RENCANA PEMBELAJARAN 46
LAGU 17 “Aku Rela”
Yesus, Imam Agung yang Bersimpati terhadap Kita
“Imam agung kita bukanlah imam agung yang tidak dapat bersimpati terhadap kelemahan kita.”—IBR. 4:15.
FOKUS
Mengapa Yesus ialah Imam Agung yang terbaik dan bagaimana peranannya sebagai Imam Agung membantu kita hari ini.
1-2. (a) Mengapakah Yehuwa mengutus Anak-Nya ke bumi? (b) Apakah yang akan kita bincangkan dalam rencana ini? (Ibrani 5:7-9)
KIRA-KIRA 2,000 tahun yang lalu, Yehuwa mengutus Anak-Nya ke bumi. Salah satu sebab Yesus datang ke bumi adalah untuk menyelamatkan manusia daripada dosa dan kematian, dan untuk menyingkirkan segala masalah yang disebabkan oleh Syaitan. (Yoh. 3:16; 1 Yoh. 3:8) Yehuwa juga tahu bahawa hidup Yesus sebagai manusia di bumi dapat mempersiapkannya untuk menjadi Imam Agung yang bersimpati dan berbelas kasihan. Yesus mula berkhidmat sebagai Imam Agung selepas pembaptisannya pada 29 Masihi.a
2 Dalam rencana ini, kita akan bincangkan bagaimana pengalaman Yesus di bumi membantunya menjadi Imam Agung yang terbaik bagi kita. Apabila kita lebih memahami hal ini, lebih mudah bagi kita untuk menghampiri Yehuwa biarpun kita berasa tawar hati kerana dosa atau kelemahan kita.—Baca Ibrani 5:7-9.
ANAK KESAYANGAN TUHAN DATANG KE BUMI
3-4. Apakah perubahan besar yang dialami oleh Yesus semasa dia datang ke bumi?
3 Kita semua pernah mengalami perubahan dalam hidup kita. Contohnya, kita mungkin meninggalkan kampung halaman dan ahli keluarga serta kawan untuk pergi ke tempat lain. Perubahan sedemikian memang mencabar. Namun, tiada manusia yang pernah mengalami perubahan seperti yang dialami oleh Yesus. Di syurga, dia mempunyai kedudukan yang tinggi sebagai Anak kesayangan Yehuwa. Dia berkhidmat di “sebelah kanan [Yehuwa]” dan menikmati sukacita yang melimpah. (Mzm. 16:11; Ams. 8:30) Namun, Filipi 2:7 menyatakan bahawa Yesus rela “melepaskan segala-gala yang dimilikinya” di syurga lalu turun ke bumi untuk tinggal dalam kalangan manusia yang tidak sempurna.
4 Selain itu, fikirkan keadaan semasa Yesus lahir dan semasa dia kecil. Kita tahu keluarganya miskin kerana ibu bapanya hanya mampu mempersembahkan dua ekor burung yang kecil selepas dia lahir. (Im. 12:8; Luk. 2:24) Apabila Raja Herodes yang jahat tahu tentang kelahiran Yesus, dia cuba untuk membunuhnya. Untuk menyelamatkan nyawa Yesus, keluarganya terpaksa melarikan diri ke Mesir. (Mat. 2:13, 15) Alangkah bezanya hidup Yesus di bumi berbanding hidupnya di syurga!
5. Apakah yang dilihat oleh Yesus semasa di bumi? Bagaimanakah pengalamannya itu membantunya menjadi Imam Agung yang terbaik? (Lihat juga gambar.)
5 Semasa di bumi, Yesus melihat banyak orang di sekelilingnya menderita. Dia sendiri juga pernah kehilangan orang tersayang dalam kematian, contohnya bapanya di bumi, iaitu Yusuf. Semasa menjalankan kerja penyebaran, Yesus berjumpa dengan pesakit kusta, orang yang buta, orang yang lumpuh, dan ibu bapa yang kehilangan anak dalam kematian. Dia berbelas kasihan terhadap mereka semua. (Mat. 9:2, 6; 15:30; 20:34; Mrk. 1:40, 41; Luk. 7:13) Memang, Yesus pernah melihat penderitaan manusia dari syurga. Namun, pengalamannya semasa di bumi membantunya untuk lebih memahami perasaan, tekanan, dan kesakitan yang dialami oleh manusia. (Yes. 53:4) Seperti manusia yang lain, Yesus sendiri juga berasa susah hati, penat, dan sedih.
Yesus sangat mengambil berat terhadap perasaan dan penderitaan yang dialami oleh orang lain (Lihat perenggan 5)
YESUS BERBELAS KASIHAN TERHADAP ORANG LAIN
6. Apakah yang dapat kita belajar tentang belas kasihan Yesus daripada kata-kata dalam nubuat Yesaya? (Yesaya 42:3)
6 Sepanjang kerja penyebaran Yesus di bumi, dia menunjukkan empati terhadap orang yang lemah dan ditindas. Dengan berbuat demikian, dia memenuhi nubuat Yesaya. Dalam Kitab Ibrani, orang yang makmur dan kuat kadangkala disamakan dengan pokok yang besar atau taman yang subur. (Mzm. 92:12; Yes. 61:3; Yer. 31:12) Tetapi orang yang miskin dan ditindas selalunya dianggap tidak berguna oleh orang lain. Maka, mereka disamakan dengan rumput yang layu dan sumbu pelita yang sudah malap. (Baca Yesaya 42:3.) Nabi Yesaya diilhami oleh Tuhan untuk menubuatkan bagaimana Yesus akan berbelas kasihan terhadap orang biasa yang dipandang rendah dan dilayan dengan buruk.
7-8. Bagaimanakah Yesus memenuhi nubuat Yesaya?
7 Mengenai Yesus, Matius menulis, “Rumput yang layu tidak akan diinjak-injaknya, dan sumbu pelita yang sudah malap tidak akan dipadamkannya.” (Mat. 12:20) Maka, Matius menunjukkan bahawa Yesuslah yang memenuhi nubuat Yesaya. Sesetengah mukjizat Yesus membantu orang yang ditindas dan orang yang berasa tiada harapan untuk menikmati hidup yang lebih baik. Contohnya, fikir tentang seorang lelaki yang seluruh tubuhnya dijangkiti penyakit kusta. Barangkali, dia fikir dia tidak dapat disembuhkan dan tidak lagi dapat menikmati pergaulan bersama kawan dan keluarganya. (Luk. 5:12, 13) Fikir juga tentang seorang lelaki yang pekak dan mempunyai masalah pertuturan. Dia pasti rasa dipinggirkan dan sedih apabila melihat orang lain berbual dengan gembira tetapi dia tidak dapat mendengar dan memahami mereka.—Mrk. 7:32, 33.
8 Selain itu, banyak orang Yahudi pada zaman Yesus percaya bahawa penyakit atau masalah yang dialami seseorang ialah hukuman daripada Tuhan kerana dosa sendiri atau dosa ibu bapanya. (Yoh. 9:2) Akibat daripada kepercayaan salah itu, orang yang menderita berasa tidak berguna. Yesus memenuhi nubuat Yesaya dengan menyembuhkan orang dan membantu mereka untuk tahu bahawa Tuhan mengambil berat terhadap mereka. Apakah yang dapat kita belajar daripada hal ini?
9. Menurut Ibrani 4:15, 16, apakah perasaan Yesus terhadap manusia yang tidak sempurna?
9 Baca Ibrani 4:15, 16. Kita dapat yakin bahawa Yesus akan sentiasa bersimpati terhadap kita. Apakah maksudnya? Perkataan Yunani yang diterjemahkan sebagai “bersimpati” membawa maksud benar-benar merasai kesedihan dan kesakitan orang lain. Paulus juga menggunakan perkataan Yunani yang sama di Ibrani 10:34 yang menunjukkan bahawa kita mahu menyelami perasaan saudara saudari kita yang dipenjarakan. Mukjizat-mukjizat yang dilakukan oleh Yesus menunjukkan bahawa dia sangat dipengaruhi oleh penderitaan orang lain. Dia tidak menyembuhkan orang semata-mata kerana dia rasa itu tanggungjawabnya. Sebaliknya, dia betul-betul prihatin terhadap orang dan mahu membantu mereka. Contohnya, lelaki yang menderita penyakit kusta itu dapat disembuhkan Yesus dari jauh, tetapi Yesus telah menyentuh lelaki itu. Barangkali dalam masa bertahun-tahun, itulah kali pertama seseorang telah menyentuhnya. Yesus juga berbelas kasihan terhadap lelaki yang pekak itu. Dia membawa lelaki itu ke tempat yang lebih senyap agar dapat menyembuhkannya apabila mereka bersendirian. Fikir juga tentang seorang wanita yang telah bertaubat daripada dosanya. Dia telah mencuci kaki Yesus dengan air matanya dan mengeringkan kaki Yesus dengan rambutnya. Biarpun orang Farisi memandang rendah terhadap wanita itu, Yesus membelanya. (Mat. 8:3; Mrk. 7:33; Luk. 7:44) Yesus tidak menjauhkan diri daripada orang yang menderita atau orang yang pernah melakukan dosa yang serius. Sebaliknya, dia berbelas kasihan terhadap mereka dan menyambut mereka dengan penuh kasih. Kita dapat yakin sepenuhnya bahawa Yesus juga akan bersimpati terhadap kita.
TIRULAH TELADAN IMAM AGUNG KITA
10. Bagaimanakah kita dapat membantu orang yang pekak dan buta hari ini? (Lihat juga gambar.)
10 Sebagai pengikut Yesus, kita berusaha untuk meniru teladannya dengan menunjukkan kasih, simpati, dan belas kasihan kepada orang lain. (1 Ptr. 2:21; 3:8) Biarpun kita tidak dapat menyembuhkan orang yang pekak atau orang yang buta, kita dapat membantu mereka dari segi rohani. Contohnya, bahan terbitan kita kini boleh didapati dalam lebih daripada 100 bahasa isyarat. Bahan terbitan Braille pula boleh didapati dalam lebih daripada 60 bahasa dan keterangan audio bagi video telah dihasilkan dalam lebih daripada 100 bahasa. Semua makanan rohani ini membantu orang yang pekak dan buta untuk menghampiri Yehuwa dan Yesus.
Bahan terbitan kita tersedia dalam lebih daripada 1,000 bahasa
Kiri: Lebih daripada 100 bahasa isyarat
Kanan: Lebih daripada 60 bahasa Braille
(Lihat perenggan 10)
11. Bagaimanakah organisasi Yehuwa mencerminkan kasih Yesus terhadap orang daripada pelbagai latar belakang? (Kisah 2:5-7, 33) (Lihat juga gambar.)
11 Selepas Yesus dibangkitkan, kuasa suci Tuhan dicurahkan ke atas murid-muridnya agar orang ramai yang menghadiri perayaan Pentakosta dapat mendengar berita baik dalam “bahasa ibunda mereka masing-masing.” (Baca Kisah 2:5-7, 33.) Hari ini, organisasi Yehuwa mencerminkan kasih Yesus dengan membantu orang daripada pelbagai latar belakang untuk belajar kebenaran. Di bawah pimpinan Yesus, organisasi kita menyediakan bahan terbitan Bible dalam lebih daripada 1,000 bahasa. Ada antara bahasa itu mempunyai penutur yang sedikit sahaja. Contohnya, sesetengah bahasa Amerindian hanya dituturkan oleh sedikit orang yang tinggal di Amerika Utara dan Selatan. Namun, bahan terbitan kita kini boleh didapati dalam lebih daripada 160 bahasa Amerindian supaya sebanyak orang yang mungkin dapat belajar tentang kebenaran. Bahan terbitan kita juga boleh didapati dalam lebih daripada 20 bahasa Romany. Hasilnya, ramai orang yang menuturkan bahasa Romany telah menerima kebenaran.
Kiri: Lebih daripada 160 bahasa Amerindian
Kanan: Lebih daripada 20 bahasa Romany
(Lihat perenggan 11)
12. Apakah bantuan lain yang disediakan oleh organisasi Yehuwa?
12 Selain membantu orang belajar kebenaran, organisasi Yehuwa menyediakan bantuan bagi mangsa bencana alam. Di bawah pimpinan organisasi kita, ribuan saudara saudari menawarkan diri untuk membantu rakan seiman mereka. Organisasi Yehuwa juga membantu untuk menyediakan tempat ibadat yang sederhana agar orang dapat berkumpul bersama untuk belajar lebih banyak tentang kasih Yehuwa.
IMAM AGUNG KITA DAPAT MEMBANTU ANDA
13. Bagaimanakah Yesus membantu kita hari ini?
13 Sebagai gembala yang baik, Yesus memastikan keperluan rohani kita dijaga. (Yoh. 10:14; Ef. 4:7) Kadangkala, keadaan hidup kita mungkin membuat kita berasa seperti rumput yang layu atau sumbu pelita yang sudah malap. Kita mungkin berasa sangat tawar hati kerana berbuat salah, menghidap penyakit yang serius, atau ada perselisihan dengan rakan seiman. Kita mungkin terlalu bertumpu kepada masalah kita sehingga susah untuk bertumpu kepada harapan masa depan kita. Namun ingatlah, Yesus melihat apa yang anda lalui dan memahami perasaan anda. Belas kasihan Yesus mendorongnya untuk bertindak bagi pihak anda. Contohnya, dia dapat menggunakan kuasa suci Tuhan untuk menguatkan anda semasa anda berasa lemah. (Yoh. 16:7; Tit. 3:6) Selain itu, Yesus dapat menggunakan “kurnia berupa manusia” dan rakan seiman yang lain untuk menggalakkan dan membantu anda.—Ef. 4:8.
14. Apakah yang dapat anda lakukan apabila anda berasa tawar hati?
14 Jika anda berasa tawar hati, ingatlah bahawa Yesus ialah Imam Agung kita dan renungkanlah bagaimana dia dapat membantu anda. Lagipun, Yehuwa mengutus Yesus ke bumi bukan hanya untuk menyediakan tebusan, tetapi juga untuk membantu dia lebih memahami masalah yang dihadapi oleh manusia. Maka, semasa anda berasa tawar hati kerana dosa dan kelemahan sendiri, anda dapat yakin bahawa Yesus pasti membantu anda ‘semasa anda memerlukan bantuannya.’—Ibr. 4:15, 16.
15. Ceritakan pengalaman yang menunjukkan bagaimana seseorang yang meninggalkan Yehuwa dibantu untuk kembali ke dalam sidang.
15 Yesus juga membimbing para pengikutnya untuk membantu mereka yang telah meninggalkan Yehuwa. (Mat. 18:12, 13) Perhatikan pengalaman Stefano.b Selepas dikeluarkan daripada sidang selama 12 tahun, dia membuat keputusan untuk menghadiri satu perjumpaan. Stefano berkata, “Saya ingin kembali ke organisasi Yehuwa, tapi saya rasa hal itu sangat susah. Namun, para penatua yang berjumpa dengan saya buat saya berasa sangat dialu-alukan. Ada kalanya, saya berasa tawar hati kerana telah meninggalkan Yehuwa dan ingin berputus asa. Tapi para saudara mengingatkan saya bahawa Yehuwa dan Yesus mahu saya bertabah. Apabila saya diterima kembali ke dalam sidang, semua saudara saudari menyambut saya dan keluarga saya dengan ramah. Isteri saya akhirnya menerima pembelajaran Bible dan kami kini menyembah Yehuwa bersama-sama.” Yesus, Imam Agung kita yang pengasih, pasti berasa sangat gembira apabila melihat orang yang ingin kembali ke dalam sidang mendapat bantuan yang diperlukan.
16. Mengapakah Yesus ialah Imam Agung yang terbaik?
16 Semasa Yesus di bumi, dia telah membantu banyak orang. Hari ini, kita dapat yakin sepenuhnya bahawa dia akan membantu kita apabila kita memerlukannya. Di dunia baharu kelak, dia akan membantu kita menikmati hidup yang bebas daripada dosa dan ketidaksempurnaan. Alangkah bersyukurnya kita kerana Yehuwa, Tuhan Yang Maha Pengasih, telah melantik Anak-Nya sebagai Imam Agung yang terbaik bagi kita!
LAGU 13 Kristus, Suri Teladan Kita
a Untuk maklumat lanjut tentang bagaimana peranan Yesus sebagai Imam Agung menggantikan aturan imam agung orang Israel, lihat rencana “Hargai Penghormatan untuk Menyembah Yehuwa di Rumah Rohani-Nya” dalam majalah Menara Pengawal terbitan Oktober 2023, ms. 26, per. 7-9.
b Nama telah diubah.