PERPUSTAKAAN DALAM TALIAN Watchtower
PERPUSTAKAAN DALAM TALIAN
Watchtower
Melayu
  • BIBLE
  • BAHAN BACAAN
  • PERJUMPAAN
  • Pelihara Kedamaian dalam Keluarga Anda
    Rahsia Kebahagiaan Keluarga
    • BAB SEBELAS

      Pelihara Kedamaian dalam Keluarga Anda

      1. Mengapakah sesetengah keluarga berpecah belah?

      BERBAHAGIALAH keluarga yang saling mengasihi, memahami, dan hidup damai! Semoga keluarga anda juga begitu. Sedihnya, banyak keluarga berpecah belah. Apakah sebabnya? Dalam bab ini, kita akan membincangkan tiga sebab. Sesetengah keluarga terdiri daripada ahli yang menganuti agama yang berlainan. Ada keluarga yang terdiri daripada ibu bapa tiri. Ada pula keluarga yang berpecah belah kerana masalah ekonomi atau kerana ingin mengejar kekayaan. Tetapi perkara yang memecahbelahkan sesebuah keluarga tidak semestinya mempengaruhi keluarga lain. Mengapakah perbezaan ini wujud?

      2. Dari manakah orang mendapatkan bimbingan tentang kehidupan keluarga? Tetapi, bimbingan yang terbaik datang dari mana?

      2 Salah satu sebab ialah sudut pandangan. Jika anda berusaha memahami pandangan orang lain, anda boleh memelihara perpaduan keluarga. Sebab yang kedua ialah dari mana anda mendapatkan bimbingan. Ramai orang mengikut nasihat rakan kerja, jiran, pengulas radio, surat khabar, atau orang lain. Namun begitu, ada yang mempelajari Firman Tuhan dan menerapkan ajarannya dalam kehidupan mereka. Bagaimanakah Bible dapat membantu kita memelihara kedamaian keluarga?​—2 Timotius 3:16, 17.

      JIKA SUAMI TIDAK SEIMAN

      Gambar pada muka surat 151

      Cuba memahami pandangan pasangan anda

      3. (a) Apakah nasihat Bible tentang perkahwinan dengan orang yang tidak seiman? (b) Jika pasangan anda tidak seiman, apakah prinsip Bible yang boleh diterapkan?

      3 Bible menasihati kita agar jangan berkahwin dengan orang yang menganuti agama yang berlainan. (Ulangan 7:3, 4; 1 Korintus 7:39) Tetapi bagaimana pula jika anda mempelajari Bible setelah berkahwin, sedangkan suami anda tidak mahu belajar? Ingatlah, perkahwinan anda masih sah di mata Tuhan. (1 Korintus 7:10) Bible menegaskan bahawa ikatan perkahwinan haruslah kekal buat selama-lamanya. Bible juga menggalakkan suami isteri untuk berusaha menyelesaikan masalah mereka, dan tidak melarikan diri daripadanya. (Efesus 5:28-31; Titus 2:4, 5) Bagaimana pula jika suami melarang anda mengikut ajaran Bible? Barangkali, dia mencuba menghalang anda daripada menghadiri perjumpaan di sidang, atau dia tidak mahu anda menginjil dari rumah ke rumah. Apakah yang patut anda buat?

      4. Bagaimanakah isteri boleh menunjukkan bahawa dia memahami perasaan suaminya yang tidak seiman?

      4 Tanyalah diri, ‘Mengapakah suami saya berasa sedemikian?’ (Amsal 16:21, 23) Suami anda mungkin risau kerana dia tidak memahami sepenuhnya apa yang sedang anda lakukan. Atau dia mungkin mendapat tekanan daripada saudara-mara kerana anda tidak lagi mengamalkan adat resam yang penting di mata mereka. “Semasa berseorangan di rumah, saya rasa seperti ditinggalkan isteri,” kata seorang suami. Dia berasa bahawa isteri dirampas oleh agamanya. Tetapi, dia ingin menjaga muka dan enggan mengakui bahawa dia kesunyian. Suami anda mungkin perlu diyakinkan bahawa meskipun anda mengasihi Yehuwa, kasih sayang anda terhadapnya tidak berubah. Jangan lupa untuk meluangkan masa bersamanya.

      5. Apakah pandangan seimbang yang patut dimiliki oleh seorang isteri jika suaminya tidak seiman?

      5 Anda juga perlu mengambil kira perkara yang lebih penting. Firman Tuhan menggesa isteri: “Taatlah kepada suami, kerana demikianlah seharusnya kelakuan kamu sebagai orang Kristian.” (Kolose 3:18) Maka, isteri tidak patut bertindak sesuka hati; dia harus taat kepada suaminya. Tetapi “sebagai seorang Kristian” dia juga patut taat kepada Kristus. Isteri perlu memupuk pandangan yang seimbang.

      6. Apakah prinsip-prinsip yang harus diingati oleh isteri Kristian?

      6 Menghadiri perjumpaan dan menginjil ialah aspek penting ibadat sejati. Seorang Kristian tidak boleh mengabaikan hal-hal ini. (Roma 10:9, 10, 14; Ibrani 10:24, 25) Maka, apakah yang akan anda lakukan jika seseorang mengarahkan anda supaya mengingkari perintah Tuhan? Para rasul menjawab, ‘Kami harus taat kepada Tuhan dan bukan kepada manusia.’ (Kisah 5:29) Kita boleh mencontohi teladan mereka dalam kehidupan seharian. Adakah kasih akan Tuhan menggerakkan anda untuk mentaati perintah-Nya? Seterusnya, adakah kasih dan hormat terhadap suami menggerakkan anda untuk mengambil kira perasaannya semasa anda mentaati perintah Yehuwa?​—Matius 4:10; 1 Yohanes 5:3.

      7. Bagaimanakah isteri Kristian boleh menunjukkan ketabahan?

      7 Yesus sedar bahawa tidak mudah untuk berbuat demikian. Dia memberikan amaran bahawa penganut ibadat sejati akan ditentang oleh ahli keluarga sendiri. (Matius 10:34-36) Hal ini terjadi kepada seorang wanita di Jepun. Dia ditentang oleh suaminya selama 11 tahun. Suami wanita ini melayannya dengan buruk dan selalu mengunci pintu rumah agar dia tidak dapat masuk. Tetapi wanita ini bertabah. Saudara saudari di sidang Kristian membantunya. Dia berdoa bersungguh-sungguh dan mendapat galakan daripada 1 Petrus 2:20. Wanita Kristian ini percaya bahawa jika dia terus bertabah, suaminya pasti menyembah Yehuwa bersamanya suatu hari nanti. Akhirnya, hal ini menjadi kenyataan.

      8, 9. Apakah yang boleh dilakukan oleh isteri Kristian untuk menyenangkan hati suaminya?

      8 Kelakuan anda boleh mempengaruhi sikap suami. Misalnya, jika dia menentang kepercayaan anda, jangan memberinya peluang untuk mengadu tentang hal-hal lain. Pastikan keadaan rumah bersih. Jagalah penampilan diri. Tunjukkan kasih dan kesyukuran. Jangan cari kesalahannya, tetapi berikan sokongan anda. Tunjukkan bahawa anda menghormatinya sebagai ketua keluarga. Jangan balas dendam meskipun dia yang bersalah. (1 Petrus 2:21, 23) Ingatlah bahawa kita semua tidak sempurna; jika timbulnya perselisihan, tunjukkan kerendahan hati dan minta maaf.​—Efesus 4:26.

      9 Sebelum menghadiri perjumpaan, pastikan bahawa anda telah menyediakan makanan untuknya. Anda boleh memilih untuk keluar menginjil sewaktu suami tiada di rumah. Jika suami tidak suka anda menginjil kepadanya, janganlah berbuat demikian. Sebaliknya, ikutlah nasihat rasul Petrus: ‘Isteri-isteri harus taat kepada suami, supaya jika ada antara suami kamu yang tidak percaya kepada firman Tuhan, kelakuan kamu akan menyebabkan mereka menjadi percaya. Kamu tidak perlu mengatakan apa-apa kepada mereka, kerana mereka boleh melihat kelakuan kamu yang murni dan penuh hormat.’ (1 Petrus 3:1, 2, ABB) Isteri-isteri Kristian harus berusaha memupuk semua aspek buah daya aktif Tuhan.​—Galatia 5:22, 23.

      JIKA ISTERI TIDAK SEIMAN

      10. Bagaimanakah seorang suami Kristian harus melayan isterinya yang tidak seiman?

      10 Bagaimana pula jika isteri tidak seiman? Bible memberikan bimbingan dengan berkata, “Jika seorang lelaki Kristian mempunyai isteri yang bukan Kristian, dan isterinya itu bersetuju hidup bersama-sama dia, orang itu tidak boleh menceraikan isterinya.” (1 Korintus 7:12) Bible juga mengingatkan suami agar terus ‘mengasihi isteri.’​—Kolose 3:19.

      11. Jika isteri tidak seiman, bagaimanakah suami dapat menunjukkan pengertian dan mengambil kira perasaannya?

      11 Jika anda mempunyai isteri yang tidak seiman, anda harus menghormati dan mengambil kira perasaannya. Sebagai orang dewasa, dia berhak memilih agamanya, walaupun anda tidak menyetujuinya. Pada kali pertama anda menceritakan kepercayaan anda kepada isteri, jangan berharap dia akan serta-merta meninggalkan sesuatu yang telah lama dipercayainya. Jangan berkata bahawa dia dan keluarganya menganuti agama palsu. Sebaliknya, anda harus bersabar semasa membantunya menggunakan daya fikir untuk mencapai kesimpulan yang betul menerusi ayat Bible. Dia mungkin berasa tersisih jika anda menghabiskan banyak masa untuk kegiatan sidang. Dia mungkin menghalang anda menyembah Yehuwa, tetapi sebenarnya dia cuma ingin anda meluangkan lebih banyak masa bersamanya. Bersabarlah dengannya. Jika anda menunjukkan kasih dan bertimbang rasa, lama-kelamaan dia mungkin memeluk ibadat sejati.​—Kolose 3:12-14; 1 Petrus 3:8, 9.

      MENDIDIK ANAK-ANAK

      12. Jika ibu dan ayah tidak seiman, apakah prinsip Bible yang boleh membantu mereka mendidik anak?

      12 Jika ibu dan ayah tidak seiman, siapakah yang harus mendidik anak dari segi rohani? Menurut prinsip Bible, ayahlah yang memikul tanggungjawab utama untuk mendidik anak, tetapi ibu juga memainkan peranan yang penting. (Amsal 1:8; bandingkan Kejadian 18:19; Ulangan 11:18, 19.) Meskipun ayah tidak menerima Kristus sebagai kepalanya, dia masih kepala keluarganya.

      13, 14. Apakah yang boleh dilakukan oleh isteri jika suami tidak membenarkannya membawa anak-anak ke perjumpaan Kristian atau mengajar mereka Bible?

      13 Sesetengah suami bukan Kristian tidak kisah jika isteri mengajar anak-anak tentang agama. Yang lain pula membantah. Jika suami tidak membenarkan anda membawa anak ke perjumpaan atau mengajar mereka tentang Bible di rumah, apakah yang harus anda lakukan? Ingatlah, anda perlu seimbang dalam menunaikan tanggungjawab anda kepada Tuhan Yehuwa, suami anda, dan anak-anak yang dikasihi. Bagaimanakah anda boleh berbuat demikian?

      14 Sudah tentu, anda akan berdoa tentang hal ini. (Filipi 4:6, 7; 1 Yohanes 5:14) Tetapi, akhirnya anda sendirilah yang patut memutuskan tindakan yang harus diambil. Jika anda bertindak dengan bijak dan menunjukkan kepada suami bahawa anda tidak mencabar kedudukannya, lama-kelamaan tentangannya mungkin akan berkurang. Biarpun suami tidak membenarkan anda membawa anak-anak ke perjumpaan atau mengadakan pembelajaran Bible dengan mereka, anda masih boleh mengajar mereka setiap hari. Menerusi kata-kata dan tindakan, cubalah pupuk dalam diri mereka kasih kepada Yehuwa, kepercayaan terhadap Firman-Nya, hormat kepada ibu dan juga bapa mereka, keprihatinan kepada orang lain, dan tabiat kerja yang baik. Lambat-laun, ayah mereka mungkin melihat hasil yang baik dan menghargai usaha anda.​—Amsal 23:24.

      15. Apakah tanggungjawab seorang bapa Kristian dalam soal mendidik anak?

      15 Jika isteri anda bukan seorang Kristian, anda sebagai suami bertanggungjawab mendidik anak-anak “dengan ajaran dan nasihat Tuhan.” (Efesus 6:4) Semasa anda berbuat demikian, tunjukkanlah sifat baik hati, kasih, dan munasabah kepada isteri anda.

      JIKA IBU BAPA TIDAK SEIMAN

      16, 17. Jika anda menganuti agama yang berbeza daripada ibu bapa, apakah prinsip-prinsip Bible yang harus diingati?

      16 Dewasa ini, ramai anak bawah umur menganuti agama yang berbeza daripada ibu bapa. Adakah anda salah seorang daripada mereka? Jika ya, Bible mengandungi nasihat untuk anda.

      17 Bible berkata, “Hai anak-anak, sebagai pengikut Kristus, kamu harus taat kepada ibu bapa, kerana hal itulah yang seharusnya kamu lakukan. ‘Hormatilah ibu bapamu.’” (Efesus 6:1-3, ABB) Meskipun penting untuk mentaati dan menghormati ibu bapa, anda juga perlu mematuhi Tuhan yang benar. Apabila anak sudah cukup dewasa untuk membuat keputusan, dia juga harus lebih bertanggungjawab atas tindakannya. Dia bertanggungjawab dari segi undang-undang, dan khasnya dari segi hukum Tuhan. ‘Kita masing-masing harus mempertanggungjawabkan segala perbuatan kita kepada Tuhan,’ kata Bible.​—Roma 14:12.

      18, 19. Jika anda menganuti agama yang lain daripada ibu bapa, bagaimanakah anda dapat membantu mereka untuk lebih memahami kepercayaan anda?

      18 Cubalah memahami pandangan ibu bapa jika agama anda mendorong anda untuk membuat perubahan dalam hidup. Mereka mungkin gembira jika selepas mempelajari Bible, anda lebih menghormati mereka, lebih patuh, dan lebih tekun menunaikan permintaan mereka. Tetapi jika anda menolak adat dan kepercayaan yang sudah lama dihargai mereka, mereka mungkin berasa bahawa anda sedang menolak warisan keluarga. Barangkali mereka juga risau jika kepercayaan anda tidak disukai masyarakat atau menghalang anda daripada menikmati kehidupan yang mewah. Tindakan anda juga mungkin melukai maruah ibu bapa; mereka berasa bahawa anda sedang mengatakan, “Saya yang betul, kamu yang salah.”

      19 Oleh itu, perkenalkan penatua atau saudara saudari Kristian yang matang kepada ibu bapa anda secepat mungkin. Jemputlah mereka ke Dewan Perjumpaan agar mereka boleh mendengar apa yang dibincangkan di situ serta melihat dengan mata sendiri sikap yang diperlihatkan oleh Saksi-Saksi Yehuwa. Hal ini mungkin akan melembutkan hati ibu bapa anda. Meskipun mereka keras membantah, memusnahkan bahan bacaan Bible, dan menghalang anda menghadiri perjumpaan Kristian, anda masih boleh membaca bahan bacaan di tempat lain, menghubungi rakan Kristian, dan menginjil secara tidak formal. Anda juga boleh berdoa kepada Yehuwa. Ada remaja yang perlu menunggu sehingga mereka sudah cukup umur untuk berpindah dari rumah, barulah mereka dapat lebih bergiat dalam aktiviti Kristian. Tidak kira apa jua keadaan di rumah, “hormatilah ibu bapamu” sentiasa. Cubalah pelihara kedamaian di rumah. (Roma 12:17, 18) Yang terpenting, berusahalah untuk hidup damai dengan Tuhan.

      CABARAN YANG DIHADAPI OLEH IBU BAPA TIRI

      20. Apakah perasaan anak-anak yang mempunyai ibu atau bapa tiri?

      20 Bagi banyak rumah tangga, cabaran terbesar yang dihadapi bukanlah agama tetapi pertalian darah. Banyak keluarga hari ini terdiri daripada ibu bapa tiri. Dalam keluarga sebegini, anak-anak mungkin akan iri hati, geram, atau berasa bahawa kesetiaan mereka berbelah bahagi. Akibatnya, mereka mungkin menolak niat baik ibu atau bapa tiri mereka. Apakah yang dapat membantu keluarga tiri untuk hidup bahagia?

      Gambar pada muka surat 161

      Ibu bapa kandung atau tiri, bergantunglah pada bimbingan Bible

      21. Meskipun ibu bapa tiri menghadapi cabaran besar, mengapakah mereka patut mendapatkan bimbingan daripada Bible?

      21 Meskipun anda mempunyai keluarga tiri, prinsip Bible yang dapat membantu keluarga lain untuk hidup bahagia juga dapat membantu anda. Jika anda mengetepikan prinsip tersebut, keadaan mungkin akan bertambah baik buat seketika, tetapi akhirnya anda pasti sakit hati. (Mazmur 127:1; Amsal 29:15) Pupuklah hikmat dan pengertian. Hikmat membantu anda menerapkan prinsip Bible agar keluarga anda mendapat manfaatnya kelak, dan pengertian membantu anda memahami mengapa mereka mengatakan atau melakukan sesuatu perkara. Anda juga perlu belajar memahami dan menyelami perasaan ahli keluarga.​—Amsal 16:21; 24:3; 1 Petrus 3:8.

      22. Mengapakah anak-anak sukar menerima ibu atau bapa tiri mereka?

      22 Sebagai ibu atau bapa tiri, anda mungkin ingat bahawa anak-anak menyukai anda semasa anda menjadi kawan keluarga mereka. Tetapi sikap mereka berubah apabila anda menjadi ibu atau bapa tiri. Mereka mungkin merindukan ibu atau bapa kandung sendiri, dan berasa bahawa kesetiaan mereka berbelah bahagi. Di mata mereka, anda sedang merampas kasih mereka terhadap ibu atau bapa kandung. Ada masanya, mereka mungkin berkata bahawa anda bukanlah ibu atau bapa mereka. Kata-kata sebegini menusuk hati. Tetapi “jangan lekas marah” dan tersinggung. (Pengkhutbah 7:9) Anda perlu menunjukkan pengertian dan menyelami perasaan mereka.

      23. Bagaimanakah disiplin harus diberikan dalam keluarga tiri?

      23 Sifat-sifat yang disebutkan di atas sangat penting semasa mendisiplinkan anak. Berikan disiplin secara tetap. (Amsal 6:20; 13:1) Setiap anak memerlukan disiplin yang berlainan. Ada ibu bapa tiri yang mendapati bahawa pada mulanya adalah lebih baik untuk membenarkan ibu atau bapa kandung memberikan disiplin. Tetapi kedua-dua ibu bapa haruslah menyokong disiplin yang diberikan dan melaksanakannya, tanpa memilih kasih terhadap anak kandung sendiri. (Amsal 24:23) Memang anak-anak haruslah patuh, tetapi ingatlah bahawa mereka tidak sempurna. Jadi, jangan bertindak secara keterlaluan. Berikan disiplin dengan penuh kasih.​—Kolose 3:21.

      24. Bagaimanakah masalah moral dalam ahli keluarga tiri boleh dihindari?

      24 Perbincangan keluarga boleh mengelakkan banyak masalah, dan membantu seisi keluarga untuk bertumpu pada hal-hal yang terpenting dalam hidup. (Bandingkan Filipi 1:9-11.) Menerusi perbincangan ini, setiap orang juga boleh memahami bagaimana dia dapat membantu mencapai matlamat keluarga. Tambahan lagi, perbincangan yang terus terang boleh menghindari masalah moral. Anak perempuan harus mengetahui cara berpakaian dan berkelakuan semasa bersama ayah, abang, atau adik lelaki tiri. Anak lelaki juga perlu diajar tingkah laku yang sesuai terhadap ibu, kakak, atau adik perempuan tiri.​—1 Tesalonika 4:3-8.

      25. Apakah kunci untuk memelihara kedamaian dalam keluarga tiri?

      25 Hadapilah cabaran sebagai ibu atau bapa tiri dengan penuh sabar. Masa diperlukan untuk menjalin hubungan yang baru. Tidak mudah untuk meraih kasih sayang dan rasa hormat anak-anak yang tidak mempunyai pertalian darah dengan anda. Tetapi anda boleh berjaya. Hikmat dan pengertian, serta hasrat untuk menyenangkan hati Yehuwa merupakan kunci untuk memelihara kedamaian dalam keluarga tiri. (Amsal 16:20) Sifat-sifat ini juga dapat membantu anda menangani situasi lain.

      ADAKAH KELUARGA ANDA BERPECAH BELAH KERANA WANG?

      26. Bagaimanakah masalah kewangan dan sikap terhadap wang memecahbelahkan keluarga?

      26 Masalah kewangan dan sikap terhadap wang boleh memecahbelahkan keluarga. Sedihnya, perpaduan sebilangan keluarga musnah kerana mereka bergaduh tentang wang atau asyik mengejar kekayaan. Keluarga mungkin berpecah apabila kedua-dua suami isteri bekerja dan enggan menggunakan pendapatan sendiri untuk menampung keluarga. Biarpun mereka tidak bergaduh, mereka tidak dapat meluangkan masa bersama kerana sibuk bekerja. Kebelakangan ini, semakin banyak ayah tinggal berjauhan daripada keluarga selama berbulan-bulan, atau bahkan bertahun-tahun, untuk mencari lebih banyak wang. Perbuatan ini boleh menimbulkan masalah yang amat serius.

      27. Apakah prinsip-prinsip yang dapat membantu keluarga yang menghadapi masalah kewangan?

      27 Meskipun setiap keluarga mempunyai tekanan dan keperluan yang berbeza, nasihat Bible boleh membantu mereka. Contohnya, Amsal 13:10 menyatakan bahawa kadangkala kita dapat menghindari masalah dengan “meminta nasihat.” Selain mengutarakan pendapat sendiri, kita perlu meminta nasihat dan mendengar sudut pandangan ahli keluarga yang lain. Seterusnya, keluarga juga boleh merancang perbelanjaan bersama. Ada kalanya, kedua-dua suami isteri perlu bekerja buat sementara waktu untuk menampung perbelanjaan tambahan, terutamanya jika mereka mempunyai anak atau orang lain yang bergantung pada mereka. Apabila hal ini terjadi, suami boleh meyakinkan isteri bahawa dia masih akan meluangkan masa bersamanya. Suami dan anak-anak juga boleh meringankan beban isteri di rumah.​—Filipi 2:1-4.

      28. Apakah peringatan yang membantu keluarga hidup bersatu padu?

      28 Ingatlah, meskipun wang diperlukan dalam sistem dunia ini, wang tidak menjamin kebahagiaan ataupun memelihara kehidupan. (Pengkhutbah 7:11, 12) Jika kita terlalu mementingkan wang, kita akan binasa secara rohani dan moral. (1 Timotius 6:9-12) Lebih baik mengutamakan Kerajaan Tuhan dan kehendak-Nya kerana Dia pasti memberkati usaha kita untuk menampung keperluan hidup! (Matius 6:25-33; Ibrani 13:5) Ya, keluarga anda mungkin berpecah belah akibat keadaan tertentu. Tetapi anda masih boleh hidup bersatu padu jika anda mendahulukan kepentingan rohani dan berusaha untuk berdamai dengan Tuhan.

      BAGAIMANAKAH PRINSIP BIBLE INI MEMBANTU AHLI KELUARGA UNTUK MEMELIHARA KEDAMAIAN?

      Orang Kristian memupuk pengertian.​—Amsal 16:21; 24:3.

      Tidak kira suami isteri seiman atau tidak, mereka harus saling mengasihi dan menghormati.​—Efesus 5:23, 25.

      Orang Kristian tidak sengaja melanggar hukum Tuhan.​—Kisah 5:29.

      Orang Kristian berusaha hidup damai.​—Roma 12:18.

      Jangan mudah tersinggung.​—Pengkhutbah 7:9.

      PERKAHWINAN SAH MEMBAWA KEMULIAAN DAN KEDAMAIAN

      Kini ramai lelaki dan wanita hidup bersama sebagai suami isteri tanpa berkahwin secara sah. Pelajar Bible yang baru mungkin menghadapi keadaan sebegini. Perkahwinan sesetengah orang mungkin diterima oleh masyarakat atau adat suku kaumnya, tetapi perkahwinan mereka tidak sah. Bible menghendaki setiap perkahwinan didaftarkan mengikut undang-undang negara. (Titus 3:1; Ibrani 13:4) Bible juga menegaskan bahawa seorang suami Kristian mempunyai seorang isteri sahaja. (1 Korintus 7:2; 1 Timotius 3:2, 12) Prinsip Bible ini dapat membantu keluarga anda hidup sejahtera. (Mazmur 119:165) Kehendak Yehuwa munasabah dan tidak membebankan. Dia mengajar kita demi manfaat kita.​—Yesaya 48:17, 18.

  • Masalah yang Menghancurkan Keluarga Boleh Diatasi
    Rahsia Kebahagiaan Keluarga
    • BAB DUA BELAS

      Masalah yang Menghancurkan Keluarga Boleh Diatasi

      1. Apakah masalah yang boleh menghakis kesejahteraan keluarga?

      SEBUAH kereta lama yang sudah dicuci dan digilap kelihatan baru dan berkilat. Tetapi tiada sesiapa yang tahu bahawa besi kereta sedang dimakan karat. Begitulah keadaan sesetengah keluarga. Di sebalik senyuman mereka, tersembunyi ketakutan dan keperitan. Tiada sesiapa yang tahu bahawa terdapat masalah yang sedang menghakis kesejahteraan keluarga. Mari kita bincangkan dua masalah, iaitu ketagihan alkohol dan keganasan rumah tangga.

      KETAGIHAN ALKOHOL MENGHANCURKAN KELUARGA

      2. (a) Apakah pandangan Bible terhadap pengambilan minuman beralkohol? (b) Apakah maksud ketagihan alkohol?

      2 Bible tidak mengutuk pengambilan minuman beralkohol secara sederhana, tetapi mengutuk pemabukan. (Amsal 23:20, 21; 1 Korintus 6:9, 10; 1 Timotius 5:23; Titus 2:2, 3) Namun begitu, ketagihan alkohol lebih teruk daripada pemabukan. Seorang penagih alkohol terlalu asyik dengan minuman keras dan hilang kawalan diri. Sedihnya, selain orang dewasa, ada juga orang muda yang menjadi kaki botol.

      3, 4. Gambarkan kesan buruk yang dirasai oleh isteri dan anak penagih alkohol.

      3 Bible menunjukkan bahawa penyalahgunaan alkohol boleh menghancurkan kesejahteraan keluarga. (Ulangan 21:18-21) Seisi keluarga merasai kesan buruknya. Seorang isteri mungkin menumpukan semua usahanya untuk menghentikan tabiat minum suami, atau bersabar dengan perangainya yang tidak menentu.a Isteri mungkin menyembunyikan atau membuang arak suami, menyorok wangnya, atau merayunya agar memikirkan keluarga, nyawa, dan Tuhan. Tetapi si penagih masih minum. Apabila usaha isteri untuk membantu suaminya asyik gagal, dia akan berasa geram dan tidak terdaya. Dia mungkin berasa takut, marah, serba salah, gementar, risau, dan hilang harga diri.

      4 Kanak-kanak juga menderita apabila ibu atau bapa mereka ketagihan alkohol. Ada yang didera secara fizikal. Yang lain diganggu secara seksual. Mereka bahkan menyalahkan diri atas tabiat buruk ibu atau bapa. Sering kali, kelakuan penagih alkohol yang tidak menentu menyebabkan anaknya hilang kepercayaan terhadap orang lain. Anak yang berasa tidak selesa untuk membincangkan masalah keluarganya terpaksa menyekat perasaannya, lalu menderita secara fizikal. (Amsal 17:22) Dia mungkin menjadi orang dewasa yang hilang keyakinan atau harga diri.

      APAKAH YANG BOLEH DILAKUKAN KELUARGA?

      5. Bagaimanakah masalah ketagihan alkohol boleh ditangani? Mengapakah tidak mudah berbuat demikian?

      5 Meskipun ramai pakar berkata bahawa masalah ketagihan alkohol tidak boleh diubati, kebanyakan daripada mereka bersetuju bahawa seorang penagih boleh menangani masalahnya jika dia menjauhi alkohol sama sekali. (Bandingkan Matius 5:29.) Walaupun begitu, tidak mudah untuk menolong seorang penagih kerana dia sering kali menafikan masalahnya. Tetapi ahli keluarga boleh mengambil langkah untuk menangani kesan buruk yang disebabkan oleh si penagih. Dengan itu, dia akan sedar bahawa dia memang memerlukan bantuan. Seorang doktor yang membantu penagih alkohol dan keluarga mereka berkata, “Yang terpenting, keluarga perlu berusaha menjalani cara hidup yang paling sihat. Dengan ini, penagih alkohol akan beransur-ansur melihat jurang perbezaan antara dia dan keluarganya.”

      6. Dari manakah kita boleh mendapatkan nasihat yang terbaik jika seorang ahli keluarga ialah kaki botol?

      6 Jika seorang ahli keluarga anda ialah kaki botol, nasihat Firman Tuhan boleh membantu anda menjalani cara hidup yang paling sihat. (Yesaya 48:17; 2 Timotius 3:16, 17) Perhatikan beberapa prinsip yang telah membantu keluarga menangani masalah ketagihan alkohol.

      7. Jika seorang ahli keluarga ketagihan alkohol, siapakah yang harus dipersalahkan?

      7 Jangan asyik menyalahkan diri. Bible berkata, “Tiap-tiap orang harus memikul tanggungjawab masing-masing,” dan ‘Kita masing-masing harus mempertanggungjawabkan segala perbuatan kita kepada Tuhan.’ (Galatia 6:5; Roma 14:12) Penagih alkohol mungkin menyalahkan ahli keluarganya. Misalnya, dia mungkin berkata, “Saya tak akan minum kalau kamu layan saya dengan lebih baik.” Jika orang lain tampaknya bersetuju dengan si penagih, mereka sedang menggalakkannya untuk terus minum. Tetapi tidak kira sama ada kita menjadi mangsa keadaan ataupun dilayan dengan buruk, kita semua​—termasuk si penagih​—bertanggungjawab atas perbuatan masing-masing.​—Bandingkan Filipi 2:12.

      8. Bagaimanakah seorang penagih alkohol boleh dibantu untuk merasai kesan buruk perbuatannya?

      8 Jangan berfikir bahawa anda wajib melindungi penagih alkohol daripada kesan buruk perbuatannya. Pepatah Bible yang berikut sesuai untuk seorang penagih alkohol: “Jika kamu menolong orang itu satu kali, kamu harus menolongnya lagi.” (Amsal 19:19) Biarlah si penagih merasai kesan buruk perbuatannya. Biarlah dia sendiri membersihkan kekotorannya; jika dia minum semalaman, dia sendiri harus menelefon majikannya untuk memberikan penjelasan pada keesokan hari.

      Gambar pada muka surat 170

      Penatua Kristian boleh menghulurkan banyak bantuan kepada keluarga yang menghadapi masalah

      9, 10. Mengapakah keluarga penagih alkohol harus menerima bantuan? Secara khusus, siapakah yang boleh membantu mereka?

      9 Terimalah bantuan orang lain. Amsal 17:17 (ABB) menyatakan, “Sahabat sentiasa saling mengasihi, dan sanak keluarga saling menanggung kesusahan.” Sudah pasti, anda akan menanggung kesusahan jika seorang ahli keluarga ketagihan alkohol. Anda memerlukan bantuan. Janganlah segan untuk meminta bantuan sahabat yang sejati. (Amsal 18:24) Bercakaplah dengan orang lain yang memahami masalah anda atau yang pernah mengalami situasi yang serupa. Mereka boleh memberikan cadangan praktikal tentang apa yang harus dilakukan dan apa yang patut dihindari. Tetapi pastikan bahawa mereka boleh dipercayai dan “dapat menyimpan rahsia.”​—Amsal 11:13.

      10 Percayalah pada penatua Kristian. Penatua dalam sidang Kristian boleh menghulurkan banyak bantuan. Lelaki Kristian yang matang ini benar-benar memahami Firman Tuhan dan mahir menerapkan prinsip-prinsipnya. “Mereka seperti tempat perlindungan daripada angin dan ribut. Mereka seperti sungai-sungai yang mengalir di padang gurun, seperti naungan batu besar di tanah yang tandus.” (Yesaya 32:2, ABB) Para penatua bukan sahaja melindungi seluruh sidang daripada pengaruh buruk, malahan mereka melegakan, menyegarkan, dan mengambil berat tentang setiap individu yang mempunyai masalah. Jadi, manfaatkanlah bantuan mereka dengan sepenuhnya.

      11, 12. Siapakah yang memberikan bantuan terbaik kepada keluarga penagih alkohol? Bagaimanakah bantuan ini diberikan?

      11 Yang terpenting, dapatkan kekuatan daripada Yehuwa. Bible menjamin bahawa ‘Yehuwa dekat kepada orang yang tawar hati; Dia menyelamatkan mereka yang putus asa.’ (Mazmur 34:19, ABB) Jika anda tawar hati atau putus asa akibat kesusahan yang disebabkan oleh ahli keluarga yang ketagihan alkohol, yakinlah bahawa ‘Yehuwa dekat kepada anda.’ Dia memahami betapa susahnya situasi keluarga anda.​—1 Petrus 5:6, 7.

      12 Anda boleh menanggung kekhuatiran jika anda mempercayai Firman Yehuwa. (Mazmur 130:3, 4; Matius 6:25-34; 1 Yohanes 3:19, 20) Dengan mempelajari Bible dan hidup menurut prinsipnya, anda dapat menerima bantuan daya aktif Tuhan serta kekuatan untuk menangani situasi seharian.​—2 Korintus 4:7.b

      13. Apakah masalah kedua yang menghancurkan banyak keluarga?

      13 Penyalahgunaan alkohol boleh menyebabkan satu lagi masalah yang telah menghancurkan banyak keluarga​—keganasan rumah tangga.

      KEGANASAN RUMAH TANGGA MENGHANCURKAN KELUARGA

      14. Bilakah keganasan rumah tangga bermula? Apakah situasinya hari ini?

      14 Keganasan rumah tangga yang pertama dalam sejarah manusia bermula antara dua orang adik-beradik, iaitu Kain dan Habel. (Kejadian 4:8) Sejak itu, umat manusia menderitai pelbagai bentuk keganasan rumah tangga. Ada suami yang mendera isteri, isteri yang menyerang suami, ibu bapa yang memukuli anak kecil dengan kejam, dan anak dewasa yang menganiaya ibu bapa yang tua.

      15. Apakah kesan keganasan rumah tangga terhadap emosi keluarga?

      15 Kehancuran emosi yang disebabkan oleh keganasan rumah tangga jauh lebih teruk daripada parut yang ditinggalkan pada tubuh badan. Seorang isteri yang didera berkata, “Anda terpaksa menanggung rasa bersalah dan malu. Biasanya anda tidak ingin bangun pada waktu pagi. Anda berharap semuanya mimpi buruk saja.” Anak-anak yang melihat atau mengalami keganasan rumah tangga mungkin berlaku ganas apabila mereka menjadi dewasa dan mendirikan rumah tangga sendiri.

      16, 17. Apakah maksud penderaan emosi? Apakah kesannya ke atas ahli keluarga?

      16 Keganasan rumah tangga tidak terhad kepada penderaan fizikal. Selalunya mangsa juga ditusuk dengan kata-kata. Amsal 12:18 berkata, “Kata-kata yang pedas melukai hati seperti tikaman pedang.” “Tikaman” yang dimaksudkan termasuklah perbuatan mencaci maki, menjerit, serta selalu mengkritik, menghina, dan mengugut ahli keluarga. Luka yang dibawa oleh keganasan emosi tidak kelihatan dan biasanya tidak diketahui orang.

      17 Penderaan emosi kanak-kanak sangat menyayat hati. Ada ibu bapa yang asyik menyindir dan merendahkan keupayaan, kepandaian, atau harga diri anak-anak. Perbuatan sebegini boleh menghancurkan keyakinan diri anak. Memang, semua anak memerlukan disiplin. Tetapi Bible memberikan arahan, “Hai ibu bapa, janganlah sakiti hati anak-anak supaya mereka tidak menjadi tawar hati.”​—Kolose 3:21, ABB.

      CARA MENGHENTIKAN KEGANASAN RUMAH TANGGA

      Gambar pada muka surat 177

      Pasangan Kristian yang saling mengasihi dan menghormati menyelesaikan masalah dengan segera

      18. Keganasan rumah tangga berpunca dari mana? Menurut Bible, apakah cara untuk menghentikannya?

      18 Keganasan rumah tangga berpunca dari hati dan minda, kerana tindakan seseorang didorong oleh cara pemikirannya. (Yakobus 1:14, 15) Masalah ini boleh dihentikan jika orang yang bersifat ganas itu mengubah cara pemikirannya. (Roma 12:2) Adakah hal ini mustahil? Tidak. Firman Tuhan mempunyai kuasa untuk mengubah orang. Bible juga dapat mencabut pandangan salah yang berakar umbi dalam diri seseorang. (2 Korintus 10:4; Ibrani 4:12) Pengetahuan Bible yang tepat boleh membantu orang mengenakan keperibadian baru dan membuat perubahan besar dalam hidup.​—Efesus 4:22-24; Kolose 3:8-10.

      19. Apakah sepatutnya pandangan seorang Kristian terhadap pasangannya?

      19 Pandangan terhadap pasangan hidup. Firman Tuhan berkata, “Suami harus mengasihi isteri seperti mengasihi tubuh sendiri. Orang yang mengasihi isteri bererti mengasihi diri sendiri.” (Efesus 5:28, ABB) Bible juga berkata bahawa suami harus memperlakukan isteri dengan hormat kerana dia “kaum yang lebih lemah.” (1 Petrus 3:7) Isteri pula dinasihati agar “mengasihi suami” dan menghormatinya dari hati. (Titus 2:4; Efesus 5:33) Suami yang mendera atau memaki isteri menunjukkan bahawa dia tidak menghormati isteri dan tidak takut akan Tuhan. Dan isteri yang menjerit, menyindir, atau asyik memarahi suami menunjukkan bahawa dia tidak mengasihi dan menghormati suami.

      20. Ibu bapa bertanggungjawab terhadap siapa atas cara mereka menjaga anak? Mengapakah ibu bapa harus mempunyai pandangan yang munasabah terhadap anak?

      20 Pandangan yang betul tentang anak-anak. Kanak-kanak memerlukan kasih dan perhatian ibu bapa. Mereka layak menerimanya kerana Bible berkata bahawa “anak-anak adalah anugerah Tuhan” dan “berkat-Nya.” (Mazmur 127:3) Ibu bapa bertanggungjawab terhadap Yehuwa atas cara mereka menjaga pemberian ini. Bible menyebut bahawa “kanak-kanak biasa membuat perkara yang bukan-bukan.” (Amsal 22:15; 1 Korintus 13:11) Jadi, ibu bapa tidak patut hairan jika anak mereka bertindak dengan kurang bijak. Anak muda bukanlah orang dewasa. Ibu bapa tidak patut memaksa anak melakukan sesuatu yang tidak sesuai dengan umur, latar belakang, atau kemampuannya.​—Lihat Kejadian 33:12-14.

      21. Menurut Bible, apakah pandangan dan layanan yang patut diberikan terhadap ibu bapa yang tua?

      21 Pandangan terhadap ibu bapa yang lanjut usia. Imamat 19:32 berkata, “Seganilah dan hormatilah orang yang sudah tua.” Ya, Hukum Tuhan menggalakkan kita agar bertimbang rasa terhadap orang yang lanjut usia. Hal ini mungkin sukar jika ibu bapa membuat banyak permintaan. Barangkali mereka lambat bergerak atau berfikir kerana sakit. Namun, anak-anak diingatkan supaya “membalas budi ibu bapa.” (1 Timotius 5:4) Ertinya, anak-anak harus menghormati, menjaga harga diri, dan bahkan menyara ibu bapa yang tua. Anak yang menganiaya ibu bapa tua dari segi fizikal atau emosi, terang-terang melanggar perintah Bible.

      22. Apakah sifat yang diperlukan untuk menghentikan keganasan rumah tangga? Bagaimanakah kita dapat memperlihatkan sifat ini?

      22 Pupuklah kawalan diri. Amsal 29:11 (ABB) berkata, “Orang bodoh menunjukkan kemarahan dengan terang-terang, tetapi orang bijak bersabar dan menahan kemarahan.” Bagaimanakah anda dapat mengawal diri? Selesaikan masalah dengan segera agar perasaan geram tidak membarah dalam hati. (Efesus 4:26, 27) Tinggalkan tempat itu jika anda tidak dapat mengawal perasaan. Berdoalah untuk daya aktif Tuhan agar anda dapat memperlihatkan kawalan diri. (Galatia 5:22, 23) Anda juga boleh mengawal emosi dengan melakukan aktiviti fizikal, seperti berjalan atau bersenam. (Amsal 17:14, 27) Dan berusahalah untuk “bertenang.”​—Amsal 14:29.

      PATUTKAH KAMI BERPISAH?

      23. Apakah yang boleh berlaku jika seorang Kristian sengaja menganiaya keluarganya?

      23 Menurut Bible, orang yang ‘bermusuhan, berkelahi, dan lekas marah, tidak akan menikmati Pemerintahan Tuhan.’ Malah, Tuhan mengutuk perbuatan mereka. (Galatia 5:19-21) Oleh itu, seorang Kristian yang berkali-kali membiarkan kemarahannya meluap sehingga dia menganiaya pasangan atau anaknya, boleh disingkirkan daripada sidang Kristian jika dia enggan bertaubat. (Bandingkan 2 Yohanes 9, 10.) Dengan demikian, sidang tidak akan dicemari oleh orang yang bersikap ganas.​—1 Korintus 5:6, 7; Galatia 5:9.

      24. (a) Apakah pilihan yang boleh dibuat oleh mangsa penderaan? (b) Apakah yang boleh dilakukan oleh sahabat dan penatua? Namun, mereka tidak patut melakukan apa?

      24 Apakah yang boleh dilakukan oleh seorang Kristian jika dia didera oleh pasangannya secara berterusan? Ada yang memilih untuk terus tinggal dengan pasangan mereka atas sebab-sebab tertentu. Yang lain pula memilih untuk berpisah kerana mereka berasa bahawa kesihatan fizikal, mental, rohani, dan bahkan nyawa mereka terancam. Mangsa penderaan mesti membuat pilihan sendiri. Dia perlu ingat bahawa dia bertanggungjawab kepada Yehuwa atas tindakannya. (1 Korintus 7:10, 11) Sahabat, sanak saudara, atau penatua Kristian yang berniat baik boleh menawarkan bantuan dan nasihat, tetapi mereka tidak patut memaksa mangsa untuk mengambil tindakan tertentu. Dia sendiri mesti membuat keputusan.​—Roma 14:4; Galatia 6:5.

      TIADA LAGI MASALAH YANG MENGHANCURKAN KELUARGA

      25. Apakah tujuan Yehuwa bagi keluarga?

      25 Semasa Yehuwa menyatukan Adam dan Hawa dalam perkahwinan, Dia tidak ingin keluarga dihancurkan oleh masalah seperti ketagihan alkohol atau keganasan. (Kejadian 2:18-25) Tuhan ingin keluarga menjadi tempat yang dipenuhi kasih dan kedamaian. Dia juga ingin keperluan mental, emosi, dan rohani setiap anggota terpelihara. Tetapi selepas manusia berdosa, kehidupan keluarga merosot dengan mendadak.​—Bandingkan Pengkhutbah 8:9.

      26. Apakah harapan yang menantikan mereka yang hidup selaras dengan kehendak Yehuwa?

      26 Betapa gembiranya kita kerana Yehuwa tidak melupakan tujuannya untuk keluarga! Dia berjanji untuk membawa dunia baru di mana manusia akan “hidup dengan aman, dan tiada sesiapa pun akan menakutkan mereka.” (Yehezkiel 34:28) Pada masa itu, ketagihan alkohol, keganasan rumah tangga, dan masalah lain yang menghancurkan keluarga akan menjadi perkara silam. Senyuman orang tidak lagi menyembunyikan ketakutan dan keperitan. Sebaliknya, mereka tersenyum kerana “menikmati kemakmuran yang berlimpah-limpah.”​—Mazmur 37:11.

      a Kami mengandaikan bahawa penagih alkohol ialah seorang lelaki, tetapi prinsip yang sama boleh diterapkan untuk penagih wanita.

      b Di sesetengah negara, terdapat pusat rawatan, hospital, dan program pemulihan yang boleh membantu penagih alkohol serta keluarga mereka. Saksi-Saksi Yehuwa tidak mengesyorkan mana-mana jenis rawatan. Jadi, setiap orang harus membuat keputusan peribadi. Namun, berhati-hatilah agar anda tidak terlibat dalam aktiviti yang melanggar prinsip Bible.

      BAGAIMANAKAH PRINSIP BIBLE INI MEMBANTU KITA MENGHINDARI MASALAH YANG MENGHANCURKAN KELUARGA?

      Yehuwa mengutuk penyalahgunaan alkohol.​—Amsal 23:20, 21.

      Setiap orang bertanggungjawab atas tindakannya.​—Roma 14:12.

      Penyembah Tuhan mesti memupuk kawalan diri.​—Amsal 29:11.

      Orang Kristian sejati menghormati ibu bapa yang tua.​—Imamat 19:32.

  • Jika Rumah Tangga Hampir Runtuh
    Rahsia Kebahagiaan Keluarga
    • BAB TIGA BELAS

      Jika Rumah Tangga Hampir Runtuh

      1, 2. Apakah soalan yang patut ditanya jika perkahwinan anda dilanda masalah?

      PADA tahun 1988, seorang wanita Itali yang bernama Lucia berasa hancur hati.a Selepas sepuluh tahun, hubungannya dengan suami menjadi renggang. Banyak kali dia cuba berbaik semula dengan suami tetapi usahanya tidak berhasil. Mereka berpisah kerana tidak serasi, dan kini dia harus membesarkan dua orang anak perempuan seorang diri. Pada masa itu, Lucia yakin bahawa tiada apa-apa yang dapat menyelamatkan perkahwinannya.

      2 Anda mungkin memahami perasaan Lucia jika anda sendiri menghadapi masalah rumah tangga. Anda mungkin tertanya-tanya sama ada perkahwinan anda masih dapat diselamatkan. Jadi, anda boleh menanyakan soalan ini: Sudahkah saya mengikut semua nasihat yang diberikan Tuhan dalam Bible untuk menjayakan perkahwinan saya?​—Mazmur 119:105.

      3. Apakah kesan perceraian ke atas pasangan yang bercerai dan keluarga mereka?

      3 Apabila hubungan suami isteri semakin tegang, mereka mungkin berfikir bahawa perceraian ialah jalan penyelesaian yang paling mudah. Kini, bilangan orang yang bercerai meningkat secara mendadak di banyak negara. Tetapi menurut kajian, sebilangan besar daripada mereka menyesalinya. Ada yang mengalami lebih banyak masalah kesihatan fizikal dan mental, berbanding dengan mereka yang mengekalkan hubungan sebagai suami isteri. Anak-anak pula berasa keliru dan menderita selama bertahun-tahun. Ibu bapa dan kawan-kawan turut merasai kesan buruknya. Fikirkan juga perasaan Pengasas perkahwinan terhadap situasi ini.

      4. Bagaimanakah masalah perkahwinan harus diselesaikan?

      4 Seperti yang dipelajari dalam bab-bab sebelum ini, Tuhan menghendaki ikatan perkahwinan bertahan seumur hidup. (Kejadian 2:24) Jadi mengapakah begitu banyak perkahwinan menjadi retak? Hal ini tidak berlaku secara tiba-tiba. Biasanya, ada tanda-tanda tertentu. Masalah kecil dalam perkahwinan boleh bertambah besar sehingga nampaknya tiada jalan keluar. Tetapi banyak perkahwinan tidak akan berakhir jika suami isteri segera menyelesaikan masalah mereka dengan bantuan Bible.

      BERSIKAP REALISTIK

      5. Apakah situasi sebenar yang harus dihadapi oleh mereka yang sudah berkahwin?

      5 Kadangkala pandangan suami isteri yang tidak realistik boleh mencetuskan masalah. Novel cinta, majalah, rancangan televisyen, dan filem yang diminati ramai boleh mewujudkan harapan dan impian yang berasaskan alam fantasi. Apabila impian ini tidak menjadi kenyataan, seseorang mungkin berasa tertipu, tidak puas hati, bahkan marah dan kecewa. Jadi, bagaimanakah dua insan yang tidak sempurna dapat menikmati perkahwinan yang bahagia? Mereka perlu berusaha mencapai kejayaan.

      6. (a) Bagaimanakah Bible memberikan pandangan yang seimbang tentang perkahwinan? (b) Mengapakah berlakunya perselisihan dalam perkahwinan?

      6 Nasihat Bible sangat praktikal. Meskipun Bible menyatakan bahawa perkahwinan membawa sukacita, kita juga diberikan amaran bahawa mereka yang berkahwin akan “menghadapi banyak kesusahan.” (1 Korintus 7:28) Seperti yang sudah dipelajari, suami isteri tidak sempurna dan cenderung berdosa. Setiap individu berbeza dari segi mental, emosi, dan latar belakang. Ada kalanya suami isteri tidak bersetuju tentang wang, anak-anak, atau keluarga mentua. Perselisihan juga timbul apabila mereka tidak menghabiskan masa bersama atau berlakunya masalah dalam soal seks.b Masa diperlukan untuk mengatasi masalah sebegini, tetapi janganlah berputus asa! Kebanyakan pasangan berjaya menangani masalah dan mencapai persefahaman.

      MEMBINCANGKAN PERSELISIHAN FAHAM

      Gambar pada muka surat 180

      Selesaikan masalah secepat mungkin. Jangan marah sepanjang hari

      7, 8. Menurut Bible, apakah yang boleh dilakukan jika suami isteri berselisih faham atau berasa terluka?

      7 Ramai tidak dapat bertenang semasa membincangkan perselisihan faham, perasaan yang terluka, atau kelemahan diri. Mereka tidak berterus terang dengan pasangan tetapi terlalu mengikut perasaan dan membesar-besarkan masalah. Ramai berkata, “Kamu pentingkan diri saja,” atau “Kamu tak sayang saya.” Pasangan yang seorang lagi mungkin membisu kerana enggan bertengkar.

      8 Bukankah lebih baik untuk mengikut nasihat Bible? “Jika kamu marah, janganlah biarkan kemarahan itu menyebabkan kamu berdosa. Janganlah marah sepanjang hari.” (Efesus 4:26, ABB) Semasa ulang tahun perkahwinan yang ke-60, sepasang suami isteri ditanya tentang rahsia kebahagiaan mereka. Suami menjawab, “Tidak kira sama ada perselisihan itu besar atau kecil, kami akan selesaikannya sebelum tidur.”

      9. (a) Menurut Bible, suami isteri perlu melakukan apa semasa berbincang? (b) Suami isteri memerlukan kerendahan hati dan keberanian untuk melakukan apa?

      9 Apabila berlakunya perselisihan faham, suami dan isteri perlu “cepat mendengar, tetapi lambat berkata-kata, dan lambat naik marah.” (Yakobus 1:19) Selepas mendengar dengan teliti, kedua-dua suami isteri mungkin perlu meminta maaf. (Yakobus 5:16) Ya, kerendahan hati dan keberanian diperlukan untuk memohon maaf dengan ikhlas. Tetapi pasangan yang berbuat demikian bukan sahaja menyelesaikan masalah, malah dapat memupuk kemesraan dan keintiman. Hasilnya, mereka akan lebih suka menghabiskan masa bersama.

      MEMENUHI ‘KEWAJIPAN SUAMI ISTERI’

      10. Apakah nasihat Paulus yang boleh diterapkan oleh orang Kristian hari ini?

      10 Semasa rasul Paulus menulis kepada orang Korintus, dia menasihati mereka supaya berkahwin. Mengapa? Kerana ‘godaan untuk melakukan perbuatan yang cabul’ terdapat di merata-rata. (1 Korintus 7:2) Dunia hari ini sama seperti Korintus kuno, malah lebih teruk lagi. Ramai orang membincangkan topik lucah secara terbuka dan memakai pakaian yang menjolok mata. Selain itu, majalah, buku, TV, dan filem memaparkan cerita ghairah. Semua ini membangkitkan nafsu seks yang haram. Paulus memberitahu orang Korintus, “Lebih baik kamu berkahwin daripada nafsu berahi kamu berkobar-kobar.”​—1 Korintus 7:9.

      11, 12. (a) Apakah kewajipan suami dan isteri terhadap satu sama lain? Bagaimanakah mereka harus memenuhi kewajipan ini? (b) Apakah yang harus dilakukan jika suami atau isteri tidak dapat menunaikan kewajipan perkahwinan buat seketika?

      11 Oleh itu, Bible memberikan perintah ini kepada pasangan Kristian: “Seorang suami harus memenuhi kewajipannya sebagai suami kepada isterinya, dan seorang isteri harus memenuhi kewajipannya sebagai isteri kepada suaminya.” (1 Korintus 7:3) Perhatikan bahawa Bible menekankan perbuatan memberi, bukannya menuntut. Hubungan seks dalam perkahwinan benar-benar memuaskan hanya jika suami isteri masing-masing mendahulukan kepentingan pasangan. Misalnya, Bible memerintah suami agar memperlakukan isteri “dengan penuh pengertian.” (1 Petrus 3:7) Hal ini penting khasnya dalam hubungan seks. Jika isteri tidak diperlakukan dengan cara yang lembut, dia mungkin tidak dapat menikmati aspek perkahwinan ini.

      12 Ada masanya, suami atau isteri tidak dapat menunaikan kewajipan ini. Contohnya, isteri datang bulan atau dia berasa sangat letih. (Bandingkan Imamat 18:19.) Mungkin suami menghadapi tekanan emosi kerana masalah besar di tempat kerja. Dalam keadaan sebegini, adalah baik jika suami isteri berbincang dan “kedua-dua belah pihak bersetuju” bahawa mereka tidak menunaikan kewajipan perkahwinan buat seketika. (1 Korintus 7:5) Dengan ini, mereka berdua tidak akan salah faham. Namun begitu, jika isteri sengaja mengelakkan kewajipan ini, atau jika suami sengaja tidak menunaikan kewajipannya dalam cara yang pengasih, pasangannya mungkin senang digoda. Akibatnya, masalah mungkin timbul dalam perkahwinan mereka.

      13. Bagaimanakah orang Kristian boleh memastikan fikiran mereka bersih?

      13 Semua orang Kristian, termasuk mereka yang sudah berkahwin, mesti menjauhi bahan lucah yang membangkitkan nafsu yang najis dan tidak normal. (Kolose 3:5) Mereka juga mesti mengawal fikiran dan tingkah laku semasa bergaul dengan orang yang berlawanan jantina. Yesus memberikan amaran: “Sesiapa memandang seorang wanita dengan perasaan berahi, orang itu sudah berzina dengan dia di dalam hati.” (Matius 5:28) Dengan menerapkan nasihat Bible tentang seks, suami isteri dapat menghindari godaan dan perzinaan. Mereka harus menghargai dan terus menikmati hubungan seks antara satu sama lain, kerana hubungan intim ini ialah pemberian daripada Yehuwa, Pengasas perkahwinan kita.​—Amsal 5:15-19.

      DASAR PERCERAIAN DALAM BIBLE

      14. Apakah situasi sedih yang kadangkala berlaku? Apakah sebabnya?

      14 Kita bergembira untuk mengetahui bahawa kebanyakan pasangan Kristian berjaya menangani apa jua masalah perkahwinan yang timbul. Sedihnya, ada juga yang gagal. Oleh sebab manusia tidak sempurna dan hidup dalam dunia Syaitan, sesetengah perkahwinan seperti telur di hujung tanduk. (1 Yohanes 5:19) Bagaimanakah orang Kristian dapat menangani cabaran ini?

      15. (a) Apakah satu-satunya dasar dalam Bible yang membenarkan seseorang bercerai dan berkahwin semula? (b) Mengapakah sesetengah orang memilih untuk tidak bercerai dengan pasangan yang curang?

      15 Seperti yang disebut dalam Bab 2 buku ini, perbuatan cabul ialah satu-satunya dasar dalam Bible yang membenarkan seseorang bercerai dan berkahwin semula.c (Matius 19:9) Jika anda mempunyai bukti kukuh bahawa pasangan anda berlaku curang, anda perlu membuat keputusan yang sukar. Adakah anda akan terus hidup bersamanya atau bercerai? Bible tidak menetapkan peraturan khusus. Sesetengah orang mengampuni pasangannya yang benar-benar bertaubat, dan perkahwinan mereka bukan sahaja bertahan tetapi juga bahagia. Yang lain pula memilih untuk tidak bercerai demi kepentingan anak-anak.

      16. (a) Mengapakah sesetengah orang menceraikan pasangan yang curang? (b) Mengapakah tiada sesiapa yang patut mempersoalkan keputusan yang dibuat oleh pasangan yang tidak bersalah?

      16 Akan tetapi, kecurangan pasangan mungkin menyebabkan kehamilan atau penyakit kelamin. Barangkali anak perlu dilindungi daripada ibu atau bapa yang menderanya secara seksual. Jelaslah, banyak yang perlu dipertimbangkan sebelum membuat keputusan. Tetapi jika anda mengadakan hubungan seks dengan pasangan anda meskipun mengetahui bahawa dia curang, anda menunjukkan bahawa anda mengampuninya dan ingin mengekalkan perkahwinan anda. Maka, menurut prinsip Bible, anda tidak lagi mempunyai dasar untuk bercerai dan berkahwin semula. Tiada sesiapa yang patut campur tangan dan mencuba mempengaruhi atau mempersoalkan keputusan anda. Anda harus menanggung akibat keputusan anda kerana “tiap-tiap orang harus memikul tanggungjawab masing-masing.”​—Galatia 6:5.

      DASAR UNTUK BERPISAH

      17. Apakah syarat Bible bagi seseorang yang berpisah atau bercerai dengan teman hidup yang tidak berbuat cabul?

      17 Selain perbuatan cabul, wujudkah situasi lain yang membolehkan seseorang berpisah atau mungkin bercerai dengan teman hidupnya? Ya, tetapi dalam keadaan sebegini, seorang Kristian tidak bebas untuk berkahwin dengan orang lain. (Matius 5:32) Meskipun perpisahan dibenarkan, Bible mengarahkan individu itu supaya “tidak bersuami [atau beristeri],” atau dia harus “kembali kepada suaminya [atau isterinya].” (1 Korintus 7:11) Apakah beberapa situasi yang membolehkan seseorang untuk berpisah dengan teman hidupnya?

      18, 19. Apakah beberapa situasi yang membolehkan seseorang bercerai atau berpisah secara sah, biarpun dia tidak boleh berkahwin semula?

      18 Keluarga mungkin hidup melarat kerana suami sangat malas dan mengamalkan tabiat buruk.d Dia mungkin membazirkan pendapatan keluarga dengan berjudi, atau membeli dadah dan arak. Bible berkata, ‘Jika seseorang tidak memelihara anggota keluarganya sendiri, dia menyangkal Kristus. Dia lebih jahat daripada orang yang tidak beriman.’ (1 Timotius 5:8) Jika suami enggan berubah, dan bahkan menghabiskan pendapatan isteri untuk tabiat buruknya, isteri boleh memilih untuk melindungi diri dan anak dengan mendapatkan perpisahan yang sah dari segi undang-undang.

      19 Seseorang juga boleh berpisah secara sah jika pasangannya terlampau ganas, dan mungkin memukulnya berkali-kali sehingga kesihatan dan nyawanya terancam. Selain itu, seseorang yang sering dipaksa oleh pasangannya untuk melanggar hukum Tuhan boleh memilih untuk berpisah, terutamanya jika kerohaniannya tergugat. Dia boleh menyimpulkan bahawa dia perlu mendapatkan perpisahan yang sah supaya dia dapat ‘taat kepada Tuhan dan bukan kepada manusia.’​—Kisah 5:29.

      20. (a) Apabila berlakunya masalah rumah tangga, apakah yang boleh dilakukan oleh sahabat yang matang dan para penatua? Apakah yang patut dihindari? (b) Suami isteri tidak patut menggunakan prinsip Bible berkenaan perpisahan dan perceraian sebagai dalih untuk melakukan apa?

      20 Jika berlakunya keganasan rumah tangga yang melampau, tiada sesiapa yang patut memaksa mangsa untuk berpisah atau terus tinggal dengan pasangannya. Walaupun sahabat yang matang dan para penatua boleh menawarkan bantuan dan nasihat Bible, mereka tidak mengetahui segala-gala yang berlaku antara suami isteri. Hanya Yehuwa yang mengetahui situasi yang sebenar. Sudah tentu, suami atau isteri Kristian yang sengaja mencari dalih untuk melepaskan diri daripada perkahwinannya tidak menghormati aturan Tuhan. Tetapi jika situasi yang sangat teruk berterusan, seseorang boleh memilih untuk berpisah, dan orang lain tidak patut mengkritiknya. ‘Kita semua akan menghadap Tuhan untuk diadili.’​—Roma 14:10.

      PERKAHWINAN YANG DISELAMATKAN

      21. Ceritakan pengalaman yang menunjukkan bahawa nasihat Bible boleh menyelamatkan perkahwinan.

      21 Ingatkah anda tentang Lucia yang disebutkan di awal bab? Tiga bulan selepas berpisah dengan suaminya, dia menemui Saksi-Saksi Yehuwa dan mula mempelajari Bible. Dia menjelaskan, “Saya kagum sebab Bible memberikan cadangan praktikal untuk masalah saya. Baru seminggu mempelajari Bible, saya ingin berbaik dengan suami. Hari ini saya boleh berkata bahawa Yehuwa tahu menyelamatkan perkahwinan yang dilanda masalah kerana ajaran-Nya membantu suami isteri untuk saling menghormati. Ada orang mendakwa bahawa Saksi-Saksi Yehuwa memecahbelahkan keluarga, tapi hal ini tak benar. Perkara yang sebaliknya berlaku pada diri saya.” Lucia belajar untuk menerapkan prinsip Bible dalam hidupnya.

      22. Suami isteri harus yakin sepenuhnya pada apa?

      22 Selain Lucia, banyak lagi pengalaman menunjukkan bahawa perkahwinan ialah kurniaan, bukannya beban. Atas sebab itu, Yehuwa menyediakan Firman-Nya untuk membekalkan nasihat yang terbaik tentang perkahwinan. Bible “memberikan kebijaksanaan kepada orang yang memerlukannya.” (Mazmur 19:8-12) Bible telah menyelamatkan banyak rumah tangga yang hampir runtuh dan memperbaik banyak perkahwinan yang dirundung masalah besar. Semoga suami isteri yakin pada nasihat perkahwinan yang diberikan oleh Yehuwa. Nasihat-Nya memang berkesan!

      a Nama telah diubah.

      b Beberapa perkara telah pun dibincangkan dalam bab-bab sebelum ini.

      c Dalam Bible, istilah “perbuatan cabul” merangkumi perzinaan, hubungan sejenis, seks dengan binatang, dan perbuatan haram lain yang melibatkan organ seks.

      d Hal ini tidak melibatkan situasi yang mana suami tidak dapat menyara keluarga atas sebab-sebab di luar kawalannya. Contohnya, dia sakit atau tidak dapat mencari kerja.

      BAGAIMANAKAH PRINSIP BIBLE INI MEMBANTU KITA MENGHINDARI KERUNTUHAN RUMAH TANGGA?

      Perkahwinan membawa suka dan duka.​—Amsal 5:18, 19; 1 Korintus 7:28.

      Perselisihan faham harus diselesaikan dengan serta-merta.​—Efesus 4:26.

      Semasa berbincang, mendengar sama pentingnya dengan bercakap.​—Yakobus 1:19.

      Suami isteri harus memenuhi kewajipan perkahwinan dalam cara yang lembut dan tidak mementingkan diri.​—1 Korintus 7:3-5.

  • Mengharungi Zaman Tua Bersama
    Rahsia Kebahagiaan Keluarga
    • BAB EMPAT BELAS

      Mengharungi Zaman Tua Bersama

      1, 2. (a) Apakah perubahan yang berlaku seraya usia meningkat tua? (b) Bagaimanakah hamba Tuhan pada zaman Bible mengharungi zaman tua dengan puas?

      BANYAK perubahan berlaku seraya usia kita meningkat tua. Kita semakin lemah dan mudah letih. Apabila kita memandang cermin, kita melihat muka yang mula berkedut. Rambut juga semakin beruban dan bahkan gugur. Daya ingatan semakin merosot. Selain itu, kita perlu menjalin hubungan baru apabila anak-anak berkahwin, dan juga apabila anak cucu lahir. Sesetengah orang yang bersara pula perlu mengubah rutin harian mereka.

      2 Ya, usia tua membawa banyak cabaran. (Pengkhutbah 12:1-8) Namun, fikirkan hamba Tuhan pada zaman Bible seperti Abraham, Ishak, dan Ayub. Sepanjang hidup, mereka telah menimba hikmat dan pengertian. Hasilnya, mereka mengharungi zaman tua dengan puas meskipun mereka meninggal juga pada akhirnya. (Ayub 12:12, 13) Bagaimanakah mereka dapat mengharungi zaman tua dengan gembira? Sudah pasti mereka hidup selaras dengan prinsip yang boleh dijumpai dalam Bible.​—Mazmur 119:105; 2 Timotius 3:16, 17.

      3. Apakah pedoman yang diberikan Paulus kepada lelaki dan wanita tua?

      3 Semasa rasul Paulus menulis kepada Titus, dia menyampaikan pedoman kepada mereka yang semakin tua. Dia menulis, ‘Nasihatilah orang lelaki yang tua supaya bijaksana, bersifat baik, tahu mengawal diri, sentiasa percaya kepada Kristus, mengasihi saudara seiman, dan tabah menghadapi penderitaan. Demikian juga, nasihatilah wanita yang tua supaya kelakuan mereka sesuai dengan kelakuan wanita yang mengabdikan diri kepada Tuhan. Mereka tidak boleh mengumpat atau menjadi kaki botol. Mereka mesti mengajarkan apa yang baik.’ (Titus 2:2, 3, ABB) Kata-kata ini boleh membantu anda menghadapi cabaran usia tua.

      MENYESUAIKAN DIRI APABILA ANAK BERDIKARI

      4, 5. Apakah reaksi kebanyakan ibu bapa apabila anak-anak mereka meninggalkan rumah? Bagaimanakah sesetengah ibu bapa menyesuaikan diri dengan keadaan ini?

      4 Ibu bapa perlu menyesuaikan diri apabila anak-anak dewasa berpindah dan mendirikan rumah tangga sendiri. Pada masa ini, ibu bapa akan sedar bahawa mereka sudah berumur. Meskipun mereka gembira kerana anak sudah dewasa, mereka juga risau sama ada dia sudah bersedia untuk hidup berdikari. Rasa rindu mungkin menyelubungi mereka.

      5 Biarpun anak sudah berpindah, ibu bapa masih mengambil berat tentang kesejahteraannya. “Kalaulah saya dapat mendengar khabar daripada mereka selalu, dan yakin bahawa mereka sihat sejahtera, barulah saya akan gembira,” kata seorang ibu. Seorang bapa berkata, “Kami sedih sekali apabila anak perempuan kami pindah keluar. Rumah kami sunyi saja kerana dulu kami melakukan semua aktiviti bersama.” Bagaimanakah ibu bapa dapat menyesuaikan diri apabila anak-anak tidak lagi berada di sisi mereka? Mereka boleh menunjukkan keprihatinan dan membantu orang lain.

      6. Bagaimanakah ibu bapa boleh memupuk pandangan yang betul tentang hubungan mereka dengan anak-anak?

      6 Peranan ibu bapa berubah apabila anak-anak berkahwin. Kejadian 2:24 berkata, “Seorang lelaki meninggalkan ibu bapanya dan bersatu dengan isterinya, lalu mereka menjadi satu.” Ibu bapa boleh memupuk pandangan yang betul jika mereka berpegang pada prinsip kekepalaan dan ketertiban yang diberikan Tuhan.​—1 Korintus 11:3; 14:33, 40.

      7. Apakah sikap baik yang dipupuk oleh seorang bapa apabila anak-anaknya berkahwin dan berpindah?

      7 Sepasang suami isteri merasakan kekosongan dalam hidup apabila dua orang anak perempuan mereka berkahwin dan berpindah. Pada mulanya, suami tidak menyukai menantunya. Tetapi seraya dia merenungkan prinsip kekepalaan, dia sedar bahawa menantunya bertanggungjawab terhadap keluarga mereka. Oleh itu, setiap kali anak-anak meminta nasihatnya, dia akan menanya sama ada mereka sudah mendengar pandangan suami sendiri. Kemudian, dia berusaha untuk menyokong pandangan menantunya. Kini menantunya menganggapnya sebagai kawan dan menyambut baik nasihatnya.

      8, 9. Bagaimanakah sesetengah ibu bapa menyesuaikan diri dengan anak dewasa yang berdikari?

      8 Apakah yang harus dilakukan jika anak anda yang baru berkahwin melakukan sesuatu yang selaras dengan prinsip Bible tetapi tidak sesuai dengan kehendak anda? “Kami sentiasa membantu mereka mengikut sudut pandangan Yehuwa,” kata sepasang suami isteri yang mempunyai anak-anak yang sudah berkahwin. “Meskipun kami tak suka keputusan mereka, kami tetap menyokong dan menggalakkan mereka.”

      9 Di sesetengah negara Asia, ada ibu yang susah menerima hakikat bahawa anak lelaki mereka sudah berdikari. Walau bagaimanapun, mereka dapat mengurangkan perselisihan dengan menantu jika mereka menghormati prinsip kekepalaan dan ketertiban dalam Bible. Seorang wanita Kristian berkata bahawa dia “meraih banyak berkat” setelah anak-anak lelakinya berpindah. Dia gembira melihat mereka menguruskan rumah tangga dengan baik. Dia dan suaminya juga tidak perlu memikul begitu banyak beban dari segi fizikal dan mental, seraya mereka mengharungi zaman tua.

      MEMPERKUKUH IKATAN PERKAHWINAN

      Gambar pada muka surat 194

      Seraya usia meningkat tua, anda harus mengesahkan kasih terhadap satu sama lain

      10, 11. Apakah nasihat Bible yang dapat membantu orang menangani krisis pertengahan umur?

      10 Setiap orang menangani krisis pertengahan umur dengan cara yang berbeza. Ada lelaki yang mengubah cara pemakaian supaya kelihatan lebih muda. Ramai wanita risau tentang perubahan yang dialami apabila mereka putus haid. Sedihnya, ada yang berfoya-foya dengan lelaki atau wanita yang lebih muda sehingga pasangan mereka marah dan iri hati. Tetapi lelaki rohani yang matang berfikiran sihat; mereka tahu “mengawal diri” dan keinginan yang salah. (1 Petrus 4:7) Wanita yang matang juga berusaha mengekalkan keutuhan rumah tangga kerana mereka mengasihi suami dan ingin menyenangkan hati Yehuwa.

      11 Raja Lemuel diilhami untuk menulis kata-kata pujian bagi ‘isteri cekap’ yang ‘berbuat baik kepada suami seumur hidupnya.’ Seorang suami Kristian pasti menghargai isteri yang berusaha menangani pergolakan emosi yang melanda semasa dia mencapai pertengahan umur. Kasih akan mendorongnya untuk memuji isteri.​—Amsal 31:10, 12, 28.

      12. Dengan berlalunya masa, bagaimanakah suami isteri dapat mengeratkan hubungan mereka?

      12 Semasa anak-anak membesar, anda dan pasangan hidup mungkin mengetepikan hasrat peribadi agar dapat memenuhi keperluan anak. Kini selepas mereka berpindah, anda berdua berpeluang untuk berfokus semula pada perkahwinan anda. “Apabila anak-anak perempuan saya berpindah,” kata seorang suami, “saya mula berpacaran dengan isteri seperti dulu.” Seorang lagi suami berkata, “Kami saling menjaga kesihatan dan mengingatkan satu sama lain tentang pentingnya untuk bersenam.” Dia dan isterinya mengatasi rasa sunyi dengan menjemput ahli sidang ke rumah. Ya, kita akan menerima berkat dan menyenangkan hati Yehuwa jika kita prihatin terhadap orang lain.​—Filipi 2:4; Ibrani 13:2, 16.

      13. Bagaimanakah sikap jujur dan terbuka membantu suami isteri mengharungi zaman tua bersama?

      13 Jangan biarkan apa-apa pun menghalang anda daripada berkomunikasi dengan pasangan anda secara jujur dan terbuka. (Amsal 17:27) “Kami dapat lebih memahami satu sama lain dengan menunjukkan sikap prihatin dan bertimbang rasa,” kata seorang suami. Isterinya bersetuju dan berkata, “Seraya kami semakin tua, kami suka minum teh bersama, berbual-bual, dan saling membantu.” Sikap jujur dan terbuka dapat mengukuhkan ikatan perkahwinan agar anda berdua dapat mematahkan serangan si pemusnah perkahwinan, iaitu Syaitan.

      ANAK CUCU MEMBAWA SUKACITA

      14. Bagaimanakah nenek Timotius membantunya membesar sebagai seorang Kristian?

      14 Anak cucu merupakan kebanggaan orang tua. (Amsal 17:6) Datuk dan nenek pasti teruja dan gembira menimang cucu. Bible menyebut tentang seorang nenek yang bernama Lois dengan anak perempuannya, Eunike. Lois telah berkongsi kepercayaan dengan cucu kecilnya, Timotius. Seraya Timotius membesar, dia dapat melihat bahawa ibu dan neneknya amat menghargai kebenaran dalam Bible.​—2 Timotius 1:5; 3:14, 15.

      15. Apakah sumbangan yang boleh diberikan oleh datuk nenek kepada cucu? Apakah yang harus dihindari?

      15 Seperti Lois, anda sebagai datuk dan nenek boleh memberikan sumbangan yang sangat bernilai. Anda sudah mengajar anak-anak anda tentang kehendak Yehuwa. Kini anda boleh mengajar generasi yang seterusnya! Ramai anak kecil suka mendengar datuk dan nenek menceritakan kisah Bible. Sudah tentu, anda tidak mahu mengambil alih peranan bapa yang bertanggungjawab menyemai kebenaran dalam hati anaknya. (Ulangan 6:7) Anda hanya memberikan sokongan. Semoga anda berdoa seperti pemazmur, ‘Kini aku sudah tua dan rambutku pun beruban, jangan tinggalkan aku, ya Tuhan. Sertailah aku semasa aku mengisytiharkan kuasa dan kebesaran-Mu kepada semua keturunan yang akan datang.’​—Mazmur 71:18, ABB; 78:5, 6.

      16. Bagaimanakah datuk nenek boleh memastikan bahawa mereka tidak menyebabkan hubungan keluarga menjadi tegang?

      16 Sedihnya, ada datuk dan nenek yang memanjakan cucu sehingga hubungan datuk nenek dengan anak dewasa semakin tegang. Namun, tunjukkanlah kebaikan hati terhadap cucu anda. Dengan ini, dia mungkin lebih senang meluahkan isi hatinya kepada anda meskipun dia berat hati untuk memberitahu ibu bapanya. Kadangkala cucu mahu datuk nenek memihak kepadanya dan menentang ibu bapa. Apakah yang boleh anda buat? Bertindaklah dengan bijak dan galakkan cucu untuk berterus terang dengan ibu bapanya. Jelaskan bahawa Yehuwa gembira jika dia berbuat demikian. (Efesus 6:1-3) Jika perlu, anda boleh mencadangkan agar anda menceritakan masalah itu kepada ibu bapanya terlebih dahulu. Janganlah segan untuk berkongsi pengalaman hidup anda dengannya. Sikap anda yang jujur dan terbuka boleh membantunya.

      BUAT PENYESUAIAN SERAYA USIA MENINGKAT

      17. Apakah azam pemazmur yang harus ditiru oleh orang Kristian yang lanjut usia?

      17 Seraya usia anda semakin meningkat, anda mungkin tidak dapat melakukan banyak perkara seperti dahulu, meskipun anda ingin melakukannya. Bagaimanakah anda dapat menangani cabaran ini? Anda mungkin rasa diri anda berumur 30 tahun, tetapi pada hakikatnya, anda melihat wajah yang lebih tua di dalam cermin. Janganlah tawar hati. Pemazmur merayu kepada Yehuwa, “Janganlah tolak aku sekarang kerana aku tua; janganlah tinggalkan aku sekarang kerana aku lemah.” Bertekadlah untuk meniru azam pemazmur yang berkata, “Aku akan sentiasa berharap kepada-Mu, dan semakin memuji-Mu.”​—Mazmur 71:9, 14, ABB.

      18. Bagaimanakah orang Kristian yang matang menggunakan masa persaraan dengan bijak?

      18 Ramai orang merancang untuk memperluas khidmat kepada Yehuwa selepas mereka bersara. “Saya membuat perancangan awal tentang apa yang akan saya buat apabila anak perempuan kami tamat sekolah,” jelas seorang ayah yang sudah bersara. “Saya bertekad untuk menyertai kerja penyebaran sepenuh masa. Jadi saya menjual perniagaan saya agar mempunyai lebih banyak masa untuk kerja Yehuwa. Saya berdoa meminta bimbingan Tuhan.” Jika anda bakal bersara, anda boleh mendapat kelegaan hati daripada kata-kata Pencipta Agung kita: ‘Aku tetap Tuhan kamu sampai kamu tua; Aku akan memelihara kamu sampai kamu beruban.’​—Yesaya 46:4.

      19. Apakah nasihat yang diberikan kepada mereka yang lanjut usia?

      19 Seorang pesara mungkin berasa sukar untuk menyesuaikan diri dengan kehidupan baru. Rasul Paulus menasihati lelaki yang tua supaya “bijaksana.” Mereka perlu bijak mengawal diri dan tidak mengejar kesenangan hidup. Jadi, anda mungkin memerlukan lebih banyak disiplin dan kawalan diri selepas bersara. Anda harus ‘rajin bekerja untuk Tuhan, kerana semua yang dilakukan untuk Tuhan, tidak sia-sia.’ (1 Korintus 15:58) Bukalah hati anda dan bantu orang lain. (2 Korintus 6:13) Ramai orang Kristian berbuat demikian dengan menyebarkan berita baik mengikut kemampuan sendiri. Seraya usia anda meningkat tua, anda harus “sentiasa percaya kepada Kristus, mengasihi saudara seiman, dan tabah menghadapi penderitaan.”​—Titus 2:2.

      APABILA PASANGAN HIDUP MENINGGAL

      20, 21. (a) Apakah yang akan memisahkan suami isteri dalam sistem dunia ini? (b) Bagaimanakah mereka yang kehilangan pasangan hidup boleh mencontohi teladan baik Hana?

      20 Sedihnya dalam sistem dunia ini, suami isteri harus menerima hakikat bahawa suatu hari nanti mereka akan dipisahkan oleh kematian. Orang Kristian tahu bahawa pasangan mereka yang sudah meninggal sebenarnya sedang tidur. Mereka yakin bahawa mereka akan berjumpa lagi dengan orang tersayang pada kelak hari. (Yohanes 11:11, 25) Tetapi mereka masih merasai keperitannya. Bagaimanakah mereka dapat menanggung penderitaan ini?a

      21 Ingatlah apa yang dilakukan oleh Hana yang berumur 84 tahun. Menurut Bible, dia menjadi balu selepas berkahwin selama tujuh tahun sahaja. Dia pasti bersedih atas kehilangan suaminya. Bagaimanakah dia menanggung keperitannya? Siang malam dia beribadat kepada Yehuwa di Rumah Tuhan. (Lukas 2:36-38) Sudah tentu, khidmatnya kepada Yehuwa membantu mengubati kesedihan dan kesunyian yang dirasainya sebagai seorang balu.

      22. Bagaimanakah sesetengah balu dan duda menanggung kesunyian?

      22 “Cabaran terbesar ialah saya tak dapat berbual dengan seorang teman,” kata seorang balu berusia 72 tahun yang kehilangan suaminya sepuluh tahun yang lalu. “Suami saya mahir mendengar. Kami akan bercakap tentang sidang dan kerja menginjil.” Seorang lagi balu berkata, “Biarpun masa mengubati kesakitan, saya mendapati bahawa apa yang benar-benar membantu ialah cara seseorang menggunakan masanya. Anda berpeluang membantu lebih banyak orang.” Seorang duda berusia 67 tahun bersetuju. Dia berkata, “Cara yang baik untuk menanggung kesunyian adalah dengan melegakan hati orang lain.”

      DIHARGAI OLEH TUHAN BIARPUN TUA

      23, 24. Bagaimanakah Bible melegakan hati balu dan duda yang lanjut usia?

      23 Biarpun kematian meragut nyawa pasangan yang dikasihi, Yehuwa tetap setia. Raja Daud menyanyi, “Aku telah memohon satu perkara kepada Tuhan; hanya satu sahaja yang aku minta; untuk tinggal di dalam Rumah Tuhan sepanjang hidupku, untuk menyaksikan segala kebaikan-Nya, dan meminta bimbingan-Nya.”​—Mazmur 27:4, ABB.

      24 Rasul Paulus menggesa, “Hormatilah balu yang benar-benar hidup seorang diri.” (1 Timotius 5:3, ABB) Kata-kata Paulus yang seterusnya menunjukkan bahawa balu yang tidak mempunyai saudara dekat layak menerima bantuan kebendaan daripada sidang. Namun begitu, perkataan ‘menghormati’ juga bererti mereka harus dihargai. Balu dan duda yang takut akan Tuhan boleh berasa lega hati kerana Yehuwa menghargai dan akan memelihara mereka!​—Yakobus 1:27.

      25. Apakah matlamat yang boleh ditetapkan oleh orang yang lanjut usia?

      25 Firman Tuhan menyatakan bahawa “orang tua dihormati kerana uban,” dan “ubannya bagaikan mahkota yang mulia.” (Amsal 16:31; 20:29) Jadi, tidak kira sama ada anda sudah berkahwin atau kehilangan pasangan hidup, teruslah mendahulukan khidmat Yehuwa. Dengan ini, anda akan mendapat perkenan Tuhan sekarang dan berpeluang menikmati kehidupan kekal di dunia baru nanti. Pada masa itu, penderitaan yang dibawa oleh usia tua akan menjadi perkara silam.​—Mazmur 37:3-5; Yesaya 65:20.

      a Untuk perbincangan lanjut tentang subjek ini, sila lihat buku Apakah Sebenarnya Ajaran Bible?, bab 7, perenggan 4-6 yang diterbitkan oleh Saksi-Saksi Yehuwa.

      BAGAIMANAKAH PRINSIP BIBLE INI MEMBANTU SUAMI ISTERI MENGHARUNGI ZAMAN TUA?

      Anak cucu merupakan kebanggaan orang tua.​—Amsal 17:6.

      Usia tua membuka pintu untuk memperluas khidmat kepada Yehuwa.​—Mazmur 71:9, 14.

      Orang tua dinasihati supaya “bijaksana” dan “tahu mengawal diri.”​—Titus 2:2.

      Bible boleh melegakan hati mereka yang kehilangan pasangan hidup.​—Yohanes 11:11, 25.

      Yehuwa menghargai orang tua yang setia.​—Amsal 16:31.

  • Menghormati Ibu Bapa yang Tua
    Rahsia Kebahagiaan Keluarga
    • BAB LIMA BELAS

      Menghormati Ibu Bapa yang Tua

      1. Mengapakah kita terhutang budi dengan ibu bapa kita? Jadi, apakah sepatutnya perasaan dan tindakan kita terhadap mereka?

      SEORANG lelaki yang arif menasihati, “Dengarkanlah nasihat bapamu, kerana tanpa dia, kamu tidak ada. Ketika ibumu tua, tunjukkanlah penghargaanmu kepadanya.” (Amsal 23:22, ABB) Anda mungkin berkata, “Saya memang menghargai ibu bapa saya.” Ya, kebanyakan daripada kita sangat mengasihi ibu bapa dan banyak terhutang budi dengan mereka. Pertama sekali, mereka memberi kita nyawa. Memang, Yehuwa ialah Sumber segala kehidupan, tetapi tanpa ibu bapa kita tidak akan wujud. Apa sahaja yang kita berikan kepada mereka tidak boleh dibandingkan dengan kehidupan yang kita terima. Fikirlah juga tentang pengorbanan, penjagaan, perbelanjaan, dan perhatian yang diberikan untuk membantu anak membesar dari bayi menjadi dewasa. Maka, wajarlah Firman Tuhan menasihati kita: “Hormatilah ibu bapamu . . . supaya kamu hidup bahagia dan berumur panjang di bumi”!​—Efesus 6:2, 3.

      PEKA TERHADAP KEPERLUAN EMOSI

      2. Bagaimanakah anak dewasa boleh “membalas budi” ibu bapa?

      2 Rasul Paulus menulis bahawa anak dan cucu ‘harus terlebih dahulu menjalankan kewajipan agama terhadap kaum keluarga sendiri. Dengan cara itu mereka membalas budi ibu bapa, nenek, dan datuk. Perbuatan ini menyenangkan hati Tuhan.’ (1 Timotius 5:4) Anak dewasa “membalas budi” dengan menunjukkan penghargaan terhadap ibu bapa dan datuk nenek yang telah mencurahkan kasih, usaha, dan keprihatinan selama bertahun-tahun. Anak-anak harus sedar bahawa seperti orang lain, orang tua sangat memerlukan kasih dan sokongan. Mereka perlu berasa diri mereka dihargai dan hidup mereka tidak sia-sia.

      3. Bagaimanakah kita dapat menghormati ibu bapa dan datuk nenek?

      3 Jadi kita boleh menghormati ibu bapa dan datuk nenek kita dengan menunjukkan kasih kepada mereka. (1 Korintus 16:14) Kita boleh menghubungi mereka jika mereka tidak tinggal bersama kita. Mereka tentu gembira dan menghargainya jika kita menulis surat yang menggalakkan, menelefon, atau melawat mereka. Miyo yang tinggal di Jepun, berusia 82 tahun. Dia menulis, “Anak perempuan saya [yang suaminya seorang penyelia lawatan] berkata, ‘Mak, tolonglah “lawat” sidang-sidang bersama kami.’ Dia menghantar jadual lawatan mereka dan nombor telefon tempat tinggal setiap minggu. Saya boleh buka peta dan berkata, ‘Sekarang mereka di sini!’ Saya selalu bersyukur kepada Yehuwa kerana memberkati saya dengan anak ini.”

      MENGHULURKAN BANTUAN KEBENDAAN

      4. Bagaimanakah tradisi agama Yahudi menggalakkan orang untuk menghina ibu bapa?

      4 Adakah hormat pada ibu bapa bererti kita perlu menjaga keperluan kebendaan mereka juga? Ya. Pada zaman Yesus, pemimpin agama Yahudi berpegang pada tradisi bahawa seseorang tidak perlu menggunakan wang atau hartanya untuk menjaga ibu bapa jika dia sudah ‘mempersembahkannya kepada Tuhan.’ (Matius 15:3-6) Mereka memang tidak berhati perut! Pemimpin agama tidak membantu orang untuk menghormati ibu bapa. Sebaliknya, mereka menggalakkan orang untuk mementingkan diri, serta menghina dan tidak memenuhi keperluan ibu bapa. Semoga kita tidak berbuat begitu!​—Ulangan 27:16.

      5. Biarpun kerajaan menyediakan keperluan kebendaan, mengapakah anak masih perlu memenuhi keperluan ibu bapa?

      5 Hari ini, banyak kerajaan menganjurkan program kebajikan untuk membantu orang tua, contohnya dari segi makanan, pakaian, dan tempat tinggal. Selain itu, golongan tua mungkin mempunyai wang simpanan sendiri. Tetapi jika wang dan bantuan kebendaan kehabisan atau tidak mencukupi, anak-anak perlu berusaha memenuhi keperluan ibu bapa. Sebenarnya, anak yang menjaga keperluan ibu bapa membuktikan bahawa dia takut akan Tuhan Yehuwa, Pengasas aturan keluarga.

      KASIH DAN PENGORBANAN

      6. Apakah aturan yang dibuat oleh sesetengah orang agar dapat menjaga keperluan ibu bapa?

      6 Ramai anak dewasa menunjukkan kasih dan rela berkorban agar dapat memenuhi keperluan ibu bapa yang uzur. Ada yang meminta ibu bapa untuk tinggal bersama mereka atau mereka tinggal di rumah ibu bapa. Yang lain pula berpindah agar dapat tinggal lebih dekat dengan ibu bapa. Selalunya, aturan sebegini membawa berkat kepada ibu bapa dan anak-anak.

      7. Mengapakah kita tidak patut terburu-buru semasa membuat keputusan yang melibatkan ibu bapa yang tua?

      7 Walau bagaimanapun, aturan sebegini tidak selalu membuahkan hasil yang baik. Mengapa? Mungkin kerana keputusan dibuat secara terburu-buru atau mengikut gerak hati. Bible berkata, “Orang bijak melangkah dengan hati-hati.” (Amsal 14:15) Misalnya, katakan ibu anda yang tua mengalami kesusahan kerana tinggal bersendirian. Anda berfikir lebih baik dia tinggal bersama anda. Semasa memikirkan langkah yang wajar diambil, tanyalah diri: Apakah keperluannya yang sebenar? Apakah bantuan yang disediakan oleh kerajaan atau pihak swasta? Adakah dia mahu berpindah? Jika ya, apakah kesannya ke atas kehidupannya? Adakah dia harus meninggalkan kawan-kawannya? Bagaimanakah hal ini mempengaruhinya secara emosi? Sudahkah anda berbincang dengannya? Apakah kesannya ke atas anda, pasangan anda, anak-anak anda? Jika ibu anda memerlukan jagaan, siapakah yang akan memberikannya? Bolehkah ahli keluarga membantu memikul tanggungjawab? Sudahkah anda berbincang dengan mereka?

      8. Anda boleh meminta pandangan siapa semasa membuat keputusan mengenai ibu bapa yang tua?

      8 Semua anak dalam keluarga bertanggungjawab menjaga ibu bapa. Jadi, adalah bijak untuk mengadakan perbincangan keluarga agar semua dapat membuat keputusan bersama-sama. Anda juga boleh berbincang dengan penatua sidang Kristian atau sahabat yang menghadapi situasi yang sama. Bible berkata, “Rancangan berjaya jika disertai banyak nasihat; rancangan gagal jika tidak disertai pertimbangan.”​—Amsal 15:22, ABB.

      MENYELAMI DAN MEMAHAMI PERASAAN IBU BAPA

      Gambar pada muka surat 207

      Adalah bijak untuk berbincang dengan ibu bapa sebelum membuat keputusan

      9, 10. (a) Bagaimanakah seseorang boleh menyelami dan memahami perasaan ibu bapa yang tua? (b) Tidak kira apa pun yang dibuat oleh anak untuk ibu bapa, apakah nasihat yang harus diingati?

      9 Seseorang yang menghormati ibu bapa tua perlu menyelami dan memahami perasaan mereka. Seraya usia ibu bapa meningkat tua, mereka mungkin sukar berjalan atau makan, dan hilang daya ingatan. Mereka mungkin memerlukan bantuan. Biasanya anak terlalu risau tentang keselamatan mereka dan mahu memberikan bimbingan. Tetapi orang tua bukannya kanak-kanak; mereka memiliki banyak pengalaman dan hikmat. Selama ini, mereka mampu menjaga diri dan membuat keputusan sendiri. Peranan mereka sebagai ibu bapa dan orang dewasa mungkin membantu membina keperibadian dan harga diri mereka. Ibu bapa yang berasa bahawa anak-anak sedang mengawal hidup mereka mungkin naik marah atau tawar hati. Ada yang menentang usaha anak yang seakan-akan merampas kebebasan mereka.

      10 Masalah sebegini tidak mempunyai jalan penyelesaian yang mudah. Namun, adalah baik untuk membenarkan ibu bapa menjaga diri dan membuat keputusan sendiri selagi mereka mampu. Janganlah membuat keputusan tanpa berbincang dengan mereka. Mereka telah menanggung banyak kerugian akibat usia tua. Jadi, janganlah mengekang kebebasan mereka. Jika anda tidak terlalu mengawal kehidupan mereka, hubungan anda dengan mereka pasti bertambah baik. Mereka akan berasa lebih gembira, begitu juga dengan anda. Biarpun ada kalanya anda perlu tegas demi kebaikan mereka, anda mesti memuliakan dan menghormati mereka. Firman Tuhan menasihati, “Seganilah dan hormatilah orang yang sudah tua.”​—Imamat 19:32.

      MENGEKALKAN PANDANGAN YANG BETUL

      11-13. Bagaimanakah anak dapat menjaga ibu bapa yang tua jika hubungannya dengan ibu bapa tidak baik pada masa dahulu?

      11 Kadangkala anak dewasa tidak dapat menghormati ibu bapa yang tua kerana dahulu hubungannya dengan ibu bapa tidak baik. Mungkin ayah anda bersikap dingin dan tidak menunjukkan kasih; mungkin ibu anda suka mengawal dan bengis. Barangkali anda masih geram, marah, atau terluka kerana mereka bukanlah ibu bapa yang anda inginkan. Dapatkah anda mengatasi perasaan sebegini?a

      12 Seorang lelaki yang bernama Basse menceritakan, “Ayah tiri saya pernah bertugas sebagai pegawai Nazi di Jerman. Dia panas baran lalu bertindak dengan ganas. Banyak kali dia memukuli ibu di depan saya. Pernah sekali semasa dia marah dengan saya, dia menghentam muka saya dengan kancing tali pinggangnya sehingga saya jatuh tergolek dari katil.”

      13 Namun, ayahnya ada sifat yang baik juga. Basse berkata, “Dia bekerja keras dan tak pernah gagal menampung keperluan keluarga. Dia tak pernah menunjukkan kasih sayang seorang bapa, tapi saya tahu bahawa hatinya terhiris. Ibunya mengusirnya dari rumah semasa dia masih kecil. Dia banyak bergaduh semasa membesar dan menyertai perang pada usia yang muda. Saya sedikit sebanyak dapat memahaminya dan tak menyalahkannya. Apabila ayah jatuh sakit, saya mahu bantunya. Memang tak mudah, tapi saya berusaha sedaya upaya sehingga dia meninggal. Rasanya dia terima saya sebagai anak yang baik.”

      14. Apakah ayat Bible yang boleh diterapkan oleh anak yang harus menjaga ibu bapa tua?

      14 Seperti dengan hal lain, nasihat Bible ini juga sesuai diterapkan dalam keluarga: “Kamu harus berbelas kasihan, baik hati, rendah hati, lemah lembut, dan bersabar. Hendaklah kamu saling bersabar dan saling mengampuni apabila ada yang menaruh dendam terhadap orang lain. Kamu harus saling mengampuni sebagaimana Tuhan sudah mengampuni kamu.”​—Kolose 3:12, 13, ABB.

      MEREKA YANG MENJAGA ORANG TUA PERLU SEIMBANG

      15. Mengapakah anak yang menjaga ibu bapa kadangkala menderita?

      15 Banyak usaha, tugas, tanggungjawab, dan masa diperlukan untuk menjaga ibu bapa yang uzur. Tetapi cabaran terbesar selalunya berkaitan dengan emosi. Sungguh sedih melihat ibu bapa jatuh sakit, hilang daya ingatan, dan terpaksa bergantung pada orang lain. Sandy berkata: “Mak saya ialah teras keluarga kami. Keadaannya amat menyayat hati. Mula-mula dia berjalan tempang; selepas tu dia perlukan tongkat, kemudian alat bantu jalan, dan akhirnya kerusi roda. Kemudian, keadaannya bertambah teruk sehingga dia meninggal. Dia menghidap kanser tulang dan perlukan jagaan rapi siang dan malam. Kami mandikan, menyuap, dan membaca kepadanya. Saya menderita terutamanya secara emosi. Apabila saya sedar bahawa mak akan meninggal, saya menangis sebab saya amat menyayanginya.”

      16, 17. Apakah nasihat yang dapat membantu seseorang bersikap seimbang semasa menjaga ibu bapa yang uzur?

      16 Jika anda berada dalam keadaan sebegini, apakah yang dapat anda lakukan? Dengarlah kata-kata Yehuwa dengan membaca Bible dan bercakaplah dengan-Nya melalui doa. (Filipi 4:6, 7) Jagalah kesihatan emosi dan fizikal dengan memakan makanan yang seimbang dan mendapatkan tidur yang cukup. Dengan itu, anda dapat menjaga ibu bapa dengan lebih baik. Mungkin anda boleh berehat daripada rutin harian. Biarpun anda tidak dapat mengambil cuti, jadualkan masa untuk bersantai. Anda boleh mengaturkan supaya orang lain menjaga ibu bapa yang uzur buat sementara.

      17 Sering kali, orang dewasa yang menjaga ibu bapa tua tidak bersikap munasabah terhadap diri sendiri. Anda mungkin tidak dapat melakukan sesetengah perkara, tetapi janganlah rasa bersalah. Adakala anda mungkin perlu menempatkan orang yang dikasihi di rumah penjagaan. Jadi, pastikan anda bersikap munasabah. Anda mesti seimbang semasa memenuhi keperluan ibu bapa, anak-anak, pasangan hidup, dan diri sendiri.

      KEKUATAN DARIPADA TUHAN

      18, 19. Apakah bantuan yang dijanjikan Yehuwa? Apakah pengalaman yang membuktikan bahawa Yehuwa menepati janji-Nya?

      18 Menerusi Bible, Yehuwa memberikan bimbingan yang boleh membantu kita menjaga ibu bapa tua. Tetapi bukan itu sahaja. ‘Yehuwa dekat dengan orang yang berseru kepada-Nya,’ tulis pemazmur. “Dia mendengar seruan mereka dan menyelamatkan mereka.” Yehuwa akan menyelamatkan, atau memelihara, umat-Nya yang setia meskipun mereka terpaksa mengharungi keadaan yang sangat susah.​—Mazmur 145:18, 19.

      19 Myrna dari Filipina, merasai kebenaran kata-kata ini semasa dia menjaga ibunya yang lumpuh kerana diserang strok. “Tiada apa-apa yang lebih memedihkan hati daripada melihat orang tersayang menderita dan tidak berupaya memberitahu anda perasaannya,” tulis Myrna. “Saya seolah-olah melihat ibu lemas sedikit demi sedikit, tapi saya tak mampu buat apa-apa. Banyak kali saya melutut dan memberitahu Yehuwa betapa letihnya saya. Seperti Daud, saya merayu Yehuwa untuk melihat penderitaan saya dan mengingati saya. [Mazmur 56:9] Seperti yang dijanjikan, Yehuwa memberi saya kekuatan dan sokongan yang saya perlukan.”​—Mazmur 18:19.

      20. Apakah janji-janji Bible yang dapat membantu kita berpandangan positif biarpun ibu bapa yang kita jaga meninggal?

      20 Ada yang berkata bahawa menjaga ibu bapa tua bagaikan “kisah dengan kesudahan yang sedih.” Meskipun kita berusaha sekuat tenaga untuk menjaga ibu bapa, mereka mungkin meninggal akhirnya, seperti ibu Myrna. Tetapi mereka yang yakin pada Yehuwa tahu bahawa kematian bukan akhir segala-galanya. Rasul Paulus berkata, ‘Saya berharap kepada Tuhan bahawa semua orang akan dibangkitkan daripada kematian​—orang baik, mahupun orang jahat!’ (Kisah 24:15) Mereka yang kehilangan ibu bapa tua boleh mendapatkan kelegaan hati daripada harapan pembangkitan serta janji Tuhan tentang dunia baru di mana “kematian akan tiada lagi.”​—Wahyu 21:4.

      21. Apakah hasil baik yang dituai oleh mereka yang menghormati ibu bapa yang tua?

      21 Hamba-hamba Tuhan sangat menghormati ibu bapa meskipun ibu bapa sudah tua. (Amsal 23:22-24) Mereka merasakan kebenaran kata-kata Bible, ‘Ibu bapamu [akan] bangga terhadapmu. Ibu yang melahirkan kamu [akan] bersukacita.’ (Amsal 23:25) Yang terpenting, mereka yang menghormati ibu bapa tua juga menghormati dan menyenangkan hati Tuhan Yehuwa.

      a Kami tidak membincangkan situasi yang mana ibu bapa menyalahgunakan kuasa dan kepercayaan sehingga boleh disabitkan sebagai penjenayah.

      BAGAIMANAKAH PRINSIP BIBLE INI MEMBANTU KITA MENGHORMATI IBU BAPA YANG TUA?

      Kita harus membalas budi ibu bapa dan datuk nenek.​—1 Timotius 5:4.

      ‘Lakukanlah semua kerja dengan kasih.’​—1 Korintus 16:14.

      Jangan terburu-buru semasa membuat keputusan penting.​—Amsal 14:15.

      Hormatilah ibu bapa tua meskipun mereka sakit dan lemah.​—Imamat 19:32.

      Di dunia baru, usia tua dan kematian akan lenyap.​—Wahyu 21:4.

  • Nikmati Kehidupan Kekal sebagai Sebuah Keluarga
    Rahsia Kebahagiaan Keluarga
    • BAB ENAM BELAS

      Nikmati Kehidupan Kekal sebagai Sebuah Keluarga

      1. Apakah kehendak Yehuwa bagi keluarga?

      SEMASA Yehuwa menyatukan Adam dan Hawa dalam perkahwinan, Adam mengungkapkan kegembiraannya dengan melafazkan puisi pertama dalam catatan sejarah manusia. (Kejadian 2:22, 23) Tetapi Pencipta kita bukan sekadar menginginkan anak-anaknya di bumi mengecap sukacita. Dia mahu suami isteri dan keluarga melakukan kehendak-Nya. Dia memberitahu pasangan pertama, “Hendaklah kamu mempunyai anak cucu yang banyak, supaya keturunan kamu menduduki seluruh muka bumi dan menguasainya. Hendaklah kamu menguasai semua ikan, burung, dan binatang liar.” (Kejadian 1:28) Sememangnya, mereka diberi tugas yang istimewa dan memuaskan! Alangkah bahagianya Adam dan Hawa serta keturunan mereka seandainya mereka melakukan kehendak Yehuwa dengan sepenuh hati!

      2, 3. Bagaimanakah keluarga boleh menikmati kebahagiaan terbesar hari ini?

      2 Hari ini, keluarga juga menikmati kebahagiaan terbesar apabila mereka melakukan kehendak Tuhan Yehuwa secara bersatu padu. Rasul Paulus telah menulis, “Latihan rohani sangat berfaedah dalam segala hal, kerana latihan rohani memberikan faedah kepada hidup kita baik sekarang mahupun pada masa yang akan datang.” (1 Timotius 4:8) Keluarga yang mengutamakan kerohanian dan mengikut bimbingan Yehuwa dalam Bible menikmati kebahagiaan ‘hidup sekarang.’ (Mazmur 1:1-3; 119:105; 2 Timotius 3:16) Biarpun hanya seorang anggota menerapkan prinsip Bible, keadaannya lebih baik berbanding dengan keluarga yang mana tiada seorang pun mengikut Bible.

      3 Buku ini telah membahaskan banyak prinsip Bible yang menyumbang kepada kebahagiaan keluarga. Anda tentu perhatikan bahawa sesetengah prinsip disebut secara berulang kali. Mengapa? Prinsip-prinsip ini mengandungi kebenaran yang boleh membantu semua orang dalam pelbagai aspek kehidupan keluarga. Keluarga yang berusaha menerapkan prinsip Bible mendapati bahawa kehidupan yang berkisarkan hal-hal rohani memang ‘memberikan faedah kepada kita sekarang.’ Marilah kita tinjau kembali empat prinsip yang penting.

      KAWALAN DIRI SANGAT PENTING

      4. Mengapakah kawalan diri amat penting dalam perkahwinan?

      4 Raja Salomo berkata, “Seorang yang tidak dapat mengawal diri bagaikan kota yang tidak berkubu dan mudah diserang musuh.” (Amsal 25:​28, ABB; 29:11) Ya, kawalan diri amat penting bagi mereka yang menginginkan perkahwinan yang bahagia. Seseorang yang membiarkan dirinya dikawal oleh emosi negatif, seperti kemarahan atau nafsu seks yang haram, akan meruntuhkan rumah tangganya. Kerosakan ini mungkin tidak dapat dibaiki atau memakan masa selama bertahun-tahun untuk membaikinya.

      5. Bagaimanakah manusia yang tidak sempurna dapat memupuk kawalan diri? Apakah manfaatnya?

      5 Sudah tentu, semua keturunan Adam tidak sempurna dan tidak dapat mengawal diri dengan sepenuhnya. (Roma 7:21, 22) Namun, kawalan diri ialah salah satu aspek buah daya aktif Tuhan. (Galatia 5:22, 23) Daya aktif Tuhan akan membantu kita memperlihatkan kawalan diri jika kita berdoa memohon sifat ini, menerapkan nasihat Bible, dan hanya bergaul dengan mereka yang memperlihatkannya. (Mazmur 119:100, 101, 130; Amsal 13:20; 1 Petrus 4:7) Dengan ini, kita dapat ‘menjauhkan diri daripada perbuatan cabul’ meskipun digoda. (1 Korintus 6:18) Kita akan menolak keganasan, dan menghindari atau mengatasi ketagihan alkohol. Kita dapat bertenang semasa menghadapi situasi yang susah atau jika hati kita disakiti. Semoga kita semua, termasuk anak-anak, memupuk sifat yang penting ini.​—Mazmur 119:1, 2.

      MENGHORMATI PRINSIP KEKEPALAAN

      6. (a) Apakah aturan yang ditetapkan oleh Tuhan di 1 Korintus 11:3? (b) Apakah yang mesti diingati suami jika dia mahu keluarganya menikmati kebahagiaan?

      6 Semua ahli keluarga mesti menghormati aturan yang ditetapkan oleh Tuhan di 1 Korintus 11:3 (ABB). Paulus berkata, ‘Aku mahu kamu memahami hal ini: Kristus ialah kepala setiap orang lelaki; suami ialah kepala isteri dan Tuhan ialah kepala Kristus.’ Ertinya, suami ialah kepala keluarga, isteri menyokong suami dengan setia, dan anak-anak mematuhi ibu bapa mereka. (Efesus 5:​22-25, 28-33; 6:1-4) Perhatikan bahawa keluarga akan menikmati kebahagiaan hanya jika suami memimpin mereka dengan cara yang betul. Suami yang takut akan Tuhan merupakan kepala yang pengasih dan tidak zalim. Dia meniru Kepalanya, Yesus. Meskipun Yesus ialah “penguasa [atau, kepala] segala sesuatu,” dia “tidak datang untuk dilayani” tetapi “untuk melayani.” (Efesus 1:22; Matius 20:28) Dalam cara yang sama, seorang lelaki Kristian memimpin isteri dan anak-anak demi manfaat mereka, bukannya untuk kepentingan diri sendiri.​—1 Korintus 13:4, 5.

      7. Apakah prinsip-prinsip Bible yang membantu isteri Kristian memainkan peranan dalam keluarga?

      7 Isteri yang takut akan Tuhan tidak bersaing dengan suami atau mencuba mengawalnya. Dia berasa senang hati untuk menyokong dan bekerjasama dengan suami. Bible berkata dengan jelas bahawa “suami ialah ketua kepada isteri.” (Efesus 5:23) Seorang wanita yang sudah berkahwin “terikat oleh hukum kepada suaminya.” (Roma 7:2) Pada masa yang sama, Bible memanggilnya ‘teman yang sesuai untuk menolong suami.’ (Kejadian 2:20) Dia mempunyai sifat dan kebolehan yang tidak dimiliki oleh suami, dan memberi suami sokongan yang diperlukan. (Amsal 31:10-31) Bible juga berkata bahawa isteri ialah “teman hidup”; dia berganding bahu dengan suami. (Maleakhi 2:14) Prinsip-prinsip Bible ini membantu suami isteri saling menghormati, menjaga harga diri, dan memahami peranan pasangan mereka.

      “SETIAP ORANG HARUSLAH CEPAT MENDENGAR”

      8, 9. Jelaskan beberapa prinsip yang akan membantu seisi keluarga memperbaik kemahiran berkomunikasi.

      8 Buku ini banyak menekankan bahawa seisi keluarga perlu berkomunikasi. Mengapa? Kerana masalah lebih mudah diselesaikan jika ahli keluarga saling berbincang dan mendengar dengan teliti. Ingatlah, komunikasi ibarat jalan dua hala. Maka, penulis Bible yang bernama Yakobus menyatakan, “Setiap orang haruslah cepat mendengar, tetapi lambat berkata-kata, dan lambat naik marah.”​—Yakobus 1:19.

      9 Kita juga mesti berhati-hati tentang cara kita bercakap. Komunikasi yang baik tidak berisi kata-kata pedas yang diucapkan secara terburu-buru atau yang menyebabkan pertengkaran. (Amsal 15:1; 21:9; 29:11, 20) Apa yang kita katakan mungkin benar, tetapi jika kita mengucapkannya dengan cara yang kejam, angkuh, atau tidak bertimbang rasa, kita akan menusuk hati orang lain. Percakapan kita patut “menyeronokkan dan menarik.” (Kolose 4:6) Kata-kata kita haruslah seperti “buah emas di dalam pinggan perak.” (Amsal 25:11) Keluarga yang belajar untuk berkomunikasi dengan baik sedang mengorak langkah besar yang menuju kebahagiaan.

      KASIH SANGAT PENTING

      10. Apakah jenis kasih yang terpenting dalam perkahwinan?

      10 Perkataan “kasih” muncul berulang kali dalam buku ini. Ingatkah anda tentang jenis kasih yang terpenting? Memang, perasaan cinta (Yunani, eʹros) memainkan peranan yang penting dalam perkahwinan. Dan dalam perkahwinan yang bahagia, kasih sayang dan persahabatan (Yunani, phi·liʹa) bertambah erat antara suami isteri. Tetapi kasih a·gaʹpe jauh lebih penting. Kita patut memperlihatkan kasih ini terhadap Yehuwa, Yesus, dan orang lain. (Matius 22:37-39) Kasih inilah yang ditunjukkan oleh Yehuwa terhadap umat manusia. (Yohanes 3:16) Betapa syukurnya kita kerana dapat menunjukkan kasih ini kepada teman hidup dan anak-anak!​—1 Yohanes 4:19.

      11. Bagaimanakah kasih membahagiakan perkahwinan?

      11 Dalam perkahwinan, kasih yang unggul ini ‘menyatupadukan kita dengan sempurna.’ (Kolose 3:14) Kasih ini mengukuhkan ikatan perkahwinan dan mendorong suami isteri untuk mengutamakan kepentingan teman hidup serta anak-anak. Kasih membantu keluarga menangani cabaran bersama-sama. Seraya usia suami isteri meningkat tua, kasih membantu mereka menyokong dan terus menghargai satu sama lain. Kasih ‘tidak mementingkan diri sendiri, tahan menghadapi segala sesuatu, mempercayai orang lain, tidak hilang harapan, dan sentiasa bersabar.’ Kasih itu abadi.​—1 Korintus 13:4-8.

      12. Bagaimanakah suami isteri yang mengasihi Tuhan mempererat ikatan perkahwinan mereka?

      12 Keutuhan ikatan perkahwinan tidak hanya bergantung pada kasih suami isteri terhadap satu sama lain tetapi banyak bergantung pada kasih mereka terhadap Yehuwa. (Pengkhutbah 4:9-12) Mengapa? Rasul Yohanes menulis, ‘Apabila kita mentaati perintah Tuhan, maka kita mengasihi Tuhan.’ (1 Yohanes 5:3) Jadi, suami isteri patut melatih anak-anak secara rohani bukan sekadar kerana mereka mengasihi anak-anak, tetapi kerana mereka mahu menurut perintah Yehuwa. (Ulangan 6:6, 7) Mereka harus menolak perbuatan tidak bermoral bukan hanya kerana mereka saling mengasihi tetapi terutamanya kerana mereka mengasihi Yehuwa, yang akan “menghakimi orang yang melakukan perbuatan cabul dan orang yang berzina.” (Ibrani 13:4) Biarpun salah seorang daripada mereka menyebabkan masalah besar dalam perkahwinan, kasih kepada Yehuwa akan mendorong pasangannya untuk terus mengikut prinsip Bible. Sememangnya, keluarga yang mengasihi Yehuwa dapat mengeratkan lagi kasih mereka terhadap satu sama lain dan hidup bahagia!

      KELUARGA YANG MELAKUKAN KEHENDAK TUHAN

      13. Bagaimanakah seseorang yang melakukan kehendak Tuhan dapat bertumpu pada perkara yang benar-benar penting?

      13 Bagaimanakah seorang Kristian dapat menjalankan “latihan rohani”? Dia harus mendahulukan kehendak Tuhan dalam hidupnya. (Mazmur 143:10) Keluarga yang melakukan kehendak Tuhan dapat bertumpu pada perkara yang benar-benar penting. (Filipi 1:9, 10) Contohnya, Yesus berkata, “Aku datang untuk menyebabkan anak lelaki melawan bapa mereka, anak perempuan melawan ibu mereka, dan menantu perempuan melawan ibu mentua mereka. Demikianlah, musuh terbesar seseorang ialah anggota keluarganya sendiri.” (Matius 10:35, 36, ABB) Seperti yang dikatakan Yesus, ramai pengikutnya dianiaya oleh ahli keluarga sendiri. Keadaan mereka sungguh menyedihkan! Namun, kasih akan Tuhan Yehuwa dan Yesus Kristus jauh lebih penting daripada pertalian keluarga. (Matius 10:37-39) Jika kita tabah menghadapi tentangan keluarga, mereka mungkin berubah apabila melihat betapa baiknya kehidupan yang berpusatkan hal-hal rohani. (1 Korintus 7:12-16; 1 Petrus 3:1, 2) Biarpun mereka tidak berubah, kita tidak akan menuai hasil yang baik jika kita meninggalkan Tuhan.

      14. Bagaimanakah ibu bapa yang melakukan kehendak Tuhan membawa manfaat kepada anak-anak?

      14 Ibu bapa yang melakukan kehendak Tuhan dapat membuat keputusan yang betul. Misalnya dalam sesetengah masyarakat, ibu bapa menganggap anak-anak sebagai suatu pelaburan, dan berharap agar anak menjaga mereka pada usia tua. Memang, anak dewasa wajib menjaga ibu bapa yang tua, tetapi ibu bapa tidak harus menggalakkan mereka untuk memupuk sikap cinta akan wang. Ibu bapa yang membesarkan anak-anak untuk mementingkan wang dan harta benda, dan bukannya hal-hal rohani, hanya merugikan anak sendiri.​—1 Timotius 6:9.

      15. Bagaimanakah Eunike menyediakan teladan yang baik bagi ibu bapa?

      15 Eunike, iaitu ibu Timotius, menyediakan teladan yang baik bagi ibu bapa. (2 Timotius 1:5) Meskipun suaminya tidak seiman, Eunike, bersama nenek Timotius, Lois, berjaya melatih Timotius supaya mengejar hal-hal rohani dalam kehidupan. (2 Timotius 3:14, 15) Apabila Timotius cukup dewasa, Eunike mengizinkannya untuk meninggalkan rumah dan menginjil bersama Paulus. (Kisah 16:1-5) Betapa terujanya Eunike apabila anaknya menjadi seorang penginjil yang terpuji! Kematangan rohani Timotius membuktikan bahawa dia dilatih dengan baik semasa kecil. Sudah tentu, Eunike merindukan Timotius yang tidak lagi berada di sisinya. Namun, dia berpuas hati dan bersukacita semasa mendengar laporan tentang anaknya yang berkhidmat dengan setia.​—Filipi 2:19, 20.

      KELUARGA DAN MASA DEPAN ANDA

      16. Bagaimanakah Yesus menunjukkan keprihatinan sebagai seorang anak? Namun, apakah matlamatnya yang utama?

      16 Yesus dibesarkan dalam keluarga yang takut akan Tuhan. Sebagai anak dewasa, dia prihatin terhadap ibunya. (Lukas 2:51, 52; Yohanes 19:26) Walau bagaimanapun, matlamat utama Yesus adalah untuk melaksanakan kehendak Tuhan; dia perlu membuka jalan agar umat manusia dapat menikmati kehidupan kekal. Dia berbuat demikian dengan mengorbankan nyawanya yang sempurna untuk menebus umat manusia yang berdosa.​—Markus 10:45; Yohanes 5:28, 29.

      17. Apakah berkat yang dibawa oleh korban tebusan Yesus kepada umat manusia?

      17 Selepas kematian Yesus, Yehuwa membangkitkannya ke syurga dan memberinya kekuasaan yang besar. Akhirnya Yesus ditabalkan sebagai Raja Kerajaan Tuhan di syurga. (Matius 28:18; Roma 14:9; Wahyu 11:15) Korban tebusan Yesus membolehkan sebilangan manusia memerintah bersamanya dalam Kerajaan Tuhan. Korbannya juga membuka jalan bagi orang yang berhati jujur untuk menikmati kehidupan sempurna di bumi firdaus. (Wahyu 5:9, 10; 14:1, 4; 21:3-5; 22:1-4) Hari ini, kita mempunyai peluang istimewa untuk mengkhabarkan berita baik ini di seluruh dunia.​—Matius 24:14.

      18. Apakah peringatan dan galakan yang diberikan kepada keluarga dan semua orang?

      18 Seperti yang dikatakan rasul Paulus, kehidupan yang berpusatkan hal-hal rohani pasti membawa berkat “pada masa yang akan datang.” Tidakkah anda bersetuju bahawa inilah cara terbaik untuk mengecap kebahagiaan? Ingatlah, ‘dunia dan segala sesuatu di dunia yang diingini oleh manusia tidak kekal. Tetapi orang yang melakukan kehendak Tuhan, akan hidup selama-lamanya.’ (1 Yohanes 2:17, ABB) Jadi, tidak kira sama ada anda seorang anak, ibu atau bapa, suami atau isteri, orang dewasa bujang yang mempunyai anak atau tidak, berusahalah dengan gigih untuk melakukan kehendak Tuhan. Biarpun anda menghadapi tekanan atau cabaran yang besar, jangan sekali-kali lupa bahawa anda ialah hamba Tuhan yang benar. Semoga tindakan anda menggembirakan hati Yehuwa. (Amsal 27:11) Dan semoga kelakuan anda membawa kebahagiaan sekarang dan kehidupan kekal di dunia baru yang akan datang!

      BAGAIMANAKAH PRINSIP BIBLE INI MEMBANTU KELUARGA ANDA HIDUP BAHAGIA?

      Kawalan diri boleh dipupuk.​—Galatia 5:22, 23.

      Suami isteri yang menghormati prinsip kekepalaan mengutamakan kepentingan keluarga.​—Efesus 5:22-25, 28-33; 6:4.

      Dengarlah semasa berkomunikasi.​—Yakobus 1:19.

      Kasih akan Yehuwa mempererat ikatan perkahwinan.​—1 Yohanes 5:3.

      Keluarga mesti mendahulukan kehendak Tuhan dalam hidup mereka.​—Mazmur 143:10; 1 Timotius 4:8.

      HIDUP MEMBUJANG​—SUATU KURNIAAN

      Ada orang tidak berkahwin. Ada pula yang berkahwin tetapi memilih untuk tidak mempunyai anak. Yesus sendiri membujang, dan dia berkata bahawa kehidupan membujang adalah kurniaan jika dilakukan demi Kerajaan Tuhan. (Matius 19:11, 12) Rasul Paulus juga tidak berkahwin. Dia berkata bahawa hidup membujang dan berkahwin adalah ‘kurniaan.’ (1 Korintus 7:7, 8, 25-28) Jadi, meskipun buku ini banyak berbincang tentang perkahwinan dan cara membesarkan anak, kita harus ingat bahawa orang bujang dan orang yang berkahwin tanpa anak juga mempunyai banyak berkat.

Bahan Bacaan Bahasa Melayu (2004-2023)
Log Keluar
Log Masuk
  • Melayu
  • Kongsi
  • Pilihan
  • Copyright © 2025 Watch Tower Bible and Tract Society of Pennsylvania
  • Syarat Penggunaan
  • Polisi Privasi
  • Tetapan Privasi
  • JW.ORG
  • Log Masuk
Kongsi