PERPUSTAKAAN DALAM TALIAN Watchtower
PERPUSTAKAAN DALAM TALIAN
Watchtower
Melayu
  • BIBLE
  • BAHAN BACAAN
  • PERJUMPAAN
  • w25 Oktober ms. 18-23
  • Cara Meningkatkan Mutu Doa

Tiada video untuk bahagian ini.

Maaf, terdapat masalah memainkan video.

  • Cara Meningkatkan Mutu Doa
  • Menara Pengawal (Pembelajaran)—2025
  • Tajuk Kecil
  • Bahan yang Berkaitan
  • BERDOA KEPADA YEHUWA DENGAN YAKIN
  • CARA MENGUCAPKAN DOA YANG LEBIH BERMAKNA
  • RENUNGKAN DOA-DOA DALAM BIBLE
  • HAMPIRILAH YEHUWA MELALUI DOA
  • Berdoalah untuk Orang Lain
    Menara Pengawal (Pembelajaran)—2025
  • Menghampiri Tuhan Melalui Doa
    Apakah Sebenarnya Ajaran Bible?
  • Hampiri Tuhan melalui Doa
    Nikmati Hidup Selama-Lamanya!—Kursus Perbincangan Bible
  • Meningkatkan Mutu Doa Kita
    Menara Pengawal (Pembelajaran)—2023
Lihat Selanjutnya
Menara Pengawal (Pembelajaran)—2025
w25 Oktober ms. 18-23

RENCANA PEMBELAJARAN 42

LAGU 44 Doa Orang yang Patah Semangat

Cara Meningkatkan Mutu Doa

“Aku berseru kepada-Mu dengan sepenuh hati; ya Yehuwa, jawablah seruanku.”—MZM. 119:145.

FOKUS

Belajar daripada doa hamba Yehuwa yang tercatat dalam Bible untuk bantu kita meningkatkan mutu doa kita.

1-2. (a) Semasa berdoa, apakah yang mungkin menghalang kita daripada meluahkan isi hati kita? (b) Mengapakah Yehuwa mendengar doa kita dengan teliti?

SEMASA berdoa, adakah anda kadangkala mengulangi kata-kata yang sama atau tidak dapat meluahkan isi hati anda? Jika ya, anda tidak keseorangan. Hari ini, kita sangat sibuk dan mungkin berdoa dengan tergesa-gesa. Atau kita mungkin susah untuk meluahkan isi hati kita kepada Yehuwa kerana rasa tidak layak untuk berdoa kepada-Nya.

2 Bible kata bahawa Yehuwa “mendengarkan rayuan orang yang rendah hati.” (Mzm. 10:17) Maka, apa yang penting bagi Yehuwa ialah doa yang ikhlas, dan bukannya doa yang berbunga-bunga. Dia mendengar doa kita dengan teliti kerana Dia benar-benar mengambil berat terhadap kita.—Mzm. 139:​1-3.

3. Apakah soalan-soalan yang akan kita bincangkan dalam rencana ini?

3 Dalam rencana ini, kita akan bincangkan soalan-soalan berikut: Mengapakah kita dapat berdoa kepada Yehuwa dengan yakin? Bagaimanakah kita dapat mengucapkan doa yang lebih bermakna? Bagaimanakah doa hamba Yehuwa dalam Bible membantu kita untuk meningkatkan mutu doa kita? Apakah yang boleh kita lakukan semasa kita tertekan dan tidak dapat meluahkan perasaan kita menerusi kata-kata? Mari kita lihat jawapannya.

BERDOA KEPADA YEHUWA DENGAN YAKIN

4. Apakah yang dapat membantu kita berdoa kepada Yehuwa dengan yakin? (Mazmur 119:145)

4 Apabila kita memandang Yehuwa sebagai sahabat setia yang inginkan yang terbaik bagi kita, kita dapat berdoa kepada-Nya dengan yakin. Itulah pandangan penulis Mazmur 119 semasa berdoa kepada Yehuwa. Dia menghadapi banyak masalah dalam hidupnya. Contohnya, ada orang yang menyebarkan dusta tentangnya. (Mzm. 119:​23, 69, 78) Dia juga perlu bergelut dengan ketidaksempurnaannya. (Mzm. 119:67) Biarpun begitu, dia tidak teragak-agak untuk berdoa kepada Yehuwa dengan sepenuh hati.—Baca Mazmur 119:145.

5. Mengapakah kita tidak patut membiarkan perasaan negatif menghalang kita daripada berdoa? Berikan contoh.

5 Mengapakah kita tidak patut membiarkan perasaan negatif menghalang kita daripada berdoa? Kerana Yehuwa mahu semua orang untuk berdoa kepada-Nya, termasuk mereka yang telah melakukan kesalahan yang serius. (Yes. 55:​6, 7) Fikirkan contoh ini: Anda pergi ke suatu tempat yang baharu dan tersesat jalan. Anda tahu penduduk di sana dapat membantu anda. Adakah anda akan teragak-agak untuk meminta bantuan mereka kerana anda malu sebab tersesat jalan? Sudah pasti tidak! Begitu juga, biarpun kita kadangkala rasa buntu atau telah melakukan dosa, kita tidak mahu teragak-agak untuk meminta bantuan Yehuwa melalui doa.—Mzm. 119:​25, 176.

CARA MENGUCAPKAN DOA YANG LEBIH BERMAKNA

6-7. Bagaimanakah merenungkan sifat-sifat Yehuwa dapat bantu kita mengucapkan doa yang lebih bermakna? Berikan contoh. (Lihat juga nota kaki.)

6 Apabila kita memberitahu Yehuwa fikiran dan perasaan kita yang sebenar, kita akan lebih menghampiri-Nya. Tetapi, apakah yang dapat kita lakukan agar doa kita menjadi lebih bermakna?

7 Renungkan sifat-sifat Yehuwa.a Semakin banyak kita merenungkan sifat-sifat Yehuwa, semakin mudah bagi kita untuk meluahkan isi hati kita kepada-Nya. (Mzm. 145:​8, 9, 18) Perhatikan contoh Saudari Kristine yang bapanya sangat ganas. Dia berkata, “Susah bagi saya untuk berdoa kepada Yehuwa dan memandang-Nya sebagai Bapa yang pengasih. Saya rasa jika saya buat silap, Dia akan meninggalkan saya.” Apakah yang membantu Kristine? Dia berkata, “Apabila saya merenungkan sifat kasih setia Yehuwa, saya berasa selamat. Saya yakin Dia sentiasa berada di sisi saya. Biarpun saya terjatuh, Dia pasti bantu saya bangun semula. Hal ini menggalakkan saya untuk meluahkan perasaan saya kepada-Nya, tidak kira semasa saya gembira atau sedih.”

8-9. Apakah manfaatnya jika kita mengambil sedikit masa untuk memikirkan apa yang ingin kita doakan? Berikan contoh.

8 Fikirkan apa yang ingin didoakan. Sebelum berdoa, anda dapat menanya diri soalan seperti ini: Apakah masalah yang saya hadapi sekarang? Adakah saya perlu memaafkan seseorang? Adakah saya memerlukan bantuan Yehuwa untuk mengatasi cabaran baharu? (2 Raj. 19:​15-19) Kita juga dapat mengikut teladan Yesus dengan memikirkan apa yang ingin kita doakan tentang nama Yehuwa, Kerajaan-Nya, dan kehendak-Nya.—Mat. 6:​9, 10.

9 Apabila Saudari Aliska mendapat tahu bahawa suaminya ada kanser otak yang sangat serius, dia berasa susah untuk berdoa. Dia berkata, “Saya sangat runsing dan tertekan sehingga tidak tahu apa yang hendak dikatakan.” Apakah yang membantunya? Aliska berkata, “Sebelum berdoa, saya mengambil sedikit masa untuk berfikir tentang apa yang dapat saya katakan kepada Yehuwa. Dengan itu, doa saya tidak hanya berfokus kepada diri sendiri dan penyakit suami saya. Hal ini membantu saya untuk berasa lebih tenang semasa berdoa.”

10. Mengapakah kita tidak mahu terburu-buru semasa berdoa? (Lihat juga gambar.)

10 Jangan terburu-buru semasa berdoa. Memang tidak salah untuk mengucapkan doa yang pendek.b Tetapi, jika kita meluangkan lebih banyak masa untuk berdoa, kita dapat meluahkan isi hati kita kepada Yehuwa. Suami Aliska, iaitu Elijah, berkata, “Saya cuba berdoa banyak kali dalam satu hari. Apabila saya mengucapkan doa yang lebih panjang, saya rasa lebih dekat kepada Yehuwa. Yehuwa bukannya mahu saya habiskan doa saya dengan cepat, jadi saya tidak perlu terburu-buru.” Cubalah hal ini: Carilah masa dan tempat yang sesuai agar anda dapat berdoa tanpa gangguan. Anda dapat mengucapkan doa yang lebih panjang, bahkan dengan menggunakan suara.

Kolaj: 1. Sebelum matahari terbit, seorang saudara membuat perenungan. Dia duduk di meja dengan Bible yang terbuka dan memegang secawan kopi. 2. Selepas matahari terbit, dia masih duduk di meja. Dia mengambil masa yang panjang untuk berdoa kepada Yehuwa.

Carilah masa dan tempat yang sesuai agar anda dapat mengucapkan doa yang lebih panjang (Lihat perenggan 10)


RENUNGKAN DOA-DOA DALAM BIBLE

11. Apakah manfaatnya jika kita merenungkan doa-doa dalam Bible? (Lihat juga kotak “Apakah yang Dapat Anda Belajar daripada Doa Mereka?”)

11 Anda dapat meraih manfaat dengan merenungkan doa dan lagu pujian dalam Bible. Contohnya, anda boleh mendapat ilham daripada cara hamba Yehuwa meluahkan perasaan dan fikiran mereka kepada-Nya. Anda juga boleh menggunakan kata-kata yang digunakan oleh mereka. Selain itu, anda mungkin jumpa doa yang berkaitan dengan situasi anda.

Apakah yang Dapat Anda Belajar daripada Doa Mereka?

Hamba Yehuwa yang setia meluahkan isi hati mereka kepada Yehuwa semasa mengalami pelbagai cabaran dan situasi hidup. Dapatkah anda menyelami perasaan mereka?

  • Apabila Yakub berasa takut, dia bukan sahaja berdoa tentang kerisauannya, tetapi juga mengucapkan syukur dan memberitahu Yehuwa bahawa dia yakin terhadap-Nya.—Kej. 32:​9-12.

  • Salomo menjadi raja semasa dia masih muda. Oleh sebab dia tidak berpengalaman, dia berdoa kepada Yehuwa agar dia dapat melaksanakan tanggungjawabnya.—1 Raj. 3:​7-9.

  • Selepas Daud berdosa dengan Bat-syeba, dia merayu kepada Yehuwa untuk memberinya “hati yang murni.”—Mzm. 51:​9-12.

  • Semasa Yehuwa memberi Maria tugas yang istimewa, dia memuji Yehuwa.—Luk. 1:​46-49.

Projek pembelajaran: Baca dengan teliti doa yang diucapkan oleh seorang watak Bible. Kemudian, renungkan cara Yehuwa menjawab permohonannya. Terapkan apa yang anda belajar dalam situasi hidup anda.

12. Apakah soalan yang dapat kita tanya diri semasa membaca doa yang tercatat dalam Bible?

12 Semasa membaca doa yang tercatat dalam Bible, tanyalah diri, “Siapakah yang mengucapkan kata-kata ini dan apakah situasi hidupnya? Mengapakah dia mengucapkan kata-kata ini? Apakah pengajaran yang dapat saya raih?” Anda mungkin perlu membuat penyelidikan untuk mencari jawapannya, tetapi usaha anda pasti berbaloi. Mari kita lihat beberapa contoh.

13. Apakah satu hal yang dapat kita belajar daripada doa Hana? (1 Samuel 1:​10, 11) (Lihat juga gambar.)

13 Baca 1 Samuel 1:​10, 11. Semasa Hana mengucapkan doanya, dia menghadapi dua masalah besar. Dia mandul dan madunya Penina selalu mencemuhnya. (1 Sam. 1:​4-7) Jika anda menghadapi masalah yang susah diselesaikan, apakah yang dapat anda belajar daripada doa Hana? Hana berasa lega selepas dia mencurahkan isi hatinya kepada Yehuwa dan berdoa untuk masa yang lama. (1 Sam. 1:​12, 18) Kita juga boleh berasa lega jika kita ‘menyerahkan beban kita kepada Yehuwa’ dengan berdoa secara spesifik tentang masalah kita.—Mzm. 55:22.

Kolaj: 1. Semasa Hana melihat Elkana bermain bersama dua orang anak Penina, dia berasa sedih dan memalingkan wajahnya. 2. Penina senyum semasa mendukung anaknya yang baru lahir. 3. Hana berdoa dengan bersungguh-sungguh sambil menangis. 4. Imam Agung Eli duduk dengan tangan bersilang sambil memandang Hana dengan marah.

Hana mandul dan madunya Penina, selalu mencemuhnya. Oleh itu, Hana mencurahkan isi hatinya kepada Yehuwa (Lihat perenggan 13)


14. (a) Apakah satu lagi hal yang dapat kita belajar daripada contoh Hana? (b) Bagaimanakah merenungkan ayat Bible dapat bantu kita memperkaya doa kita? (Lihat nota kaki.)

14 Beberapa tahun selepas anaknya Samuel dilahirkan, Hana membawanya kepada Imam Agung Eli. (1 Sam. 1:​24-28) Dalam doanya, Hana meluahkan keyakinannya bahawa Yehuwa melindungi dan menjaga hamba-Nya yang setia.c (1 Sam. 2:​1, 8, 9) Walaupun Hana masih ada masalah, dia bertumpu kepada cara Yehuwa memberkatinya. Apakah pengajarannya? Kita dapat tabah menghadapi cabaran kita jika kita bertumpu kepada cara Yehuwa telah membantu kita sehingga sekarang.

15. Apabila kita mengalami ketidakadilan, apakah yang dapat kita belajar daripada doa Yeremia? (Yeremia 12:1)

15 Baca Yeremia 12:1. Apabila Yeremia melihat orang jahat hidup makmur, dia berasa tawar hati. Dia juga berasa sedih apabila orang sebangsanya melayannya dengan buruk. (Yer. 20:​7, 8) Seperti Yeremia, kita juga mungkin berasa tawar hati apabila melihat orang yang jahat hidup bahagia atau apabila kita sendiri dilayan dengan buruk. Walaupun Yeremia meluahkan rasa geram dan rasa marahnya kepada Yehuwa, dia tidak mempersoalkan keadilan Tuhan. Selepas Yeremia melihat Yehuwa mendisiplinkan umat-Nya yang memberontak, dia lebih yakin terhadap keadilan Tuhan. (Yer. 32:19) Begitu juga, kita boleh meluahkan perasaan marah dan geram kita dalam doa. Namun, kita mahu tetap yakin bahawa Yehuwa akan bertindak untuk membetulkan ketidakadilan yang kita hadapi pada masa yang ditetapkan-Nya.

16. Apakah yang dapat kita belajar daripada doa seorang lelaki Lewi yang dibuang negeri? (Mazmur 42:​1-4) (Lihat juga gambar.)

16 Baca Mazmur 42:​1-4. Mazmur ini ditulis oleh seorang lelaki Lewi. Dia dibuang negeri dan tidak dapat bergaul dengan rakan seimannya. Kita mungkin dapat memahami perasaannya jika kita tidak dapat meninggalkan rumah kerana sakit atau jika kita dipenjarakan. Tidak kira apa sahaja perasaan yang kita alami, kita dapat meluahkannya kepada Yehuwa dalam doa. Hal ini dapat membantu kita memahami perasaan sendiri dengan lebih baik dan mempunyai pandangan yang seimbang terhadap situasi kita. Contohnya, lelaki Lewi itu sedar bahawa dia masih dapat memuji Yehuwa. (Mzm. 42:5) Dia juga merenungkan bagaimana Yehuwa sedang menjaganya. (Mzm. 42:8) Doa yang bersungguh-sungguh dapat membantu kita berasa tenang, menangani emosi kita dengan lebih baik, dan mempunyai kekuatan untuk terus bertabah.

Kolaj: 1. Seorang lelaki Lewi berdoa dengan bersungguh-sungguh di padang belantara. 2. Seorang saudara duduk di katil hospital sambil berdoa. Biblenya terbuka dan terletak di pahanya.

Lelaki Lewi yang menulis Mazmur 42 mencurahkan isi hatinya kepada Yehuwa. Apabila kita meluahkan perasaan kita kepada Yehuwa, kita akan mempunyai pandangan yang seimbang terhadap situasi kita (Lihat perenggan 16)


17. (a) Apakah yang dapat kita belajar daripada doa Yunus? (Yunus 2:​1, 2) (b) Apakah manfaat yang dapat kita raih jika kita menghafal ayat-ayat Bible? (Lihat nota kaki.)

17 Baca Yunus 2:​1, 2. Yunus mengucapkan doa ini semasa dia berada di dalam perut ikan. Walaupun dia telah mengingkari Yehuwa, Yunus yakin Yehuwa akan mendengar doanya. Dalam doanya, Yunus menggunakan banyak ungkapan yang terdapat dalam buku Mazmur.d Barangkali dia sangat mengenali ayat-ayat itu. Dengan merenungkannya, dia yakin bahawa Yehuwa akan membantunya. Begitu juga, kita mahu berusaha untuk menghafal ayat-ayat Bible. Dengan demikian, apabila kita menghadapi kesusahan dan berdoa kepada Yehuwa, kita akan ingat semula ayat-ayat itu dan mendapat kelegaan.

HAMPIRILAH YEHUWA MELALUI DOA

18-19. Bagaimanakah Roma 8:​26, 27 melegakan hati kita semasa kita berasa susah untuk mengungkapkan perasaan kita kepada Yehuwa? Berikan contoh.

18 Baca Roma 8:​26, 27. Kadangkala, kita begitu risau sehingga kita tidak tahu cara untuk meluahkan perasaan kita kepada Yehuwa. Pada masa sedemikian, kuasa suci Tuhan dapat “merayu” bagi pihak kita. Bagaimana? Yehuwa telah mengilhami penulis Bible untuk mencatatkan doa hamba-hamba-Nya yang setia dalam Firman-Nya. Apabila kita tidak dapat mengungkapkan perasaan kita kepada Yehuwa, kita dapat menggunakan ungkapan daripada doa-doa dalam Bible. Yehuwa akan menerimanya sebagai permohonan daripada kita.

19 Itulah yang membantu Saudari Yelena dari Rusia. Selepas ditangkap kerana berdoa dan membaca Bible, dia sangat tertekan dan tidak dapat meluahkan perasaannya kepada Yehuwa. Dia berkata, “Saya kemudiannya teringat bahawa saya dapat menggunakan doa-doa hamba Tuhan dalam Bible, dan Yehuwa akan menganggapnya seperti permohonan daripada saya. Ini betul-betul memberi saya kelegaan pada masa yang sukar itu.”

20. Semasa kita tertekan, bagaimanakah kita dapat mempersiapkan minda kita sebelum berdoa?

20 Apabila kita tertekan, susah bagi kita untuk berfokus semasa berdoa. Untuk mempersiapkan minda kita sebelum berdoa, kita dapat membaca sebahagian daripada buku Mazmur dengan suara. Kita juga boleh mencatatkan perasaan kita seperti yang dilakukan oleh Daud. (Mzm. 18, 34, 142; penerangan.) Sudah tentu, anda dapat menggunakan apa sahaja cara yang sesuai dengan keadaan anda.—Mzm. 141:2.

21. Mengapakah kita dapat berdoa kepada Yehuwa dengan yakin?

21 Sebenarnya, Yehuwa sudah tahu perasaan kita sebelum kita berdoa kepada-Nya. (Mzm. 139:4) Namun, Dia gembira apabila kita meluahkan isi hati kita kepada-Nya dengan yakin. Jadi, janganlah teragak-agak untuk berdoa kepada-Nya. Carilah ilham daripada doa-doa dalam Bible. Berdoalah dengan sepenuh hati. Tidak kira anda gembira atau sedih, anda dapat mengongsi perasaan anda dengan-Nya. Ingatlah, Yehuwa ialah Sahabat kita yang sejati dan Dia sentiasa berada di sisi kita!

APAKAH JAWAPAN ANDA?

  • Apakah yang dapat membantu anda berdoa kepada Yehuwa dengan yakin?

  • Bagaimanakah anda dapat mengucapkan doa yang lebih bermakna?

  • Apakah manfaat yang dapat anda raih dengan merenungkan doa-doa dalam Bible?

LAGU 45 Renungan Hatiku

a Lihat “Sesetengah sifat Yehuwa yang mengagumkan” di bawah topik “Yehuwa” dalam Ayat Bible untuk Kehidupan Kristian.

b Para saudara digalakkan untuk mengucapkan doa yang singkat semasa perjumpaan.

c Dalam doanya, Hana menggunakan ungkapan yang hampir serupa dengan apa yang ditulis oleh Musa. Jelaslah, Hana telah mengambil masa untuk merenungkan Firman Tuhan. (Ul. 4:35; 8:18; 32:​4, 39; 1 Sam. 2:​2, 6, 7) Berabad-abad kemudian, Maria, ibu Yesus, menggunakan kata-kata pujian yang mirip dengan kata-kata dalam doa Hana.—Luk. 1:​46-55.

d Sebagai contoh, bandingkan Yunus 2:​3-9 dengan Mazmur 69:1; 16:10; 30:3; 142:​2, 3; 143:​4, 5; 18:6; dan 3:​8, mengikut urutan yang digunakan oleh Yunus dalam doanya.

    Bahan Bacaan Bahasa Melayu (2004-2023)
    Log Keluar
    Log Masuk
    • Melayu
    • Kongsi
    • Pilihan
    • Copyright © 2025 Watch Tower Bible and Tract Society of Pennsylvania
    • Syarat Penggunaan
    • Polisi Privasi
    • Tetapan Privasi
    • JW.ORG
    • Log Masuk
    Kongsi