Bagaimana Membuat Persediaan untuk Perjumpaan Aktiviti Penyebaran
1. Apakah tujuan Perjumpaan Aktiviti Penyebaran? Bagaimanakah kita dapat memanfaatkan perjumpaan ini dengan sepenuhnya?
1 Perjumpaan Aktiviti Penyebaran bertujuan membantu kita untuk menuai hasil yang baik dalam aktiviti penyebaran. Topik-topik utama yang dibahas dalam perjumpaan ini ialah cara mengkhabarkan berita baik Kerajaan Tuhan, membantu orang menjadi pengikut Yesus, dan mengumumkan pengadilan Tuhan yang bakal tiba. (Mat. 28:19, 20; Mrk. 13:10; 2 Ptr. 3:7) Kita dapat memanfaatkan sepenuhnya perjumpaan yang penting ini apabila kita membuat persiapan yang baik dan bersedia untuk mengambil bahagian.
2. Apakah persediaan yang boleh kita buat sebelum mendengar sesebuah ceramah?
2 Ceramah: Sumber bahan rujukan bagi sesebuah ceramah sering tertera dalam arahan kepada penceramah. Anda boleh mengkaji bahan tersebut, termasuk ayat-ayat rujukan daripada Bible, lalu memikirkan cara-cara menerapkan maklumat tersebut dalam aktiviti penyebaran anda.
3. Apakah persediaan yang boleh kita buat untuk perbincangan dalam bentuk soal jawab?
3 Perbincangan Soal Jawab: Bahagian ini akan dikendalikan seperti Pembelajaran Majalah, dengan kata-kata pendahuluan dan penutup yang ringkas. Gariskan isi-isi utama dalam setiap perenggan, dan bersedialah untuk memberikan ulasan yang ringkas dan bermakna.
4. Apakah persediaan yang boleh kita buat untuk perbincangan bersama hadirin?
4 Perbincangan Bersama Hadirin: Bahagian ini akan disampaikan dalam bentuk ceramah, tetapi penceramah akan menjemput para hadirin untuk mengambil bahagian. Jika anda menggariskan isi-isi utama dan memeriksa ayat-ayat rujukan Bible yang tertera, anda mungkin boleh memberikan ulasan semasa soalan dikemukakan. Saudara yang mengendalikan bahagian ini akan menjemput para hadirin untuk mengambil bahagian semasa isi-isi utama dibincangkan.
5. Apakah yang dapat membantu kita untuk memanfaatkan sepenuhnya demonstrasi yang diadakan?
5 Demonstrasi: Sesetengah bahagian perjumpaan mengandungi demonstrasi yang realistik untuk menunjukkan bagaimana maklumat yang telah dibahas boleh digunakan dalam kawasan penyebaran tempatan. Para penatua, penyiar yang berpengalaman, atau perintis akan dijemput untuk mengadakan demonstrasi. Anda boleh membuat persediaan dengan memikirkan bagaimana demonstrasi tersebut akan disampaikan. Jika cadangan penyampaian dalam Kerja Teokratik Kita digunakan, fikirkan bagaimana anda boleh menggunakan penyampaian itu dalam kata-kata sendiri dan menyesuaikannya mengikut keperluan penghuni rumah. Pastikan anda membawa bersama bahan bacaan atau majalah yang akan digunakan dalam demonstrasi. Semasa malam Penyembahan Keluarga, anda akan mendapati bahawa mengadakan sesi latihan dengan menggunakan penyampaian tersebut akan mendatangkan faedah kepada seisi keluarga anda.
6. Mengapakah kita perlu membuat persediaan bagi Perjumpaan Aktiviti Penyebaran?
6 Perjumpaan Aktiviti Penyebaran akan menjadi lebih bermakna apabila kita membuat persediaan dengan mengkaji dan merenungkan bahagian-bahagian program terlebih dahulu. Dengan berbuat demikian, kita dapat memberikan lebih banyak galakan kepada satu sama lain. (Rm. 1:11, 12) Jika kita meluangkan masa untuk membuat persediaan bagi Perjumpaan Aktiviti Penyebaran, kita akan lebih dilengkapi untuk melaksanakan tanggungjawab kita.—2 Tim. 3:17.