Apabila Penghuni Rumah Bertutur dalam Bahasa Lain
1 Di serata dunia, semakin banyak penyiar Kerajaan Tuhan mendapati bahawa orang yang berminat terhadap berita baik bertutur dalam bahasa yang lain daripada bahasa yang digunakan oleh sidang mereka. Bagi membantu mereka yang berminat secara rohani, banyak pejabat cawangan menyedari akan perlunya untuk membentuk kumpulan dan sidang bahasa yang berlainan. Di suatu kawasan, kita mungkin bertemu dengan penghuni-penghuni yang bertutur dalam pelbagai bahasa. Oleh itu, beberapa sidang yang menggunakan bahasa yang berlainan mungkin menjalankan kerja penyebaran di kawasan yang sama. Bagaimanakah sidang-sidang tersebut boleh bekerjasama untuk memastikan kerja penyebaran dapat dijalankan secara teratur?—1 Kor. 14:33.
2 Kerjasama yang Baik: Seorang penyiar tidak patut berasa teragak-agak untuk memberikan kesaksian tidak formal kepada mereka yang bertutur dalam bahasa yang berlainan. Dia juga tidak patut menahan diri daripada menawarkan bahan bacaan dalam bahasa yang lebih digemari oleh orang itu. Jika suatu kawasan dikongsi oleh beberapa kumpulan atau sidang bahasa, semasa membuat kerja penyebaran dari rumah ke rumah di kawasan yang juga dikunjungi oleh kumpulan atau sidang bahasa lain, biasanya seorang penyiar harus mengunjungi penghuni rumah yang bertutur dalam bahasa yang digunakan oleh sidangnya. Semasa sidang-sidang yang berlainan menjalankan kerja penyebaran di kawasan yang sama, penyimpanan rekod yang baik adalah amat penting. Penyelia-penyelia aktiviti penyebaran harus berkomunikasi antara satu sama lain dan membuat penyelenggaraan dalam cara yang membawa manfaat kepada semua. (Ams. 11:14) Apakah yang harus dilakukan jikalau penghuni yang ditemui bertutur dalam bahasa yang berlainan semasa kita menjalankan kerja penyebaran dari pintu ke pintu dan tiada sidang berhampiran yang menggunakan bahasa tersebut? Penyiar harus mencuba sedaya upaya untuk memberikan kesaksian dan terus membantu penghuni tersebut yang berminat.
3 Kerja yang Sama: Apakah yang harus dilakukan jikalau penyiar-penyiar daripada sidang-sidang yang berlainan menjalankan kerja penyebaran di kawasan yang sama pada hari yang sama? Sudah tentu, kasih Kristian akan mengatasi apa sahaja halangan yang disebabkan oleh perbezaan bahasa. Selain itu, tumpuan utama semua penyiar adalah terhadap penghuni-penghuni rumah yang berada di kawasan penyebaran. (Yoh. 13:34, 35) Oleh itu, mereka yang mengambil pimpinan akan menunjukkan sifat bertolak ansur dan kasih dalam mengambil keputusan sama ada salah satu kumpulan harus pergi ke kawasan yang lain buat sementara waktu atau tidak.—Yak. 3:17, 18.
4 Bible telah menubuatkan bahawa ramai orang yang bertutur dalam bahasa yang berlainan akan mendengar berita baik. (Pny. 14:6, 7) Dengan kerjasama yang erat antara semua sidang dan kumpulan, pengulangan kerja dan pembaziran usaha dapat dielakkan dan ramai orang yang baru dapat mendengar berita baik, termasuk mereka yang bertutur dalam bahasa lain.—Ef. 4:16.
[Soalan Pembelajaran]
1. Mengapakah kerjasama antara sidang semakin penting semasa kita menjalankan kerja penyebaran?
2. Bagaimanakah sidang-sidang atau kumpulan-kumpulan yang menggunakan bahasa yang berlainan dapat bekerjasama semasa menjalankan kerja penyebaran?
3. Apakah yang harus kita lakukan apabila bertembung dengan penyiar-penyiar daripada kumpulan atau sidang bahasa lain yang menjalankan kerja penyebaran di tempat yang sama?
4. Apakah nubuat yang sedang digenapi hari ini?