RENCANA PEMBELAJARAN 46
Adakah Anda Menjaga “Perisai Besar Iman” Anda?
“Hendaklah kamu sentiasa menggunakan perisai besar iman.”—EF. 6:16.
LAGU 119 Kita Mesti Memiliki Iman
PENGENALANa
1-2. (a) Menurut Efesus 6:16, mengapakah kita memerlukan “perisai besar iman”? (b) Apakah soalan-soalan yang akan kita bincangkan?
ADAKAH anda memiliki “perisai besar iman”? (Baca Efesus 6:16.) Sudah tentu. Sebagaimana perisai yang besar dapat melindungi sebahagian besar badan askar, iman dapat melindungi anda daripada pengaruh buruk dunia yang ganas, tidak bermoral, dan yang tidak menghormati Tuhan.
2 Namun, sepanjang hari-hari terakhir ini, iman kita akan terus diuji. (2 Tim. 3:1) Bagaimanakah anda dapat memeriksa perisai iman sendiri untuk memastikan bahawa iman anda tetap kuat? Bagaimanakah anda dapat memegang perisai anda dengan erat? Mari kita lihat jawapannya.
PERIKSALAH PERISAI ANDA DENGAN TELITI
Selepas berperang, askar-askar akan memastikan agar perisai mereka dibaiki (Lihat perenggan 3)
3. Bagaimanakah askar-askar menjaga perisai mereka, dan mengapa?
3 Perisai pada zaman Bible biasanya dilapisi kulit binatang. Askar-askar akan menggosokkan minyak pada perisai supaya bahagian kulit tidak rosak dan bahagian besi tidak berkarat. Jika seorang askar mendapati bahawa perisainya sudah rosak, dia bertanggungjawab untuk membaikinya supaya dia sentiasa bersedia untuk pertempuran yang seterusnya. Apakah kaitan contoh ini dengan iman anda?
4. Mengapakah anda mesti memeriksa perisai iman anda? Apakah caranya?
4 Seperti askar pada zaman lampau, anda mesti sentiasa memeriksa dan menjaga perisai iman anda, supaya anda sentiasa bersedia menghadapi ujian. Sebagai orang Kristian, kita mempunyai pertempuran rohani, dan kita perlu melawan roh-roh jahat. (Ef. 6:10-12) Tiada orang lain yang dapat menjaga perisai iman anda, jadi bagaimanakah anda dapat memastikan bahawa iman anda cukup kuat? Mula-mulanya, berdoalah untuk meminta bantuan Tuhan. Kemudian, gunakanlah Firman Tuhan untuk menilai diri anda dari sudut pandangan Tuhan. (Ibr. 4:12) Bible menyatakan, “Percayalah kepada Yehuwa dengan sepenuh hatimu, dan janganlah bergantung pada pengertianmu sendiri.” (Ams. 3:5, 6) Sekarang, fikirkan kembali reaksi anda terhadap cabaran yang timbul baru-baru ini. Contohnya, adakah anda menghadapi masalah kewangan yang serius? Ketika itu, adakah anda teringat tentang jaminan Yehuwa di Ibrani 13:5: “Aku sama sekali tidak akan meninggalkan engkau, dan Aku sama sekali tidak akan mengabaikan engkau”? Adakah janji itu meyakinkan anda bahawa Yehuwa pasti membantu anda? Jika ya, hal itu menunjukkan bahawa perisai iman anda berada dalam keadaan yang baik.
5. Apakah yang mungkin anda dapati semasa memeriksa iman sendiri?
5 Setelah memeriksa iman anda dengan teliti, anda mungkin terkejut kerana rupa-rupanya terdapat kelemahan yang tidak anda sedari selama ini. Misalnya, anda mungkin mendapati bahawa iman anda sudah menjadi lemah kerana kekhuatiran yang melampau, dusta, dan rasa tawar hati. Jika begitu, bagaimanakah anda dapat melindungi iman anda?
LINDUNGI DIRI DARIPADA KEKHUATIRAN, DUSTA, DAN RASA TAWAR HATI
6. Apakah sesetengah perkara yang patut kita risaukan?
6 Kita memang patut risau atau prihatin terhadap sesetengah perkara. Contohnya, kita ingin menyenangkan hati Yehuwa dan Yesus. (1 Kor. 7:32) Jika kita melakukan dosa yang serius, kita tentu berasa risau kerana ingin memulihkan hubungan baik kita dengan Tuhan. (Mzm. 38:18) Kita juga ingin menggembirakan pasangan kita dan menjaga keperluan ahli keluarga dan rakan seiman.—1 Kor. 7:33; 2 Kor. 11:28.
7. (a) Bagaimanakah kekhuatiran yang melampau dapat merosakkan iman kita? (b) Menurut Amsal 29:25, mengapakah kita tidak perlu takut akan manusia?
7 Namun, kekhuatiran yang melampau dapat merosakkan iman kita. Contohnya, kita mungkin selalu risau tentang makanan dan pakaian. (Mat. 6:31, 32) Hal itu dapat membuat kita sibuk mengejar kebendaan, dan bahkan mula cinta akan wang. Akibatnya, iman kita kepada Yehuwa akan menjadi lemah, dan hubungan kita dengan-Nya akan rosak. (Mrk. 4:19; 1 Tim. 6:10) Selain itu, kita mungkin terlalu khuatir tentang pandangan orang lain. Akibatnya, kita mungkin lebih takut diejek atau dianiaya daripada takut menyakiti perasaan Yehuwa. Untuk melindungi diri daripada kekhuatiran sebegitu, rayulah kepada Yehuwa agar Dia memberi kita iman dan keberanian yang diperlukan.—Baca Amsal 29:25; Luk. 17:5.
(Lihat perenggan 8)b
8. Apakah sepatutnya reaksi kita terhadap dusta?
8 Syaitan, “bapa segala dusta,” menggunakan manusia yang dikawalnya untuk menyebarkan dusta tentang Yehuwa dan saudara saudari kita. (Yoh. 8:44) Sebagai contoh, orang murtad menggunakan Internet, TV, atau media massa untuk menyebarkan dusta atau memutarbelitkan maklumat tentang organisasi Yehuwa. Dusta sedemikian merupakan “anak panah berapi” Syaitan. (Ef. 6:16) Apakah sepatutnya reaksi kita jika orang lain memberitahu kita dusta sedemikian? Kita enggan mendengarnya sama sekali! Mengapa? Kerana kita beriman kepada Yehuwa dan mempercayai rakan seiman kita. Kita tidak akan mempunyai apa-apa hubungan dengan orang murtad. Maka, janganlah dipengaruhi oleh sesiapa atau apa-apa pun, termasuk rasa ingin tahu, sehingga kita terpancing untuk berdebat dengan mereka.
9. Bagaimanakah rasa tawar hati dapat mempengaruhi kita?
9 Rasa tawar hati dapat melemahkan iman kita. Ada kalanya, kita berasa tawar hati kerana masalah kita. Sudah tentu, kita tidak patut mengetepikan masalah itu. Tetapi jika kita asyik memikirkan masalah itu, kita mungkin lupa akan harapan yang dijanjikan oleh Yehuwa. (Why. 21:3, 4) Akibatnya, kita akan berasa begitu tawar hati sehingga menjadi tidak bermaya lalu putus asa. (Ams. 24:10) Janganlah biarkan hal itu berlaku.
10. Apakah yang anda pelajari daripada kata-kata seorang saudari?
10 Perhatikan bagaimana seorang saudari dari Amerika Syarikat memelihara imannya meskipun dia perlu menjaga suaminya yang sakit tenat. Dalam suratnya kepada ibu pejabat, dia menulis, “Situasi kami ada kalanya membuat kami tertekan dan tawar hati, tetapi harapan kami tetap membara. Saya sangat bersyukur kerana menerima maklumat yang dapat menguatkan iman dan semangat kami. Kami amat memerlukan nasihat dan galakan itu, kerana semua itu dapat membantu kami terus menyembah Yehuwa dan menghadapi cubaan daripada Syaitan dengan tabah.” Kata-kata saudari ini menunjukkan bahawa kita dapat mengatasi rasa tawar hati! Bagaimana? Pandanglah masalah anda sebagai cubaan daripada Syaitan. Ingatlah bahawa Yehuwa ialah Sumber kelegaan hati anda, dan hargailah makanan rohani yang diberi-Nya.
Adakah anda menjaga “perisai besar iman” sendiri? (Lihat perenggan 11)c
11. Bagaimanakah kita dapat tahu sama ada iman kita cukup kuat atau tidak?
11 Adakah perisai iman anda cukup kuat? Untuk mengetahui jawapannya, tanyalah diri, “Selama beberapa bulan ini, dapatkah saya mengelak daripada berasa terlalu khuatir? Adakah saya menolak godaan untuk mendengar dusta orang murtad dan berdebat dengan mereka? Adakah saya berjaya mengatasi rasa tawar hati?” Jika jawapannya “ya,” maksudnya iman anda berada dalam keadaan yang baik. Namun, kita mesti terus berwaspada, kerana Syaitan mempunyai senjata-senjata lain. Mari kita lihat salah satu daripadanya.
LINDUNGI DIRI DARIPADA SIKAP CINTA AKAN KEBENDAAN
12. Bagaimanakah sikap cinta akan kebendaan dapat mempengaruhi kita?
12 Sikap cinta akan kebendaan dapat menyimpangkan perhatian kita sehingga kita mengabaikan perisai iman sendiri. Rasul Paulus menyatakan, “Seseorang yang berkhidmat sebagai askar tidak akan melibatkan diri dalam urusan perdagangan orang awam, agar dia dapat menyenangkan hati orang yang mendaftarkannya.” (2 Tim. 2:4) Pada zaman kuno, askar Roma dilarang melakukan pekerjaan lain. Apakah yang mungkin berlaku jika seorang askar tidak mematuhi larangan itu?
13. Mengapakah seorang askar tidak akan terlibat dalam perdagangan?
13 Bayangkan keadaan ini: Pada waktu pagi, sekumpulan askar sibuk berlatih menggunakan pedang, tetapi ada seorang askar pula yang sibuk mengurus gerai makanannya di pekan. Pada waktu petang, askar-askar itu sibuk memeriksa perlengkapan senjata dan menajamkan pedang, tetapi askar itu pula sibuk menyiapkan makanan untuk dijual pada hari esok. Keesokan paginya, musuh tiba-tiba menyerang. Askar manakah yang sudah bersedia dan dapat menyenangkan hati komandernya? Askar manakah yang anda inginkan sebagai rakan seperjuangan—askar yang sudah bersedia atau yang perhatiannya tersimpang?
14. Sebagai askar-askar Kristus, apakah matlamat utama kita?
14 Seperti askar-askar yang sudah bersedia itu, kita tidak ingin tersimpang daripada matlamat utama kita, iaitu menyenangkan hati Yehuwa dan Kristus, dua Komander kita. Bagi kita, hal itu jauh lebih bernilai daripada apa sahaja yang ditawarkan dunia Syaitan. Maka, kita akan memastikan bahawa kita mempunyai masa dan tenaga yang secukupnya untuk menyembah Yehuwa, menjaga perisai iman kita, dan memelihara seluruh perlengkapan senjata rohani kita.
15. Apakah peringatan yang diberikan oleh Paulus? Mengapa?
15 Kita mesti sentiasa berjaga-jaga. Mengapa? Rasul Paulus mengingatkan kita bahawa orang yang “bertekad untuk menjadi kaya” akan “menyimpang daripada kepercayaan.” (1 Tim. 6:9, 10) Jika kita semakin berfokus untuk mendapatkan benda-benda yang tidak diperlukan, perhatian kita mungkin tersimpang, dan hati kita mungkin terdedah kepada “banyak keinginan yang sia-sia dan yang memudaratkan.” Daripada membiarkan hati kita dijangkiti, ingatlah bahawa keinginan sedemikian ialah senjata yang digunakan oleh Syaitan untuk melemahkan iman kita.
16. Setelah membaca Markus 10:17-22, apakah soalan-soalan yang perlu kita fikirkan?
16 Katakan kita mampu membeli banyak barang. Salahkah jika kita membeli barang-barang yang kita inginkan tetapi tidak perlukan? Tidak semestinya. Namun, fikirkan soalan-soalan ini: Biarpun kita mampu membeli sesuatu, adakah kita mempunyai masa dan tenaga untuk menggunakan dan menjaganya? Mungkinkah kita terlalu sayang barang itu, sehingga menjadi seperti pemuda yang menolak jemputan Yesus untuk melakukan lebih banyak kerja untuk Yehuwa? (Baca Markus 10:17-22.) Bukankah lebih baik jika kita hidup sederhana dan menggunakan masa dan tenaga kita untuk melakukan kehendak Tuhan?
MEMEGANG ERAT PERISAI IMAN ANDA
17. Apakah yang mesti sentiasa kita ingat?
17 Jangan sekali-kali lupa bahawa perang rohani kita sedang berlangsung, dan kita perlu bersedia untuk berjuang setiap hari. (Why. 12:17) Saudara saudari tidak dapat memegang perisai iman kita untuk kita. Kita sendirilah yang harus memegangnya dengan erat.
18. Mengapakah askar pada zaman kuno menggenggam erat perisai mereka?
18 Askar pada zaman kuno akan disanjung kerana keberanian mereka di medan perang. Tetapi mereka akan berasa malu jika mereka pulang tanpa perisai sendiri. Tacitus, seorang sejarawan Roma, menulis, “Askar yang kehilangan perisai akan menanggung penghinaan yang terbesar.” Itulah salah satu sebabnya askar-askar sentiasa menggenggam erat perisai mereka.
Seorang saudari memegang erat perisai besar imannya dengan membaca Firman Tuhan, menghadiri perjumpaan secara tetap, dan menyertai kerja penyebaran dengan sepenuhnya (Lihat perenggan 19)
19. Bagaimanakah kita dapat memegang erat perisai iman kita?
19 Kita memegang erat perisai iman kita dengan menghadiri perjumpaan secara tetap dan dengan memberitahu orang lain tentang nama Yehuwa dan Kerajaan-Nya. (Ibr. 10:23-25) Kita juga perlu membaca Firman Tuhan setiap hari dan berdoa agar Dia membantu kita menerapkan nasihatnya dalam segala perbuatan kita. (2 Tim. 3:16, 17) Dengan itu, tiada senjata Syaitan yang dapat membawa kesan buruk yang berkekalan kepada kita. (Yes. 54:17) “Perisai besar iman” kita akan melindungi kita, dan membolehkan kita berdiri teguh dan berganding bahu dengan saudara saudari. Kita bukan sahaja akan berjaya dalam perjuangan kita setiap hari, tetapi juga berpeluang berada di pihak Yesus semasa dia mengalahkan Syaitan dan pengikutnya.—Why. 17:14; 20:10.
LAGU 118 “Berilah Kami Lebih Banyak Iman”
a Sebagaimana perisai dapat melindungi askar, iman dapat melindungi kita. Namun, seperti perisai, iman kita perlu dijaga. Rencana ini membincangkan cara untuk memastikan bahawa “perisai besar iman” kita berada dalam keadaan yang baik.
b KETERANGAN GAMBAR: Sebuah keluarga Saksi segera menutup TV semasa munculnya laporan tentang orang murtad yang menyebarkan dusta tentang Saksi-Saksi Yehuwa.
c KETERANGAN GAMBAR: Kemudian, semasa penyembahan keluarga, bapa itu menggunakan ayat-ayat Bible untuk menguatkan iman keluarganya.