Tunjukkan Kesabaran dalam Aktiviti Penyebaran
1. Bagaimanakah Yehuwa memperlihatkan kesabaran-Nya terhadap manusia?
1 Tuhan sentiasa bersabar dengan manusia. (Kel. 34:6; Mzm. 106:41-45; 2 Ptr. 3:9) Kerja penyebaran Kerajaan Tuhan di serata dunia merupakan satu contoh utama kasih dan kesabaran Tuhan. Meskipun kerja ini telah berlangsung hampir 2,000 tahun, Yehuwa masih memimpin orang yang berhati jujur kepada-Nya. (Yoh. 6:44) Bagaimanakah kita dapat meniru kesabaran Yehuwa semasa menjalankan aktiviti penyebaran?
2. Bagaimanakah kita dapat menunjukkan kesabaran semasa mengerjakan kawasan penyebaran kita?
2 Dari Rumah ke Rumah: Apabila kita “tidak berhenti-henti” mengunjungi penduduk di suatu kawasan yang belum lagi berminat, kita sedang meniru kesabaran Yehuwa. (Kis. 5:42) Kita bersabar dengan orang yang bersikap tidak peduli, mengejek, dan menentang aktiviti penyebaran kita. (Mrk. 13:12, 13) Kita juga memperlihatkan kesabaran dengan terus berusaha menyiram benih kebenaran meskipun sukar untuk menemui orang yang berminat di rumah.
3. Mengapakah kesabaran diperlukan semasa membuat kunjungan kembali dan mengendalikan pembelajaran Bible?
3 Pelajar Bible: Bercucuk tanam memerlukan kesabaran. Kita boleh membubuh baja, tetapi tidak boleh memaksa pertumbuhannya. (Yak. 5:7) Begitu juga, pertumbuhan rohani berlaku secara beransur-ansur dan berperingkat. (Mrk. 4:28) Mungkin sukar bagi pelajar Bible kita untuk mengikis kepercayaan agama palsu atau amalan yang bercanggahan dengan prinsip Bible. Kita tidak harus mempercepat pertumbuhan rohani pelajar Bible dengan mendesak mereka agar berubah. Kita perlu bersabar dan memberi masa yang secukupnya supaya daya aktif Tuhan boleh menggerakkan hati pelajar.—1 Kor. 3:6, 7.
4. Bagaimanakah kesabaran dapat membantu kita memberi kesaksian kepada sanak saudara yang bukan Saksi dengan berkesan?
4 Sanak Saudara yang Bukan Saksi: Kita sangat ingin mengajarkan kebenaran kepada saudara mara yang bukan Saksi. Namun, kita harus bersabar dan menantikan masa yang sesuai untuk memberitahu mereka tentang iman kita. Pastikan anda tidak membanjiri mereka dengan terlalu banyak maklumat. (Pkh. 3:1, 7) Sementara itu, kita harus menunjukkan teladan yang baik, dan kita juga perlu bersedia menjelaskan iman kita dengan lemah lembut dan penuh hormat. (1 Ptr. 3:1, 15, 16) Apabila kita menunjukkan kesabaran dalam aktiviti penyebaran, kita akan memperoleh hasil yang baik dan menyenangkan Bapa kita yang di syurga.