“Berbahagialah Orang yang Tabah semasa Mengalami Cubaan”
1 Semua orang Kristian perlu menghadapi cubaan. (2 Tim. 3:12) Cubaan mungkin menimpa dalam bentuk kesihatan yang tidak baik, kesusahan ekonomi, godaan, penganiayaan atau dalam banyak cara lain. Cubaan yang diakibatkan oleh Syaitan bertujuan untuk mengurangkan usaha kita, menyebabkan kita mengabaikan aktiviti penyebaran Kristian kita, atau menghentikan kita daripada berkhidmat kepada Tuhan. (Ayb. 1:9-11) Bagaimanakah ketabahan atau ketahanan ketika mengalami cubaan membawa kebahagiaan?—2 Ptr. 2:9.
2 Bersedia Menghadapi Cubaan: Yehuwa telah memberi kita Firman kebenaran-Nya yang merangkumi catatan tentang kehidupan dan ajaran-ajaran Yesus. Dengan mendengar dan mematuhi kata-kata Yesus, kita menyediakan satu asas yang kukuh dan dengan demikian, bersedia untuk menghadapi cubaan. (Luk. 6:47-49) Kita juga memperoleh kekuatan daripada pemberian rohani lain—saudara saudari Kristian kita, perjumpaan-perjumpaan sidang, dan bahan bacaan berdasarkan Bible daripada golongan hamba yang setia dan bijaksana. Kita kerap memanfaatkan kurniaan Tuhan, yakni doa.—Mat. 6:13.
3 Yehuwa telah juga memberi kita satu harapan. Apabila kita membina kepercayaan kukuh pada janji-janji Yehuwa, harapan kita merupakan “sauh yang menjadi pegangan hidup yang kuat dan aman.” (Ibr. 6:19) Pada zaman Bible, kapal-kapal tidak akan meninggalkan pelabuhan tanpa sebuah sauh, meskipun keadaan cuaca adalah baik. Sekiranya ribut tiba-tiba melanda, sauh yang dilabuhkan dapat menghalang kapal daripada melanggar kawasan persisiran yang berbatu. Begitu juga, dengan membina kepercayaan pada janji-janji Tuhan sekarang, kita akan menjadi stabil ketika ribut kesusahan melanda. Kesukaran boleh timbul dengan tiba-tiba. Walaupun aktiviti penyebaran Paulus dan Barnabas disambut dengan baik pada mulanya di Listra, namun situasinya berubah dalam sekelip mata apabila penentang-penentang Yahudi datang.—Kis. 14:8-19.
4 Ketahanan Membawa Kebahagiaan: Meskipun menghadapi tentangan, kita boleh mendapat ketenangan fikiran jika kita tetap teguh dalam aktiviti penyebaran. Kita bersukacita apabila kita menderita demi nama Kristus. (Kis. 5:40, 41) Sikap tabah hati atau ketahanan semasa mengalami cubaan membantu kita untuk memupuk sifat-sifat rendah hati, kepatuhan, dan ketahanan secara lebih menyeluruh. (Ul. 8:16, NW; Ibr. 5:8; Yak. 1:2, 3) Ketahanan sebegini mengajar kita supaya bersandar pada Yehuwa, percaya pada janji-janji-Nya, dan menjadikan-Nya naungan kita.—Ams. 18:10.
5 Kita mengetahui bahawa cubaan-cubaan hanyalah sementara. (2 Kor. 4:17, 18) Cubaan-cubaan memberi kita peluang untuk menunjukkan berapa dalamnya kasih kita kepada Yehuwa. Dengan bertahan ketika mengalami cubaan, kita dapat memberikan jawapan kepada tuduhan-tuduhan Syaitan. Oleh itu, kita tidak menyerah kalah! “Berbahagialah orang yang tabah semasa mengalami cubaan. Apabila mereka berjaya mengatasi cubaan itu, mereka akan menerima pahala berupa kehidupan.”—Yak. 1:12.