PERPUSTAKAAN DALAM TALIAN Watchtower
Watchtower
PERPUSTAKAAN DALAM TALIAN
Melayu
  • BIBLE
  • BAHAN BACAAN
  • PERJUMPAAN
  • w20 Oktober ms. 13-19
  • Bantulah Pelajar Bible Anda Maju sehingga Dibaptis—Bahagian Dua

Tiada video untuk bahagian ini.

Maaf, terdapat masalah memainkan video.

  • Bantulah Pelajar Bible Anda Maju sehingga Dibaptis—Bahagian Dua
  • Menara Pengawal (Pembelajaran)—2020
  • Tajuk Kecil
  • Bahan yang Berkaitan
  • GUNAKAN BIBLE SEMASA MENGAJAR
  • MENGAJAR DENGAN YAKIN DAN BERSEMANGAT
  • GALAKKAN PELAJAR UNTUK MENCARI KAWAN DI SIDANG
  • TEKANKAN PENTINGNYA PEMBAKTIAN DAN PEMBAPTISAN
  • MENILAI KEMAJUAN PELAJAR DARI MASA KE MASA
  • Bantulah Pelajar Bible Anda Maju sehingga Dibaptis—Bahagian Satu
    Menara Pengawal (Pembelajaran)—2020
  • Bantu Pelajar Bible Anda untuk Dibaptis
    Menara Pengawal (Pembelajaran)—2021
  • Seluruh Sidang Dapat Membantu Pelajar Bible Maju sehingga Dibaptis
    Menara Pengawal (Pembelajaran)—2021
  • “Pergilah . . . dan Jadikanlah Mereka Pengikutku”
    Menara Pengawal (Pembelajaran)—2020
Lihat Selanjutnya
Menara Pengawal (Pembelajaran)—2020
w20 Oktober ms. 13-19

RENCANA PEMBELAJARAN 42

Bantulah Pelajar Bible Anda Maju sehingga Dibaptis​—Bahagian Dua

“Teruslah memberikan perhatian kepada dirimu sendiri dan kepada ajaranmu.”​—1 TIM. 4:16.

LAGU 77 Cahaya Bersinar dari Kegelapan

PENGENALANa

1. Mengapakah kerja menjadikan orang murid Yesus dapat menyelamatkan nyawa?

KERJA menjadikan orang murid Yesus dapat menyelamatkan nyawa orang. Bagaimanakah kita tahu? Di Matius 28:19, 20, Yesus berkata, “Pergilah . . . dan jadikanlah mereka pengikutku. Baptislah mereka.” Mengapakah pembaptisan begitu penting? Pembaptisan merupakan syarat untuk diselamatkan. Orang yang ingin dibaptis mesti percaya bahawa jika Yesus tidak mengorbankan nyawanya dan dibangkitkan, kita tidak mungkin dapat diselamatkan. Itulah sebabnya Petrus menulis, “Pembaptisan . . . kini menyelamatkan kamu melalui pembangkitan Yesus Kristus.” (1 Ptr. 3:21) Ya, apabila seseorang dibaptis, dia menjadi murid Yesus dan berpeluang untuk diselamatkan.

2. Menurut 2 Timotius 4:1, 2, apakah yang perlu dilakukan oleh guru Bible?

2 Untuk membantu orang menjadi murid Yesus, kita perlu memupuk “seni mengajar.” (Baca 2 Timotius 4:1, 2.) Mengapa? Setelah memberikan perintah untuk menjadikan orang pengikutnya, Yesus menambah, “Ajarlah mereka.” Paulus juga menggesa kita untuk mengajar “dengan tekun” dan ‘terus memberikan perhatian kepada ajaran kita,’ kerana dengan berbuat demikian, ‘kita akan menyelamatkan diri kita sendiri dan mereka yang mendengarkan kita.’ (1 Tim. 4:16) Ya, memandangkan kemahiran mengajar berkait rapat dengan kerja menjadikan orang murid Yesus, kita ingin berusaha untuk menjadi guru yang mahir.

3. Apakah yang akan kita bincangkan dalam rencana ini?

3 Kita mengadakan berjuta-juta pembelajaran Bible di serata dunia. Namun, seperti yang dinyatakan dalam rencana sebelum ini, kita ingin membantu lebih banyak pelajar Bible dibaptis dan menjadi murid Yesus Kristus. Dalam rencana ini, kita akan membincangkan lima hal lagi yang perlu dilakukan oleh setiap guru Bible untuk membantu pelajar mereka maju sehingga dibaptis.

GUNAKAN BIBLE SEMASA MENGAJAR

Kolaj: 1. Saudari yang ditunjukkan dalam rencana sebelumnya mengadakan pembelajaran Bible. Dia menggunakan banyak pergerakan tangan sambil bercakap, tetapi menelangkupkan Biblenya di atas meja. Pelajar Biblenya dan saudari tua yang menyertai perbincangan mereka kelihatan keliru. 2. Kemudian, semasa di kafe, saudari tua itu memberi saudari muda itu cadangan untuk meningkatkan kemahiran mengajarnya. Saudari muda itu mendengar dengan teliti.

Tanyalah penyiar yang berpengalaman bagaimana anda dapat mengajar dengan lebih baik dan membiarkan Bible yang mengajar pelajar anda (Lihat perenggan 4-6)f

4. Mengapakah kita perlu mengawal diri semasa mengadakan pembelajaran Bible? (Lihat juga nota kaki.)

4 Kita sangat mencintai kebenaran Bible. Oleh itu, kita mungkin ingin memberikan huraian yang panjang lebar semasa mengajar. Namun, kita harus berwaspada agar tidak bercakap terlalu banyak, tidak kira semasa mengendalikan pembelajaran Menara Pengawal, Pembelajaran Bible Sidang, atau pembelajaran Bible. Kita ingin membiarkan Bible yang mengajar pelajar kita. Oleh itu, kita perlu mengawal diri dan tidak menjelaskan segala sesuatu yang kita ketahui tentang suatu topik atau petikan Bible.b (Yoh. 16:12) Mengapa? Cuba bandingkan pengetahuan Bible yang anda miliki sekarang dengan pengetahuan anda semasa anda baru dibaptis. Ketika itu, anda mungkin hanya mengetahui kebenaran Bible yang asas. (Ibr. 6:1) Memandangkan anda memerlukan masa bertahun-tahun untuk menimba pengetahuan yang anda miliki sekarang, janganlah membanjiri pelajar anda dengan terlalu banyak maklumat.

5. (a) Berdasarkan 1 Tesalonika 2:13, kita ingin pelajar Bible kita memahami apa? (b) Bagaimanakah kita dapat menggalakkan pelajar kita untuk bercakap tentang apa yang dipelajarinya?

5 Kita ingin pelajar kita memahami bahawa apa yang dipelajarinya berasal daripada Bible. (Baca 1 Tesalonika 2:13.) Maka kita mahu menggalakkannya untuk bercakap tentang apa yang dipelajarinya. Daripada selalu menerangkan ayat Bible kepadanya, kita boleh menjemputnya menjelaskan erti sesetengah ayat Bible kepada kita. Kita ingin membantunya memahami kaitan ajaran Bible dengan kehidupannya. Jadi, kita perlu menanyakan soalan yang dapat memberinya peluang untuk meluahkan pandangan, fikiran, dan perasaannya terhadap ayat Bible yang dibaca. (Luk. 10:25-28) Misalnya, kita boleh menanya dia, “Apakah yang kamu pelajari tentang sifat Yehuwa daripada ayat ini?” “Bagaimanakah kebenaran ini dapat membantu kamu?” “Apakah perasaan kamu setelah mempelajari kebenaran ini?” (Ams. 20:5) Kita perlu ingat bahawa yang penting bukanlah seberapa banyak pengetahuan pelajar kita, tetapi seberapa dalam kasihnya terhadap kebenaran Bible dan sejauh mana dia berusaha untuk menerapkan apa yang dipelajarinya.

6. Apakah manfaatnya jika kita menjemput seorang penyiar yang mahir mengajar untuk menyertai pembelajaran Bible kita?

6 Semasa mengadakan pembelajaran Bible, cubalah menjemput seorang penyiar yang mahir mengajar untuk menyertai anda. Dengan itu, anda dapat meminta pandangannya jika anda mengendalikan pembelajaran itu dengan baik dan jika anda membiarkan Bible yang mengajar pelajar anda. Apabila dia memberitahu anda pemerhatiannya, terimalah cadangannya dengan rendah hati supaya anda dapat menjadi guru yang lebih mahir. (Bandingkan Kisah 18:24-26.) Anda juga boleh menanya penyiar itu jika dia berasa bahawa pelajar anda memahami apa yang dipelajarinya. Jika anda tidak dapat mengendalikan pembelajaran itu selama satu atau beberapa minggu, mintalah penyiar itu untuk menggantikan anda. Dengan itu, pelajar anda dapat belajar secara tetap dan memahami betapa pentingnya pembelajaran Biblenya. Janganlah berfikir bahawa pelajar itu ialah pelajar “anda” dan anda sahaja yang boleh mengajarnya. Sebaliknya, fikirkan apa yang terbaik bagi pelajar itu supaya dia dapat terus belajar dan membuat kemajuan.

MENGAJAR DENGAN YAKIN DAN BERSEMANGAT

Kolaj: 1. Saudari itu menunjukkan video kisah hidup kepada pelajarnya. 2. Pelajar itu memberitahu suaminya tentang kepercayaan baharunya.

Gunakanlah kisah benar untuk mengajar pelajar anda cara menerapkan prinsip Bible (Lihat perenggan 7-9)g

7. Bagaimanakah kita dapat memarakkan kasih pelajar kita terhadap kebenaran Bible?

7 Jika kita mengajar dengan yakin dan bersemangat, kita dapat memarakkan kasih pelajar kita terhadap kebenaran Bible. (1 Tes. 1:5) Apabila sesuai, kita boleh memberitahunya bagaimana kita meraih manfaat kerana hidup menurut prinsip Bible. Dengan itu, dia akan sedar bahawa nasihat Bible juga bermanfaat baginya.

8. Apakah cara lain untuk membantu pelajar Bible anda? Apakah manfaatnya?

8 Jika pelajar Bible anda menghadapi masalah, kongsilah dengannya kisah hidup saudara saudari yang berjaya mengatasi cabaran yang serupa. Selain itu, semasa mengadakan pembelajaran Bible, anda boleh menjemput seseorang dari sidang yang dapat menggalakkan atau menjadi teladan baik bagi pelajar anda. Anda juga boleh mengongsi video atau rencana daripada siri “Bible Mengubah Hidup” di jw.org.c Pengalaman hidup sedemikian dapat membantu pelajar anda untuk menyedari bahawa nasihat Bible memang bijak dan berguna.

9. Bagaimanakah anda dapat menggalakkan pelajar anda untuk mengongsi apa yang dipelajarinya dengan ahli keluarga dan kawan-kawannya?

9 Jika pelajar anda sudah berkahwin, adakah pasangannya juga belajar Bible? Jika belum, ajaklah pasangannya untuk ikut serta belajar Bible. Selain itu, galakkanlah pelajar anda untuk mengongsi apa yang dipelajarinya dengan ahli keluarga dan kawan-kawannya. (Yoh. 1:40-45) Untuk menggalakkannya berbuat demikian, kita boleh menanya dia, “Bagaimanakah kamu akan menjelaskan ajaran ini kepada keluarga kamu?” atau “Apakah ayat yang akan kamu gunakan untuk menjelaskan ajaran ini kepada kawan kamu?” Apabila anda berbuat demikian, anda sedang melatih pelajar anda untuk menjadi guru Bible. Dengan itu, dia dapat menginjil bersama sidang apabila dia memenuhi syarat untuk menjadi penyiar yang belum dibaptis. Anda juga boleh menanya dia jika ada sesiapa yang dikenalinya yang mungkin berminat untuk belajar Bible. Jika ada, hubungilah orang itu dengan serta-merta supaya anda dapat menunjukkan video Apakah yang Berlaku semasa Pembelajaran Bible?d dan menawarkan pembelajaran Bible.

GALAKKAN PELAJAR UNTUK MENCARI KAWAN DI SIDANG

Kolaj: 1. Saudari itu memperkenalkan pelajar Biblenya kepada seorang saudari di Dewan Perjumpaan. 2. Saudari itu, pelajarnya, dan suami pelajarnya, menikmati pergaulan di rumah saudari yang ditemuinya di Dewan Perjumpaan.

Galakkan pelajar anda untuk mencari kawan di sidang (Lihat perenggan 10-11)h

10. Bagaimanakah kita dapat meniru teladan Paulus yang dinyatakan di 1 Tesalonika 2:7, 8?

10 Sebagai guru, kita perlu mengambil berat terhadap pelajar kita dan memandang mereka sebagai bakal saudara atau saudari rohani kita. (Baca 1 Tesalonika 2:7, 8.) Ingatlah bahawa tidak mudah bagi mereka untuk meninggalkan kawan-kawan duniawi mereka dan membuat perubahan agar dapat menyembah Yehuwa. Jadi, selain membantu pelajar kita mencari kawan sejati di sidang, kita sendiri juga perlu menjadi sahabat mereka. Kita ingin meluangkan masa bersama mereka, bukan sahaja semasa pembelajaran Bible, tetapi juga pada masa yang lain. Selain itu, kita boleh menelefon, menghantar mesej, atau melawat mereka untuk menunjukkan bahawa kita prihatin terhadap mereka.

11. Apakah yang akan dilakukan oleh guru Bible yang mahir? Mengapakah hal itu penting?

11 Sebuah pepatah Afrika menyatakan, “Untuk membesarkan seorang anak, usaha seluruh kampung diperlukan.” Begitu juga, untuk membantu seseorang menjadi murid Yesus, usaha seluruh sidang diperlukan. Oleh itu, guru Bible yang mahir akan memperkenalkan pelajar Bible kepada ahli sidang supaya mereka dapat bergaul dengan saudara saudari. Dengan itu, ahli sidang dapat membantu mereka menghampiri Yehuwa dan menggalakkan mereka semasa mereka menghadapi masalah. Ya, apabila pelajar Bible bergaul dengan saudara saudari, mereka akan merasai kasih dalam kalangan umat Yehuwa. Mereka juga akan berasa bahawa mereka dihargai dalam sidang dan merupakan sebahagian daripada keluarga rohani kita. Hasilnya, mereka akan suka bergaul dengan umat Tuhan, dan hal ini akan memudahkan mereka untuk berhenti bergaul dengan orang yang tidak membantu mereka mengasihi Yehuwa. (Ams. 13:20) Selain itu, mereka tidak akan berasa sunyi jika mereka disisihkan oleh kawan-kawan lama mereka, kerana mereka sudah memiliki sahabat sejati dalam organisasi Yehuwa.​—Mrk. 10:29, 30; 1 Ptr. 4:4.

TEKANKAN PENTINGNYA PEMBAKTIAN DAN PEMBAPTISAN

Pelajar Bible itu keluar dari kolam pembaptisan. Suaminya, guru Biblenya, dan saudara saudari dari sidang senyum dan bertepuk tangan.

Pelajar Bible yang benar-benar ingin menyembah Tuhan dapat mengambil langkah-langkah yang diperlukan untuk dibaptis! (Lihat perenggan 12-13)

12. Mengapakah kita perlu sering bercakap tentang pembaktian dan pembaptisan dengan pelajar kita?

12 Tujuan kita mengadakan pembelajaran Bible adalah untuk membantu seseorang dibaptis. Maka, kita perlu sering bercakap tentang pembaktian dan pembaptisan dengan pelajar kita. Jika pelajar kita sudah belajar Bible secara tetap selama beberapa bulan, dan khususnya jika dia sudah mula menghadiri perjumpaan, kita perlu menjelaskan kepadanya bahawa kita ingin membantunya menjadi seorang Saksi.

13. Apakah langkah-langkah yang perlu diambil oleh seorang pelajar Bible yang ingin dibaptis?

13 Terdapat beberapa langkah yang dapat diambil oleh seorang pelajar Bible yang ingin dibaptis. Mula-mula, dia perlu mengenali Yehuwa, mengasihi-Nya, dan beriman kepada-Nya. (Yoh. 3:16; 17:3) Kemudian, dia perlu memupuk hubungan yang akrab dengan Yehuwa dan mula menjalin persahabatan dengan ahli sidang. (Ibr. 10:24, 25; Yak. 4:8) Seterusnya, dia perlu bertaubat dan membuang tabiat yang buruk. (Kis. 3:19) Pada masa yang sama, dia perlu mengongsi apa yang dipelajarinya dengan orang lain. (2 Kor. 4:13) Selepas itu, dia perlu membaktikan diri kepada Yehuwa, dan kemudian dia perlu dibaptis untuk menunjukkan bahawa dia sudah membaktikan diri. (1 Ptr. 3:21; 4:2) Ya, hari pembaptisan ialah masa yang sangat menggembirakan bagi semua! Seraya pelajar Bible membuat kemajuan, pujilah dia dengan ikhlas dan galakkannya untuk terus berusaha.

MENILAI KEMAJUAN PELAJAR DARI MASA KE MASA

14. Bagaimanakah seorang guru Bible dapat menilai kemajuan pelajarnya?

14 Kita perlu bersabar semasa membantu pelajar kita memenuhi syarat untuk dibaptis. Namun, kita juga perlu mengenal pasti jika dia benar-benar ingin menjadi penyembah Yehuwa. Dapatkah anda melihat tanda yang menunjukkan bahawa pelajar anda sedang berusaha mematuhi perintah Yesus? Atau adakah dia belajar Bible sekadar untuk menimba pengetahuan?

15. Apakah tanda-tanda yang menunjukkan bahawa seorang pelajar sedang membuat kemajuan?

15 Dari masa ke masa, perhatikan tanda-tanda yang menunjukkan bahawa pelajar anda sedang membuat kemajuan. Misalnya, adakah dia bercakap tentang perasaannya terhadap Yehuwa? Adakah dia berdoa kepada Yehuwa? (Mzm. 116:1, 2) Adakah dia suka membaca Bible? (Mzm. 119:97) Adakah dia menghadiri perjumpaan secara tetap? (Mzm. 22:22) Adakah dia mengubah gaya hidupnya menurut prinsip Bible? (Mzm. 119:112) Adakah dia mengongsi apa yang dipelajarinya dengan ahli keluarga dan kawan-kawannya? (Mzm. 9:1) Yang terpenting, adakah dia ingin menjadi seorang Saksi? (Mzm. 40:8) Jika dia tidak membuat kemajuan dalam hal-hal tersebut, cubalah mengenal pasti sebabnya. Kemudian, bincangkan hal itu dengan pelajar anda dengan penuh kasih tetapi terus terang.e

16. Apakah tanda yang menunjukkan bahawa kita patut menghentikan pembelajaran dengan seseorang?

16 Untuk mengetahui sama ada anda patut meneruskan pembelajaran Bible dengan pelajar anda atau tidak, dari masa ke masa, fikirkanlah soalan-soalan berikut: “Adakah dia membuat persiapan untuk pembelajaran? Adakah dia berminat untuk menghadiri perjumpaan? Adakah dia membuang tabiat buruknya? Sudahkah dia membatalkan keahliannya dalam agama palsu?” Jika jawapannya ialah “tidak,” kita seperti memberikan kelas renang kepada seseorang yang tidak mahu basah! Jika seorang pelajar tidak menghargai apa yang dipelajarinya dan tidak mahu membuat perubahan, tiada gunanya kita terus belajar dengannya.

17. Menurut 1 Timotius 4:16, apakah yang mesti dilakukan oleh semua guru Bible?

17 Kita memandang serius tanggungjawab untuk membantu orang menjadi murid Yesus, dan kita ingin membantu pelajar kita maju sehingga dibaptis. Oleh itu, kita akan membiarkan Bible yang mengajar pelajar kita, dan kita akan mengajar dengan yakin dan bersemangat. Kita juga ingin menggalakkan pelajar kita untuk mencari kawan di sidang. Selain itu, kita ingin menekankan pentingnya pembaktian dan pembaptisan, dan menilai kemajuan pelajar kita dari masa ke masa. (Lihat kotak “Untuk Membantu Pelajar Bible Maju sehingga Dibaptis, Guru Bible Perlu . . . ”) Kita amat gembira kerana berpeluang menyertai kerja ini yang dapat menyelamatkan nyawa! Marilah kita berusaha sedaya upaya untuk membantu pelajar kita maju sehingga dibaptis!

Seorang saudari mengadakan pembelajaran Bible. Saudari itu kelihatan gembira.

Untuk Membantu Pelajar Bible Maju sehingga Dibaptis, Guru Bible Perlu . . .

  1. 1. Membiarkan Bible yang mengajar

    • Mengawal diri dan tidak bercakap terlalu banyak

    • Meminta cadangan daripada penyiar yang berpengalaman

  2. 2. Mengajar dengan yakin dan bersemangat

    • Tunjukkan kepada pelajar Bible bahawa anda mencintai kebenaran Bible

    • Kongsi pengalaman orang yang telah menerapkan nasihat Bible

    • Galakkan pelajar untuk mengongsi apa yang dipelajarinya

  3. 3. Menggalakkan pelajar untuk mencari kawan di sidang

    • Tunjukkan bahawa anda prihatin terhadap pelajar Bible

    • Perkenalkan pelajar Bible kepada saudara saudari di sidang

    • Bantu pelajar Bible berasa dihargai dalam sidang

  4. 4. Tekankan pentingnya pembaktian dan pembaptisan

    • Bantu pelajar Bible mengambil langkah yang diperlukan

    • Jangan kedekut memberikan galakan dan pujian

  5. 5. Menilai kemajuan pelajar dari masa ke masa

    • Cari tanda yang menunjukkan bahawa dia ingin menyembah Yehuwa

    • Jika dia tidak membuat kemajuan, bincangkan hal itu dengan penuh kasih tetapi terus terang

APAKAH JAWAPAN ANDA?

  • Mengapakah seorang guru Bible tidak patut bercakap terlalu banyak semasa mengendalikan pembelajaran Bible?

  • Bagaimanakah kita dapat membantu pelajar Bible mencari kawan di sidang?

  • Mengapakah kita perlu sering bercakap tentang pembaktian dan pembaptisan dengan pelajar kita?

LAGU 79 Ajarlah Mereka untuk Berteguh

a Sebagai guru Bible, kita diberi penghormatan untuk mengajar pelajar kita agar memupuk fikiran, perasaan, dan kelakuan yang menyenangkan hati Yehuwa. Rencana ini akan menjelaskan bagaimana kita dapat meningkatkan kemahiran mengajar kita.

b Lihat rencana “Perkara yang Harus Dielakkan semasa Mengendalikan Pembelajaran Bible” dalam Lembaran Kerja Kehidupan dan Kegiatan Kristian Kita terbitan September 2016.

c Lihat MENGENAI KAMI > PENGALAMAN.

d Di JW Library®, lihat MEDIA > PERJUMPAAN DAN AKTIVITI PENYEBARAN KAMI > BANTUAN UNTUK MENGINJIL.

e Lihat rencana “Kasih dan Kesyukuran kepada Yehuwa Akan Mendorong Anda agar Dibaptis” dan “Sudahkah Anda Bersedia untuk Dibaptis?” dalam Menara Pengawal terbitan Mac 2020.

f KETERANGAN GAMBAR: Selepas sesi pembelajaran Bible, seorang saudari yang berpengalaman menasihati saudari yang lebih muda agar tidak bercakap terlalu banyak semasa mengendalikan pembelajaran Bible.

g KETERANGAN GAMBAR: Semasa pembelajaran Bible, pelajar itu mempelajari cara untuk menjadi isteri yang lebih baik. Kemudian, dia mengongsi dengan suaminya apa yang dipelajarinya.

h KETERANGAN GAMBAR: Pelajar itu dan suaminya menikmati pergaulan di rumah sepasang suami isteri yang dikenalinya semasa di Dewan Perjumpaan.

    Bahan Bacaan Bahasa Melayu (2004-2023)
    Log Keluar
    Log Masuk
    • Melayu
    • Kongsi
    • Pilihan
    • Copyright © 2025 Watch Tower Bible and Tract Society of Pennsylvania
    • Syarat Penggunaan
    • Polisi Privasi
    • Seting Privasi
    • JW.ORG
    • Log Masuk
    Kongsi