RENCANA PEMBELAJARAN 13
Kasihilah Satu Sama Lain dengan Mendalam
“Kasihilah satu sama lain dengan mendalam daripada hati kamu.”—1 PTR. 1:22.
LAGU 109 Mengasihi dengan Sepenuh Hati
PENGENALANa
Pada malam sebelum Yesus meninggal, dia menekankan pentingnya untuk menunjukkan kasih (Lihat perenggan 1-2)
1. Apakah perintah yang diberikan Yesus kepada murid-muridnya? (Lihat gambar pada muka depan majalah.)
PADA malam sebelum Yesus meninggal, dia memberikan satu perintah yang jelas kepada murid-muridnya: “Sebagaimana aku sudah mengasihi kamu, kamu juga harus saling mengasihi.” Dia menambah, “Jika kamu saling mengasihi, semua orang akan tahu bahawa kamulah murid-muridku.”—Yoh. 13:34, 35.
2. Mengapakah kita mesti mengasihi satu sama lain?
2 Yesus berkata bahawa jika murid-muridnya mengasihi satu sama lain sebagaimana dia mengasihi mereka, semua orang akan tahu bahawa mereka ialah pengikutnya. Kata-kata Yesus memang benar, baik pada abad pertama mahupun sekarang. Maka, amatlah penting untuk saling mengasihi, bahkan pada masa yang susah!
3. Apakah yang akan dibincangkan dalam rencana ini?
3 Kita semua tidak sempurna, maka kita akan berasa susah untuk menunjukkan kasih yang mendalam terhadap satu sama lain. Meskipun begitu, kita mesti berusaha meniru Kristus. Rencana ini akan membincangkan bagaimana kasih membantu kita agar berusaha berdamai, tidak berat sebelah, dan menyambut orang dengan ramah. Semasa mengkaji rencana ini, tanyalah diri, “Apakah yang saya pelajari daripada saudara saudari yang terus mengasihi satu sama lain walaupun menghadapi cabaran?”
BERUSAHA BERDAMAI
4. Menurut Matius 5:23, 24, mengapakah kita harus berdamai dengan rakan seiman yang sakit hati dengan kita?
4 Yesus mengajar kita pentingnya berdamai dengan rakan seiman yang sakit hati dengan kita. (Baca Matius 5:23, 24.) Dia menegaskan bahawa jika kita ingin menyenangkan hati Tuhan, kita perlu menjaga hubungan yang baik dengan orang lain. Yehuwa amat gembira apabila kita berusaha sedaya upaya untuk berdamai dengan saudara saudari kita. Tetapi, jika kita berdendam dan tidak mahu berdamai dengan orang lain, Dia tidak akan menerima ibadat kita.—1 Yoh. 4:20.
5. Mengapakah seorang saudara berasa susah untuk berdamai dengan rakan seimannya?
5 Mengapakah tidak mudah untuk berdamai dengan orang lain? Fikirkan contoh Mark.b Dia sakit hati semasa seorang saudara mengkritiknya dan bercakap buruk tentangnya kepada orang lain di sidang. Apakah reaksi Mark? “Saya hilang kawalan dan meletup,” katanya. Namun, Mark kemudiannya menyesal, lalu meminta maaf kepada saudara itu dan cuba berdamai dengannya. Tetapi saudara itu tidak mahu berdamai dengan Mark. Pada mulanya Mark berfikir, “Buat apa saya terus cuba berdamai dengannya jika dia tidak sudi berdamai?” Namun, penyelia litar menggalakkan Mark agar tidak berputus asa. Apakah yang dilakukan Mark selepas itu?
6. (a) Bagaimanakah Mark terus berusaha untuk berdamai dengan saudaranya? (b) Bagaimanakah Mark menerapkan nasihat di Kolose 3:13, 14?
6 Semasa Mark memeriksa diri, dia mendapati bahawa dia tidak cukup rendah hati dan cenderung menganggap dirinya lebih baik daripada orang lain. Mark sedar bahawa dia perlu mengubah sikapnya. (Kol. 3:8, 9, 12) Dengan rendah hati, dia berjumpa dengan saudara itu lagi dan meminta maaf. Dia juga menulis surat kepada saudara itu berkali-kali untuk meminta maaf dan bertanya jika mereka boleh berbaik semula. Mark bahkan membeli beberapa hadiah yang dia tahu disukai oleh saudara itu. Sedihnya, saudara itu masih tidak mahu memaafkannya. Meskipun begitu, Mark terus mematuhi perintah Yesus untuk mengasihi rakan seimannya dan bersikap rela mengampuni. (Baca Kolose 3:13, 14.) Biarpun usaha kita untuk berdamai tidak membawa hasil yang diinginkan, kasih Kristian yang sejati akan mendorong kita agar terus memaafkan orang lain dan berdoa agar kita dapat berbaik semula dengan mereka suatu hari nanti.—Mat. 18:21, 22; Gal. 6:9.
Kita mungkin perlu mencuba pelbagai cara untuk berbaik semula dengan orang lain (Lihat perenggan 7-8)c
7. (a) Yesus menggesa kita untuk melakukan apa? (b) Apakah cabaran yang dihadapi seorang saudari?
7 Yesus menggesa kita agar terus melayan orang lain sebagaimana kita ingin dilayan. Dia juga berkata bahawa kita tidak patut hanya mengasihi orang yang mengasihi kita. (Luk. 6:31-33) Apakah yang akan anda buat jika seseorang di sidang asyik menjauhi anda dan tidak mahu bersapa dengan anda? Hal itu jarang berlaku, tetapi itulah yang terjadi kepada Lara. Dia menjelaskan, “Entah kenapa, seorang saudari langsung tidak menghiraukan saya. Hal itu membuat saya sangat stres dan tidak suka pergi perjumpaan.” Pada mulanya, Lara berfikir, “Bukan salah saya pun. Orang lain di sidang juga rasa saudari ini berkelakuan pelik.”
8. Apakah langkah yang diambil Lara untuk berdamai dengan saudari itu? Apakah yang kita pelajari daripada pengalamannya?
8 Lara telah mengambil langkah untuk berdamai dengan saudari tersebut. Dia berdoa kepada Yehuwa dan berjumpa dengan saudari itu. Mereka membincangkan masalah mereka, berpelukan, dan berdamai. Nampaknya isu mereka sudah selesai. “Namun, dia kemudiannya melayan saya seperti dahulu. Saya sangat tawar hati,” kata Lara. Mula-mulanya Lara berasa bahawa dia hanya akan gembira jika saudari itu mengubah sikapnya. Tetapi dia akhirnya sedar bahawa langkah yang terbaik adalah untuk terus mengasihi saudari itu dan ‘mengampuninya dengan rela hati.’ (Ef. 4:32–5:2) Lara ingat bahawa kasih sejati ‘tidak menyimpan dendam, menanggung segala sesuatu, mempercayai segala sesuatu, tidak hilang harapan, dan menghadapi segala sesuatu dengan tabah.’ (1 Kor. 13:5, 7) Selepas itu, Lara tidak lagi khuatir tentang masalah tersebut, dan saudari itu kemudiannya lebih ramah dengannya. Apabila kita berusaha untuk berdamai dengan saudara saudari kita dan terus mengasihi mereka, yakinlah bahawa “Tuhan yang penuh dengan kasih dan kedamaian akan menyertai [kita].”—2 Kor. 13:11.
TIDAK BERAT SEBELAH
9. Menurut Kisah 10:34, 35, mengapakah kita tidak boleh bersikap berat sebelah?
9 Yehuwa tidak berat sebelah. (Baca Kisah 10:34, 35.) Jika kita tidak berat sebelah, kita membuktikan bahawa kita ialah anak-anak-Nya, dan menunjukkan bahawa kita mematuhi perintah untuk mengasihi orang lain. Usaha kita juga dapat memelihara kedamaian keluarga rohani kita.—Rm. 12:9, 10; Yak. 2:8, 9.
10-11. Bagaimanakah seorang saudari mengatasi perasaan negatifnya?
10 Bagi sesetengah orang, menjauhi sikap berat sebelah tidak mudah. Fikirkan pengalaman seorang saudari yang bernama Ruth. Semasa dia remaja, keluarganya telah dilayan dengan sangat buruk oleh seseorang dari negara lain. Ruth berkata, “Akibatnya, saya benci segala-galanya tentang negara itu. Saya sangka semua orang dari situ sama sahaja, termasuk saudara saudari kita.” Bagaimanakah Ruth mengatasi perasaan itu?
11 Ruth sedar bahawa dia perlu melawan fikirannya yang negatif. Jadi, dia membaca pengalaman dan laporan buku tahunan tentang negara itu. Dia berkata, “Saya berusaha untuk berfikiran positif tentang orang dari negara itu. Saya mula perhatikan bahawa saudara saudari di situ menyembah Yehuwa dengan bersemangat, dan saya dapat lihat bahawa mereka juga sebahagian daripada persaudaraan sedunia kita.” Beberapa waktu kemudian, Ruth sedar bahawa dia perlu melakukan sesuatu untuk menunjukkan kasihnya. Dia menjelaskan, “Setiap kali saya jumpa saudara saudari dari negara itu, saya akan berusaha untuk bersikap ramah. Saya bersembang dengan mereka dan dapat mengenali mereka dengan lebih baik.” Apakah hasilnya? Ruth berkata, “Lama-kelamaan, perasaan negatif saya hilang.”
Jika kita menunjukkan kasih yang mendalam terhadap “semua saudara seiman,” kita dapat menjauhi sikap berat sebelah (Lihat perenggan 12-13)d
12. Apakah masalah yang dihadapi Sarah?
12 Sesetengah orang mungkin tidak sedar bahawa mereka bersikap berat sebelah. Sebagai contoh, Sarah berfikir bahawa dia tidak berat sebelah kerana dia tidak menghakimi orang berdasarkan kaum, kekayaan, atau tanggungjawab dalam organisasi. Tetapi dia mengaku, “Saya kemudiannya mendapati bahawa saya berat sebelah.” Sarah berasal daripada keluarga yang berpendidikan tinggi, dan dia lebih suka bergaul dengan orang yang terpelajar. Pernah sekali, dia memberitahu kawannya, “Saya bergaul dengan rakan seiman yang berpendidikan tinggi, dan menjauhi mereka yang kurang berpendidikan.” Jelaslah, sikap Sarah perlu diubah. Bagaimana?
13. Apakah yang kita pelajari daripada cara Sarah mengubah sikapnya?
13 Seorang penyelia litar telah membantu Sarah memeriksa sikapnya. Sarah berkata, “Dia memuji saya kerana berkhidmat dengan setia, memberikan komen yang baik, dan memiliki banyak pengetahuan Bible. Selepas itu dia menjelaskan bahawa apabila pengetahuan kita semakin bertambah, kita juga perlu bersikap rendah hati, berbelas kasihan, dan sedar akan keterbatasan diri.” Sarah telah menerapkan nasihat penyelia litar itu. Dia berkata, “Saya sedar bahawa saya harus baik hati dan pengasih. Itulah hal yang terpenting.” Pandangan Sarah terhadap saudara saudarinya mula berubah. Dia menjelaskan, “Saya cuba cari sifat-sifat mereka yang dihargai Yehuwa.” Bagaimana pula dengan kita? Janganlah sekali-kali memandang rendah terhadap orang lain kerana pendidikan kita! Jika kita menunjukkan kasih yang mendalam terhadap “semua saudara seiman,” kita dapat menjauhi sikap berat sebelah.—1 Ptr. 2:17.
SUKA MENYAMBUT ORANG DENGAN RAMAH
14. Menurut Ibrani 13:16, apakah perasaan Yehuwa semasa kita bersikap ramah terhadap orang lain?
14 Yehuwa sangat menghargai sikap ramah. (Baca Ibrani 13:16.) Dia menganggapnya sebagai sebahagian daripada ibadat kita, khususnya semasa kita bermurah hati kepada orang yang memerlukan bantuan. (Yak. 1:27; 2:14-17) Itulah sebabnya Bible menggalakkan kita untuk ‘menyambut orang dengan ramah.’ (Rm. 12:13) Sikap ini menunjukkan bahawa kita benar-benar mengambil berat terhadap orang lain, mengasihi mereka, dan ingin menjadi sahabat mereka. Yehuwa senang hati semasa kita mengongsi makanan dan minuman dengan orang lain, atau meluangkan masa bersama mereka. (1 Ptr. 4:8-10) Namun, sesetengah hal mungkin menghalang kita daripada bersikap ramah.
“Dahulu, saya teragak-agak untuk bersikap ramah, tetapi selepas saya berubah, saya menuai banyak sukacita” (Lihat perenggan 16)e
15-16. (a) Mengapakah sesetengah orang teragak-agak untuk bersikap ramah? (b) Apakah yang membantu Edit bersikap ramah?
15 Kita mungkin teragak-agak untuk bersikap ramah kerana keadaan atau latar belakang kita. Fikirkan contoh seorang balu yang bernama Edit. Sebelum menjadi Saksi, dia lebih suka menyendiri kerana berasa bahawa orang lain lebih mampu menunjukkan sikap ramah.
16 Selepas menjadi Saksi, Edit mengubah fikirannya dan berusaha bersikap ramah. Dia berkata, “Semasa Dewan Perjumpaan kami dibina, seorang penatua beritahu saya bahawa sepasang suami isteri akan datang membantu, dan dia bertanya jika mereka boleh tinggal di rumah saya selama dua minggu. Saya teringat bagaimana Yehuwa memberkati balu dari Sarafat.” (1 Raj. 17:12-16) Edit telah menyambut mereka dengan ramah di rumahnya. Adakah dia diberkati? Edit menjelaskan, “Pasangan itu telah tinggal bersama saya selama dua bulan, dan kami menjadi sangat rapat.” Edit juga mendapat kawan baik dalam sidang. Sekarang, dia seorang perintis, dan dia suka mengajak orang yang menginjil bersamanya untuk datang ke rumahnya. Dia berkata, “Saya gembira kerana memberi, dan saya menerima banyak berkat kerana berbuat demikian!”—Ibr. 13:1, 2.
17. Apakah yang disedari Luke dan isterinya?
17 Kita mungkin sudah bersikap ramah, tetapi dapatkah kita melakukannya dengan lebih baik? Luke dan isterinya sangat murah hati. Mereka sering menjemput ibu bapa mereka, saudara-mara, kawan baik, dan penyelia litar dan isterinya ke rumah mereka. Namun, Luke berkata, “Kami dapati bahawa kami hanya jemput orang yang rapat dengan kami.” Apakah yang dilakukan Luke dan isterinya?
18. Bagaimanakah Luke dan isterinya menunjukkan sikap ramah dengan lebih baik?
18 Luke dan isterinya merenungkan kata-kata Yesus, “Jika kamu hanya mengasihi orang yang mengasihi kamu, apakah ganjaran kamu?” (Mat. 5:45-47) Mereka sedar bahawa mereka perlu murah hati terhadap semua orang seperti Yehuwa. Oleh itu, mereka mula menjemput saudara saudari yang tidak pernah datang ke rumah mereka. Luke berkata, “Sekarang, kami sangat menikmati peluang untuk bergaul. Semua orang digalakkan dan dibina secara rohani.”
19. Bagaimanakah kita membuktikan bahawa kita ialah pengikut Yesus? Apakah tekad anda?
19 Kita sudah membincangkan bagaimana kasih yang mendalam terhadap satu sama lain dapat membantu kita berusaha berdamai, tidak berat sebelah, dan menyambut orang dengan ramah. Marilah kita mengatasi perasaan negatif dan mengasihi saudara saudari kita dengan mendalam. Dengan itu, kita akan bahagia dan membuktikan bahawa kita benar-benar pengikut Yesus.—Yoh. 13:17, 35.
LAGU 88 Ajarlah Aku Jalan-Mu
a Yesus berkata bahawa kasih ialah tanda pengenal orang Kristian sejati. Kasih untuk saudara saudari akan mendorong kita agar berusaha berdamai, tidak berat sebelah, dan menyambut orang dengan ramah. Hal-hal itu tidak mudah, tetapi rencana ini akan menunjukkan beberapa cadangan praktikal yang akan membantu kita terus mengasihi satu sama lain dengan mendalam.
b Sesetengah nama dalam rencana ini telah diubah.
c KETERANGAN GAMBAR: Seorang saudari cuba berdamai dengan seorang saudari lain, tetapi tidak berjaya. Namun, dia tidak putus asa dan terus menunjukkan kasih. Akhirnya, usahanya membawa hasil yang baik.
d KETERANGAN GAMBAR: Seorang saudara yang tua berasa diabaikan oleh ahli sidang yang lain.
e KETERANGAN GAMBAR: Seorang saudari yang teragak-agak untuk bersikap ramah telah mengubah fikirannya dan menuai sukacita yang besar.