PERPUSTAKAAN DALAM TALIAN Watchtower
PERPUSTAKAAN DALAM TALIAN
Watchtower
Melayu
  • BIBLE
  • BAHAN BACAAN
  • PERJUMPAAN
  • ijwia bab 2
  • “Yehuwa Dapat Memberikan Kemenangan”

Tiada video untuk bahagian ini.

Maaf, terdapat masalah memainkan video.

  • “Yehuwa Dapat Memberikan Kemenangan”
  • Tirulah Iman Mereka
  • Tajuk Kecil
  • Bahan yang Berkaitan
  • Anak yang Setia dan Askar yang Berani
  • “Tuhanlah yang Telah Membantunya untuk Bertindak”
  • Kejahatan Bertumbuh
  • “Menjalin Persahabatan yang Erat”
    Tirulah Iman Mereka
  • Yonatan ialah Lelaki yang Setia dan Berani
    Belajar daripada Cerita-Cerita Bible
  • Buktikan Kesetiaan Anda kepada Yehuwa
    Menara Pengawal (Pembelajaran)—2016
  • Saul—Raja Pertama Israel
    Buku Cerita Bible Saya
Lihat Selanjutnya
Tirulah Iman Mereka
ijwia bab 2
Yonatan

TIRULAH IMAN MEREKA | YONATAN

“Yehuwa Dapat Memberikan Kemenangan”

Bayangkan sebuah tempat berkawal yang menghadap pemandangan bergunung yang kering-kontang. Askar-askar Filistin yang bertugas di sana ternampak sesuatu yang menarik. Dua lelaki Israel jelas kelihatan berdiri di seberang jurang. Askar-askar itu geli hati—dua lelaki itu bukanlah ancaman mereka. Orang Filistin telah lama menguasai orang Israel. Mereka tidak dapat menajamkan alat kebun besi tanpa bantuan orang Filistin, musuh mereka! Oleh itu, askar Israel tidak mempunyai perisai atau senjata yang baik. Lagipun yang datang itu hanya dua orang. Walaupun mereka bersenjata, apakah yang dapat dilakukan oleh mereka? Orang Filistin mengejek, “Naiklah ke sini kalau anda berani! Kami akan ajar anda!”​—1 Samuel 13:19-​23; 14:11, 12.

Tetapi bukan orang Israel yang akan dapat pengajaran. Sebaliknya orang Filistinlah yang akan menerimanya. Dua orang Israel itu berlari ke bawah jurang, melintasinya dan mula mendaki. Jurang itu begitu curam, mereka perlu menggunakan tangan dan kaki untuk mendakinya. Tetapi mereka terus mara menuju ke tempat berkawal itu! (1 Samuel 14:13) Askar Filistin nampak lelaki yang memimpin itu bersenjata dan hambanya mengikut di belakang. Adakah lelaki ini mahu menyerang satu pasukan tentera hanya dengan hambanya? Adakah dia gila?

Tidak! Dia tidak gila! Dia lelaki yang beriman. Namanya Yonatan dan kisahnya masih berguna kepada orang Kristian sejati hari ini! Walaupun kita tidak berperang secara fizikal, tetapi kita boleh belajar tentang keberanian, kesetiaan dan semangat rela berkorban daripada Yonatan. Sifat-sifat ini dapat membantu kita membina iman kepada Tuhan.​—Yesaya 2:4; Matius 26:51, 52.

Anak yang Setia dan Askar yang Berani

Untuk memahami sebabnya Yonatan menyerang tempat berkawal itu, kita perlu melihat latar belakangnya. Yonatan ialah anak sulung kepada Saul, raja pertama orang Israel. Apabila Saul dilantik sebagai raja, Yonatan sudah pun dewasa, mungkin sudah berumur 20 tahun atau lebih tua lagi. Nampaknya Yonatan mempunyai hubungan yang baik dengan bapanya, kerana Saul selalu menceritakan masalahnya kepada anaknya. Pada masa itu, bapa Yonatan dikenali sebagai seorang pahlawan yang tinggi, kacak dan berani. Tetapi yang lebih penting lagi, dia seorang yang beriman dan rendah hati. Yonatan faham mengapa Yehuwa memilih Saul sebagai raja. Nabi Samuel sendiri mengakui bahawa tiada sesiapa pun yang seperti Saul di negeri itu.​—1 Samuel 9:​1, 2, 21; 10:20-​24; 20:2.

Yonatan tentu berasa bangga dapat melawan musuh umat Yehuwa di bawah pimpinan bapanya. Peperangan pada zaman itu tidak seperti peperangan pada dewasa ini. Pada zaman itu, Yehuwa telah memilih bangsa Israel untuk mewakili-Nya dan mereka sentiasa diserang oleh bangsa yang menyembah tuhan palsu. Orang Filistin yang menyembah tuhan-tuhan palsu seperti Dagon, sentiasa mencuba menganiaya malahan ingin menghapuskan umat pilihan Yehuwa.

Bagi kebanyakan lelaki termasuk Yonatan, perlawanan mereka merupakan satu khidmat suci kepada Tuhan Yehuwa dan Dia memberkati usaha Yonatan. Selepas Saul menjadi raja, dia melantik anaknya untuk mengetuai 1,000 orang askar dan Yonatan memimpin mereka untuk menyerang tentera Filistin di Geba. Walaupun tidak bersenjata lengkap, Yonatan memenangi perang itu dengan bantuan Yehuwa. Sebagai pembalasan, orang Filistin mengumpulkan lebih banyak pasukan tentera. Oleh itu, ramai askar Saul ketakutan. Ada yang lari, ada yang menyembunyikan diri dan ada juga yang menyertai tentera musuh. Tetapi Yonatan tetap berani!​—1 Samuel 13:​2-7; 14:21.

Pada hari yang dinyatakan di permulaan rencana ini, Yonatan memutuskan untuk menyelinap keluar bersama hambanya. Seraya mereka menghampiri tempat berkawal Filistin di Mikhmas, Yonatan memberitahu rancangannya kepada hambanya. Mereka akan menampakkan diri kepada askar-askar Filistin dahulu. Jika askar Filistin mencabar mereka untuk naik dan melawan mereka, inilah tanda Yehuwa akan membantu umatnya. Hamba Yonatan terus bersetuju, mungkin kerana kata-kata Yonatan yang penuh keyakinan: “Tidak kira sama ada bilangan kita sedikit ataupun banyak, Yehuwa dapat memberikan kemenangan kepada kita.” (1 Samuel 14:​6-​10) Apakah maksud Yonatan?

Jelaslah Yonatan sangat mengenali Tuhannya. Dia pasti tahu Yehuwa pernah membantu umatnya untuk menewaskan musuh yang jauh lebih banyak daripada mereka. Dia malah pernah menggunakan satu individu untuk membawa kemenangan! (Hakim-Hakim 3:​31; 4:​1-​23; 16:23-​30) Yonatan tahu bahawa bukan bilangan, kekuatan atau senjata umat Tuhan yang menentukan kemenangan, tetapi iman mereka. Dengan beriman, Yonatan membiarkan Yehuwa menentukan sama ada dia dan hambanya patut menyerang tempat berkawal itu. Setelah mendapat tanda sokongan daripada Yehuwa, Yonatan pun menyerang dengan berani!

Perhatikan dua aspek berkenaan iman Yonatan. Pertama, dia mempunyai rasa hormat yang mendalam terhadap Tuhannya. Dia tahu bahawa Tuhan yang Maha Kuasa tidak bergantung pada kekuatan manusia untuk melaksanakan kehendak-Nya. Walaupun begitu, Yehuwa suka memberkati orang yang menyembah-Nya dengan setia. (2 Tawarikh 16:9) Kedua, Yonatan mencari bukti keizinan Yehuwa sebelum bertindak. Hari ini kita tidak mengharapkan Tuhan untuk menyatakan perkenan-Nya melalui tanda mukjizat. Dengan adanya firman Tuhan yang lengkap, kita dapat mengetahui kehendak Tuhan. (2 Timotius 3:​16, 17) Adakah kita merujuk kepada Bible sebelum membuat keputusan yang penting? Jika ya, kita menunjukkan bahawa kita lebih mengutamakan kehendak Tuhan daripada kehendak sendiri​—sama seperti Yonatan.

Jadi kedua-dua lelaki ini mendaki dengan pantas ke arah tempat berkawal itu. Apabila askar Filistin sedar mereka sedang diserang, mereka menghantar askar untuk melawan dua orang penceroboh itu. Orang Filistin bukan sahaja mempunyai lebih ramai askar, mereka juga bertapak di tempat yang lebih tinggi. Pasti mudah bagi mereka untuk mengalahkan dua orang Israel ini. Tetapi satu demi satu, askar Filistin jatuh ditewaskan oleh Yonatan. Mereka kemudiannya dibunuh oleh hamba Yonatan yang mengikutnya dari belakang. Dengan sekejap sahaja, dua lelaki ini telah membunuh 20 orang musuh! Tetapi Yehuwa melakukan hal yang lebih hebat lagi. Ayat Bible menyatakan, “Kejadian itu menggemparkan perkhemahan orang Filistin dan semua askar di tempat berkawal. Bahkan pasukan tentera yang menjarah barang pun berasa takut. Bumi bergoncang, dan Tuhan menyebabkan mereka berasa cemas.”​—1 Samuel 14:15.

Yonatan dan hambanya mendaki jurang yang curam ke arah tempat berkawal musuh

Yonatan sedang menyerang satu pasukan tentera hanya dengan hambanya

Dari jauh, Saul dan askarnya nampak keadaan orang Filistin yang huru-hara dan kacau-bilau. Mereka malah menyerang satu sama lain!(1 Samuel 14:16, 20) Orang Israel memberanikan diri untuk menyerang. Ada kemungkinan mereka menggunakan senjata askar Filistin yang sudah dibunuh. Yehuwa memberi kemenangan besar kepada orang Israel pada hari itu. Walaupun peristiwa itu sudah berlalu, namun Yehuwa tidak pernah berubah. Jika kita mencontohi Yonatan dan hambanya dengan menaruh iman kepada Yehuwa, kita tidak akan menyesal dengan keputusan kita.​—Maleakhi 3:6; Roma 10:11.

“Tuhanlah yang Telah Membantunya untuk Bertindak”

Walaupun Yonatan mendapat kemenangan, tetapi sayangnya Saul melakukan kesalahan yang serius. Saul tidak menghormati nabi Yehuwa, Samuel, dengan mempersembahkan korban yang sepatutnya dilakukan oleh Samuel yang merupakan orang Lewi. Apabila Samuel sampai, dia memberitahu Saul bahawa kerajaannya tidak akan kekal kerana melanggar perintah. Sebelum Saul dan askarnya pergi bertempur, Saul melakukan sesuatu yang tidak bijak dengan bersumpah, “Terkutuklah orang yang makan apa-apa pun sebelum waktu petang dan sebelum beta membalas dendam terhadap musuh-musuh beta!”​—1 Samuel 13:10-​14; 14:24.

Jelaslah Saul sudah berubah. Lelaki yang dahulunya rendah hati dan berfikiran rohani telah menjadi sombong dan mementingkan diri sendiri. Kata-kata Saul tidak munasabah! Tidak mungkin Yehuwa mahu mengenakan sekatan itu kepada askar-askar yang berani dan rajin itu. Lagipun, apa maksud Saul semasa dia berkata, “sebelum beta membalas dendam terhadap musuh-musuh beta?” Adakah dia menyangka bahawa perang ini demi kepentingannya sahaja? Adakah dia sudah lupa bahawa keadilan Yehuwalah yang paling penting, bukannya kemasyhuran atau dendam Saul?

Yonatan tidak tahu tentang sumpah yang dibuat oleh bapanya. Setelah penat berperang, dia mencelupkan tongkatnya ke dalam sarang madu dan memakan sedikit madu. Yonatan rasa bertenaga semula. Kemudian seorang askar memberitahu Yonatan tentang sekatan yang dikenakan bapanya. Yonatan pun berkata, “Ayahandaku telah membawa kesusahan yang besar kepada semua orang. Lihatlah bagaimana aku disegarkan semula setelah aku makan sedikit madu. Bukankah lebih baik jika para askar memakan apa saja yang dijarah daripada musuh pada hari ini? Tentu lebih banyak orang Filistin yang dapat dibunuh oleh mereka.” (1 Samuel 14:25-30) Memang betul kata-katanya. Walaupun Yonatan seorang anak yang taat tetapi dia tidak mengikut semua kata-kata bapanya tanpa berfikir. Disebabkan pandangannya yang seimbang, ramai orang menghormatinya.

Apabila Saul tahu bahawa Yonatan telah melanggar sekatannya, dia masih enggan mengaku salah. Sebaliknya, dia berfikir anaknya patut dihukum mati! Yonatan tidak melawan atau meminta belas kasihan. Dia menjawab dengan berani: “Saya bersedia untuk mati!” Tetapi orang Israel membantah: “Patutkah Yonatan mati sedangkan dialah yang membawa kemenangan besar kepada umat Israel? Hal itu mustahil. Kami bersumpah demi Yehuwa yang hidup bahawa tidak seutas rambut pun di kepalanya akan gugur ke tanah, kerana Tuhanlah yang telah membantunya untuk bertindak hari ini.” Dengan itu, Saul pun tidak membunuh Yonatan. Bible mengatakan: “Demikianlah mereka menyelamatkan Yonatan daripada hukuman mati.”​—1 Samuel 14:43-​45.

Yonatan memberitahu bapanya, Raja Saul, yang dia bersedia untuk mati

“Saya bersedia untuk mati!”

Disebabkan keberanian, kegigihan dan semangat rela berkorbannya, Yonatan mempunyai reputasi yang baik. Semasa menghadapi masalah, reputasi Yonatan yang baik telah menyelamatkannya. Jadi kita juga harus menjaga nama baik atau reputasi kita setiap hari. Seperti yang tertulis dalam Bible, nama yang baik sangat berharga. (Pengkhutbah 7:1) Jika kita mencontohi Yonatan dan membina nama yang baik di mata Yehuwa, reputasi kita akan menjadi harta yang sangat berharga.

Kejahatan Bertumbuh

Walaupun Saul terus membuat kesilapan, Yonatan setia berlawan di sisi bapanya selama bertahun-tahun. Kita dapat membayangkan betapa kecewanya dia semasa melihat keangkuhan dan ketidaksetiaan bapanya. Yonatan tidak dapat menghentikan kejahatan yang terus bertumbuh di dalam hati bapanya.

Masalah menjadi semakin teruk apabila Yehuwa mengarahkan Saul untuk bertempur dengan orang Amalek. Yehuwa telah menubuatkan pembinasaan bangsa yang jahat ini sejak zaman Musa lagi. (Keluaran 17:14) Saul disuruh untuk memusnahkan semua ternakan mereka dan membunuh Agag, raja Amalek. Saul menang dalam pertempuran itu dan pastilah Yonatan juga berlawan dengan berani di bawah pimpinannya. Tetapi Saul tidak mematuhi perintah Yehuwa. Dia tidak memusnahkan semua ternakan dan barang berharga orang Amalek. Dia juga tidak membunuh Agag. Oleh itu, nabi Samuel menyampaikan penghakiman Yehuwa kepada Saul: “Oleh sebab tuanku menolak perintah Yehuwa, Dia pun menolak tuanku sebagai raja.”​—1 Samuel 15:​2, 3, 9, 10, 23.

Tidak lama selepas itu, Yehuwa berhenti mencurahkan kuasa suci-Nya ke atas Saul. Tanpa bimbingan Yehuwa yang pengasih, emosi Saul menjadi tidak stabil. Dia kerap marah dan ketakutan. Hal ini demikian kerana Yehuwa membiarkan pemikiran Saul menjadi kacau-bilau.(1 Samuel 16:14; 18:10-​12) Betapa tertekannya Yonatan apabila melihat bapanya berubah dengan teruk sekali! Namun, Yonatan tetap setia kepada Yehuwa. Dia menyokong bapanya sebaik mungkin, malahan berterus terang dengannya apabila perlu. Tetapi dia sentiasa berfokus pada Bapanya di syurga, Tuhan Yehuwa.​—1 Samuel 19:​4, 5.

Pernahkah anda melihat seseorang yang anda kasihi, seperti ahli keluarga anda, berubah menjadi tidak setia? Ini pengalaman yang menyakitkan. Contoh Yonatan mengingatkan kita akan kata-kata sang pemazmur: “Ya Yehuwa, walaupun ibu bapa kandungku meninggalkan aku, engkau pasti akan memelihara aku.” (Mazmur 27:10) Yehuwa itu setia. Tidak kira apa yang dilakukan oleh manusia untuk mengecewakan anda, Yehuwa, Bapa yang terbaik, pasti akan memelihara anda.

Yonatan mungkin sudah tahu bahawa Yehuwa akan menolak pemerintahan Saul. Apakah reaksi Yonatan? Adakah dia berfikir sama ada dia akan menggantikan bapanya? Adakah dia berharap untuk membetulkan kesalahan bapanya dan menjadi raja yang setia dan taat? Kita tidak tahu apa yang difikirkannya. Tetapi kita tahu bahawa harapan sebegini tidak tercapai. Adakah hal ini bermaksud Yehuwa tidak peduli akan lelaki yang setia ini? Tidak. Sebaliknya Yonatan digunakan oleh Yehuwa untuk menetapkan teladan yang hebat dalam Bible berkenaan menjalinkan persahabatan yang setia. Kita akan membincangkan persahabatan itu dalam rencana seterusnya.

    Bahan Bacaan Bahasa Melayu (2004-2023)
    Log Keluar
    Log Masuk
    • Melayu
    • Kongsi
    • Pilihan
    • Copyright © 2025 Watch Tower Bible and Tract Society of Pennsylvania
    • Syarat Penggunaan
    • Polisi Privasi
    • Tetapan Privasi
    • JW.ORG
    • Log Masuk
    Kongsi