Bagaimanakah Saksi-Saksi Yehuwa Melayan Orang yang Dahulunya Merupakan Seorang Saksi?
Kami berusaha memperlakukan semua orang dengan kasih, baik hati, dan hormat. Jika seorang rakan seiman kami tidak lagi melakukan aktiviti rohani secara tetap atau berhenti menyembah Tuhan Yehuwa, kami masih berusaha membantunya. Kami akan ambil inisiatif untuk mencarinya, meyakinkan dia bahawa kami mengasihinya, dan cuba membantunya menguatkan semula hubungannya dengan Tuhan.—Lukas 15:4-7.
Ada kalanya, seorang Saksi melakukan sesuatu yang mungkin menyebabkannya dikeluarkan daripada sidang. (1 Korintus 5:13) Tetapi, oleh kerana kami sangat mengasihinya, kami akan berusaha untuk membantunya agar dia tidak terus mengambil langkah yang salah dan akhirnya dikeluarkan daripada sidang. Meskipun dia harus dikeluarkan, kami masih melayannya dengan kasih dan hormat seperti yang Bible ajarkan.—Markus 12:31; 1 Petrus 2:17.
Mengapakah seseorang perlu dikeluarkan daripada sidang?
Bible jelas menyatakan bahawa seorang Kristian yang melakukan dosa yang serius dan enggan berubah harus dikeluarkan daripada sidang.a (1 Korintus 5:11-13) Bible juga menyebut dosa-dosa yang boleh menyebabkan seseorang dikeluarkan seperti kemabukan, perbuatan zina, membunuh, mencuri, dan mendera ahli keluarga.—1 Korintus 6:9, 10; Galatia 5:19-21; 1 Timotius 1:9, 10.
Namun, kami tidak mengeluarkan orang yang berbuat dosa serius dengan serta-merta. Mula-mula, penatuab di sidang akan cuba membantu dia mengubah haluannya. (Roma 2:4) Mereka berusaha menunjukkan sifat baik hati dan lemah lembut agar dapat mencapai hatinya. (Galatia 6:1) Mereka berharap orang itu akan sedar kesalahannya dan bertaubat. (2 Timotius 2:24-26) Jika dia masih melanggar standard moral Bible dan enggan bertaubat biarpun sudah dibantu berulang kali, dia harus dikeluarkan daripada sidang. Penatua akan mengumumkan kepada sidang bahawa dia bukan lagi seorang Saksi-Saksi Yehuwa.
Para penatua berusaha menunjukkan sifat baik hati dan lemah lembut agar dapat mencapai hati pendosa
Mengapakah seseorang yang enggan berubah perlu dikeluarkan daripada sidang? Satu manfaatnya ialah sidang dapat terus menjunjung standard Tuhan yang suci dan dilindungi daripada pengaruh buruk pendosa itu. (1 Korintus 5:6; 15:33; 1 Petrus 1:16) Satu lagi manfaat ialah orang itu mungkin tergerak untuk berubah dan tidak lagi melakukan dosa yang serius.—Ibrani 12:11.
Bagaimanakah Saksi-Saksi Yehuwa melayan orang yang dikeluarkan daripada sidang?
Bible memberikan arahan untuk “tidak lagi bergaul” dengan seseorang yang dikeluarkan daripada sidang atau ‘bahkan tidak makan bersama dengannya.’ (1 Korintus 5:11) Meskipun kami tidak lagi bergaul dengannya, hal ini tidak bermaksud kami langsung tidak menghiraukannya. Kami masih melayannya dengan hormat. Dia dialu-alukan untuk menghadiri perjumpaan Kristian, dan para Saksi boleh menyapanya.c Dia juga boleh mendapatkan bantuan daripada para penatua.
Orang yang dikeluarkan daripada sidang dialu-alukan untuk menghadiri perjumpaan Kristian kami
Bagaimana pula jika seorang Saksi dikeluarkan tetapi pasangannya dan anak-anaknya masih merupakan Saksi-Saksi Yehuwa? Walaupun dia bukan lagi rakan seiman mereka, dia masih ahli keluarga mereka. Oleh sebab mereka tinggal serumah, hubungan sebagai suami isteri dan ahli keluarga tidak akan berubah. Mereka akan terus menunjukkan kasih kepadanya.
Seseorang yang dikeluarkan boleh meminta agar para penatua melawatnya. Semasa lawatan itu, para penatua akan mengongsi nasihat Bible dengan pengasih. Mereka juga dengan lemah lembut menggalakkannya untuk bertaubat dan kembali kepada Tuhan. (Zakharia 1:3) Jika dia berhenti melakukan dosa yang serius dan menunjukkan bahawa dia benar-benar ingin hidup mengikut standard moral Bible, dia boleh diterima kembali ke dalam sidang. Rakan seiman di sidang akan menunjukkan bahawa mereka “rela mengampuni dia dan melegakan hatinya,” seperti yang ditunjukkan oleh orang Kristian pada masa lampau apabila seorang pendosa telah bertaubat.—2 Korintus 2:6-8.
Apakah perasaan para Saksi yang pernah dikeluarkan?
Perhatikan perasaan Saksi-Saksi Yehuwa yang pernah dikeluarkan tetapi kini sudah diterima kembali ke dalam sidang.
“Apabila saya memutuskan untuk kembali kepada sidang, saya fikir penatua akan soal siasat saya dan tanya semua yang saya buat selama ini. Tapi mereka bukan begitu. Mereka kata, ‘Kami mahu kamu pandang ke depan dan tidak bertumpu kepada apa yang sudah berlalu.’ Selepas itu, saya rasa sangat lega.”—Maria, Amerika Syarikat.
“Saudara saudari di sidang menantikan kepulangan saya. Saya rasa sangat dihargai. Mereka yakinkan saya bahawa saya benar-benar dimaafkan dan ini bantu saya melihat ke depan. Para penatua sedia menolong saya. Mereka melegakan saya dan bantu saya sedar bahawa Yehuwa masih mengasihi dan mengambil berat terhadap saya.”—Malcom, Sierra Leone.
“Saya bersyukur Yehuwa sangat sayang sidang dan organisasi-Nya. Dia mahu kami tetap berkelakuan suci. Orang lain mungkin fikir aturan ini terlalu tegas tapi sebenarnya tindakan ini didorong oleh kasih. Saya gembira Bapa saya di syurga ialah Tuhan yang pengasih dan sudi mengampuni.”—Sandi, Amerika Syarikat.
a Dahulu, kami merujuk kepada pendosa yang enggan bertaubat sebagai “orang yang disingkirkan.” Tapi kini, kami menggunakan ungkapan dalam Bible, iaitu “orang yang dikeluarkan daripada sidang.”
b Penatua ialah lelaki Kristian yang matang secara rohani. Mereka mengajar berdasarkan Bible dan menggembala sidang dengan memberikan bantuan dan galakan. Mereka tidak dibayar gaji.—1 Petrus 5:1-3.
c Dalam sesetengah situasi yang teruk, seseorang yang meninggalkan sidang mungkin melemahkan kepercayaan rakan seimannya atau memburuk-burukkan sidang. Dia juga mungkin menggalakkan mereka untuk berbuat dosa. Jika begitu, kami mematuhi perintah Bible untuk tidak “mengucapkan salam” kepadanya.—2 Yohanes 9-11.