Mary_Ukraine/stock.adobe.com
TERUSLAH BERJAGA-JAGA!
Orang Ramai Semakin Hilang Kepercayaan terhadap Ahli Politik—Apakah yang Bible Katakan?
Tahun 2024 bakal mencatatkan sejarah di mana paling banyak pilihan raya akan berlangsung di seluruh dunia. Namun demikian, kepercayaan orang ramai terhadap ahli politik semakin terhakis.
Sebahagian besar orang Amerika rasa bahawa “kebanyakan ahli politik lebih mengutamakan kepentingan diri” berbanding kepentingan rakyat.a—Pusat Penyelidikan Pew, 19 September 2023.
Tambahan lagi, ramai orang muda juga kurang mempercayai ahli politik.
“Para remaja lebih berminat terhadap isu-isu semasa dan jalan penyelesaiannya, tetapi mereka meluahkan bahawa ahli politik tidak berusaha menangani hal-hal itu.”—The New York Times, 29 Januari 2024.
“Menurut satu tinjauan, orang muda lebih percaya kepada YouTuber berbanding ahli politik.”—The Korea Times, 22 Januari 2024.
Dapatkah kita mempercayai ahli politik untuk membawa masa depan yang lebih baik? Siapakah yang dapat kita percayai?
Berwaspada agar tidak terpedaya
Sebenarnya, adalah wajar untuk berwaspada dan tidak menaruh kepercayaan terhadap sesiapa sahaja. Bible kata, “Orang yang tidak berpengalaman percaya kepada setiap kata orang, tetapi orang yang bijak merenungkan setiap langkahnya.”—Amsal 14:15.
Untuk tahu cara menilai sama ada maklumat yang anda terima adalah benar atau palsu, bacalah rencana “Lindungi Diri Anda daripada Maklumat Salah.”
Selain itu, bahkan ahli politik yang paling jujur dan berniat baik pun mempunyai keupayaan yang terbatas. Itulah sebabnya Bible memberikan amaran ini:
“Jangan berharap kepada pemerintah manusia, tidak seorang pun dapat menyelamatkan kamu.”—Mazmur 146:3, Alkitab Berita Baik.
Pemimpin yang anda dapat percayai
Bible menjelaskan bahawa Tuhan telah melantik seorang pemimpin yang paling berkeupayaan dan dapat dipercayai, iaitu Yesus Kristus. (Lukas 1:32, 33) Yesus ialah Raja Kerajaan Tuhan, sebuah kerajaan yang memerintah dari syurga.—Matius 6:10.
Belajar sebabnya anda dapat mempercayai Yesus dan apa yang dia akan lakukan untuk menyelesaikan masalah yang manusia hadapi. Bacalah rencana “Siapakah Raja Kerajaan Tuhan?” dan “Apakah yang Akan Dilakukan oleh Kerajaan Tuhan?”
a Pusat Penyelidikan Pew, “Americans’ Dismal Views of the Nation’s Politics,” September 2023.