RENCANA PEMBELAJARAN 28
LAGU 88 Ajarlah Aku Jalan-Mu
Mengapakah Kita Perlu Meminta Nasihat?
“Kebijaksanaan milik orang yang meminta nasihat.”—AMS. 13:10.
FOKUS
Apa yang mesti kita lakukan untuk meraih manfaat sepenuhnya daripada nasihat yang kita terima.
1. Apakah yang perlu kita lakukan untuk membuat keputusan yang bijak? (Amsal 13:10; 15:22)
KITA semua mahu membuat keputusan yang bijak dan kita berharap rancangan kita berjaya. Untuk berbuat demikian, Bible kata kita perlu meminta nasihat.—Baca Amsal 13:10; 15:22.
2. Apakah yang Yehuwa janjikan kepada kita?
2 Sudah tentu, nasihat yang terbaik diberikan oleh Bapa kita, Yehuwa. Dia berjanji bahawa apabila kita berdoa meminta kebijaksanaan, Dia akan membantu kita. Dia berkata, “Aku akan memberimu nasihat dan Aku akan memerhatikanmu.” (Mzm. 32:8) Maksudnya, Yehuwa akan memberi kita nasihat yang sesuai dengan keperluan kita dan membantu kita menerapkannya.
3. Apakah yang akan kita bincangkan dalam rencana ini?
3 Dalam rencana ini, kita akan membincangkan beberapa kisah Bible dan menjawab empat soalan berikut: (1) Apakah sifat yang saya perlukan untuk meraih manfaat daripada nasihat yang diberikan? (2) Saya patut meminta nasihat daripada siapa? (3) Mengapakah saya harus berfikiran terbuka semasa diberi nasihat? (4) Mengapakah saya tidak patut meminta orang lain membuat keputusan bagi saya?
APAKAH SIFAT YANG SAYA PERLUKAN?
4. Apakah sifat yang kita perlukan untuk meraih manfaat daripada nasihat yang diberikan?
4 Kita mesti rendah hati untuk meraih manfaat daripada nasihat yang diberikan. Kita sedar bahawa kita tidak selalunya mempunyai pengetahuan atau pengalaman yang cukup untuk membuat keputusan yang bijak. Jika kita sombong, Yehuwa tidak akan membantu kita. Akibatnya, apa sahaja nasihat yang kita baca daripada Firman Tuhan akan menjadi sia-sia kerana kita tidak menerapkannya. (Mi. 6:8; 1 Ptr. 5:5) Namun, jika kita rendah hati, kita akan cepat menerapkan nasihat Bible dan meraih manfaat daripadanya.
5. Apakah yang mungkin membuat Raja Daud menjadi sombong?
5 Fikirkan contoh Raja Daud. Dia ada banyak sebab untuk menjadi sombong. Contohnya, lama sebelum dia menjadi raja, dia seorang ahli muzik yang terkenal. Dia begitu mahir sehingga dijemput untuk main muzik bagi Raja Saul. (1 Sam. 16:18, 19) Daud juga boleh menjadi sombong selepas dipilih menjadi raja kerana kuasa suci Yehuwa sering membantunya berjaya. (1 Sam. 16:11-13) Tambahan lagi, orang ramai sangat menyanjungnya kerana dia mengalahkan banyak musuh, termasuk Goliat. (1 Sam. 17:37, 50; 18:7) Biarpun begitu, Daud tetap rendah hati. Dia tidak pernah berfikir bahawa dia tidak perlu mendengar nasihat orang lain.
6. Apakah yang menunjukkan bahawa Daud rela mendengar nasihat? (Lihat juga gambar.)
6 Selepas menjadi raja, Daud memilih beberapa orang sahabat untuk menjadi penasihatnya. (1 Taw. 27:32-34) Sebenarnya, sebelum menjadi raja pun, Daud selalu sudi mendengar nasihat. Dia bahkan sudi mendengar nasihat daripada wanita. Tidak seperti suami Abigail yang sombong, biadab, dan tidak tahu berterima kasih, Daud mendengar nasihat Abigail dengan rendah hati. Hasilnya, dia dapat mengelakkan kesilapan yang besar.—1 Sam. 25:2, 3, 21-25, 32-34.
Dengan rendah hati, Raja Daud mendengar dan mengikut nasihat Abigail (Lihat perenggan 6)
7. Apakah yang dapat kita belajar daripada contoh Daud? (Pengkhutbah 4:13) (Lihat juga gambar.)
7 Apakah yang dapat kita belajar daripada contoh Daud? Biarpun kita sangat berbakat atau berpengalaman, jangan sekali-kali berfikir bahawa kita sudah tahu segala-galanya dan tidak memerlukan nasihat. Selain itu, asalkan nasihat yang diberikan itu baik, kita harus sudi mendengarnya, tidak kira siapa yang memberikannya. (Baca Pengkhutbah 4:13.) Dengan demikian, kita dapat mengelak daripada melakukan kesilapan yang menyusahkan diri dan orang lain.
Kita patut sudi mendengar nasihat, tidak kira siapa yang memberikan nasihat itu (Lihat perenggan 7)c
SAYA PATUT MEMINTA NASIHAT DARIPADA SIAPA?
8. Mengapakah Yonatan ialah orang yang sesuai untuk memberi Daud nasihat?
8 Terdapat satu lagi hal yang kita dapat belajar daripada contoh Daud. Dia mendengar nasihat daripada orang yang memiliki hubungan yang baik dengan Yehuwa dan memahami situasi yang dihadapinya. Contohnya, semasa Daud ingin tahu jika Raja Saul sudi berdamai dengannya, dia meminta nasihat Yonatan, iaitu anak Saul. Mengapakah Yonatan ialah orang yang sesuai untuk memberinya nasihat? Yonatan bukan sahaja mempunyai hubungan yang baik dengan Yehuwa, tetapi juga mengenali Saul dengan baik. (1 Sam. 20:9-13) Apakah pengajarannya bagi kita?
9. Kita patut meminta nasihat daripada siapa? Berikan contoh. (Amsal 13:20)
9 Semasa meminta nasihat, carilah seseorang yang ada hubungan yang baik dengan Yehuwa dan berpengalaman dalam situasi yang kita hadapi.a (Baca Amsal 13:20.) Contohnya, katakan seorang saudara muda ingin mencari pasangan hidup. Dia patut meminta nasihat daripada siapa? Sahabatnya yang bujang mungkin dapat memberikan nasihat yang bagus berdasarkan Bible. Tetapi dia dapat meraih manfaat yang lebih besar jika dia mendengar nasihat daripada pasangan Kristian yang matang, yang telah berkahwin untuk suatu jangka masa, dan yang mengenalinya dengan baik. Mereka dapat mengongsi nasihat yang lebih spesifik dan praktikal dengannya.
10. Apakah yang akan kita bincang sekarang?
10 Setakat ini, kita telah bincang sifat apa yang kita perlukan dan daripada siapa kita patut meminta nasihat. Sekarang, mari kita bincang dua soalan berikut: Mengapakah kita harus berfikiran terbuka semasa diberi nasihat? Patutkah kita meminta orang lain untuk buat keputusan bagi kita?
MENGAPAKAH SAYA HARUS BERFIKIRAN TERBUKA?
11-12. (a) Apakah mungkin niat sebenar sesetengah orang semasa meminta nasihat? (b) Apakah yang dilakukan oleh Raja Rehabeam semasa dia perlu membuat keputusan yang penting?
11 Sesetengah orang mungkin nampaknya mahu meminta nasihat, tetapi sebenarnya mereka sudah buat keputusan dan hanya mahu mencari orang yang menyokong keputusan mereka. Orang sebegini tidak dapat meraih manfaat daripada nasihat yang diberikan kerana mereka tidak berfikiran terbuka. Perhatikan contoh Raja Rehabeam.
12 Selepas Raja Salomo meninggal, anaknya Rehabeam menjadi raja Israel. Pada masa itu, rakyat memang hidup makmur, tetapi mereka rasa beban yang diberikan Salomo terlalu berat. Jadi, mereka menghadap Rehabeam dan meminta agar beban mereka diringankan. Rehabeam suruh mereka pulang dahulu dan kembali selepas tiga hari. Kemudian, dia meminta nasihat daripada orang tua yang berkhidmat sebagai penasihat bapanya. (1 Raj. 12:2-7) Tindakannya itu bijak, tetapi sayangnya dia menolak nasihat mereka. Nampaknya, Rehabeam sudah membuat keputusan dan hanya mahu cari orang yang menyokong keputusannya. Akhirnya, dia menjumpai orang yang setuju dengan pandangannya, iaitu kawan-kawan yang membesar bersamanya. (1 Raj. 12:8-14) Namun, apabila Rehabeam mengikut nasihat mereka, rakyatnya memberontak dan dia sering dilanda masalah.—1 Raj. 12:16-19.
13. Bagaimanakah kita dapat tahu jika kita mendengar nasihat dengan fikiran yang terbuka?
13 Contoh Rehabeam mengajar kita pentingnya untuk berfikiran terbuka. Bagaimanakah kita dapat tahu jika kita mendengar nasihat dengan fikiran yang terbuka? Tanyalah diri, “Semasa diberi nasihat, adakah saya segera menolaknya kerana itu bukan apa yang saya mahu dengar?” Fikirkan situasi berikut.
14. Apakah yang harus kita ingat semasa kita diberi nasihat? Berikan contoh. (Lihat juga gambar.)
14 Bayangkan seorang saudara ditawarkan kerja yang gajinya lumayan. Sebelum menerima tawaran kerja itu, dia meminta nasihat daripada seorang penatua. Selepas mendengar bahawa saudara itu perlu berjauhan dengan keluarganya buat masa yang lama, penatua itu mengingatkannya bahawa menurut Bible, tanggungjawab utamanya adalah untuk menjaga keperluan rohani keluarganya. (Ef. 6:4; 1 Tim. 5:8) Katakan saudara itu tidak suka nasihat penatua itu. Maka, dia bertanya kepada saudara saudari lain sehingga ada orang beritahunya apa yang dia mahu dengar. Adakah saudara itu meminta nasihat dengan ikhlas? Atau adakah dia sudah membuat keputusan dan hanya mencari orang yang menyokong keputusannya? Ingatlah bahawa hati kita licik. (Yer. 17:9) Kadang-kadang nasihat yang paling kita perlukan ialah nasihat yang paling kita tidak suka.
Adakah kita meminta nasihat dengan ikhlas, atau adakah kita hanya mahu cari orang yang setuju dengan keputusan kita? (Lihat perenggan 14)
PATUTKAH SAYA MINTA ORANG LAIN MEMBUAT KEPUTUSAN BAGI SAYA?
15. Apakah yang tidak patut kita lakukan? Mengapa?
15 Kita sudah belajar bahawa sebelum membuat keputusan, kita patut cari nasihat dalam Bible dan bertanya kepada orang Kristian yang matang. Namun, kita tidak patut minta orang lain untuk buat keputusan bagi kita. Ada yang suka tanya orang yang mereka hormati, “Kalau kamu ialah saya, apa yang akan kamu buat?” Ada pula yang meniru keputusan orang lain bulat-bulat tanpa berfikir panjang. Kita tidak patut buat begitu kerana kita masing-masing bertanggungjawab membuat keputusan sendiri.—Gal. 6:4, 5.
16. Apakah keputusan yang perlu dibuat oleh orang Kristian di Korintus? Siapakah yang patut buat keputusan itu? (1 Korintus 8:7; 10:25, 26)
16 Pada abad pertama di Korintus, sesetengah daging yang dijual di pasar pernah dipersembahkan kepada berhala. Jadi, orang Kristian perlu memutuskan sama ada mereka boleh makan daging sebegini atau tidak. Mengenai hal ini, Paulus menulis, “Kita tahu bahawa berhala langsung tidak bernilai, dan kita juga tahu bahawa Tuhan hanyalah satu.” (1 Kor. 8:4) Oleh itu, sesetengah orang Kristian berfikir mereka boleh makan daging itu. Yang lain pula berfikir bahawa jika mereka makan daging itu, hati nurani mereka akan terganggu. (Baca 1 Korintus 8:7; 10:25, 26.) Siapakah yang patut membuat keputusan ini? Ini merupakan keputusan peribadi. Paulus tidak pernah kata bahawa orang Kristian harus buat keputusan bagi orang lain atau meniru keputusan orang lain bulat-bulat. Sebaliknya, mereka “bertanggungjawab kepada Tuhan atas perbuatan [mereka] masing-masing.”—Rm. 14:10-12.
17. Apakah yang mungkin berlaku jika kita meniru keputusan orang lain tanpa berfikir dahulu? Berikan contoh. (Lihat juga gambar.)
17 Hari ini, orang Kristian perlu membuat keputusan masing-masing dalam sesetengah hal. Contohnya, mereka perlu memutuskan untuk menerima atau menolak pecahan kecil darah.b Topik perubatan memang susah difahami. Tetapi kita harus mengkaji topik ini kerana kita bertanggungjawab untuk membuat keputusan sendiri. (Rm. 14:4) Jika kita meniru keputusan orang lain tanpa berfikir, hati nurani kita akan menjadi lemah. Sebaliknya, jika kita belajar untuk membuat keputusan berdasarkan prinsip Bible, hati nurani kita akan dilatih dan kita akan menjadi bijak. (Ibr. 5:14) Adakah ini bermaksud kita tidak patut meminta nasihat daripada orang lain? Tidak. Kita memang boleh bertanya kepada rakan seiman yang matang jika kita kurang faham cara untuk menerapkan prinsip Bible. Namun, kita harus membuat penyelidikan terlebih dahulu.
Sebelum bertanya kepada orang, buatlah penyelidikan sendiri terlebih dahulu (Lihat perenggan 17)
TERUSLAH MEMINTA NASIHAT
18. Apakah bantuan yang disediakan oleh Yehuwa bagi kita?
18 Yehuwa memberi kita kebebasan untuk membuat keputusan sendiri. Hal ini menunjukkan bahawa Yehuwa sangat mempercayai kita. Sebagai Bapa yang penyayang, Dia telah menyediakan bantuan supaya kita dapat membuat keputusan yang bijak. Dia memberi kita Bible dan sahabat yang dapat bantu kita memahami cara menerapkan prinsip Bible. (Ams. 3:21-23) Bagaimanakah kita dapat menunjukkan penghargaan kita?
19. Bagaimanakah kita dapat menggembirakan Yehuwa?
19 Apabila ibu bapa melihat anak mereka menjadi penyembah Yehuwa yang matang dan bijak, mereka pasti sangat gembira. Begitu juga, Yehuwa pasti sangat gembira apabila Dia melihat kita menjadi orang Kristian yang matang, suka mencari nasihat, dan membuat keputusan yang bijak.
LAGU 127 Bagaimana Seharusnya Hidupku
a Ada kalanya, adalah bijak jika orang Kristian meminta nasihat daripada orang yang bukan penyembah Yehuwa dalam hal kewangan, perubatan, atau hal lain.
b Untuk maklumat yang terperinci, lihat pelajaran 39 poin 5 dan bahagian “Jom Belajar” dalam buku Nikmati Hidup Selama-Lamanya!
c KETERANGAN GAMBAR: Seorang penatua menasihati seorang lagi penatua tentang cara dia bercakap semasa mesyuarat yang lalu.