PERPUSTAKAAN DALAM TALIAN Watchtower
Watchtower
PERPUSTAKAAN DALAM TALIAN
Melayu
  • BIBLE
  • BAHAN BACAAN
  • PERJUMPAAN
  • Apakah Itu Kerajaan Tuhan?
    Nikmati Hidup Selama-Lamanya!—Kursus Perbincangan Bible
    • Kerajaan Tuhan ialah mesej utama dalam Bible. Yehuwa menggunakan Kerajaan itu untuk melaksanakan tujuan asal-Nya bagi bumi. Tapi, apakah itu Kerajaan Tuhan? Bagaimanakah kita tahu Kerajaan Tuhan sedang memerintah? Apakah yang sudah dan akan dilakukan oleh Kerajaan Tuhan? Soalan ini akan dijawab dalam pelajaran ini dan dua pelajaran yang seterusnya.

      1. Apakah itu Kerajaan Tuhan dan siapakah Rajanya?

      Kerajaan Tuhan ialah pemerintahan yang ditubuhkan oleh Tuhan Yehuwa. Rajanya ialah Yesus Kristus. Dia akan memerintah semua orang di bumi dari syurga. (Matius 4:17; Yohanes 18:36) Bible kata Yesus akan ‘memerintah sebagai Raja untuk selama-lamanya.’​—Lukas 1:32, 33.

      2. Siapakah yang akan memerintah bersama Yesus?

      Bible berkata, “Orang daripada setiap suku, bahasa, kaum, dan bangsa . . . akan memerintah sebagai raja atas bumi.” (Wahyu 5:9, 10) Jadi, Yesus tidak memerintah seorang diri. Memandangkan Yesus ada berjuta-juta pengikut, adakah mereka semua akan memerintah bersamanya? Tidak. Hanya 144,000 orang akan naik ke syurga untuk memerintah bersamanya. (Baca Wahyu 14:1-4.) Orang Kristian yang lain pula akan hidup di bumi sebagai rakyat Kerajaan Tuhan.​—Mazmur 37:29.

      3. Mengapakah Kerajaan Tuhan lebih baik daripada pemerintahan manusia?

      Walaupun kerajaan manusia ingin berbuat baik dan membantu rakyat, kuasa mereka terbatas. Selain itu, pemerintah yang baik kadangkala digantikan dengan pemerintah yang tidak betul-betul peduli terhadap rakyatnya. Tapi Kerajaan Tuhan berbeza. Bible kata Tuhan telah “mendirikan sebuah kerajaan yang tidak dapat dimusnahkan.” (Daniel 2:44) Maka Yesus tidak akan digantikan oleh pemerintah lain. Yesus ialah pemerintah yang pengasih, baik hati, dan tidak berat sebelah. Selain itu, dia mengajar rakyatnya untuk menunjukkan sifat-sifat yang sama.​—Baca Yesaya 11:9.

      KETAHUILAH

      Lihat bukti yang menunjukkan bahawa Kerajaan Tuhan lebih baik daripada pemerintahan manusia.

      Yesus Kristus memerintah bumi sebagai Raja di syurga. 144,000 raja berada di belakangnya. Cahaya kemuliaan Yehuwa kelihatan di belakang mereka.

      4. Kerajaan Tuhan akan memerintah seluruh bumi

      Yesus Kristus ialah raja yang paling berkuasa. Baca Matius 28:18, kemudian bincang soalan berikut:

      • Bagaimanakah kita tahu Yesus lebih berkuasa daripada mana-mana pemerintah manusia?

      Kerajaan manusia sering bertukar dan hanya memerintah kawasan yang tertentu di bumi. Bagaimana pula dengan Kerajaan Tuhan? Baca Daniel 7:14, kemudian bincang soalan berikut:

      • Bible kata bahawa Kerajaan Tuhan “tidak akan dibinasakan.” Pada pendapat anda, adakah hal ini baik? Mengapa?

      • Apakah kebaikannya jika Kerajaan Tuhan memerintah seluruh bumi?

      5. Kerajaan manusia mesti digantikan

      Mengapakah Kerajaan Tuhan mesti menggantikan kerajaan manusia? Mainkan VIDEO, kemudian bincang soalan berikut:

      VIDEO: Apa Itu Kerajaan Tuhan?​—Sedutan (1:40)

      • Apakah kesan buruk yang dibawa oleh pemerintahan manusia?

      Baca Pengkhutbah 8:9, kemudian bincang soalan berikut:

      • Adakah anda rasa kerajaan manusia harus digantikan? Mengapa?

      6. Pemerintah Kerajaan Tuhan memahami kita

      Raja Kerajaan Tuhan, iaitu Yesus, pernah hidup di bumi. Maka dia dapat “bersimpati terhadap kelemahan kita.” (Ibrani 4:15) Selain itu, 144,000 orang yang dipilih oleh Yehuwa untuk memerintah bersama Yesus datang daripada “setiap suku, bahasa, kaum, dan bangsa.”​—Wahyu 5:9.

      • Adakah anda lega kerana mengetahui bahawa Yesus dan mereka yang akan memerintah bersamanya pernah hidup sebagai manusia? Mengapa?

      Lelaki dan wanita yang terurap daripada pelbagai zaman dan latar belakang.

      Yehuwa telah memilih lelaki dan wanita daripada pelbagai latar belakang untuk memerintah bersama Yesus

      7. Undang-undang Kerajaan Tuhan jauh lebih unggul

      Kerajaan manusia membuat undang-undang supaya dapat membawa manfaat dan melindungi rakyat. Kerajaan Tuhan juga mempunyai undang-undang yang harus dipatuhi. Baca 1 Korintus 6:9-11, kemudian bincang soalan berikut:

      • Bagi anda, bagaimanakah keadaan di bumi jika semua orang mengikut peraturan yang ditetapkan oleh Tuhan?a

      • Adakah munasabah bagi Yehuwa untuk mengharapkan rakyat-Nya mematuhi peraturan-peraturan ini? Mengapa?

      • Dapatkah orang yang dahulunya tidak hidup mengikut peraturan Tuhan berubah, dan apakah buktinya?​—Lihat ayat 11.

      Seorang polis menghentikan kenderaan agar orang dapat melintas jalan. Orang tua dan muda menyeberangi jalan.

      Kerajaan menetapkan undang-undang untuk kebaikan rakyatnya. Kerajaan Tuhan mempunyai undang-undang yang jauh lebih baik dan dapat melindungi rakyatnya

      ORANG MUNGKIN TANYA: “Apa sebenarnya Kerajaan Tuhan?”

      • Bagaimanakah anda akan menjawabnya?

      RINGKASAN

      Kerajaan Tuhan benar-benar wujud di syurga dan akan memerintah seluruh bumi.

      Ulang Kaji

      • Siapakah pemerintah-pemerintah Kerajaan Tuhan?

      • Apakah bukti bahawa Kerajaan Tuhan lebih baik daripada kerajaan manusia?

      • Apakah yang Yehuwa harapkan daripada rakyat Kerajaan Tuhan?

      Matlamat

      JOM BELAJAR

      Belajar apa yang dikatakan oleh Yesus tentang Kerajaan Tuhan.

      “Adakah Kerajaan Tuhan Ada Di Dalam Hati Anda?” (Rencana di laman web)

      Mengapakah Saksi-Saksi Yehuwa menyokong Kerajaan Tuhan dan bukannya kerajaan manusia?

      Menyokong Kerajaan Tuhan dengan Sepenuh Hati (1:43)

      Belajar apa yang dikatakan dalam Bible tentang 144,000 orang yang dilantik oleh Yehuwa untuk memerintah bersama Yesus.

      “Siapakah yang Naik ke Syurga?” (Rencana di laman web)

      Apakah yang meyakinkan seorang wanita di penjara bahawa Tuhanlah satu-satunya penyelesaian bagi semua ketidakadilan di dunia?

      “Penyelesaian bagi Segala Ketidakadilan” (Sedarlah!, November 2011)

      a Bahagian 3 akan membincangkan dengan lebih lanjut sesetengah peraturan yang ditetapkan oleh Yehuwa.

  • Apakah yang Akan Kerajaan Tuhan Lakukan?
    Nikmati Hidup Selama-Lamanya!—Kursus Perbincangan Bible
    • Kerajaan Tuhan sedang memerintah. Tidak lama lagi, Kerajaan ini akan mengubah keadaan di bumi dan membawa banyak berkat. Mari kita lihat sesetengah berkat yang akan kita nikmati di bawah pemerintahan Kerajaan Tuhan.

      1. Bagaimanakah Kerajaan Tuhan akan melenyapkan hal-hal yang tidak adil dan membawa kedamaian di bumi?

      Semasa perang Armagedon, Raja Yesus akan melenyapkan semua orang yang jahat dan kerajaan-kerajaan di dunia. (Wahyu 16:14, 16) Perhatikan janji berikut: “Tidak lama lagi, orang jahat akan dibinasakan.” (Mazmur 37:10) Ya, kita akan lihat hal ini menjadi kenyataan pada masa depan. Melalui Kerajaan Tuhan, Yesus akan memastikan seluruh bumi dipenuhi dengan keadilan dan kedamaian.​—Baca Yesaya 11:4.

      2. Apakah berkat yang akan kita nikmati apabila kehendak Tuhan menjadi kenyataan di bumi?

      Bible kata, “Orang yang melakukan apa yang benar akan memiliki bumi, dan mereka akan mendiaminya selama-lamanya.” (Mazmur 37:29) Di bawah pemerintahan Kerajaan Tuhan, semua orang akan mengasihi Yehuwa dan satu sama lain. Kita akan menikmati kehidupan yang kekal tanpa penyakit atau penderitaan.

      3. Apakah yang akan berlaku selepas orang jahat dihapuskan?

      Selepas orang jahat dilenyapkan, Yesus dan 144,000 raja di syurga akan memerintah selama 1,000 tahun. Ketika itu, semua orang akan beransur-ansur menjadi sempurna, menikmati sukacita kerana mematuhi perintah Yehuwa, dan bumi akan dipulihkan menjadi Firdaus. Selepas 1,000 tahun itu, Yesus akan mengembalikan pemerintahan Kerajaan Tuhan kepada Bapanya Yehuwa. Akhirnya, ‘nama Yehuwa akan disucikan’ dan semua orang akan tahu bahawa Dialah pemerintah yang terbaik. (Matius 6:9, 10) Selepas itu, Yehuwa akan menghapuskan Syaitan, roh-roh jahat, dan semua orang yang memilih untuk mengikut Syaitan. (Wahyu 20:7-10) Berkat yang dibawa oleh Kerajaan Tuhan akan kekal selama-lamanya.

      KETAHUILAH

      Belajar mengapa kita dapat yakin bahawa Yehuwa akan menggunakan Kerajaan-Nya untuk membawa berkat yang dijanjikan dalam Bible.

      4. Kerajaan Tuhan akan memusnahkan kerajaan manusia

      Sekarang, “manusia menguasai manusia sehingga mereka menderita.” (Pengkhutbah 8:9) Tetapi di bawah pemerintahan Kerajaan Tuhan, kesan buruk yang dibawa oleh pemerintahan manusia yang tidak adil akan dilenyapkan.

      Baca Daniel 2:44 dan 2 Tesalonika 1:6-8, kemudian bincang soalan berikut:

      • Apakah yang akan Yehuwa dan Yesus lakukan terhadap kerajaan manusia dan penyokongnya?

      • Berdasarkan apa yang telah anda belajar tentang Yehuwa dan Yesus, apakah yang meyakinkan anda bahawa mereka akan bertindak dengan adil?

      Yesus memerintah bumi sebagai Raja di syurga.

      5. Yesus ialah Raja yang terbaik

      Sebagai Raja Kerajaan Tuhan, Yesus akan bawa banyak berkat kepada rakyat di bumi. Mainkan VIDEO untuk melihat bukti bahawa Yesus mempunyai keinginan dan kuasa untuk membantu orang.

      VIDEO: Yesus Tunjukkan Berkat yang Akan Dibawa oleh Kerajaan Tuhan (1:13)

      Semasa Yesus di bumi, dia menunjukkan hal-hal yang akan dilakukan oleh Kerajaan Tuhan. Berkat manakah yang anda paling nantikan? Baca ayat-ayat Bible berikut yang berkaitan dengan berkat-berkat itu.

      SEMASA DI BUMI, YESUS . . .

      SEMASA DI SYURGA, YESUS AKAN . . .

      • mengawal cuaca.​—Markus 4:36-41.

      • memulihkan bumi dan melenyapkan masalah alam sekitar.​—Yesaya 35:1, 2.

      • memberi ribuan orang makanan secara mukjizat.​—Matius 14:17-21.

      • menyingkirkan kebuluran.​—Mazmur 72:16.

      • menyembuhkan ramai orang sakit.​—Lukas 18:35-43.

      • memastikan semua orang mempunyai kesihatan yang sempurna.​—Yesaya 33:24.

      • membangkitkan orang mati.​—Lukas 8:49-55.

      • menghidupkan orang mati dan melenyapkan kematian.​—Wahyu 21:3, 4.

      6. Kerajaan Tuhan akan membawa masa depan yang indah

      Kerajaan Tuhan pasti melaksanakan tujuan asal Tuhan bagi manusia. Mereka akan hidup selama-lamanya di bumi Firdaus. Mainkan VIDEO untuk mengetahui bagaimana Yehuwa menggunakan Yesus untuk mencapai kehendak-Nya.

      VIDEO: Berkat-Berkat Masa Depan yang Indah (4:38)

      Baca Mazmur 145:16, kemudian bincang soalan berikut:

      • Apakah perasaan anda setelah mengetahui bahawa Yehuwa akan “memuaskan keinginan semua makhluk hidup”?

      ADA ORANG KATA: “Jika manusia bekerjasama, semua masalah di bumi dapat diselesaikan.”

      • Apakah masalah yang hanya dapat diselesaikan oleh Kerajaan Tuhan?

      RINGKASAN

      Kerajaan Tuhan pasti melaksanakan kehendak Tuhan. Seluruh bumi akan diubah menjadi Firdaus dan orang baik akan menyembah Yehuwa buat selama-lamanya.

      Ulang Kaji

      • Bagaimanakah Kerajaan Tuhan akan menyucikan nama Yehuwa?

      • Mengapakah kita dapat yakin bahawa Kerajaan Tuhan akan membawa berkat yang dijanjikan dalam Bible?

      • Apakah berkat Kerajaan Tuhan yang anda paling nantikan?

      Matlamat

      JOM BELAJAR

      Belajar apa sebenarnya perang Armagedon.

      “Apakah Itu Perang Armagedon?” (Rencana di laman web)

      Lihat apa yang akan berlaku semasa peristiwa yang Yesus sebutkan sebagai “kesengsaraan besar.”​—Matius 24:21.

      “Apakah Itu Kesengsaraan Besar?” (Rencana di laman web)

      Belajar bagaimana anda sekeluarga dapat merenungkan kehidupan di Firdaus.

      Bayangkan Diri di Firdaus (1:50)

      Bacalah rencana “Banyak Soalan Bermain di Fikiran Saya” untuk mengetahui bagaimana seorang pemberontak politik menjumpai jawapan kepada soalan-soalannya.

      “Bible Mengubah Hidup” (Menara Pengawal, 1 Januari 2012)

Bahan Bacaan Bahasa Melayu (2004-2023)
Log Keluar
Log Masuk
  • Melayu
  • Kongsi
  • Pilihan
  • Copyright © 2025 Watch Tower Bible and Tract Society of Pennsylvania
  • Syarat Penggunaan
  • Polisi Privasi
  • Seting Privasi
  • JW.ORG
  • Log Masuk
Kongsi