BAB 3
“Ingatlah akan Mereka yang Mengambil Pimpinan Dalam Kalangan Kamu”
KATA-KATA itu ditulis oleh Rasul Paulus di Ibrani 13:7. Sejak Pentakosta 33 M, para rasul Yesus yang setia telah membentuk badan pimpinan untuk memberikan arahan kepada sidang Kristian yang baru ditubuhkan. (Kis. 6:2-4) Sekitar tahun 49 M, ahli badan pimpinan itu telah bertambah dan merangkumi individu lain yang bukan rasul Yesus. Semasa keputusan tentang isu sunat dibuat, ahli badan pimpinan merangkumi “para rasul dan penatua di Yerusalem.” (Kis. 15:1, 2) Mereka bertanggungjawab mengurus hal-hal yang mempengaruhi orang Kristian di merata-rata tempat. Surat dan perintah yang dikirim mereka telah menguatkan sidang dan membantu semua murid Yesus tetap bersatu dalam fikiran dan tindakan. Apabila sidang-sidang patuh dan tunduk kepada arahan badan pimpinan, mereka diberkati Yehuwa dan semakin makmur.—Kis. 8:1, 14, 15; 15:22-31; 16:4, 5; Ibr. 13:17.
2 Selepas kematian para rasul, sidang dicengkam oleh pengaruh kemurtadan yang kuat. (2 Tes. 2:3-12) Seperti yang dinubuatkan Yesus dalam perumpamaannya tentang gandum dan lalang, terdapat lalang (orang Kristian palsu) yang ditanam di antara gandum (orang Kristian terurap). Selama ratusan tahun, dua kumpulan ini bertumbuh bersama-sama sehingga masa menuai, iaitu “penghujung sistem dunia ini.” (Mat. 13:24-30, 36-43) Sepanjang masa itu, terdapat orang Kristian terurap di bumi yang diperkenankan Yesus, tetapi tidak ada badan pimpinan atau wakil yang digunakan oleh Yesus untuk memberikan arahan kepada para pengikutnya. (Mat. 28:20) Namun, Yesus menubuatkan bahawa keadaan itu akan berubah semasa musim menuai.
3 “Siapakah sebenarnya hamba yang setia dan bijaksana?” Selepas mengajukan soalan itu, Yesus menceritakan sebuah perumpamaan yang akan menjadi sebahagian daripada “tanda” bagi “penghujung sistem ini.” (Mat. 24:3, 42-47) Yesus menjelaskan bahawa hamba yang setia itu akan sibuk menyediakan makanan rohani untuk umat Tuhan “pada masa yang sesuai.” Pada abad pertama, Yesus menggunakan sekumpulan lelaki dan bukannya seorang individu untuk mengambil pimpinan. Begitu juga, hamba setia yang digunakan Yesus pada penghujung sistem ini bukanlah seorang individu.
SIAPAKAH “HAMBA YANG SETIA DAN BIJAKSANA”?
4 Siapakah yang dilantik oleh Yesus untuk memberikan makanan kepada pengikutnya? Dia pasti menggunakan orang Kristian terurap di bumi. Bible menggambarkan mereka sebagai “imam-imam yang berkhidmat sebagai raja,” yang dilantik untuk “‘mengisytiharkan kemuliaan’ Dia yang telah memanggil [mereka] keluar daripada kegelapan untuk masuk ke dalam cahaya-Nya yang menakjubkan.” (1 Ptr. 2:9; Mal. 2:7; Why. 12:17) Adakah hamba yang setia itu terdiri daripada semua orang Kristian terurap di bumi? Tidak. Fikirkan apa yang dilakukan Yesus semasa dia menyediakan makanan secara mukjizat untuk 5,000 orang lelaki dan ramai lagi wanita dan kanak-kanak. Dia mengedarkan makanan itu kepada murid-muridnya, lalu mereka mengedarkannya kepada orang ramai. (Mat. 14:19) Ya, Yesus menggunakan beberapa orang untuk memberikan makanan kepada ramai orang. Itulah cara yang digunakannya untuk mengedarkan makanan rohani pada zaman ini.
5 Oleh itu, “hamba yang setia dan bijaksana” terdiri daripada sekumpulan kecil saudara-saudara terurap. Mereka terlibat secara langsung dalam penyediaan dan pengedaran makanan rohani semasa kehadiran Kristus. (Luk. 12:42) Sepanjang hari-hari terakhir, para saudara terurap yang membentuk “hamba yang setia dan bijaksana” telah berkhidmat bersama-sama di ibu pejabat. Hari ini, mereka dikenali sebagai Badan Pimpinan Saksi-Saksi Yehuwa.
6 Kristus menggunakan Badan Pimpinan untuk menyalurkan maklumat tentang bagaimana nubuat Bible menjadi kenyataan. Badan ini juga memberikan arahan tentang cara mengamalkan prinsip Bible dalam kehidupan seharian. Makanan rohani itu diedarkan pada masa yang sesuai melalui sidang Saksi-Saksi Yehuwa. (Yes. 43:10; Gal. 6:16) Pada zaman Bible, seorang hamba yang dipercayai akan dilantik sebagai pengurus rumah tangga. Begitu juga, kerja mengurus sidang Kristian telah diamanahkan kepada hamba yang setia dan bijaksana. Hamba ini mengawasi harta benda, kerja penyebaran, program perhimpunan dan konvensyen, penerbitan bahan bacaan Bible, dan pelantikan penyelia untuk pelbagai tugas dalam organisasi. Semua kerja ini membawa manfaat kepada “hamba-hamba lain.”—Mat. 24:45.
7 Siapakah “hamba-hamba lain” itu? Semua yang menerima makanan rohani. Pada mulanya, semua “hamba-hamba lain” ialah kaum terurap. Kemudian, “hamba-hamba lain” juga merangkumi kumpulan besar “biri-biri lain.” (Yoh. 10:16) Kedua-dua kumpulan ini menikmati makanan rohani yang dibekalkan oleh hamba yang setia.
8 Semasa kesengsaraan besar, Yesus akan datang untuk mengumumkan dan melaksanakan penghakiman ke atas sistem dunia yang jahat ini. Pada masa itu, dia akan melantik hamba yang setia untuk “mengurus segala hartanya,” dan para anggota hamba yang setia akan menerima ganjaran di syurga. (Mat. 24:46, 47) Akhirnya kesemua 144,000 kaum terurap akan memerintah bersama Kristus di syurga. Walaupun tidak akan ada lagi hamba yang setia dan bijaksana di bumi selepas itu, Yehuwa dan Yesus akan memberikan arahan kepada rakyat Kerajaan Mesias melalui para “penguasa.”—Mzm. 45:16.
MENGAPAKAH KITA HARUS ‘INGAT AKAN MEREKA YANG MENGAMBIL PIMPINAN’?
9 Terdapat banyak sebab kita harus ingat akan “mereka yang mengambil pimpinan” dan yakin kepada mereka. Rasul Paulus menjelaskan manfaatnya jika kita berbuat demikian. Dia berkata, “Mereka sedang menjaga kamu dan akan bertanggungjawab kepada Tuhan. Dengan demikian, mereka dapat menjalankan tugas dengan sukacita dan bukannya dengan keluh-kesah, kerana hal itu akan merugikan kamu.” (Ibr. 13:17) Ya, kita harus patuh dan tunduk kepada arahan mereka, kerana mereka sedang menjaga dan melindungi kita secara rohani.
10 Di 1 Korintus 16:14, Paulus berkata, “Hendaklah kamu melakukan segala sesuatu dengan kasih.” Kasih merupakan dasar bagi keputusan yang dibuat untuk umat Tuhan. “Kasih itu sabar dan baik hati. Kasih tidak cemburu, tidak bercakap besar, tidak menjadi angkuh, tidak bersikap biadab, tidak mementingkan diri sendiri, dan tidak cepat naik marah. Kasih tidak menyimpan dendam apabila dilukai. Kasih tidak bersukacita atas perkara yang salah, tetapi bersukacita atas perkara yang benar. Kasih menanggung segala sesuatu, mempercayai segala sesuatu, tidak hilang harapan terhadap segala sesuatu, dan menghadapi segala sesuatu dengan tabah. Kasih itu abadi.” (1 Kor. 13:4-8) Oleh sebab semua keputusan yang dibuat mereka adalah berdasarkan kasih dan demi manfaat hamba-hamba Yehuwa, kita tidak perlu berasa risau. Tambahan lagi, arahan yang diberikan mereka mencerminkan kasih Yehuwa.
Kita harus tunduk kepada mereka yang menjaga kita secara rohani
11 Seperti halnya pada abad pertama, orang yang digunakan Yehuwa hari ini untuk memimpin umat-Nya juga tidak sempurna. Sebenarnya, Yehuwa telah menggunakan orang yang tidak sempurna untuk melaksanakan kehendak-Nya sejak dahulu lagi. Contohnya, Dia menyuruh Nuh membina bahtera dan memberikan amaran tentang Banjir yang bakal tiba. (Kej. 6:13, 14, 22; 2 Ptr. 2:5) Dia juga melantik Musa untuk memimpin umat-Nya keluar dari Mesir. (Kel. 3:10) Tuhan telah mengilhami orang yang tidak sempurna untuk menulis Bible. (2 Tim. 3:16; 2 Ptr. 1:21) Pada zaman ini, Yehuwa memilih orang yang tidak sempurna untuk mengarahkan kerja penyebaran. Meskipun begitu, keyakinan kita terhadap organisasi-Nya tidak menjadi lemah. Sebaliknya, kita dikuatkan kerana sedar bahawa tanpa sokongan Yehuwa, organisasi ini tidak akan meraih pencapaian yang begitu mengagumkan. Pengalaman dan cabaran yang dilalui hamba yang setia selama bertahun-tahun membuktikan bahawa mereka dibimbing kuasa suci Tuhan. Bahagian organisasi Yehuwa di bumi telah dilimpahi berkat. Oleh itu, kita menyokong organisasi ini dengan sepenuhnya dan yakin kepadanya dengan segenap hati.
CARA KITA MENUNJUKKAN KEYAKINAN KITA
12 Apabila orang yang mengambil pimpinan dalam sidang rela menerima dan melakukan tugas mereka dengan setia, hal itu menunjukkan bahawa mereka yakin kepada Yehuwa dan aturan-Nya. (Kis. 20:28) Sebagai penyiar, kita menginjil dari rumah ke rumah, membuat kunjungan kembali, dan mengadakan pembelajaran Bible dengan sungguh-sungguh. (Mat. 24:14; 28:19, 20) Untuk memanfaatkan makanan rohani daripada hamba yang setia, kita membuat persiapan yang baik dan menghadiri perjumpaan, perhimpunan, dan konvensyen. Semasa pertemuan sebegini, kita bergaul dengan rakan seiman dan saling menggalakkan.—Ibr. 10:24, 25.
13 Sumbangan yang kita berikan juga mencerminkan keyakinan kita terhadap organisasi Tuhan. (Ams. 3:9, 10) Apabila kita nampak bahawa ada rakan seiman yang memerlukan bantuan kebendaan, kita harus segera bertindak. (Gal. 6:10; 1 Tim. 6:18) Kita berbuat demikian kerana kita mengasihi mereka, dan kerana kita peka terhadap peluang untuk menunjukkan penghargaan kepada Yehuwa dan organisasi-Nya atas segala berkat yang kita terima.—Yoh. 13:35.
14 Kita juga menunjukkan keyakinan kita dengan menyokong keputusan yang dibuat oleh organisasi Tuhan. Hal ini bermaksud kita akan rela mengikut arahan yang diberikan para penyelia, seperti penyelia litar dan penatua sidang. Saudara-saudara itu tergolong antara “mereka yang mengambil pimpinan,” dan kita harus patuh dan tunduk kepada mereka. (Ibr. 13:7, 17) Biarpun kita tidak faham sepenuhnya sebab di sebalik keputusan tertentu, kita tahu bahawa jika kita patuh, kita akan meraih manfaat yang kekal. Kepatuhan kita kepada Firman Tuhan dan organisasi-Nya membuktikan bahawa kita tunduk kepada Tuan kita Yesus Kristus, dan akan mendatangkan berkat daripada Yehuwa.
15 Sesungguhnya, kita ada sebab yang baik untuk yakin kepada hamba yang setia dan bijaksana. Syaitan, tuhan sistem ini, sedang mengerahkan semua usahanya untuk mencela nama Yehuwa dan organisasi-Nya. (2 Kor. 4:4) Janganlah menjadi mangsa kepada helah keji Syaitan! (2 Kor. 2:11) Dia tahu bahawa “masanya tinggal sedikit,” dan dia akan dikurung tidak lama lagi. Maka dia bertekad untuk membuat sebanyak mungkin umat Yehuwa meninggalkan Tuhan. (Why. 12:12) Namun, apabila Syaitan menggiatkan usahanya, semoga kita semakin menghampiri Yehuwa. Yakinlah kepada Yehuwa dan wakil yang digunakan-Nya untuk memimpin umat-Nya hari ini. Dengan itu, persaudaraan kita akan tetap bersatu padu.