Rujukan untuk Lembaran Kerja Kehidupan dan Kegiatan Kristian
© 2023 Watch Tower Bible and Tract Society of Pennsylvania
8-14 MEI
HARTA KARUN DALAM FIRMAN TUHAN | 2 TAWARIKH 20-21
Permata Rohani
it-2 1182-1183
Yehoram
Pengaruh buruk isterinya, iaitu Atalya, merupakan salah satu sebab mengapa Yehoram tidak mengikut haluan yang benar seperti bapanya Yehosafat. (2Ra 8:18) Yehoram telah membunuh enam orang adik lelakinya dan juga beberapa orang pegawai Israel. Selain itu, dia menggalakkan rakyatnya untuk menyembah tuhan palsu. (2Ta 21:1-6, 11-14) Pelbagai masalah dan persengketaan telah wujud semasa pemerintahan Yehoram. Sebagai contoh, Edom dan kemudiannya Libna telah memberontak terhadap Yehuda. (2Ra 8:20-22) Nabi Elia juga menulis surat kepada Yehoram dan memberinya amaran ini: “Yehuwa akan mendatangkan malapetaka yang dahsyat atas rakyatmu dan anak isterimu serta membinasakan semua harta milikmu. Engkau akan mendapat banyak penyakit, termasuk penyakit usus. Penyakit ususmu akan bertambah teruk hari demi hari sehingga ususmu terkeluar.”—2Ta 21:12-15.
Semua yang dikatakan Nabi Elia telah berlaku. Yehuwa mengizinkan orang Arab dan Filistin untuk menyerang Yehuda dan mengambil isteri-isteri dan anak-anak Yehoram sebagai tawanan. Hanya anak bongsu Yehoram, iaitu Yehoahas (juga dipanggil Ahazia), berjaya diselamatkan. Hal ini demikian kerana Yehuwa ingin menunaikan perjanjian-Nya dengan Daud untuk memberi keturunannya sebuah kerajaan. Mengenai penyakit Yehoram, Bible kata, “Setelah semua ini berlaku, Yehuwa menyebabkan Yehoram mendapat penyakit usus yang tidak dapat diubati.” Selepas dua tahun berlalu, penyakit Yehoram “begitu parah sehingga ususnya terkeluar,” dan akhirnya, raja yang jahat ini meninggal. Bible kata, “Tiada seorang pun yang berasa sedih ketika dia meninggal.” Dia dikebumikan di Kota Daud, “tetapi bukan di makam diraja.” Kemudian, anaknya Ahazia menggantikannya sebagai raja.—2Ta 21:7, 16-20; 22:1; 1Ta 3:10, 11.
15-21 MEI
HARTA KARUN DALAM FIRMAN TUHAN | 2 TAWARIKH 22-24
“Yehuwa Memberkati Keberanian Umat-Nya”
it-2 413
Pengebumian, Tempat Pengebumian
Imam Agung Yehoyada diberikan penghormatan istimewa untuk “dikebumikan di Kota Daud bersama raja-raja.” Dia ialah satu-satunya orang yang bukan daripada kalangan kerabat diraja yang menerima hak istimewa ini.—2Ta 24:15, 16.
Permata Rohani
it-2 1344
Zakharia
12. Anak kepada Imam Agung Yehoyada. Selepas kematian Yehoyada, Raja Yehoas meninggalkan ibadat sejati dan enggan mendengar nasihat para nabi. Sebaliknya, dia terikut-ikut dengan nasihat yang buruk. Sepupunya Zakharia (2Ta 22:11), dengan berani memberikan amaran kepada orang ramai, tetapi mereka tidak mahu bertaubat dan bahkan merejamnya dengan batu di halaman Rumah Yehuwa. Pada saat kematiannya, Zakharia berseru, “Semoga Yehuwa menghukum tuanku atas perbuatan tuanku!” Kata-kata Zakharia yang juga merupakan suatu nubuat telah menjadi kenyataan. Pada kemudian hari, askar Siria telah menyerang Yehuda. Yehoas telah dibunuh oleh dua orang pegawainya “kerana dia telah membunuh anak-anak Imam Yehoyada.” Septuagint bahasa Yunani dan Vulgate bahasa Latin menyatakan bahawa Yehoas dibunuh sebagai pembalasan atas kematian “anak” Yehoyada. Tetapi manuskrip Masoret dan Peshitta bahasa Suryani menggunakan istilah “anak-anak.” Penggunaan istilah dalam bentuk jamak ini mungkin menunjukkan keunggulan dan kemuliaan anak Yehoyada, iaitu Zakharia, seorang imam dan nabi.—2Ta 24:17-22, 25.
JADILAH PENGINJIL YANG LEBIH MAHIR
“Memberitakan Firman Tuhan dengan Berani”
6 Salah satu cara untuk menerima kuasa suci Yehuwa adalah dengan berdoa kepada-Nya. Yesus memberitahu pengikutnya, “Jika kamu yang jahat pun tahu memberikan apa yang baik kepada anak-anakmu, apatah lagi Bapa yang di syurga! Sudah pasti Dia akan memberikan kuasa suci-Nya kepada mereka yang meminta daripada-Nya.” (Luk. 11:13) Sememangnya, kita harus sentiasa berdoa memohon kuasa suci Tuhan. Kita mungkin rasa takut untuk cuba kaedah menginjil yang berbeza seperti memberikan kesaksian di tempat awam, kesaksian secara tidak formal, atau menginjil di kawasan perniagaan. Jadi, kita boleh berdoa kepada Yehuwa dan memohon bantuan kuasa suci-Nya agar kita dapat menjadi penginjil yang berani.—1 Tes. 5:17.
7 Itulah yang dilakukan oleh seorang saudari yang akan kita panggil Rosa. Pada suatu hari, sewaktu Rosa di bilik guru, seorang rakan sekerjanya membaca laporan dari sekolah lain tentang penderaan kanak-kanak. Guru itu berasa sangat geram tentang laporan itu. Dia kata, “Apa sudah jadi dengan dunia ini?” Rosa tidak melepaskan peluang ini untuk memberi kesaksian kepada guru itu. Bagaimanakah Rosa memupuk keberanian untuk menginjil? Rosa berkata, “Saya berdoa kepada Yehuwa dan meminta agar kuasa suci-Nya membantu saya.” Akhirnya, Rosa dapat memberikan kesaksian yang baik dan membuat aturan untuk berbincang lagi pada masa lain. Perhatikan juga pengalaman seorang anak berusia lima tahun yang akan kita panggil Milane. Dia tinggal di Bandar Raya New York. Milane kata, “Sebelum saya pergi ke sekolah, saya dan mama selalu berdoa kepada Yehuwa.” Apakah yang mereka doakan? Mereka berdoa agar Milane berani bercakap tentang Yehuwa dan pendiriannya. Ibu Milane kata, “Hal ini telah membantu Milane tidak menyertai sambutan hari jadi dan perayaan lain serta menjelaskan kepercayaannya dengan yakin.” Ya, contoh-contoh ini jelas menunjukkan bahawa doa dapat membantu kita menjadi berani.
8 Fikirkan juga tentang teladan Nabi Yeremia. Semasa Yehuwa mula-mula melantik Yeremia sebagai nabi, dia berasa takut dan kurang yakin. Dia menjawab, “Aku tidak pandai berkata-kata kerana aku masih sangat muda.” (Yer. 1:4-6) Tetapi, seraya masa berlalu, dia dikenali sebagai utusan yang sangat berani dan bersemangat kerana dia tidak berhenti mengumumkan penghakiman Yehuwa. (Yer. 38:4) Dia telah melakukan tugasannya dengan bersungguh-sungguh selama lebih daripada 65 tahun. Semangatnya yang membara telah meninggalkan kesan yang mendalam terhadap umat Israel. Kira-kira 600 tahun kemudian, sesetengah orang Israel berfikir bahawa Yesus ialah Yeremia yang telah dibangkitkan kerana Yesus juga menginjil dengan penuh keberanian. (Mat. 16:13, 14) Ya, walaupun Yeremia pada mulanya berasa takut, dia dapat mengatasi perasaannya itu dengan berjaya. Apakah yang membantunya untuk memiliki keberanian? Dia berkata, “Firman [Tuhan] membara dalam hatiku, seperti api yang terkurung dalam tulang-tulangku. Aku letih kerana berusaha menahannya.” (Yer. 20:9) Sememangnya, firman Tuhan telah menguatkan Yeremia dan mendorongnya untuk terus menyebarkan mesej Tuhan.
9 Dalam surat Paulus kepada orang Ibrani, dia menulis, “Firman Tuhan itu hidup, berkuasa, dan lebih tajam daripada mana-mana pedang bermata dua. Firman Tuhan dapat menusuk dan memisahkan rupa luar seseorang daripada apa yang ada dalam hatinya. Firman Tuhan juga dapat menusuk dan memisahkan sendi-sendi daripada tulang sumsum, dan dapat menilai fikiran dan niat hati seseorang.” (Ibr. 4:12) Seperti yang dialami Yeremia, Firman Yehuwa juga dapat mempengaruhi kita. Hal ini kerana Bible bukanlah sekadar buku yang ditulis manusia, tetapi catatannya diilhami Tuhan. Dua Petrus 1:21 kata, “Nubuat tidak pernah dihasilkan menurut kehendak manusia, tetapi manusia mengatakan apa yang berasal daripada Tuhan seraya mereka didorong oleh kuasa suci-Nya.” Maka, dengan meluangkan masa untuk mengkaji Bible, kita sedang mengisi minda kita dengan kata-kata yang diilhami Tuhan dan yang didorong oleh kuasa suci-Nya. (Baca 1 Korintus 2:10.) Hasilnya, mesej Tuhan akan ‘membara dalam hati kita seperti api’ sehingga kita tidak dapat menahannya lagi.
10 Jika kita ingin mendapat manfaat yang sepenuhnya daripada pembelajaran Bible peribadi, kita harus membiarkan mesej Tuhan mencapai hati dan minda kita. Contohnya, dalam suatu penglihatan, Nabi Yehezkiel disuruh untuk makan gulungan yang mengandungi mesej penghakiman Tuhan kepada umat Israel yang degil. Ertinya, Yehezkiel perlu memahami mesej yang akan disampaikannya. Dia harus mempercayai mesej itu dengan sepenuhnya dan membiarkan mesej itu menyentuh hatinya. Dengan berbuat demikian, tugasannya untuk menyampaikan mesej itu akan menjadi sesuatu yang menyenangkan dan manis seperti madu.—Baca Yehezkiel 2:8–3:4, 7-9.
22-28 MEI
HARTA KARUN DALAM FIRMAN TUHAN | 2 TAWARIKH 25-27
“Yehuwa Dapat Memberikan Lebih daripada Itu”
it-2 1180
Yehoas
Raja Yehuda mengupah 100,000 askar daripada Yehoas untuk melawan orang Edom. Kemudian, atas perintah seorang “nabi Tuhan yang benar,” askar-askar itu disuruh pulang. Namun, mereka telah pun dibayar 100 talenta perak ($660,600) sebagai upah. Walaupun askar-askar itu menuruti perintah untuk pulang, mereka berasa sangat marah, barangkali kerana mereka tidak akan mendapat barang jarahan yang diharapkan. Oleh sebab itu, setelah mereka kembali ke bahagian utara, mereka telah menjarah kota-kota kerajaan Yehuda, dari Samaria (mungkin pangkalan utama operasi mereka) sampai ke Bet-horon.—2Ta 25:6-10, 13.
Permata Rohani
w07 15/12 10 ¶1-2
Adakah Anda Mempunyai Seorang Mentor Rohani?
UZIA berusia 16 tahun apabila dia menjadi raja. Dia memerintah di kerajaan Yehuda selama lebih daripada 50 tahun, dari hujung abad kesembilan hingga awal abad kelapan SM. Sejak muda lagi, Uzia “terus melakukan apa yang benar di mata Yehuwa.” Apakah yang mendorongnya untuk mengikut haluan yang betul? Bible kata, “Zakharia mengajarnya untuk takut kepada Tuhan yang benar. Selama Zakharia masih hidup, Uzia menyembah Tuhan. Sepanjang masa dia menyembah Yehuwa, dia hidup makmur.”—2 Tawarikh 26:1, 4, 5.
Selain catatan ini, kita tidak mempunyai banyak maklumat tentang Zakharia. Tetapi penasihat raja ini telah “mengajar [Uzia] untuk takut kepada Tuhan yang benar.” Ya, Zakharia ialah pengaruh yang baik dan membimbing Raja Uzia yang muda untuk melakukan apa yang benar. The Expositor’s Bible menyatakan bahawa Zakharia “mempunyai pengetahuan dan pengalaman yang luas tentang hal-hal rohani, serta mahir mengongsi pengetahuannya.” Seorang cendekiawan Bible menyimpulkan tentang Zakharia, “Dia sangat mengenali nubuat-nubuat dan . . . seorang yang pandai, alim, dan baik; dia juga memberi pengaruh yang positif kepada Uzia.”
5-11 JUN
HARTA KARUN DALAM FIRMAN TUHAN | 2 TAWARIKH 30-31
“Betapa Baiknya untuk Berkumpul Bersama”
it-1 942
Hizkia
Semangat yang Membara untuk Ibadat Sejati. Semasa Hizkia menaiki takhta pada usia 25 tahun, dia telah menunjukkan semangat yang membara untuk ibadat sejati. Mula-mula, dia membuka semula Rumah Tuhan dan mengaturkan kerja pembaikan di sana. Dia juga menyuruh para imam dan orang Lewi untuk berkumpul lalu dia berkata, “Beta berhasrat untuk membuat perjanjian dengan Yehuwa, Tuhan orang Israel.” Oleh sebab rakyat telah mengabaikan perjanjian Hukum Musa, Hizkia seolah-olah ingin membaharui perjanjian mereka itu untuk mematuhi Yehuwa dan tetap setia. Dia mencurahkan banyak usaha untuk mengaturkan khidmat orang Lewi, serta membuat pengaturan untuk bahagian muzik dan nyanyian. Walaupun Perayaan Paska sepatutnya disambut pada bulan itu (Nisan), Rumah Tuhan, para imam, dan orang Lewi masih belum disucikan. Hanya pada hari ke-16 bulan Nisan, Rumah Yehuwa telah disucikan dan semua peralatannya juga dikembalikan. Selepas itu, korban khas dipersembahkan untuk memohon pengampunan dosa bagi semua orang Israel. Mula-mula, semua pemimpin kota membawa korban untuk dipersembahkan sebagai korban dosa bagi keluarga diraja, orang Yehuda, dan tempat suci. Kemudian, umat Israel turut mempersembahkan ribuan korban bakar.—2Ta 29:1-36.
it-1 942
Hizkia
Oleh sebab rakyat belum lagi menyucikan diri, mereka tidak dapat menyambut Perayaan Paska pada tarikh asalnya. Maka, Hizkia mengaturkan agar Paska disambut sebulan kemudian. Hal ini selaras dengan aturan bagi orang yang tidak dapat menyambut Paska kerana telah menjadi najis. Hizkia mengirim surat ke seluruh Israel dan Yehuda, dari Beer-syeba sampai ke Dan. Tetapi ramai orang mengejek dan menghina para utusan itu. Meskipun begitu, sebilangan orang dari Asyer, Manasye, dan Zebulon merendahkan diri lalu pergi ke Yerusalem. Terdapat juga segelintir orang dari Efraim dan Isakhar yang telah pergi. Selain itu, penduduk asing yang menyembah Yehuwa turut menghadiri perayaan itu. Sudah pasti, jika umat Tuhan di kerajaan Israel di utara ingin datang untuk menyokong ibadat sejati, mereka akan menghadapi banyak tentangan dan hinaan. Hal ini kerana kerajaan Israel telah terjerumus dalam ibadat palsu dan diancam oleh orang Assyria.—2Ta 30:1-20; Bil 9:10-13.
it-1 942
Hizkia
Selepas Perayaan Paska diadakan, mereka menyambut Perayaan Roti Tidak Beragi selama tujuh hari. Orang yang berkumpul di situ sangat gembira dan memutuskan untuk teruskan perayaan itu selama tujuh hari lagi. Walaupun mereka sedang mengalami masa yang genting, berkat Yehuwa telah memberi mereka sukacita yang besar. Bible kata, “Seluruh Yerusalem sangat gembira kerana sejak zaman pemerintahan Salomo anak Daud, raja Israel, belum pernah perkara seperti ini berlaku di Yerusalem.”—2Ta 30:21-27.
Semua orang di sana benar-benar tergerak untuk memulihkan ibadat sejati. Apakah buktinya? Sebelum orang Israel kembali ke kota masing-masing, mereka menghancurkan tugu suci, tiang suci, tempat ibadat, dan mazbah di seluruh kawasan Yehuda dan Benyamin, bahkan di Efraim dan Manasye. (2Ta 31:1) Hizkia juga mengambil pimpinan untuk menyingkirkan ibadat palsu dengan menghancurkan ular tembaga yang dibuat oleh Musa. Hal ini kerana umat Israel telah menjadikannya suatu berhala dan membakar korban di hadapannya. (2Ra 18:4) Selepas perayaan besar-besaran itu berakhir, Hizkia memastikan agar ibadat sejati terus dipelihara. Dia mengaturkan para imam dan menetapkan aturan bagi menyokong kerja-kerja di Rumah Tuhan. Dia juga memerintahkan penduduk untuk mematuhi Hukum Yehuwa mengenai pemberian persepuluhan dan hasil pertama tuaian kepada para imam dan orang Lewi. Semua orang menyokong aturan ini dengan sepenuh hati.—2Ta 31:2-12.
12-18 JUN
HARTA KARUN DALAM FIRMAN TUHAN | 2 TAWARIKH 32-33
“Jadilah Sumber Kekuatan pada Masa Kesusahan”
it-1 214
Assyria
Sanherib. Raja Sanherib, iaitu anak kepada Sargon II, telah menyerang kerajaan Yehuda pada tahun ke-14 pemerintahan Raja Hizkia (732 SM). (2Ra 18:13; Yes 36:1) Sebelum itu, tindakan bapa Hizkia, iaitu Raja Ahas, telah menyebabkan orang Israel ditindas oleh Assyria. Maka, Hizkia memberontak melawan raja Assyria dan enggan tunduk kepadanya. (2Ra 18:7) Sanherib pula membalas balik dengan menakluki 46 buah kota di Yehuda (bandingkan Yes 36:1, 2). Kemudian, dia menghantar pesanan dari perkhemahannya di Lakhis, lalu menuntut Hizkia untuk membayar denda sebanyak 30 talenta emas (kira-kira $11,560,000) dan 300 talenta perak (kira-kira $1,982,000). (2Ra 18:14-16; 2Ta 32:1; bandingkan Yes 8:5-8.) Walaupun Hizkia telah membuat bayaran itu, Sanherib tidak menepati kata-katanya. Dia bahkan mendesak Hizkia untuk menyerah dan membiarkan Yerusalem ditawan tanpa syarat. (2Ra 18:17–19:34; 2Ta 32:2-20) Akhirnya, Yehuwa menggunakan malaikat-Nya untuk membunuh 185,000 orang askar Assyria dalam satu malam. Maka, Raja Sanherib terus mengundur dan kembali ke Niniwe. (2Ra 19:35, 36) Setelah itu, dia dibunuh oleh dua anaknya, dan seorang lagi anaknya yang bernama Esar-hadon menggantikannya sebagai raja. (2Ra 19:37; 2Ta 32:21, 22; Yes 37:36-38) Semua peristiwa ini, kecuali pembinasaan askar Assyria, terdapat pada prisma Sanherib dan salah satu prisma Esar-hadon.
19-25 JUN
HARTA KARUN DALAM FIRMAN TUHAN | 2 TAWARIKH 34-36
“Adakah Anda Meraih Manfaat yang Sepenuhnya daripada Firman Tuhan?”
it-1 987
Hulda
Semasa pembaikan Rumah Tuhan dijalankan, Imam Agung Hilkia menjumpai kitab Hukum Musa. Sebaik sahaja Yosia mendengar “kata-kata dalam kitab itu,” dia terus mengutus beberapa orang untuk meminta petunjuk daripada Yehuwa. Mereka pun mencari seorang nabi wanita yang bernama Hulda untuk menjelaskan firman Yehuwa. Hulda berkata bahawa malapetaka yang tertulis dalam “kitab itu” akan menimpa kerajaan Yehuda kerana mereka telah meninggalkan Yehuwa. Tetapi, Hulda juga berkata bahawa Yosia tidak akan melihat semua malapetaka itu kerana dia merendahkan dirinya di hadapan Yehuwa. Hulda menambah bahawa Yosia akan meninggal dengan tenteram lalu dikuburkan.—2Ra 22:8-20; 2Ta 34:14-28.
w09 15/6 10 ¶20
Biarlah Semangatmu Berkobar-Kobar untuk Rumah Yehuwa!
20 Di bawah penyeliaan Raja Yosia, kerja pembaikan Rumah Tuhan telah dilakukan. Ketika itu, Imam Agung Hilkia “menjumpai kitab Hukum Yehuwa” lalu dia menyerahkannya kepada setiausaha diraja, iaitu Safan. (Baca 2 Tawarikh 34:14-18.) Apakah reaksi Raja Yosia apabila dia mendengar kitab itu dibacakan oleh Safan? Kata-kata itu menusuk hatinya lalu dia mengoyakkan jubahnya. Dia juga menghantar beberapa orang untuk meminta petunjuk Yehuwa. Melalui seorang nabi wanita yang bernama Hulda, Tuhan berfirman bahawa Dia akan menghakimi Yehuda kerana amalan ibadat palsu terus berleluasa. Walau bagaimanapun, Yehuwa melihat usaha baik Yosia untuk melenyapkan penyembahan palsu. Maka, dia tetap diperkenankan oleh Tuhan dan tidak akan melihat malapetaka yang bakal menimpa kerajaan Yehuda. (2 Taw. 34:19-28) Apakah yang kita pelajari daripada kisah ini? Seperti Yosia, kita juga bertekad untuk mengikut perintah Yehuwa dengan serta-merta, dan berwaspada agar tidak terikut dengan haluan murtad atau menjadi tidak setia. Seperti dalam kisah Yosia, Yehuwa juga senang hati melihat semangat kita yang berkobar-kobar untuk ibadat sejati.
26 JUN–2 JULAI
HARTA KARUN DALAM FIRMAN TUHAN | EZRA 1-3
Permata Rohani
w06 15/1 18 ¶8
Sorotan daripada Buku Ezra
1:3-6. Seperti orang Israel yang terus tinggal di Babilon, ramai Saksi-Saksi Yehuwa tidak dapat menceburi khidmat sepenuh masa atau berpindah ke tempat yang memerlukan bantuan. Namun, mereka menyokong dan menggalakkan orang lain yang dapat berbuat demikian, dan memberikan sumbangan untuk menyokong kerja penyebaran.