Melegakan Hati Mereka yang Berkabung
1 Apabila seseorang yang dikasihi meninggal, pengalaman itu sungguh pahit dan menyakitkan, terutamanya bagi mereka yang tidak mempunyai harapan Kerajaan Tuhan. (1 Tes. 4:13) Ramai orang sering tertanya-tanya, ‘Mengapakah manusia mati? Apakah yang berlaku kepada orang yang meninggal? Dapatkah saya berjumpa semula dengan orang yang dikasihi?’ Cadangan-cadangan berikut boleh digunakan semasa kerja penyebaran untuk membawa kelegaan hati kepada seseorang yang sedang berkabung kerana saudara-maranya atau sahabatnya telah meninggal.—Yes. 61:2.
2 Dari Pintu ke Pintu: Seorang penghuni rumah mungkin memberitahu kita bahawa salah seorang ahli keluarganya baru meninggal. Adakah perasaannya hancur lebur pada ketika itu? Adakah rumahnya sesak dengan saudara-mara yang berkabung? Dalam keadaan sedemikian, mungkin adalah paling baik untuk tidak memberikan kesaksian secara panjang lebar. (Pkh. 3:1, 7) Kita mungkin dapat meluahkan rasa simpati kita, memberinya sehelai risalah, majalah, atau brosur yang sesuai, dan meminta diri. Kemudian, kita boleh kembali pada masa yang lebih sesuai untuk memberitahunya lebih banyak berita daripada Bible yang membawakan kelegaan hati.
3 Dalam situasi yang lain, kita mungkin mendapati bahawa perbualan yang lebih panjang dapat dilakukan pada kunjungan pertama. Walaupun masa ini bukanlah masa yang sesuai untuk membetulkan pandangan yang salah, kita mungkin dapat membacakan mereka janji-janji daripada Bible tentang pembangkitan. (Yoh. 5:28, 29) Kita juga boleh menunjukkan penjelasan Bible tentang keadaan orang yang sudah meninggal. (Pkh. 9:5, 10) Catatan Bible tentang pembangkitan mungkin merupakan penawar hati untuk mereka. (Yoh. 11:39-44) Kita boleh membincangkan kata-kata Ayub yang mencerminkan keyakinannya terhadap Yehuwa. (Ayb. 14:14, 15) Sebelum meminta diri, kita boleh menawarkan bahan bacaan seperti brosur When Someone You Love Dies atau brosur dan risalah lain yang sesuai. Kita juga boleh memberi penghuni rumah buku Bible Teach, menunjukkan maklumat dalam bab 6 kepadanya dan membuat perancangan untuk membincangkan topik itu dengan lebih lanjut semasa kita kembali nanti.
4 Dalam Situasi yang Lain: Jika ceramah pengebumian diadakan di Dewan Perjumpaan, adakah mereka yang bukan Saksi-Saksi Yehuwa akan hadir? Bahan-bahan bacaan yang membawa kelegaan hati boleh disediakan untuk mereka. Di sesetengah rumah pengurusan pengebumian, ada yang meluahkan penghargaan terhadap bahan-bahan bacaan yang sesuai yang telah disediakan untuk keluarga yang berkabung. Kadangkala, pemberitahuan tentang kematian seseorang yang disiarkan dalam surat khabar telah membuka peluang untuk menulis sepucuk surat yang ringkas untuk membawa kelegaan hati. Pernah terjadi, setelah menerima sepucuk surat yang disertakan beberapa risalah, seorang duda dan anak perempuannya berkunjung ke rumah penyiar yang menulis surat tersebut dan bertanya, “Adakah kamu orang yang mengirim surat ini kepadaku? Saya ingin tahu lebih lanjut tentang Bible!” Lelaki tersebut dan anak perempuannya telah bersetuju untuk mempelajari Bible dan mula menghadiri perjumpaan-perjumpaan.
5 Pengkhutbah 7:2 berkata, “Lebih baik melawat keluarga yang berkabung daripada keluarga yang berpesta.” Orang yang berkabung biasanya lebih rela mendengar Firman Tuhan berbanding dengan orang yang berseronok. Oleh itu, kita semua patut peka terhadap peluang-peluang yang sesuai untuk menjadi penawar hati kepada mereka yang berkabung.
[Soalan Pembelajaran]
1. Mengapakah mereka yang berkabung memerlukan kelegaan hati?
2. Jika penghuni rumah memberitahu kita bahawa dia sedang berkabung, patutkah kita mencuba memberikan kesaksian secara panjang lebar pada setiap kali?
3. Jika keadaan mengizinkan, apakah ayat-ayat Bible yang dapat ditunjukkan kepada seorang penghuni rumah yang sedang berkabung?
4. Apakah situasi-situasi lain yang memberi kita peluang untuk membawa kelegaan hati?
5. Mengapakah kita patut peka terhadap peluang-peluang untuk menjadi penawar hati kepada mereka yang sedang berkabung?