RENCANA PEMBELAJARAN 34
LAGU 3 Engkaulah Sumber Kekuatan, Harapan, dan Keyakinan
Yakinlah akan Pengampunan Yehuwa
“Engkau mengampunkan kesalahan dan dosaku.”—MZM. 32:5.
FOKUS
Mengapa kita perlu yakin akan pengampunan Yehuwa dan bagaimana Bible menguatkan keyakinan kita bahawa Dia pasti mengampuni pendosa yang bertaubat.
1-2. Apakah yang Yehuwa lakukan apabila kita bertaubat, dan apakah perasaan kita? (Lihat juga gambar.)
RAJA Daud dibebani rasa bersalah kerana melakukan beberapa dosa yang serius. (Mzm. 40:12; 51:3; penerangan) Namun, dia bertaubat dengan ikhlas. (2 Sam. 12:13) Hasilnya, dia berasa lega apabila dia sedar bahawa Yehuwa telah mengampuninya.—Mzm. 32:1.
2 Seperti Daud, kita juga berasa lega apabila kita sedar bahawa Yehuwa telah mengampuni kita. Biarpun kita melakukan dosa yang serius, kita bersyukur kerana tahu bahawa Yehuwa akan mengampuni kita jika kita benar-benar bertaubat, mengakui dosa kita, dan berusaha untuk tidak mengulangi kesalahan yang sama. (Ams. 28:13; Kis. 26:20; 1 Yoh. 1:9) Apabila Yehuwa mengampunkan dosa kita, Dia berbuat demikian dengan sepenuhnya dan tidak akan mengungkitnya lagi. (Yeh. 33:16) Alangkah bersyukurnya kita kerana mengetahui hal ini!
Raja Daud menggubah banyak mazmur yang menggambarkan pengampunan Yehuwa (Lihat perenggan 1-2)
3-4. Apakah perasaan yang terus menghantui seorang saudari selepas dia dibaptis? Apakah yang akan kita bincangkan dalam rencana ini?
3 Kadangkala, sesetengah saudara saudari berasa susah untuk menerima hakikat bahawa Yehuwa telah mengampunkan dosa mereka. Perhatikan pengalaman Jennifer yang dibesarkan dalam kebenaran. Semasa remaja, dia hidup bermuka dua dan melakukan hal-hal yang salah. Tetapi bertahun-tahun kemudian, dia kembali kepada Yehuwa dan dibaptis. Dia berkata, “Dulu, saya pentingkan wang, melakukan perbuatan seks yang tidak bermoral, minum berlebihan, dan tidak mengawal kemarahan. Oleh sebab saya telah bertaubat, saya tahu Yehuwa sudah mengampuni saya atas dasar korban tebusan Yesus. Namun, saya tidak dapat meyakinkan hati saya bahawa dosa saya sudah diampunkan.”
4 Ada kalanya, adakah anda meragui jika Yehuwa telah mengampunkan dosa lampau anda? Seperti Daud, Yehuwa mahu anda yakin akan pengampunan-Nya. Dalam rencana ini, kita akan membincangkan mengapa kita perlu yakin akan pengampunan Yehuwa dan apa yang dapat membantu kita berbuat demikian.
MENGAPAKAH KITA PERLU YAKIN AKAN PENGAMPUNAN YEHUWA?
5. Apakah yang Syaitan mahu kita percaya? Berikan contoh.
5 Jika kita yakin akan pengampunan Yehuwa, kita dapat mengelakkan salah satu perangkap Syaitan. Syaitan akan melakukan apa sahaja untuk membuat kita berhenti menyembah Yehuwa. Untuk mencapai matlamatnya, Syaitan mahu kita percaya bahawa dosa kita tidak dapat diampunkan. Perhatikan contoh seorang lelaki di Korintus yang dikeluarkan daripada sidang kerana melakukan perbuatan seks yang tidak bermoral. (1 Kor. 5:1, 5, 13) Beberapa lama kemudian, lelaki itu telah bertaubat. Namun, Syaitan mahu saudara saudari lain untuk tidak memaafkannya dan tidak mengalu-alukannya kembali ke dalam sidang. Pada masa yang sama, Syaitan mahu lelaki yang bertaubat itu berasa bahawa dosanya tidak dapat diampunkan. Syaitan ingin lelaki itu menjadi “terlalu sedih sehingga putus asa” dan berhenti menyembah Yehuwa. Hari ini, Syaitan juga mahu kita berasa bahawa Yehuwa tidak akan mengampunkan dosa kita. Memandangkan kita “mengetahui muslihatnya,” kita dapat mengelakkan perangkap Syaitan.—2 Kor. 2:5-11.
6. Apakah yang dapat membantu kita agar tidak terus dibebani rasa bersalah?
6 Jika kita menerima pengampunan Yehuwa, kita tidak perlu lagi dibebani rasa bersalah. Semasa kita berdosa, kita akan berasa bersalah. (Mzm. 51:17) Hal itu memang baik kerana hati nurani kita akan mendorong kita untuk mengambil langkah-langkah yang diperlukan untuk bertaubat. (2 Kor. 7:10, 11) Namun, jika kita dihantui rasa bersalah biarpun kita sudah lama bertaubat, kita mungkin menjadi begitu tawar hati sehingga berhenti menyembah Yehuwa. Apabila kita menerima pengampunan Yehuwa, kita dapat melupakan dosa lampau kita. Selain itu, kita dapat terus menyembah Yehuwa dengan hati nurani yang bersih dan sukacita yang mendalam. (Kol. 1:10, 11; 2 Tim. 1:3) Apakah yang dapat bantu kita yakin akan pengampunan Yehuwa?
APAKAH YANG DAPAT BANTU KITA YAKIN AKAN PENGAMPUNAN YEHUWA?
7-8. Apakah yang Yehuwa katakan tentang diri-Nya? Kita dapat yakin akan hal apa? (Keluaran 34:6, 7)
7 Fikirkan secara mendalam tentang apa yang Yehuwa katakan tentang diri-Nya. Sebagai contoh, perhatikan kata-kata Yehuwa kepada Musa di Gunung Sinai.a (Baca Keluaran 34:6, 7.) Walaupun Yehuwa ada banyak sifat yang baik, Dia memilih untuk memberitahu Musa bahawa Dia ialah “Tuhan yang penuh rahmat dan belas kasihan.” Mungkinkah Tuhan yang berbelas kasihan enggan mengampuni penyembah-Nya yang sudah bertaubat dengan ikhlas? Tidak mungkin! Hal itu memang kejam dan mustahil Yehuwa bertindak sedemikian.
8 Memandangkan Yehuwa ialah sumber kebenaran, Dia tidak akan berdusta. (Mzm. 31:5) Maka, kita dapat mempercayai kata-kata-Nya. Jika anda berasa susah untuk melupakan dosa lampau anda, tanyalah diri, “Adakah saya percaya bahawa Yehuwa ialah Tuhan yang penuh rahmat dan belas kasihan? Adakah saya yakin bahawa Dia rela mengampuni sesiapa pun yang bertaubat daripada dosanya?” Jika ya, anda dapat yakin bahawa Yehuwa telah mengampuni anda juga.
9. Menurut Mazmur 32:5, apakah yang kita belajar tentang cara Yehuwa mengampunkan dosa kita?
9 Renungkan apa yang dicatatkan oleh penulis Bible tentang pengampunan Yehuwa. Rasa bersalah adalah seperti beban berat yang membuat kita letih lesu. Itulah sebabnya Yehuwa mengilhami Daud untuk menggambarkan cara Dia mengampunkan dosa. (Baca Mazmur 32:5.) Daud kata, “Engkau mengampunkan kesalahan dan dosaku.” Perkataan Ibrani bagi “mengampunkan” boleh membawa maksud “mengangkat” atau “membawa pergi.” Maka, semasa Yehuwa mengampunkan dosa Daud, Dia seolah-olah mengangkat dan membawa pergi dosa Daud. Sudah pasti Daud berasa lega kerana tidak lagi dibebani rasa bersalah. (Mzm. 32:2-4) Begitu juga, apabila kita bertaubat dengan ikhlas, kita berasa lega dan tidak lagi dibebani rasa bersalah kerana Yehuwa seolah-olah telah mengangkat dan membawa pergi dosa kita.
10-11. Menurut Mazmur 86:5, apakah yang kita belajar tentang cara Yehuwa mengampunkan dosa kita?
10 Baca Mazmur 86:5. Daud kata Yehuwa “suka mengampuni.” Mengapa? Ayat yang sama menjelaskan, “Engkau sentiasa menunjukkan kasih setia-Mu kepada semua orang yang berseru kepada-Mu.” Seperti yang dipelajari dalam rencana sebelumnya, Yehuwa menunjukkan kasih setia-Nya kepada kita. Hal ini bermaksud Yehuwa sangat mengasihi kita dan tidak akan mengabaikan kita. Didorong oleh kasih setia-Nya, Yehuwa “dengan rela hati” mengampuni semua pendosa yang bertaubat. (Yes. 55:7) Jika anda berasa susah untuk menerima pengampunan Yehuwa, tanyalah diri, “Adakah saya percaya bahawa Yehuwa sudi mengampuni semua pendosa yang bertaubat?” Jika ya, anda boleh yakin bahawa Yehuwa juga telah mengampunkan dosa anda.
11 Sebagai Pencipta, Yehuwa sangat mengenali kita dan tahu bahawa kita tidak sempurna. (Mzm. 139:1, 2) Hal ini dijelaskan dalam satu lagi mazmur Daud yang dapat membantu kita yakin akan pengampunan Yehuwa.
APA YANG YEHUWA INGAT TENTANG KITA
12-13. Menurut Mazmur 103:14, apakah yang Yehuwa ingat tentang kita? Hal ini menggerakkan Dia untuk melakukan apa?
12 Baca Mazmur 103:14. Daud memberitahu kita satu lagi sebab mengapa Yehuwa sedia memaafkan orang yang bertaubat. Daud kata Yehuwa “ingat bahawa kita ini debu.” Hal ini bermaksud Yehuwa sentiasa sedar bahawa kita tidak sempurna. Sekarang, mari kita mengkaji kata-kata Daud dengan lebih mendalam.
13 Daud berkata bahawa Yehuwa “tahu benar bagaimana kita dibentuk.” Di Taman Eden, Yehuwa “mengambil tanah [atau debu] dan membentuk” Adam. Maka Yehuwa tahu manusia yang sempurna pun seperti “debu” kerana mempunyai keterbatasan tertentu. Sebagai contoh, mereka perlu makan, tidur, dan bernafas untuk terus hidup. (Kej. 2:7) Namun, selepas Adam dan Hawa berdosa, manusia mewarisi dosa dan menjadi “debu” dalam cara yang lain: Kita menjadi tidak sempurna dan cenderung berbuat salah. Yehuwa bukan sahaja sedar bahawa kita tidak sempurna, tetapi Dia juga “ingat” bahawa kita ini debu. Apakah maksudnya? Dalam bahasa Ibrani, perkataan “ingat” juga boleh bererti mengambil langkah yang positif. Maka, apabila kita bertaubat daripada dosa kita, Yehuwa tergerak untuk menunjukkan belas kasihan-Nya dan mengampuni kita kerana Dia tahu kita tidak sempurna dan cenderung berbuat salah.—Mzm. 78:38, 39.
14. (a) Menurut Mazmur 103:12, apakah yang kita belajar tentang pengampunan Yehuwa? (b) Apakah yang kita belajar daripada cara Yehuwa mengampunkan dosa Daud? (Lihat kotak “Yehuwa Mengampunkan Dosa dan Melupakannya.”)
14 Baca Mazmur 103:12. Daud kata bahawa Yehuwa membuang dosa kita “sejauh matahari terbit [timur] dari matahari terbenam [barat].” Seberapa jauhkah timur dari barat? Timur berada di arah yang bertentangan dengan barat, dan kedua-dua arah itu tidak mungkin akan bertemu. Apakah yang kita belajar tentang pengampunan Yehuwa daripada ayat ini? Apabila Yehuwa mengampunkan dosa kita, Dia membuang dosa kita begitu jauh sehingga Dia tidak akan ingat atau mengungkit dosa itu lagi.—Yeh. 18:21, 22; Kis. 3:19.
15. Apakah yang dapat membantu kita jika kita terus dihantui perasaan bersalah atas dosa lampau?
15 Bagaimanakah kata-kata Daud di Mazmur 103 membantu kita agar tidak terus dihantui perasaan bersalah atas dosa lampau? Fikirkan perasaan Yehuwa. Dia ingat bahawa kita tidak sempurna dan Dia mengampuni kita apabila kita bertaubat. Ingatlah juga bahawa Yehuwa sudah melupakan dan tidak lagi mengungkit dosa yang telah Dia ampunkan. Memandangkan Yehuwa tidak berfokus kepada dosa lampau kita, kita juga tidak patut berbuat demikian. (Mzm. 130:3) Apabila kita menerima pengampunan Yehuwa, kita dapat memaafkan diri sendiri atas dosa lampau dan terus menyembah-Nya dengan sukacita.
16. Mengapakah bahaya untuk terus dibelenggu perasaan bersalah atas dosa lampau? Berikan contoh. (Lihat juga gambar.)
16 Fikirkan contoh ini: Semasa memandu, seseorang akan melihat cermin pandang belakangnya dari masa ke masa untuk melihat keadaan trafik di belakang kenderaannya. Tetapi jika dia asyik melihat cermin pandang belakangnya, hal itu sangat bahaya. Untuk memandu dengan selamat, dia harus bertumpu kepada jalan raya di depannya. Begitu juga, tidak salah jika kita kadangkala berfikir tentang dosa lampau kita. Kita dapat belajar daripadanya dan menguatkan tekad kita agar tidak mengulangi kesilapan yang sama. Tetapi jika kita asyik dibelenggu perasaan bersalah atas dosa yang telah Yehuwa ampunkan, kita mungkin menjadi tawar hati dan tidak dapat menyembah-Nya dengan sukacita. Maka, kita mahu terus memandang ke depan. Kita mahu berfokus kepada harapan masa depan yang dijanjikan Tuhan, di mana memori buruk “tidak akan terlintas dalam fikiran [kita] lagi.”—Yes. 65:17; Ams. 4:25.
Sepertimana seorang pemandu perlu berfokus kepada apa yang ada di depannya, kita juga perlu berfokus kepada berkat masa depan, dan bukannya dosa lampau (Lihat perenggan 16)
TERUS MEYAKINKAN HATI KITA
17. Mengapakah kita perlu terus meyakinkan hati kita akan kasih dan pengampunan Yehuwa?
17 Kita perlu terus meyakinkan hati kita akan kasih dan pengampunan Yehuwa. (1 Yoh. 3:19) Mengapa? Kerana Syaitan mahu kita berhenti menyembah Yehuwa. Dia mahu kita percaya bahawa kita tidak layak dikasihi atau diampuni. Memandangkan masanya tinggal sedikit, Syaitan akan melipatgandakan usahanya untuk mematahkan semangat kita. (Why. 12:12) Jadi, kita mesti menentang muslihat Syaitan dan tetap menyembah Yehuwa dengan setia!
18. Bagaimanakah anda dapat meyakinkan hati anda akan kasih dan pengampunan Yehuwa?
18 Untuk menguatkan keyakinan anda akan kasih Yehuwa, terapkanlah cadangan-cadangan yang sudah dibincangkan dalam rencana sebelumnya. Untuk meyakinkan hati anda akan pengampunan Yehuwa, renungkanlah apa yang Yehuwa katakan tentang diri-Nya. Fikirkanlah dengan mendalam apa yang Dia ilhami penulis Bible untuk mencatatkan tentang pengampunan-Nya. Janganlah lupa bahawa Dia sedar anda tidak sempurna dan akan berbelas kasihan terhadap anda. Ingatlah bahawa Yehuwa akan mengampunkan dosa anda dengan sepenuhnya jika anda bertaubat. Semoga anda dapat menjadi seperti Daud, yang yakin akan pengampunan Yehuwa dan berkata, “Terima kasih Yehuwa kerana ‘mengampunkan kesalahan dan dosaku’!”—Mzm. 32:5.
LAGU 1 Sifat-Sifat Yehuwa
a Untuk maklumat lanjut, lihat rencana pada muka surat 18 dalam majalah Menara Pengawal terbitan 1 Mei 2009, dalam bahasa Indonesia.