PERPUSTAKAAN DALAM TALIAN Watchtower
PERPUSTAKAAN DALAM TALIAN
Watchtower
Melayu
  • BIBLE
  • BAHAN BACAAN
  • PERJUMPAAN
  • w23 Februari ms. 8-13
  • Raihlah Manfaat yang Lebih Besar semasa Membaca Bible

Tiada video untuk bahagian ini.

Maaf, terdapat masalah memainkan video.

  • Raihlah Manfaat yang Lebih Besar semasa Membaca Bible
  • Menara Pengawal (Pembelajaran)—2023
  • Tajuk Kecil
  • Bahan yang Berkaitan
  • MEMAHAMI APA YANG KITA BACA
  • MENCARI PERMATA ROHANI SEMASA MEMBACA
  • BIARLAH BIBLE MEMBENTUK KEPERIBADIAN ANDA
  • MEMBACA FIRMAN TUHAN MEMBAWA KEBAHAGIAAN
  • ‘Lakukanlah Apa yang Difirmankan oleh Tuhan’
    Menara Pengawal (Pembelajaran)—2024
  • Dapatkan Manfaat yang Sepenuhnya daripada Bible
    Nikmati Hidup Selama-Lamanya!—Kursus Perbincangan Bible
  • “Firman Tuhan . . . Berkuasa”
    Menara Pengawal (Pembelajaran)—2017
  • Bagaimanakah Bible Dapat Membantu Saya?—Bahagian 3: Memanfaatkan Sepenuhnya Pembacaan Bible
    Kaum Muda Bertanya
Lihat Selanjutnya
Menara Pengawal (Pembelajaran)—2023
w23 Februari ms. 8-13

RENCANA PEMBELAJARAN 7

Raihlah Manfaat yang Lebih Besar semasa Membaca Bible

“Apakah yang kamu faham setelah membacanya?”​—LUK. 10:26.

LAGU 97 Hidup Berpegang pada Firman Tuhan

PENGENALANa

1. Apakah yang menunjukkan bahawa Ayat-Ayat Suci penting bagi Yesus?

BAYANGKAN anda hidup pada abad pertama dan diajar oleh Yesus. Yesus sering memetik Ayat-Ayat Suci, dan dia dapat menghafal semua ayat itu. Sebenarnya dalam catatan Bible, kata-kata pertama Yesus selepas dibaptis, dan sesetengah daripada kata-kata terakhirnya sebelum dia dibunuh, dipetik daripada Ayat-Ayat Suci.b (Ul. 8:3; Mzm. 31:5; Luk. 4:4; 23:46) Sepanjang tiga tahun setengah Yesus menginjil di bumi, dia sering membaca, memetik, dan menjelaskan Ayat-Ayat Suci kepada orang ramai.​—Mat. 5:17, 18, 21, 22, 27, 28; Luk. 4:16-20.

Kolaj: 1. Semasa kecil, Yesus mendengar ibu bapanya bercakap kepadanya. 2. Semasa remaja, Yesus dan keluarganya mendengar dengan teliti semasa Ayat-Ayat Suci dibacakan di rumah ibadat. 3. Semasa dewasa, Yesus membaca gulungan Ayat-Ayat Suci.

Sepanjang hidupnya, Yesus menunjukkan dia mencintai Firman Tuhan dan mengizinkan Firman Tuhan membimbing perbuatannya (Lihat perenggan 2)

2. Seraya Yesus membesar, apakah yang membantunya mengenali Ayat-Ayat Suci dengan baik? (Lihat gambar pada muka depan majalah.)

2 Sebelum Yesus memulakan kerja penyebarannya, dia sudah berulang kali membaca dan mendengar Firman Tuhan. Semasa dia kecil, dia tentu pernah mendengar Maria dan Yusuf memetik Ayat-Ayat Suci dalam perbualan seharian mereka.c (Ul. 6:6, 7) Selain itu, Yesus pergi ke rumah ibadat bersama keluarganya pada setiap hari Sabat. (Luk. 4:16) Di situ, dia pasti mendengar dengan teliti semasa Ayat-Ayat Suci dibacakan. Kemudian Yesus juga belajar untuk membaca sendiri Ayat-Ayat Suci. Hasilnya, Yesus mengenali dan mencintai Firman Tuhan, dan dia membenarkan Firman Tuhan membimbing kelakuannya. Semasa Yesus hanya berumur 12 tahun, guru-guru agama di Rumah Tuhan yang sangat mengenali Hukum Musa berasa “kagum dengan daya pemahaman dan jawapan [Yesus].”​—Luk. 2:46, 47, 52.

3. Apakah yang akan kita bincangkan dalam rencana ini?

3 Kita dapat mengenali dan mengasihi Firman Tuhan dengan membacanya secara tetap. Bagaimanakah kita dapat meraih manfaat terbesar daripada pembacaan kita? Kita dapat belajar daripada kata-kata Yesus kepada mereka yang arif dalam hukum, termasuk para jurutulis hukum, orang Farisi, dan orang Saduki. Mereka sering membaca Ayat-Ayat Suci, tetapi mereka tidak meraih manfaat daripada apa yang dibaca. Yesus menyatakan tiga hal yang telah mereka gagal lakukan. Kata-katanya akan membantu kita untuk meningkatkan mutu pembacaan Bible supaya kita (1) memahami apa yang kita baca, (2) mencari permata rohani, dan (3) membiarkan Firman Tuhan membentuk keperibadian kita.

MEMAHAMI APA YANG KITA BACA

4. Apakah yang dapat kita belajar daripada kisah di Lukas 10:25-29 tentang membaca Firman Tuhan?

4 Kita mahu memahami apa yang kita baca dalam Firman Tuhan. Jika tidak, pembacaan kita sia-sia sahaja. Mari kita lihat perbualan Yesus dengan “seorang lelaki yang arif dalam Hukum.” (Baca Lukas 10:25-29.) Apabila lelaki itu bertanya kepada Yesus apa yang perlu dilakukannya untuk mendapat kehidupan yang kekal, Yesus menghalakan perhatiannya kepada Firman Tuhan dengan bertanya, “Apakah yang tertulis dalam Hukum? Apakah yang kamu faham setelah membacanya?” Lelaki itu dapat menjawab soalan Yesus. Dia memetik Ayat-Ayat Suci dan berkata bahawa seseorang harus mengasihi Tuhan dan mengasihi orang lain. (Im. 19:18; Ul. 6:5) Tetapi selepas itu, dia bertanya pula, “Siapakah yang harus aku kasihi?” Soalan lelaki itu menunjukkan bahawa dia tidak betul-betul memahami apa yang telah dibacanya. Hasilnya, dia tidak tahu bagaimana untuk menerapkan apa yang telah dibaca dalam kehidupannya.

Marilah kita berusaha untuk memahami apa yang kita baca

5. Bagaimanakah doa dan pembacaan yang dilakukan secara perlahan dapat membantu kita lebih memahami Bible?

5 Kita dapat memahami Firman Tuhan dengan lebih baik jika kita membacanya dengan cara yang betul. Perhatikan beberapa cadangan berikut. Berdoalah sebelum membaca. Kita memerlukan bantuan Yehuwa untuk memahami Bible. Maka kita boleh memohon kuasa suci-Nya untuk membantu kita menumpukan perhatian. Kemudian, bacalah secara perlahan. Dengan itu, anda dapat memahami apa yang dibaca. Anda juga boleh membaca dengan suara yang lantang atau membaca bersama rakaman audio Bible. Apabila anda melihat sambil mendengar Firman Tuhan, adalah lebih senang bagi kata-katanya untuk tertanam dalam hati dan minda anda. (Yos. 1:8) Selepas membaca, berdoalah lagi untuk bersyukur kepada Yehuwa kerana mengurniakan Firman-Nya, dan mintalah bantuan-Nya supaya anda dapat menerapkan apa yang telah anda baca.

Kolaj: 1. Seorang saudari menulis nota dan melekatkannya dalam Bible. 2. Seorang saudara menandakan dan membuat nota bagi rencana dalam tabletnya. 3. Seorang saudari menandakan dan membuat nota pada Biblenya dalam aplikasi “JW Library.”

Bagaimanakah nota yang ringkas dapat membantu anda memahami dan mengingati apa yang anda baca? (Lihat perenggan 6)

6. Apakah manfaatnya menanya diri soalan dan membuat nota yang ringkas semasa membaca Bible? (Lihat juga gambar.)

6 Perhatikan dua lagi cadangan yang dapat membantu anda lebih memahami Bible. Tanyalah soalan tentang apa yang anda baca. Contohnya, “Siapakah watak utamanya? Siapakah yang sedang bercakap? Dia sedang bercakap kepada siapa dan mengapa? Bilakah dan di manakah hal ini berlaku?” Soalan-soalan sebegini akan membantu anda berfokus kepada isi utama suatu petikan dan mengikutinya. Selain itu, buatlah nota yang ringkas semasa anda membaca. Dengan demikian, anda sedang memaksa diri untuk mengubah idea menjadi perkataan, dan hal ini akan membantu anda lebih memahami apa yang dibaca. Tambahan lagi, apabila anda menulis nota, anda dapat lebih mengingati apa yang anda baca. Anda boleh menuliskan soalan, hasil penyelidikan anda, isi utama suatu petikan, cara menerapkan apa yang dipelajari, atau perasaan anda. Dengan membuat nota, anda juga akan berasa bahawa Bible ialah mesej peribadi Tuhan kepada anda.

7. Menurut Yesus, apakah yang kita perlukan semasa membaca Bible, dan mengapa? (Matius 13:12)

7 Yesus memberitahu kita bahawa semasa kita membaca Bible, kita memerlukan pengertian. (Baca Matius 13:12.) Apakah itu pengertian? Pengertian ialah kebolehan untuk melihat perbezaan dan kaitan antara dua idea dan untuk memahami apa yang tidak ditulis secara terang-terangan. Selain itu, seperti yang ditunjukkan oleh Yesus, kita memerlukan daya pengertian, atau daya penilaian, untuk mengenal pasti peristiwa yang memenuhi nubuat Bible. (Mat. 24:15) Dengan adanya pengertian, kita dapat meraih manfaat setiap kali kita membaca Bible.

8. Bagaimanakah kita dapat menggunakan daya pengertian semasa membaca Bible?

8 Yehuwa sudi memberi hamba-hamba-Nya daya pengertian. Jadi berdoalah kepada-Nya dan mintalah Dia membantu anda untuk memupuk daya pengertian. (Ams. 2:6) Bagaimanakah anda dapat bertindak selaras dengan doa anda? Fikirkanlah secara mendalam tentang apa yang anda baca, dan kaitkannya dengan hal-hal yang sudah anda tahu. Untuk membantu anda, gunakanlah bahan bacaan kita seperti Panduan Penyelidikan Saksi-Saksi Yehuwa. Alat penyelidikan sebegini dapat membantu anda memahami suatu petikan dalam Bible dan cara anda dapat menerapkan pengajarannya dalam kehidupan anda. (Ibr. 5:14) Apabila anda menggunakan daya pengertian semasa membaca Bible, pemahaman anda terhadap Firman Tuhan akan semakin mendalam.

MENCARI PERMATA ROHANI SEMASA MEMBACA

9. Apakah kebenaran penting yang tidak dipedulikan oleh orang Saduki?

9 Orang Saduki sangat mengenali lima buku pertama dalam Kitab Ibrani, tetapi mereka tidak mempedulikan kebenaran penting yang terkandung dalam buku-buku itu. Sebagai contoh, perhatikan reaksi Yesus semasa orang Saduki mempersoalkan ajaran tentang pembangkitan. Dia menanya mereka, “Belum pernahkah kamu membaca kisah yang ditulis oleh Musa tentang pokok kecil yang bernyala? Tuhan berfirman kepada Musa, ‘Aku Tuhan Abraham, Tuhan Ishak, dan Tuhan Yakub’?” (Mrk. 12:18, 26) Orang Saduki tentu pernah membaca kisah itu berulang kali. Tetapi soalan Yesus menunjukkan bahawa mereka tidak mempedulikan satu kebenaran yang penting, iaitu ajaran tentang pembangkitan.​—Mrk. 12:27; Luk. 20:38.d

10. Apakah yang harus kita cari semasa membaca Bible?

10 Daripada contoh orang Saduki, kita belajar bahawa semasa membaca Bible, sekadar memperhatikan ajaran asas dalam satu ayat atau kisah Bible tidak mencukupi. Kita juga mahu mencari kebenaran atau prinsip yang lebih mendalam di sebalik apa yang kita baca.

11. Selaras dengan 2 Timotius 3:16, 17, bagaimanakah anda dapat menemui permata rohani dalam Bible?

11 Bagaimanakah anda dapat menemui permata rohani semasa membaca Bible? Perhatikan kata-kata di 2 Timotius 3:16, 17. (Baca.) Ayat itu kata bahawa “segenap Ayat-Ayat Suci . . . berguna” untuk (1) mengajar, (2) menegur, (3) membetulkan, dan (4) mendidik. Anda dapat meraih keempat-empat manfaat ini, bahkan daripada buku Bible yang jarang anda baca. Periksalah sesuatu kisah Bible dan lihatlah bagaimana kisah itu dapat mengajar anda tentang Yehuwa, tujuan-Nya, atau piawaian-Nya. Fikirkan bagaimana kisah itu dapat menegur anda dan membantu anda mengenal pasti dan menolak kecenderungan atau sikap yang salah agar anda dapat menyenangkan hati Yehuwa. Periksalah bagaimana kisah itu dapat membetulkan pandangan salah, contohnya pandangan yang dikemukakan oleh penghuni rumah di kawasan penyebaran. Carilah ayat Bible yang dapat mendidik anda untuk mencerminkan pandangan Yehuwa. Apabila anda memikirkan keempat-empat manfaat ini, anda akan menemui permata rohani yang membuat pembacaan Bible anda lebih bermakna.

BIARLAH BIBLE MEMBENTUK KEPERIBADIAN ANDA

12. Mengapakah Yesus bertanya kepada orang Farisi, “Belum pernahkah kamu membaca?”

12 Pernah sekali Yesus bertanya kepada orang Farisi, “Belum pernahkah kamu membaca?” untuk menunjukkan bahawa mereka mempunyai pandangan yang salah terhadap Bible. (Mat. 12:1-7)e Pada masa itu, orang Farisi mendakwa bahawa murid-murid Yesus telah melanggar hukum Sabat. Dalam jawapan Yesus kepada mereka, dia menyebut dua contoh Bible dan memetik ayat daripada buku Hosea yang menunjukkan bahawa orang Farisi tidak memahami hukum Sabat dan tidak menunjukkan belas kasihan. Biarpun orang Farisi membaca Firman Tuhan, mengapakah keperibadian mereka tidak dibentuk olehnya? Kerana mereka sombong dan suka mengkritik. Sikap buruk mereka menghalang mereka daripada memahami apa yang dibaca.​—Mat. 23:23; Yoh. 5:39, 40.

13. Apakah sikap yang harus kita miliki semasa membaca Bible, dan mengapa?

13 Daripada kata-kata Yesus, kita belajar bahawa kita perlu memiliki sikap yang betul semasa membaca Bible. Janganlah kita menjadi seperti orang Farisi yang sombong dan suka mengkritik. Sebaliknya, hendaklah kita ikhlas dan sudi diajar. Bible menasihati kita, “Dengan rendah hati, izinkanlah Tuhan menanamkan firman-Nya dalam diri kamu.” (Yak. 1:21) Jika kita rendah hati, barulah Firman Tuhan dapat berakar dalam hati kita. Dengan demikian, ajaran Bible tentang kasih dan belas kasihan dapat membentuk keperibadian kita.

Bagaimanakah kita dapat tahu jika kita sedang mengizinkan Firman Tuhan untuk membentuk keperibadian kita? (Lihat perenggan 14)f

14. Bagaimanakah kita dapat tahu jika kita sedang mengizinkan Firman Tuhan untuk membentuk keperibadian kita? (Lihat juga gambar.)

14 Cara kita memandang atau melayan seseorang boleh menunjukkan sama ada kita mengizinkan Firman Tuhan untuk membentuk keperibadian kita atau tidak. Sebagai contoh, orang Farisi suka “menyalahkan orang yang tidak bersalah.” (Mat. 12:7) Hal ini menunjukkan bahawa mereka tidak membiarkan Firman Tuhan mencapai hati mereka. Maka, tanyalah diri: “Adakah saya suka memuji orang lain, atau adakah saya sering menyebut kesilapan mereka? Adakah saya berbelas kasihan dan sudi mengampuni, atau adakah saya suka mengkritik dan menyimpan dendam?” Apabila kita memikirkan soalan-soalan ini, kita akan tahu sama ada kita mengizinkan Firman Tuhan untuk membentuk fikiran, perasaan, dan tindakan kita atau tidak.​—1 Tim. 4:12, 15; Ibr. 4:12.

MEMBACA FIRMAN TUHAN MEMBAWA KEBAHAGIAAN

15. Apakah perasaan Yesus terhadap Ayat-Ayat Suci?

15 Yesus mengasihi Ayat-Ayat Suci. Hal ini dinubuatkan di Mazmur 40:8 yang kata, “Ya Tuhanku, aku suka melakukan kehendak-Mu, dan aku menyimpan hukum-Mu dalam lubuk hatiku.” Hasilnya, Yesus bahagia dan dapat terus menyembah Yehuwa dengan setia. Kita juga dapat menikmati kebahagiaan dan dapat berjaya jika kita berusaha untuk memastikan Firman Tuhan terpahat di hati kita.​—Mzm. 1:1-3.

16. Apakah yang ingin anda lakukan untuk meraih lebih banyak manfaat semasa membaca Bible? (Lihat kotak “Kata-Kata Yesus Dapat Membantu Anda Memahami Apa yang Anda Baca.”)

16 Setelah mengkaji kata-kata Yesus dan teladannya, marilah kita berusaha untuk lebih memahami Bible. Untuk berbuat demikian, kita boleh berdoa, membaca secara perlahan, menanyakan soalan, dan membuat nota yang ringkas. Kita juga boleh menggunakan daya pengertian dengan menggunakan bahan bacaan Bible untuk membuat kajian tentang apa yang kita baca. Selain itu, kita mahu mencari permata rohani di sebalik sesuatu kisah Bible, termasuk kisah yang jarang kita baca. Akhir sekali, kita boleh mengizinkan Firman Tuhan untuk membentuk keperibadian kita dengan mempunyai sikap yang betul semasa membaca Bible. Apabila kita berusaha melakukan hal-hal ini, kita akan lebih menghampiri Yehuwa dan meraih banyak manfaat semasa membaca Bible.​—Mzm. 119:17, 18; Yak. 4:8.

Kata-Kata Yesus Dapat Membantu Anda Memahami Apa yang Anda Baca

  • Cubalah memahami apa yang anda baca, dan pupuklah pengertian supaya anda tahu cara untuk menerapkannya.​—Mat. 24:15; Luk. 10:25-37.

  • Kajilah kisah Bible dengan teliti untuk menemui permata rohani.​—Mrk. 12:18-27.

  • Izinkanlah Firman Tuhan untuk membentuk keperibadian anda dan membimbing cara anda melayan orang lain.​—Mat. 12:1-8.

SEMASA MEMBACA BIBLE, APAKAH YANG DAPAT MEMBANTU ANDA . . .

  • memahami apa yang anda baca?

  • mencari permata rohani?

  • mengizinkan Firman Tuhan untuk membentuk keperibadian anda?

LAGU 95 Cahaya Rohani Kian Terang

a Semua penyembah Yehuwa berusaha membaca Bible setiap hari. Banyak orang juga membaca Bible, tetapi mereka tidak memahaminya. Sesetengah orang pada zaman Yesus pun begitu. Dengan mengkaji kata-kata Yesus kepada orang yang membaca Firman Tuhan, kita akan belajar cara untuk meraih manfaat yang lebih besar semasa membaca Bible.

b Semasa Yesus dibaptis dan diurapi dengan kuasa suci Tuhan, nampaknya Yesus dapat ingat kembali kehidupannya di syurga.—Mat. 3:16.

c Maria sangat mengenali Ayat-Ayat Suci dan sering memetiknya. (Luk. 1:46-55) Barangkali, Yusuf dan Maria tidak mampu memiliki salinan Ayat-Ayat Suci. Maka, mereka pasti mendengar dengan teliti semasa Firman Tuhan dibacakan di rumah ibadat sehingga mereka dapat menghafalnya.

d Lihat rencana tentang bagaimana Yehuwa ialah Tuhan orang hidup dalam Menara Pengawal 1 Februari 2013, dalam bahasa Indonesia, muka surat 7.

e Di Matius 19:4-6, Yesus juga menanya orang Farisi, “Belum pernahkah kamu membaca?” Walaupun mereka telah membaca kisah tentang penciptaan, mereka tidak sedar bahawa kisah itu juga mengajar mereka pandangan Tuhan mengenai perkahwinan.

f KETERANGAN GAMBAR: Semasa perjumpaan, saudara yang menjaga sistem audio video membuat beberapa kesilapan. Namun selepas perjumpaan, saudara-saudara lain tidak bertumpu kepada kesilapannya, tetapi berusaha untuk memujinya.

    Bahan Bacaan Bahasa Melayu (2004-2023)
    Log Keluar
    Log Masuk
    • Melayu
    • Kongsi
    • Pilihan
    • Copyright © 2025 Watch Tower Bible and Tract Society of Pennsylvania
    • Syarat Penggunaan
    • Polisi Privasi
    • Tetapan Privasi
    • JW.ORG
    • Log Masuk
    Kongsi