RENCANA PEMBELAJARAN 22
LAGU 15 Sambutlah Putera Yehuwa!
Seberapa Pentingkah Nama Yehuwa bagi Yesus?
“Aku sudah membuat nama-Mu nyata kepada mereka dan aku akan terus berbuat demikian.”—YOH. 17:26.
FOKUS
Cara Yesus membuat nama Yehuwa nyata, serta cara dia menyucikan dan membela nama Yehuwa.
1-2. (a) Apakah yang Yesus lakukan pada malam sebelum dia dihukum mati? (b) Apakah soalan-soalan yang akan dibincangkan dalam rencana ini?
PADA malam 14 Nisan 33 Masihi, Yesus baru sahaja mengadakan jamuan yang istimewa bersama para rasulnya yang setia. Dalam beberapa jam lagi, dia akan dikhianati, dijatuhkan hukuman, diseksa, dan akhirnya dibunuh. Maka dia memberikan kata-kata galakan kepada para rasulnya lalu mengucapkan doa yang sangat bermakna sebelum mereka beredar. Doa itu dicatatkan dalam Yohanes bab 17.
2 Dalam rencana ini, kita akan membincangkan doa Yesus dengan lebih lanjut. Yesus risau tentang apa semasa mengucapkan doa itu? Bagaimanakah doa itu menunjukkan keutamaan Yesus semasa dia di bumi? Mari kita lihat jawapannya.
“AKU SUDAH MEMBUAT NAMA-MU NYATA KEPADA MEREKA”
3. Apakah yang Yesus katakan tentang nama Yehuwa, dan apakah maksudnya? (Yohanes 17:6, 26)
3 Dalam doanya, Yesus berkata, “Aku sudah membuat nama-Mu nyata kepada mereka.” Sebenarnya, Yesus menyebut hal ini dua kali. (Baca Yohanes 17:6, 26.) Apakah maksudnya? Adakah murid-murid Yesus tidak tahu nama Yehuwa? Tidak, murid-murid Yesus ialah orang Yahudi, dan nama Yehuwa muncul ribuan kali dalam Kitab Ibrani. Maka, Yesus tidak merujuk kepada nama peribadi Tuhan. Sebaliknya, memandangkan Yesus paling kenal Yehuwa, dia membantu murid-muridnya lebih memahami Yehuwa, termasuk tujuan, perbuatan, dan sifat-sifat-Nya.
4-5. (a) Gunakan contoh untuk menjelaskan bagaimana nama seseorang dapat menjadi lebih bermakna bagi kita. (b) Bagaimanakah nama Yehuwa menjadi lebih bermakna bagi murid-murid Yesus?
4 Bayangkan di sidang anda terdapat seorang penatua yang sudah lama anda kenal. Namanya David dan dia juga merupakan seorang doktor. Suatu hari, anda dikejarkan ke hospital kerana kecemasan dan David menggunakan kemahirannya sebagai doktor untuk menyelamatkan nyawa anda. Selepas itu, adakah namanya menjadi lebih bermakna bagi anda? Sudah tentu! David bukan sahaja penatua yang anda kenali, tetapi juga doktor yang menyelamatkan anda.
5 Begitu juga, murid-murid Yesus sudah tahu nama Yehuwa. Tetapi dengan mendengar ajaran Yesus dan memperhatikan cara dia melayan orang, nama Yehuwa menjadi lebih bermakna bagi mereka. Oleh sebab Yesus sentiasa mencerminkan keperibadian Bapanya, kehidupannya di bumi membantu murid-muridnya mengenali Yehuwa dengan lebih baik.—Yoh. 14:9; 17:3.
“NAMA-MU SENDIRI YANG TELAH ENGKAU BERIKAN KEPADAKU”
6. Apakah maksudnya Yehuwa telah memberikan nama-Nya kepada Yesus? (Yohanes 17:11, 12)
6 Dalam doa Yesus, dia juga berkata, “Demi nama-Mu sendiri yang telah Engkau berikan kepadaku, jagalah mereka.” (Baca Yohanes 17:11, 12.) Adakah hal itu bermaksud bahawa nama Yesus akan berubah menjadi Yehuwa? Tidak. Semasa Yesus menyebut nama Yehuwa, dia kata itu ialah “nama-Mu sendiri.” Jadi apakah maksudnya Yehuwa telah memberikan nama-Nya kepada Yesus? Perhatikan dua hal ini. Pertama, Yesus ialah wakil Yehuwa dan merupakan jurucakap-Nya. Dia datang atas nama Bapanya dan melakukan mukjizat atas nama itu. (Yoh. 5:43; 10:25) Kedua, nama Yesus bermaksud “Yehuwa ialah Penyelamatan.” Maka nama Yehuwa berkait rapat dengan nama Yesus.
7. Bagaimanakah Yesus dapat bercakap atas nama Yehuwa? Jelaskan.
7 Seorang duta dapat bercakap atas nama raja kerana dia mewakili raja itu. Oleh sebab dia bercakap bagi pihak raja, kata-katanya boleh dianggap berasal daripada raja. Begitu juga, Yesus bercakap atas nama Yehuwa kerana dia mewakili Yehuwa dan bercakap bagi pihak-Nya.—Mat. 21:9; Luk. 13:35.
8. Bagaimanakah Yesus bercakap atas nama Yehuwa sebelum dia turun ke bumi? (Keluaran 23:20, 21)
8 Sebelum Yesus turun ke bumi, dia ialah Firman atau Jurucakap Yehuwa. Dia menyampaikan maklumat dan arahan daripada Tuhan kepada makhluk roh yang lain dan manusia. (Yoh. 1:1-3) Nampaknya, Yesus ialah malaikat yang digunakan oleh Yehuwa untuk menjaga orang Israel semasa mereka keluar dari Mesir. Mengenai malaikat itu, Yehuwa berkata, “Dia datang atas nama-Ku, maka dengarlah dan patuhilah kata-katanya.”a (Baca Keluaran 23:20, 21.) Maka, Yesus bercakap atas nama Yehuwa kerana dia mewakili Yehuwa dan memainkan peranan utama untuk membela dan menyucikan nama Bapa-Nya.
“YA BAPA, MULIAKANLAH NAMA-MU”
9. Bagaimanakah Yesus menunjukkan bahawa nama Yehuwa sangat penting baginya?
9 Seperti yang telah kita bincang tadi, bahkan sebelum Yesus datang ke bumi, nama Yehuwa sudah sangat penting baginya. Semasa di bumi pun, apa sahaja yang dilakukan Yesus adalah demi nama Yehuwa juga. Tidak lama sebelum Yesus dibunuh, dia berseru, “Ya Bapa, muliakanlah nama-Mu.” Dengan serta-merta, Bapanya menjawab dengan suara seperti guruh dari langit, “Aku sudah memuliakannya dan akan memuliakannya lagi.”—Yoh. 12:28.
10-11. (a) Bagaimanakah Yesus memuliakan nama Yehuwa? (Lihat juga gambar.) (b) Mengapakah nama Yehuwa perlu dibela dan disucikan?
10 Bagaimanakah Yesus memuliakan nama Bapanya? Satu cara adalah dengan mengajar orang tentang sifat-sifat dan perbuatan Yehuwa yang menakjubkan. Selain itu, dia juga membela dan menyucikan nama Bapanya.b Yesus menunjukkan bahawa hal ini sangat penting semasa dia mengajar murid-muridnya untuk berdoa. Dia berkata, “Bapa kami yang di syurga, semoga nama-Mu disucikan.”—Mat. 6:9.
11 Mengapakah nama Yehuwa perlu dibela dan disucikan? Kerana di Taman Eden, Syaitan Si Iblis telah memfitnah Yehuwa. Syaitan mendakwa bahawa Yehuwa ialah pendusta dan bahawa Yehuwa telah menahan apa yang baik daripada Adam dan Hawa. (Kej. 3:1-5) Syaitan juga mendakwa bahawa cara pemerintahan Yehuwa tidak baik. Tuduhan-tuduhan Syaitan merosakkan nama baik atau reputasi Yehuwa. Kemudian pada zaman Ayub, Syaitan mendakwa bahawa manusia menyembah Yehuwa demi kepentingan sendiri. Dia melontarkan tuduhan bahawa tiada manusia yang betul-betul mengasihi Yehuwa dan akan terus menyembah-Nya jika hidup mereka susah. (Ayb. 1:9-11; 2:4) Maka, masa diperlukan untuk membuktikan siapa ialah pendusta, Yehuwa atau Syaitan.
Yesus mengajar murid-muridnya pentingnya menyucikan nama Tuhan (Lihat perenggan 10)
“AKU MENYERAHKAN NYAWAKU”
12. Apakah yang Yesus sanggup lakukan kerana dia begitu mengasihi nama Yehuwa?
12 Oleh sebab Yesus begitu mengasihi Yehuwa, dia sanggup melakukan apa-apa sahaja, termasuk mengorbankan nyawanya, untuk menyucikan dan membela nama Yehuwa.c (Yoh. 10:17, 18) Biarpun Adam dan Hawa sempurna, mereka memberontak terhadap Yehuwa dan menyokong Syaitan. Yesus pula sanggup datang ke bumi dan membuktikan betapa dalamnya kasihnya terhadap Yehuwa dan nama-Nya. Bagaimanakah Yesus membuktikan kasihnya? Dia mentaati Yehuwa dalam segala sesuatu, dan dia tetap setia sehingga dibunuh pada tiang seksaan.—Ibr. 4:15; 5:7-10; 12:2.
13. Mengapakah Yesus ialah individu terbaik untuk membuktikan bahawa Syaitan ialah pendusta? (Lihat juga gambar.)
13 Sebagai individu yang paling mengenali Yehuwa, Yesus ialah orang yang terbaik untuk membuktikan bahawa Syaitan ialah pendusta. Jika tuduhan Syaitan terhadap Yehuwa berasas, Yesus pasti mengetahuinya dan dia tidak akan membela nama Yehuwa. Tetapi sepanjang hidupnya di bumi, Yesus membuktikan bahawa Syaitanlah pendusta, dan bukannya Yehuwa! (Yoh. 8:44) Biarpun semasa Yesus rasa bahawa Yehuwa telah meninggalkannya, Yesus sanggup mati dan tetap setia kepada Bapanya.—Mat. 27:46.d
Kehidupan Yesus telah membuktikan bahawa Syaitan ialah pendusta, bukan Yehuwa! (Lihat perenggan 13)
“AKU SUDAH . . . MENYELESAIKAN KERJA YANG ENGKAU BERIKAN KEPADAKU”
14. Apakah berkat yang Yehuwa berikan kepada Yesus kerana dia setia?
14 Pada malam sebelum Yesus mati, Yesus berdoa kepada Yehuwa, “Aku sudah . . . menyelesaikan kerja yang Engkau berikan kepadaku.” Yesus yakin Bapanya akan memberkatinya kerana dia setia. (Yoh. 17:4, 5) Apakah berkat yang Yehuwa berikan kepadanya? Dia tidak membiarkan Yesus dibelenggu oleh kematian. (Kis. 2:23, 24) Sebaliknya, Dia membangkitkan Yesus dan memberinya kedudukan yang lebih tinggi di syurga. (Flp. 2:8, 9) Kemudian, Yesus menjadi Raja Kerajaan Tuhan. Apakah yang akan dilakukan oleh kerajaan itu? Menurut doa yang diajarkan oleh Yesus, kerajaan itu akan memastikan agar “kehendak [Yehuwa] terlaksana di bumi seperti di syurga.”—Mat. 6:10.
15. Apakah yang akan Yesus lakukan pada masa depan?
15 Tidak lama lagi, Yesus akan berperang melawan musuh Tuhan dan memusnahkan orang jahat semasa perang Armagedon. (Why. 16:14, 16; 19:11-16) Kemudian, Yesus akan melemparkan Syaitan ke dalam “jurang yang dalam,” dan mengurungnya di situ. (Why. 20:1-3) Semasa Pemerintahan Seribu Tahunnya, Yesus akan melaksanakan tujuan Yehuwa. Dia akan membantu manusia menjadi sempurna dan memulihkan kedamaian di bumi. Dia juga akan membangkitkan orang mati dan menjadikan seluruh bumi sebuah Firdaus.—Why. 21:1-4.
16. Apakah keadaan di bumi selepas Pemerintahan Seribu Tahun Kristus?
16 Apakah keadaan di bumi selepas Pemerintahan Seribu Tahun Kristus? Pada masa itu, setiap orang di bumi telah menjadi sempurna. Dosa dan ketidaksempurnaan sudah tiada. Manusia tidak lagi perlu meminta pengampunan atas dasar korban tebusan. Mereka juga tidak memerlukan pengantara, atau imam, untuk menjalin hubungan yang baik dengan Yehuwa. Selain itu “musuh terakhir,” iaitu kematian, sudah dilenyapkan. Kuburan pun sudah kosong kerana semua orang mati telah dibangkitkan.—1 Kor. 15:25, 26.
17-18. (a) Apakah peristiwa penting yang akan berlaku selepas Pemerintahan Seribu Tahun Kristus? (b) Apakah yang akan Yesus lakukan apabila masa pemerintahannya berakhir? (1 Korintus 15:24, 28) (Lihat juga gambar.)
17 Adakah anda masih ingat isu yang diungkit oleh Syaitan di Taman Eden? Dia mendakwa bahawa Yehuwa ialah pendusta dan bukan pemerintah yang baik. Sejak masa itu, nama Yehuwa telah disucikan dan dibela berkali-kali oleh penyembah-Nya yang setia dan yang menghormati-Nya. Namun, sesuatu yang penting akan berlaku selepas Pemerintahan Seribu Tahun Kristus: Isu yang melibatkan nama Yehuwa akan diselesaikan. Semua malaikat dan manusia akan mengakui bahawa Yehuwa ialah Bapa yang pengasih.
18 Ketika itu, semua orang akan tahu bahawa segala-gala yang dikatakan oleh Syaitan tentang Yehuwa ialah dusta belaka. Apakah yang akan Yesus lakukan apabila masa pemerintahannya berakhir? Adakah dia akan mengikut Syaitan dan memberontak terhadap Yehuwa? Tidak! (Baca 1 Korintus 15:24, 28.) Yesus akan menyerahkan Kerajaannya kepada Bapanya dan tunduk kepada-Nya. Ya, Yesus rela menyerahkan semua kuasanya kepada Yehuwa kerana dia mengasihi Yehuwa.
Dengan rela, Yesus menyerahkan Kerajaannya kembali kepada Yehuwa selepas Pemerintahan Seribu Tahunnya (Lihat perenggan 18)
19. Apakah yang telah kita belajar dalam rencana ini tentang Yesus?
19 Dalam rencana ini, kita telah belajar bahawa bagi Yesus, tiada apa-apa yang lebih penting daripada nama Bapanya. Dia sanggup mati demi nama Bapanya, dan dia sudi menyerahkan semua kuasanya kepada Yehuwa pada akhir Pemerintahan Seribu Tahunnya. Maka tidak hairanlah Yehuwa berbesar hati untuk memberikan nama-Nya kepada Yesus. Bagaimanakah kita dapat meniru teladan Yesus? Rencana seterusnya akan menjawab soalan ini.
LAGU 16 Pujilah Yehuwa dan Anak yang Diurapi-Nya
a Malaikat juga mewakili Yehuwa semasa menyampaikan perkhabaran atas nama-Nya. Itulah sebabnya semasa Bible menyatakan bahawa “Yehuwa menampakkan diri,” kadangkala yang sebenarnya menampakkan diri kepada manusia ialah malaikat dan bukannya Yehuwa sendiri. (Kej. 18:1-33, dan nota kaki) Begitu juga, walaupun Bible menyatakan bahawa Musa menerima Hukum daripada Yehuwa, ayat-ayat lain menyatakan bahawa Yehuwa telah menggunakan malaikat untuk menyampaikan Hukum itu atas nama-Nya.—Im. 27:34; Kis. 7:38, 53; Gal. 3:19; Ibr. 2:2-4.
b MAKSUD UNGKAPAN: “Menyucikan” bermaksud menghormati atau memuliakan sesuatu dan menganggapnya kudus. “Membela” bermaksud membersihkan nama seseorang daripada tuduhan palsu, atau membuktikan bahawa fitnah dan dakwaan yang dilontarkan terhadapnya tidak benar.
c Kematian Yesus juga membuka jalan agar manusia dapat meraih kehidupan kekal.
d Lihat rencana “Pertanyaan Pembaca” dalam Menara Pengawal terbitan April 2021, ms. 30-31.