BAB 2
Mengakui Peranan Kristus dalam Aturan Tuhan
“PADA mulanya, Tuhan menciptakan langit dan bumi,” dan “Dia sangat berpuas hati” dengan segala yang diciptakan-Nya. (Kej. 1:1, 31) Yehuwa memberi manusia masa depan yang cerah, tetapi kebahagiaan manusia telah hilang buat seketika akibat pemberontakan di Taman Eden. Meskipun demikian, tujuan Yehuwa bagi bumi dan manusia tidak berubah. Tuhan menyatakan bahawa keturunan Adam yang taat akan diselamatkan. Ibadat sejati akan dipulihkan, manakala si jahat serta segala masalah yang ditimbulkannya akan dihapuskan. (Kej. 3:15) Sekali lagi, segala sesuatu akan menjadi sangat memuaskan. Hal ini akan tercapai menerusi Yesus Kristus, Anak Tuhan. (1 Yoh. 3:8) Itulah sebabnya kita mesti mengakui peranan Kristus dalam aturan Tuhan.—Kis. 4:12; Flp. 2:9, 11.
APAKAH PERANAN YESUS?
2 Yesus memainkan banyak peranan. Contohnya, dia ialah Penebus manusia, Imam Agung, Kepala sidang Kristian, dan kini Raja Kerajaan Tuhan. Dengan merenungkan peranan-peranan ini, kita akan lebih menghargai aturan Tuhan dan lebih mengasihi Kristus Yesus. Bible menjelaskan beberapa peranan Yesus.
Yesus memainkan peranan utama dalam pelaksanaan tujuan Yehuwa bagi manusia
3 Semasa Kristus berkhidmat di bumi, dia menyatakan dengan jelas bahawa manusia yang taat akan berbaik semula dengan Tuhan melaluinya. (Yoh. 14:6) Sebagai Penebus manusia, Yesus menyerahkan nyawanya untuk menyelamatkan banyak orang. (Mat. 20:28) Jadi, Yesus bukan sahaja teladan yang baik dari segi kelakuan, tetapi juga memainkan peranan utama dalam pelaksanaan tujuan Yehuwa. Hanya melaluinya manusia dapat berbaik semula dengan Tuhan. (Kis. 5:31; 2 Kor. 5:18, 19) Pengorbanan dan pembangkitan Yesus telah membuka jalan bagi manusia yang taat untuk menikmati berkat yang kekal di bawah pemerintahan Kerajaan Tuhan.
4 Sebagai Imam Agung, Yesus “bersimpati terhadap kelemahan kita” dan membantu para pengikutnya mendapat pengampunan dosa. Rasul Paulus menjelaskan, “Imam agung kita bukanlah imam agung yang tidak dapat bersimpati terhadap kelemahan kita. Sebaliknya kita mempunyai imam agung yang telah diuji dalam segala hal seperti kita, tetapi dia tidak mempunyai dosa.” Kemudian, Paulus menggalakkan orang yang beriman kepada Yesus Kristus untuk memanfaatkan sepenuhnya aturan untuk berbaik semula dengan Tuhan. Dia berkata, “Oleh itu, marilah kita menghadap takhta Tuhan, iaitu Dia yang mengurniakan kebaikan hati yang unggul, dan berdoa kepada-Nya dengan berani. Dengan demikian, kita dapat menerima belas kasihan dan kebaikan hati yang unggul semasa kita memerlukan bantuan.”—Ibr. 4:14-16; 1 Yoh. 2:2.
5 Yesus juga merupakan Kepala sidang Kristian. Seperti pada abad pertama, para pengikut Kristus tidak memerlukan manusia sebagai pemimpin. Yesus memberi kita arahan melalui kuasa suci Tuhan dan para gembala. Gembala-gembala ini dilantik untuk menjaga kawanan Tuhan dan bertanggungjawab kepada Yesus dan Bapanya. (Ibr. 13:17; 1 Ptr. 5:2, 3) Mengenai Yesus, Yehuwa menubuatkan, “Aku menjadikan dia seorang saksi kepada bangsa-bangsa, seorang pemimpin dan pemerintah kepada bangsa-bangsa.” (Yes. 55:4) Yesus mengesahkan bahawa nubuat itu berlaku kepada dirinya semasa dia memberitahu murid-muridnya, “Janganlah terima gelaran pemimpin kerana kamu hanya mempunyai seorang Pemimpin, iaitu Kristus.”—Mat. 23:10.
6 Untuk menunjukkan bahawa dia rela membantu kita, Yesus berkata, “Marilah kepadaku, hai kamu semua yang lelah kerana memikul beban yang berat, dan aku akan menyegarkan kamu. Pikullah kuk aku dan belajarlah daripadaku, kerana aku lemah lembut dan rendah hati, maka jiwamu akan pulih segar. Kuk aku senang dipikul, dan pikulan yang aku berikan pun ringan.” (Mat. 11:28-30) Yesus memimpin sidang dengan lemah lembut dan dalam cara yang menyegarkan. Hal ini membuktikan bahawa dia ialah “gembala yang baik,” yang meniru Bapanya Tuhan Yehuwa.—Yoh. 10:11; Yes. 40:11.
7 Surat pertama Paulus kepada sidang di Korintus menjelaskan satu lagi aspek peranan Yesus Kristus: “Kristus akan terus memerintah sebagai raja sehingga Tuhan meletakkan semua musuh di bawah kakinya. Setelah segala sesuatu ditundukkan kepadanya, Anak sendiri akan tunduk kepada Tuhan yang menjadikan segala sesuatu tunduk kepadanya. Dengan ini, Tuhan akan menjadi satu-satunya Pemerintah atas semuanya.” (1 Kor. 15:25, 28) Sebelum datang ke bumi, Yesus, selaku ciptaan Tuhan yang pertama, merupakan “jurubina yang mahir” di sisi Yehuwa. (Ams. 8:22-31) Apabila Yesus diutus ke bumi, dia sentiasa melakukan kehendak Tuhan. Dia mengharungi ujian yang paling berat dan tetap setia kepada Tuhan sampai mati. (Yoh. 4:34; 15:10) Oleh sebab Yesus begitu setia, Bapanya membangkitkannya ke syurga dan memberinya hak untuk memerintah sebagai Raja Kerajaan di syurga. (Kis. 2:32-36) Sebagai Raja yang dilantik Tuhan, Yesus akan mengetuai jutaan malaikat yang berkuasa untuk melenyapkan pemerintahan manusia dan segala kejahatan di bumi. (Ams. 2:21, 22; 2 Tes. 1:6-9; Why. 19:11-21; 20:1-3) Selepas itu, seluruh bumi hanya akan diperintah oleh Kerajaan Tuhan di bawah pimpinan Kristus.—Why. 11:15.
APAKAH ERTI MENGAKUI PERANAN YESUS?
8 Yesus Kristus ialah suri teladan kita, dan dia sempurna. Dia ditugaskan untuk menjaga kita. Kita akan dikasihi dan dijaganya jika kita tetap setia kepada Yehuwa dan maju seiring dengan organisasi Yehuwa.
9 Para pengikut Yesus pada abad pertama mengakui sepenuhnya peranan Kristus dalam aturan Tuhan. Mereka bekerja bersama-sama di bawah pimpinan Kristus, dan mereka mematuhi arahan yang diberikannya menerusi kuasa suci Tuhan. (Kis. 15:12-21) Rasul Paulus menyebut tentang perpaduan sidang Kristian terurap semasa dia menulis, “Kita harus bercakap benar dan menunjukkan kasih, supaya kita menjadi matang dalam segala hal dan menjadi seperti Kristus, iaitu kepala kita. Melaluinya, semua bahagian tubuh tersusun rapi dan bekerjasama melalui setiap sendi yang memberikan sokongan. Apabila setiap anggota tubuh memainkan peranannya dengan baik, hal ini akan menyumbang kepada pertumbuhan tubuh supaya tubuh itu terus menjadi kuat dalam kasih.”—Ef. 4:15, 16.
10 Apabila setiap orang dalam sidang bekerjasama dan berkhidmat dengan harmoni di bawah pimpinan Kristus, sidang akan terus bertumbuh dalam kasih, iaitu “ikatan yang menyatupadukan orang dengan sempurna.”—Kol. 3:14; 1 Kor. 12:14-26.
11 Peristiwa di pentas dunia yang terjadi tepat seperti nubuat Bible membuktikan bahawa sejak tahun 1914, Yesus Kristus telah diberi kuasa sebagai Raja. Kini, dia sedang memerintah dalam kalangan musuh-musuhnya. (Mzm. 2:1-12; 110:1, 2) Apakah erti hal ini bagi penduduk bumi? Tidak lama lagi, Yesus akan menunjukkan kuasanya sebagai Raja atas segala raja dan Tuan atas segala tuan. Pada masa itu, dia akan melaksanakan penghakiman Tuhan terhadap musuh-musuhnya. (Why. 11:15; 12:10; 19:16) Selepas itu, janji Yehuwa untuk membebaskan manusia, yang diucapkan-Nya semasa pemberontakan di Taman Eden, akan ditunaikan. Semua orang yang ‘berada di sebelah kanan’ Kristus, iaitu mereka yang mendapat perkenannya, akan diselamatkan. (Mat. 25:34) Tidakkah kita bersyukur kerana mengakui peranan Kristus dalam aturan Tuhan? Semoga kita tetap bersatu di bawah pimpinan Kristus untuk mengkhabarkan berita baik di serata dunia pada hari-hari terakhir ini.