KISAH HIDUP
Saya Melihat Bagaimana Yehuwa Memberkati Penyembah-Nya yang Beriman
ANDA mungkin dapat ingat dengan jelas perbualan yang penting bagi anda. Bagi saya, hal ini berlaku kira-kira 50 tahun yang lalu semasa saya sedang duduk dekat unggun api dengan seorang kawan di Kenya. Kulit kami menjadi gelap setelah mengadakan perjalanan selama berbulan-bulan. Pada masa itu, kami berbincang tentang sebuah wayang yang berunsurkan agama. Tiba-tiba kawan saya berkata, “Bible tidak mengajar hal itu.”
Saya pun ketawa sebab saya tidak sangka kawan saya ada pegangan agama. Saya tanya, “Apalah yang kamu tahu tentang Bible?” Mula-mula dia tidak membalas soalan saya. Akhirnya dia memberitahu saya bahawa ibu dia salah seorang Saksi-Saksi Yehuwa dan dia pernah belajar sesetengah hal tentang Bible daripada ibunya. Hal itu telah mencungkil minat saya dan saya mula tanya banyak soalan.
Kami berbual sepanjang malam. Kawan saya memberitahu saya bahawa Bible kata Syaitan ialah pemerintah dunia ini. (Yoh. 14:30) Anda mungkin tahu hal ini dari dulu, tapi bagi saya, hal itu sesuatu yang baharu dan sangat menarik. Saya selalu dengar orang kata bahawa Tuhan yang pengasih ialah pemerintah dunia. Tetapi hal itu tidak masuk akal bagi saya. Pada masa itu saya hanya berumur 26 tahun, tetapi saya telah menyaksikan banyak hal buruk yang membuat saya sedih dan kecewa.
Dulu bapa saya ialah juruterbang Tentera Udara Amerika Syarikat. Maka dari kecil lagi, saya tahu bahawa perang nuklear mungkin berlaku kerana pihak tentera bersedia untuk melancarkan bom nuklear pada bila-bila masa. Perang di Vietnam telah berlaku semasa saya di kolej di California. Saya menyertai gerakan protes bersama pelajar lain. Pihak polis yang membawa belantan mengejar kami dan menembak gas pemedih mata. Kami terpaksa melarikan diri biarpun susah bernafas dan tidak nampak apa-apa. Masa itu memang huru-hara. Terdapat pembunuhan tokoh politik, tunjuk perasaan, dan rusuhan. Semua orang mempunyai pandangan yang berbeza-beza. Semuanya sangat membingungkan.
Dari London ke Afrika Tengah
Pada tahun 1970, saya mula bekerja di bahagian utara Alaska dan mengumpulkan banyak duit. Selepas itu saya pergi ke London, membeli sebuah motosikal, dan menunggang ke arah selatan tanpa hala tuju. Beberapa bulan kemudian saya sampai di Afrika. Dalam perjalanan, saya jumpa orang yang ingin dibebaskan daripada masalah mereka.
Setelah mendengar dan melihat semua hal ini, saya rasa ajaran Bible bahawa dunia dikuasai oleh satu roh jahat memang masuk akal. Tapi saya tertanya-tanya, “Apakah yang sedang Tuhan lakukan?”
Dalam beberapa bulan seterusnya, saya telah menemui jawapannya. Saya juga mula mengenali dan mengasihi ramai orang yang tetap beriman kepada Tuhan biarpun menghadapi banyak cabaran.
IRELAND UTARA—“TEMPAT YANG PENUH BOM DAN PELURU”
Setelah kembali ke London, saya menghubungi ibu kawan saya dan dia memberi saya sebuah Bible. Selepas itu, semasa saya di Amsterdam, Belanda, seorang Saksi nampak saya membaca Bible itu di bawah tiang lampu, dan dia telah membantu saya untuk belajar lebih banyak tentang Bible. Kemudian saya pergi ke Dublin, Ireland, dan mencari pejabat cawangan Saksi-Saksi Yehuwa. Saya mengetuk pintu depan pejabat cawangan dan berjumpa dengan Arthur Matthews, seorang saudara yang bijak dan berpengalaman. Saya minta pembelajaran Bible dan dia bersetuju untuk mengajar saya.
Saya belajar dengan bersungguh-sungguh. Dengan penuh semangat, saya membaca buku dan majalah yang diterbitkan oleh para Saksi. Sudah tentu saya juga membaca Bible. Saya rasa sangat teruja! Semasa menghadiri perjumpaan, saya mendapati bahawa kanak-kanak pun tahu jawapan kepada soalan-soalan yang telah membingungkan orang yang terpelajar sejak dahulu lagi. Contohnya, “Mengapakah kejahatan wujud? Siapakah Tuhan? Apakah yang berlaku selepas seseorang mati?” Semua kawan saya merupakan Saksi kerana saya tidak kenal orang lain di Ireland. Mereka membantu saya mengasihi Yehuwa dan melakukan kehendak-Nya.
Nigel, Denis, dan saya
Pada tahun 1972, saya dibaptis, dan setahun kemudian saya menjadi perintis dan menyertai sebuah sidang kecil di Newry, Ireland Utara. Di sana saya menyewa sebuah rumah di kawasan pergunungan. Di sebelah rumah saya ada banyak lembu, dan saya berlatih ceramah saya di depan mereka. Mereka mendengar dengan teliti sambil mengunyah rumput. Walaupun mereka tidak dapat memberi saya nasihat, mereka membantu saya untuk memandang hadirin semasa berucap. Pada tahun 1974, saya dilantik sebagai perintis khas. Nigel Pitt ditugaskan sebagai rakan saya, dan dia menjadi sahabat baik saya sepanjang hidup saya.
Konflik Ireland Utara sedang berlaku pada masa itu. Maka ada yang menggambarkan Ireland Utara sebagai “tempat yang penuh bom dan peluru.” Pergaduhan di jalan raya, serangan penembak hendap, kejadian tembak-menembak, dan serangan bom sering kali berlaku. Masalahnya disebabkan oleh pihak politik dan pihak agama. Biarpun begitu, orang Protestan dan Katolik sedar bahawa para Saksi neutral dalam hal politik. Maka kami dapat menginjil dengan bebas dan selamat. Selalunya penghuni rumah tahu bila dan mana keganasan akan berlaku, maka mereka akan memberitahu kami agar kami dapat tetap selamat.
Meskipun begitu, kami pernah menghadapi situasi yang berbahaya. Suatu hari, saya dan seorang perintis yang bernama Dennis Carrigan menginjil di sebuah pekan yang berdekatan. Pekan itu tidak mempunyai Saksi, dan kami hanya pernah mengunjungi pekan itu sekali sahaja. Di sebuah kafe, seorang wanita menuduh kami ialah pengintip dari Britain, mungkin kerana kami tidak mempunyai loghat Ireland. Kami sangat takut kerana biarpun seseorang hanya bersikap ramah kepada askar, dia mungkin ditembak mati atau ditembak di lutut. Semasa kami berdiri di luar dan menunggu bas dalam cuaca yang sejuk, kami nampak sebuah kereta berhenti di luar kafe tadi. Wanita yang menuduh kami itu keluar dan bercakap kepada dua orang lelaki dalam kereta itu sambil menunjuk ke arah kami. Kemudian, dua lelaki itu memandu ke arah kami dan menanya beberapa soalan tentang jadual bas. Apabila bas tiba, mereka bercakap kepada drebar, tetapi kami tidak dapat dengar apa yang mereka katakan. Memandangkan tiada penumpang lain dalam bas, kami fikir mereka sedang merancang untuk membawa kami ke luar pekan dan membelasah kami. Tetapi hal itu tidak berlaku. Semasa saya turun dari bas, saya tanya drebar itu, “Dua lelaki tadi bertanya tentang kami?” Dia menjawab, “Saya kenal kamu dan saya sudah jelaskan kepada mereka. Jangan risau, kamu selamat.”
Hari perkahwinan kami, Mac 1977
Pada tahun 1976 di perhimpunan distrika di Dublin, saya berjumpa dengan Pauline Lomax, seorang perintis khas dari England yang cantik, berfikiran rohani, dan rendah hati. Dia dan adik lelakinya, Ray, sudah mengenali kebenaran sejak kecil. Setahun kemudian, Pauline dan saya berkahwin. Kami terus berkhidmat sebagai perintis khas, dan kami ditugaskan ke Ballymena, Ireland Utara.
Buat satu jangka masa, kami melakukan kerja litar di Belfast, Londonderry, dan kawasan lain yang berbahaya. Kami sangat digalakkan oleh iman saudara saudari yang telah meninggalkan kepercayaan agama palsu, sikap prasangka, dan rasa benci yang telah berakar umbi supaya dapat menyembah Yehuwa. Dia telah memberkati dan melindungi mereka.
Saya tinggal di Ireland untuk 10 tahun. Kemudian pada tahun 1981, kami dijemput ke kelas Gilead yang ke-72. Selepas lulus, kami ditugaskan ke Sierra Leone, Afrika Barat.
SIERRA LEONE—BERIMAN WALAUPUN MISKIN
Kami tinggal di sebuah rumah mubaligh bersama 11 orang yang lain. Kami berkongsi satu dapur, tiga tandas, dua bilik mandi, satu telefon, satu mesin basuh, dan satu mesin pengering baju. Bekalan elektrik di situ sering terputus tanpa dijangka. Siling rumah kami sering dimasuki tikus, dan bilik bawah tanah kami sering dimasuki ular tedung.
Menyeberangi sungai untuk menghadiri konvensyen di Guinea
Keadaan hidup di situ memang susah, tetapi kami menikmati kerja penyebaran. Orang di situ menghormati Bible dan mendengar mesej Bible dengan teliti. Ramai orang telah belajar Bible dan menerima kebenaran. Penduduk tempatan biasanya memanggil saya “Encik Robert” dan Pauline “Puan Robert.” Namun tidak lama kemudian, kerja saya di pejabat cawangan bertambah dan saya tidak keluar menginjil sekerap dahulu. Maka orang mula memanggil Pauline “Puan Pauline,” dan saya pula menjadi “Encik Pauline.” Pauline sangat suka gelaran itu!
Dalam perjalanan ke kawasan penyebaran yang jauh di Sierra Leone
Kebanyakan saudara saudari hidup miskin, tetapi Yehuwa sentiasa menjaga keperluan mereka, kadangkala dalam cara yang menakjubkan. (Mat. 6:33) Pernah sekali, seorang saudari hanya ada cukup wang untuk membeli makanan bagi dia dan anak-anaknya untuk hari itu. Tetapi dia memberi semua wangnya kepada seorang saudara yang sakit, yang memerlukan wang untuk membeli ubat malaria. Tanpa disangka, pada hari itu juga seorang wanita datang ke rumah saudari itu dan membayarnya untuk mendandan rambutnya. Sebenarnya, terdapat banyak pengalaman sebegini di Sierra Leone.
NIGERIA—MEMPELAJARI BUDAYA BAHARU
Sembilan tahun kemudian, kami ditugaskan ke Bethel Nigeria. Sekarang kami berkhidmat di pejabat cawangan yang besar. Kerja saya di situ masih sama dengan kerja saya di Sierra Leone, tetapi Pauline perlu berdepan dengan perubahan yang besar dan mencabar. Dulu dia menginjil selama 130 jam setiap bulan dan ada banyak pelajar Bible. Tetapi sekarang dia ditugaskan untuk menjahit pakaian yang rosak sehari suntuk. Dia memerlukan masa untuk menyesuaikan diri, tetapi dia kemudiannya sedar bahawa saudara saudari di Bethel menghargai kerja yang dilakukannya, dan dia bertumpu untuk menggalakkan ahli Bethel yang lain.
Budaya di Nigeria memang baharu bagi kami dan ada banyak hal yang perlu kami belajar. Pernah sekali, seorang saudara datang ke pejabat saya untuk memperkenalkan seorang saudari yang baru sahaja diterima masuk ke Bethel. Semasa saya ingin berjabat tangan dengan saudari itu, dia tiba-tiba sujud di hadapan kaki saya. Saya sangat terkejut dan segera teringat dua ayat Bible: Kisah 10:25, 26 dan Wahyu 19:10. Saya menanya diri, “Patutkah saya menghalangnya?” Pada masa yang sama, saya sedar saudari itu memenuhi syarat untuk memasuki Bethel. Jadi dia tentu mengetahui ajaran Bible.
Semasa berbual dengan saudari itu, saya rasa sangat kekok. Selepas itu, saya buat sedikit penyelidikan. Saya belajar bahawa apa yang dilakukan oleh saudari itu merupakan adat yang diamalkan di sesetengah kawasan di Nigeria untuk menunjukkan hormat. Kaum lelaki juga berbuat demikian. Mereka bukan sujud menyembah, dan dalam Bible pun ada contoh penyembah Yehuwa yang bersujud sebagai tanda hormat. (1 Sam. 24:8) Saya bersyukur saya tidak terburu-buru mengatakan sesuatu yang mungkin memalukan saudari saya.
Di Nigeria, kami berkenalan dengan banyak saudara saudari yang beriman, seperti Isaiah Adagbona.b Saudara ini belajar kebenaran semasa masih muda. Tetapi kemudiannya, dia didapati menghidap penyakit kusta. Dia dihantar ke koloni pesakit kusta, dan dia satu-satunya Saksi di sana. Biarpun menghadapi tentangan, dia telah membantu lebih daripada 30 orang pesakit kusta untuk menerima kebenaran. Sebuah sidang telah ditubuhkan di koloni itu.
KENYA—MEREKA BERSABAR DENGAN SAYA
Di Kenya bersama seekor badak sumbu kecil yang kehilangan induknya
Pada tahun 1996, kami ditugaskan ke cawangan Kenya. Itulah kali pertama saya kembali ke Kenya sejak pengalaman saya yang disebut di awal rencana. Kami tinggal di Bethel, dan antara pelawat Bethel, ada sejenis monyet. Mereka akan “merompak” para saudari yang membawa buah-buahan. Pada suatu hari, seorang saudari terlupa menutup tingkapnya. Semasa dia kembali ke bilik, dia mendapati sekumpulan monyet sedang makan makanan di dalam biliknya. Dia berteriak dan berlari keluar, dan monyet-monyet itu pun berteriak dan lompat keluar dari jendela.
Saya dan Pauline menyertai sebuah sidang bahasa Swahili. Tidak lama kemudian, saya ditugaskan untuk mengendalikan Pembelajaran Buku Sidang (kini dipanggil Pembelajaran Bible Sidang). Namun, tahap bahasa Swahili saya masih seperti bayi. Saya dapat membacakan soalan kerana saya ada membuat persiapan, tetapi jika jawapan hadirin berbeza sedikit pun daripada apa yang ditulis, saya tidak dapat memahaminya. Susah betul mengendalikan perbincangan itu! Saya rasa serba salah kerana menyusahkan saudara saudari. Namun, saya kagum mereka masih menerima aturan itu dengan sabar dan rendah hati.
AMERIKA SYARIKAT—BERIMAN WALAUPUN HIDUP KAYA
Kami berada di Kenya untuk kurang daripada setahun. Pada tahun 1997, kami dijemput ke Bethel Brooklyn di New York. Sekarang, kami di sebuah negara yang sangat kaya, tetapi hal itu mengundang masalahnya tersendiri. (Ams. 30:8, 9) Di sini pun ada banyak saudara saudari yang mempunyai iman yang kuat. Mereka menggunakan masa dan harta mereka, bukan untuk mengejar kekayaan, tetapi untuk menyokong kerja baik yang dilakukan oleh organisasi Yehuwa.
Sepanjang hidup kami, kami telah melihat iman yang ditunjukkan oleh saudara saudari dalam pelbagai situasi. Di Ireland, mereka beriman walaupun menghadapi pergolakan sosial. Di Afrika, mereka beriman walaupun hidup miskin dan tinggal jauh dari Saksi lain. Di Amerika Syarikat, mereka beriman walaupun hidup di negara yang kaya. Yehuwa pasti sangat gembira apabila melihat umat-Nya menunjukkan kasih kepada-Nya dalam pelbagai situasi!
Bersama Pauline di Bethel Warwick
Masa “berlalu dengan cepat sekali.” (Ayb. 7:6) Sekarang kami berkhidmat di ibu pejabat sedunia di Warwick, New York, dan kami gembira untuk bekerja bersama orang yang saling mengasihi. Kami berasa sukacita dan puas kerana dapat menyokong Raja kita, Kristus Yesus, yang akan memberkati pengikutnya yang beriman tidak lama lagi.—Mat. 25:34.
a Konvensyen serantau dikenali sebagai perhimpunan distrik pada masa itu.
b Kisah hidup Isaiah Adagbona terdapat dalam Menara Pengawal bahasa Indonesia terbitan 1 April 1998, ms. 22-27. Dia meninggal pada tahun 2010.