Bagaimana Pembelajaran Buku yang Diaturkan oleh Sidang Membantu Kita
1 Setiap satu daripada kelima-lima perjumpaan mingguan kita berbeza dari segi tujuan dan cara perjumpaan itu dikendalikan. Namun, kesemua perjumpaan ini penting untuk membantu kita ‘memperhatikan satu sama lain, supaya kita dapat saling memberikan dorongan untuk mengasihi satu sama lain dan untuk melakukan hal yang baik.’ (Ibr. 10:24, 25) Apakah antara ciri-ciri aturan Pembelajaran Buku yang unik dan yang bermanfaat?
2 Bantuan untuk Maju Secara Rohani: Secara amnya, bilangan hadirin di suatu pembelajaran buku jauh lebih kecil berbanding dengan bilangan hadirin di perjumpaan-perjumpaan sidang yang lain. Hal ini memudahkan kita untuk menjalin persahabatan yang dapat membantu kita secara rohani. (Ams. 18:24) Sudahkah anda berusaha untuk mengenali semua orang dalam kumpulan pembelajaran buku anda? Mungkin anda boleh menjemput setiap orang untuk menyertai anda dalam aktiviti penyebaran. Aturan pembelajaran buku juga membolehkan penyelia pembelajaran buku untuk mengetahui keadaan unik setiap individu dalam kumpulan dan untuk memberikan galakan peribadi kepada mereka.—Ams. 27:23.
3 Sudahkah anda menjemput pelajar-pelajar Bible anda untuk menghadiri pembelajaran buku bersama anda? Mereka yang berminat tetapi keberatan untuk menghadiri perjumpaan-perjumpaan kita yang lebih besar mungkin tidak akan berasa segan-silu untuk menghadiri perjumpaan yang lebih kecil, terutamanya di rumah peribadi. Suasana yang ramah mesra memudahkan kaum muda dan mereka yang baru untuk mengambil bahagian dalam memberikan komen. Selain itu, oleh sebab saiz kumpulan adalah lebih kecil, kita mempunyai lebih banyak peluang untuk memberikan komen dan memuji Yehuwa.—Mzm. 111:1.
4 Biasanya pembelajaran buku diadakan di lokasi-lokasi yang berhampiran dengan kawasan kediaman para penyiar di seluruh kawasan penyebaran. Adalah mustahil untuk semua orang menghadiri pembelajaran buku yang paling dekat dengan rumah mereka. Namun, perjalanan untuk menghadiri pembelajaran buku yang ditentukan untuk kita biasanya lebih dekat berbanding dengan perjalanan untuk menghadiri perjumpaan-perjumpaan sidang yang lain. Lokasi pembelajaran buku juga boleh digunakan sebagai tempat yang sesuai untuk perjumpaan sebelum kerja penyebaran.
5 Bantuan untuk Aktiviti Penyebaran: Penyelia pembelajaran buku berminat untuk membantu setiap orang supaya mengambil bahagian dalam aktiviti penyebaran secara tetap, produktif, dan dengan sukacita. Oleh itu, dia berusaha untuk bekerja dengan setiap orang dalam kumpulan dan memberikan bantuan peribadi dalam pelbagai aspek aktiviti penyebaran. Jika anda mendapati bahawa suatu aspek tertentu dalam aktiviti penyebaran adalah mencabar, misalnya membuat kunjungan kembali, maklumkan penyelia pembelajaran buku anda. Dia mungkin dapat mengaturkan supaya anda bekerja dengan seorang penyiar yang berpengalaman dalam kumpulan anda. Keupayaan anda untuk mengajar semasa pembelajaran Bible dapat diasah jika anda menumpukan perhatian pada kaedah-kaedah yang baik yang digunakan oleh penyelia pembelajaran buku anda semasa dia mengendalikan pembelajaran buku.—1 Kor. 4:17.
6 Pembelajaran Buku yang diaturkan oleh sidang memanglah suatu berkat! Aturan daripada Yehuwa yang penuh kasih ini melindungi kita supaya tidak tersandung secara rohani pada zaman yang penuh dengan cabaran ini.—Mzm. 26:12.
[Soalan Pembelajaran]
1. Bagaimanakah kelima-lima perjumpaan mingguan membantu kita?
2. Apakah faedahnya bertemu dalam kumpulan yang lebih kecil semasa pembelajaran buku?
3. Bagaimanakah aturan pembelajaran buku menggalakkan kita untuk memberi komen serta mendorong pelajar-pelajar Bible untuk hadir?
4. Dalam cara-cara apakah pembelajaran buku merupakan aturan yang sesuai?
5. Bagaimanakah penyelia pembelajaran buku dapat membantu kita dalam aktiviti penyebaran?
6. Mengapakah kita patut berusaha untuk memanfaatkan aturan pembelajaran buku dengan sepenuhnya?