan Yehuwa!
“Ya Yehuwa, Tuhan kami, Engkau layak menerima kemuliaan, penghormatan, dan kuasa, kerana Engkau menciptakan segala sesuatu.”—WHY. 4:11.
1, 2. Kita masing-masing perlu diyakinkan tentang hal apa? (Lihat gambar pada permulaan rencana.)
RENCANA sebelumnya telah menyebut tentang tuduhan Si Iblis bahawa Yehuwa ialah Pemerintah yang tidak adil, dan bahawa manusia akan lebih bahagia jika mereka memerintah diri sendiri. Adakah tuduhan itu benar? Seandainya manusia dapat hidup kekal tanpa diperintah oleh Tuhan, adakah kehidupan mereka akan lebih baik? Adakah anda akan lebih bahagia sekiranya anda memiliki kebebasan yang mutlak dan kehidupan kekal?
2 Tiada orang dapat menjawab soalan-soalan itu untuk anda. Namun, setelah merenungkan hal itu, kita patut yakin akan hal-hal ini: Tuhan paling layak memerintah, pemerintahan-Nya adalah yang terbaik, dan kita patut menyokong kedaulatan-Nya dengan sepenuh hati. Mari kita kaji apa yang dinyatakan dalam Bible tentang sebabnya Yehuwa layak menjadi Pemerintah atas segala-galanya.
YEHUWA BERHAK MEMERINTAH
3. Mengapakah Yehuwa sahaja yang layak memerintah segala-galanya?
3 Sebagai Pencipta dan Tuhan Yang Maha Kuasa, Yehuwa berhak menjadi Pemerintah seluruh alam semesta. (1 Taw. 29:11; Kis. 4:24) Dalam penglihatan yang tercatat di Wahyu 4:11, terdapat 144,000 pemerintah di syurga yang berkata, “Ya Yehuwa, Tuhan kami, Engkau layak menerima kemuliaan, penghormatan, dan kuasa, kerana Engkau menciptakan segala sesuatu, dan kerana kehendak-Mu segala sesuatu wujud dan diciptakan.” Memandangkan Yehuwa telah menciptakan segala sesuatu, Dia berhak sepenuhnya untuk memerintah manusia dan malaikat.
4. Mengapakah orang yang menentang Yehuwa sudah menyalahgunakan kebebasan untuk memilih?
4 Syaitan bukannya Pencipta. Maka dia langsung tidak berhak untuk memerintah. Syaitan dan pasangan manusia yang pertama sangat angkuh kerana mereka menentang kedaulatan Yehuwa. (Yer. 10:23) Meskipun mereka diberi kebebasan untuk memilih, adakah mereka berhak untuk menolak pemerintahan Yehuwa? Tidak. Manusia diberi kebebasan untuk memilih supaya mereka dapat membuat keputusan yang baik setiap hari. Kebebasan itu bukanlah hak untuk memberontak terhadap Yehuwa, Pencipta kita. Oleh itu, sesiapa yang menentang Yehuwa sudah menyalahgunakan kebebasan itu. Sebagai manusia, kita memerlukan pemerintahan Yehuwa.
5. Mengapakah kita dapat yakin bahawa keputusan Tuhan sentiasa adil?
5 Yehuwa juga layak memerintah kerana Dia menggunakan kekuasaan-Nya dengan adil dan benar. Yehuwa berfirman, ‘Aku melakukan yang adil dan benar. Semua itu menyenangkan hati-Ku.’ (Yer. 9:24) Keadilan Yehuwa tidak bergantung pada undang-undang manusia. Sebaliknya, Dia memberi manusia hukum-hukum berdasarkan keadilan-Nya yang sempurna. Memandangkan ‘Kerajaan-Nya berasaskan hukum dan keadilan,’ semua hukum, prinsip, dan keputusan-Nya, adalah adil dan benar. (Mzm. 89:15; 119:128) Meskipun Syaitan mendakwa bahawa Yehuwa tidak memerintah dengan saksama, dia sendiri tidak pernah menegakkan keadilan di dunia ini.
6. Mengapakah Yehuwa berhak untuk memerintah dunia?
6 Tambahan lagi, Yehuwa berhak menjadi Pemerintah kerana Dia memiliki pengetahuan dan kebijaksanaan untuk menjaga seluruh alam semesta. Misalnya, Tuhan membolehkan Anak-Nya menyembuhkan penyakit yang tidak dapat diubati para doktor. (Mat. 4:23, 24; Mrk. 5:25-29) Bagi Tuhan, kebolehan itu bukanlah sesuatu yang ajaib. Dia tahu bagaimana tubuh kita berfungsi dan dapat menyembuhkan apa sahaja penyakit. Dia bahkan dapat membangkitkan orang mati dan mencegah bencana alam.
7. Bagaimanakah kita tahu bahawa Yehuwa jauh lebih bijaksana daripada dunia Syaitan?
7 Dunia yang dikuasai Syaitan masih mencari-cari penyelesaian untuk persengketaan yang terjadi di peringkat negara atau antarabangsa. Namun, Yehuwa sahajalah yang tahu caranya untuk membawa kedamaian sedunia. (Yes. 2:3, 4; 54:13) Apabila kita melihat betapa dalamnya pengetahuan dan kebijaksanaan Yehuwa, kita akan berasa seperti Rasul Paulus yang menulis, “Alangkah hebatnya kekayaan, kebijaksanaan, dan pengetahuan Tuhan! Tiada sesiapa pun yang dapat memahami penghakiman dan jalan-jalan Tuhan!”—Rm. 11:33.
YEHUWA—PEMERINTAH YANG TERBAIK
8. Apakah perasaan anda tentang cara Yehuwa memerintah?
8 Bible bukan sahaja menyatakan bahawa Yehuwa berhak untuk memerintah, tetapi juga menjelaskan sebabnya Yehuwa ialah Pemerintah yang terbaik. Salah satu sebab ialah pemerintahan Yehuwa berasaskan kasih. Tuhan ialah Pemerintah yang ‘penuh dengan rahmat dan belas kasihan, tidak cepat murka, dan Dia menunjukkan kasih dan kesetiaan yang besar.’ (Kel. 34:6) Tuhan menghormati hamba-hamba-Nya. Cara Dia menjaga kita lebih baik daripada cara kita menjaga diri sendiri. Tidak seperti yang dituduh oleh Si Iblis, Yehuwa tidak menyimpan apa yang baik daripada penyembah-Nya yang setia. Dia bahkan mengorbankan anak kesayangan-Nya supaya kita berpeluang untuk hidup selama-lamanya!—Baca Mazmur 84:12; Roma 8:32.
9. Bagaimanakah kita tahu bahawa Tuhan prihatin terhadap setiap hamba-Nya?
9 Yehuwa bukan sahaja mengambil berat terhadap umat-Nya sebagai satu kumpulan; Dia juga prihatin terhadap setiap hamba-Nya. Fikirkan contoh ini: Selama kira-kira 300 tahun, Yehuwa telah menggunakan para hakim untuk menyelamatkan orang Israel daripada penindasan. Namun, Dia juga memerhatikan Rut, seorang wanita bangsa asing yang membuat banyak pengorbanan untuk mengikut ibadat sejati, dan mengurniainya seorang suami dan seorang anak. Bukan itu sahaja, semasa Rut dibangkitkan nanti, dia akan mendapat tahu bahawa anaknya telah menjadi salah seorang daripada nenek moyang Mesias. Dia juga akan mendapat tahu bahawa kisah hidupnya telah dicatatkan dalam Bible, dalam buku Rut. Dapatkah anda bayangkan betapa terharunya Rut pada masa itu?—Rut 4:13; Mat. 1:5, 16.
10. Bagaimanakah kita tahu bahawa pemerintahan Yehuwa tidak bersifat zalim?
10 Pemerintahan Yehuwa tidak bersifat kuku besi atau zalim, tetapi memberikan kebebasan dan membawa kegembiraan. (2 Kor. 3:17) Daud menulis, ‘Kemuliaan dan keagungan mengelilingi Tuhan, tempat kediaman-Nya dipenuhi kuasa dan kegembiraan.’ (1 Taw. 16:7, 27) Mazmur Etan berbunyi, ‘Berbahagialah orang yang menyembah Engkau dengan nyanyian, orang yang hidup dalam cahaya hadirat-Mu, Yehuwa. Sepanjang hari mereka bergembira, dan memuji Engkau kerana kebaikan-Mu.’—Mzm. 89:16, 17.
11. Bagaimanakah kita dapat yakin bahawa Yehuwa ialah Pemerintah yang terbaik?
11 Apabila kita sentiasa merenungkan kebaikan Yehuwa, kita akan bertambah yakin bahawa Yehuwa ialah Pemerintah yang terbaik. Kita akan setuju dengan penulis mazmur yang berkata, “Lebih baik sehari di dalam Rumah-Mu daripada seribu hari di tempat lain.” (Mzm. 84:11) Sebagai Pencipta kita, Yehuwa tahu apa yang kita perlukan untuk hidup bahagia, dan Dia menyediakan segala keperluan kita dengan melimpah. Biarpun kita harus membuat pengorbanan untuk mentaati-Nya, kita akan bersukacita pada akhirnya kerana semua perintah Tuhan adalah untuk kebaikan dan kesejahteraan kita.—Baca Yesaya 48:17.
12. Apakah sebab utama kita menjunjung kedaulatan Yehuwa?
12 Bible menyatakan bahawa selepas Pemerintahan Seribu Tahun Kristus, Si Iblis akan dibebaskan dan akan menyebabkan sesetengah orang melawan kedaulatan Yehuwa. (Why. 20:7, 8) Bagaimana? Dia pasti akan memperalatkan sifat mementingkan diri sendiri seperti yang sentiasa dilakukannya. Dia mungkin mencuba meyakinkan orang bahawa mereka dapat hidup selama-lamanya tanpa mematuhi Yehuwa. Kita tahu bahawa hal itu tidak benar. Namun, fikirkan hal ini: Adakah kita akan tertarik dengan tawaran Syaitan? Jika kita mengasihi Yehuwa dan menyembah-Nya kerana kebaikan-Nya dan kerana Dia layak memerintah seluruh alam semesta, kita tidak akan mementingkan diri dan termakan umpan Si Iblis. Kita hanya mahu hidup di bawah pemerintahan Yehuwa, Raja kita yang pengasih.
MENDUKUNG KEDAULATAN YEHUWA DENGAN SETIA
13. Mengapakah kita patut bertindak mengikut cara Yehuwa?
13 Memandangkan Yehuwa ialah Pemerintah yang terbaik dan berhak untuk memerintah, kita patut mendukung kedaulatan-Nya dengan sepenuh hati. Kita dapat berbuat demikian dengan tetap menyembah Yehuwa dan setia kepada-Nya. Selain itu, jika kita berusaha untuk bertindak mengikut cara Yehuwa, kita menunjukkan bahawa kita menginginkan pemerintahan-Nya dan menyokong kedaulatan-Nya.—Baca Efesus 5:1, 2.
14. Bagaimanakah para penatua dan ketua keluarga dapat meniru Yehuwa?
14 Melalui Bible, kita belajar bahawa cara Yehuwa menggunakan kekuasaan-Nya adalah berdasarkan kasih. Maka, ketua keluarga dan penatua yang meniru Yehuwa dan menginginkan pemerintahan-Nya tidak akan menggunakan kuasa mereka untuk mengawal atau menindas orang lain. Fikirkan bagaimana Paulus meniru Tuhan dan Anak-Nya. Dia tidak memalukan atau memaksa ahli sidang untuk berbuat sesuatu. Sebaliknya dia menggalakkan mereka untuk melakukan apa yang benar. (Rm. 12:1; 1 Kor. 11:1; Ef. 4:1; Flm. 8-10) Begitu juga, apabila kita meniru cara Yehuwa menggunakan kekuasaan-Nya, kita menunjukkan bahawa kita menginginkan pemerintahan-Nya dan menyokong kedaulatan-Nya.
15. Bagaimanakah kita menunjukkan bahawa kita menyokong pemerintahan Yehuwa?
15 Apakah pandangan kita terhadap mereka yang dilantik oleh Tuhan untuk mengambil pimpinan? Jika kita menyokong kedaulatan Yehuwa, kita akan bekerjasama dengan mereka, biarpun kita tidak memahami atau menyetujui semua keputusan mereka. Meskipun tindakan sebegini agak berbeza dengan sikap dunia, itulah yang harus kita lakukan sebagai orang yang diperintah oleh Yehuwa. (Ef. 5:22, 23; 6:1-3; Ibr. 13:17) Jika kita berbuat demikian, kita akan meraih manfaat kerana Tuhan menginginkan apa yang terbaik bagi kita.
16. Bagaimanakah penyokong pemerintahan Tuhan membuat keputusan peribadi?
16 Kita juga dapat menyokong kedaulatan Tuhan semasa membuat keputusan peribadi. Yehuwa tidak memberi kita arahan untuk setiap situasi. Sebaliknya Dia membimbing kita untuk memahami fikiran-Nya. Misalnya, Dia tidak menyenaraikan setiap jenis pakaian yang boleh diterima, tetapi Dia menyatakan bahawa pakaian dan dandanan kita harus sopan dan sesuai untuk seorang Saksi. (1 Tim. 2:9, 10) Tuhan juga tidak ingin kita membuat pilihan yang menyebabkan orang lain tersandung atau mengganggu hati nurani mereka. (1 Kor. 10:31-33) Apabila kita membuat keputusan berdasarkan fikiran dan keinginan Yehuwa, kita menunjukkan bahawa kita menginginkan pemerintahan Yehuwa dan menyokong kedaulatan-Nya.
Dukunglah kedaulatan Tuhan semasa membuat keputusan dan dalam kegiatan keluarga (Lihat perenggan 16-18)
17, 18. Bagaimanakah suami isteri Kristian dapat mendukung kedaulatan Yehuwa?
17 Apabila suami isteri Kristian menghadapi masalah dan kekecewaan dalam perkahwinan, bagaimanakah mereka dapat bertindak mengikut cara Yehuwa dan menyokong kedaulatan-Nya? Mereka boleh merenungkan cara Yehuwa memperlakukan bangsa Israel yang bagaikan isteri-Nya. (Yes. 54:5; 62:4) “Isteri” itu sering mengecewakan Yehuwa. Namun Yehuwa tidak cepat berputus asa. Dia berulang kali menunjukkan belas kasihan terhadap orang Israel dan tetap setia kepada perjanjian-Nya dengan mereka. (Baca Mazmur 106:43-45.) Tidakkah anda tertarik kepada kasih yang ditunjukkan oleh Yehuwa?
18 Begitu juga, suami isteri yang menyokong pemerintahan Yehuwa akan meniru-Nya. Mereka sedar bahawa Yehuwa telah menyatukan mereka dan ingin mereka sentiasa “berpaut erat.” Menurut Bible, satu-satunya sebab yang mengizinkan perceraian ialah perbuatan seks yang tidak bermoral. Maka suami isteri Kristian tidak akan bercerai tanpa alasan yang berdasarkan Bible. (Mat. 19:5, 6, 9, nota kaki) Apabila mereka berusaha untuk menjayakan perkahwinan mereka, mereka sedang mendukung kedaulatan Yehuwa.
19. Jika kita berbuat silap, apakah yang dapat kita lakukan?
19 Yehuwa tahu bahawa kita berdosa dan akan mengecewakan-Nya dari masa ke masa. Maka Dia telah menyediakan tebusan Kristus untuk membantu kita. Oleh itu, jika kita berbuat silap, mintalah pengampunan Yehuwa. (1 Yoh. 2:1, 2) Janganlah diremukkan kerana peristiwa itu. Sebaliknya, ambillah iktibar daripadanya. Jika kita terus menghampiri Yehuwa, Dia akan memaafkan kita, membantu kita sembuh, dan melengkapi kita untuk menangani masalah yang serupa dengan lebih baik.—Mzm. 103:3.
20. Mengapakah kita harus mendukung kedaulatan Yehuwa sekarang?
20 Di dunia baharu nanti, semua orang akan diperintah Yehuwa. Mereka akan belajar tentang kehendak-Nya. (Yes. 11:9) Kini, kita sudah pun belajar banyak tentang cara Yehuwa bertindak. Tidak lama lagi, tiada sesiapa pun yang akan mempersoalkan hak Tuhan untuk memerintah. Maka, marilah kita mendukung kedaulatan Tuhan dengan mentaati-Nya, berkhidmat kepada-Nya, dan berusaha meniru-Nya dalam kehidupan seharian kita.