Semua Boleh Mengambil Bahagian dalam Kerja Menjadikan Orang Murid Yesus
1 Seseorang dapat menjadi murid Yesus bukan kerana hasil daripada usaha satu orang sahaja. Yehuwa boleh menggunakan semua ‘rakan sekerja-Nya’ untuk membantu pelajar-pelajar Bible “tumbuh” secara rohani. (1 Kor. 3:6-9) Kita masing-masing dapat membantu orang baru bukan sahaja melalui komen yang ikhlas semasa perjumpaan Kristian tetapi juga melalui kelakuan baik yang memberi bukti yang nyata akan pengaruh daya aktif Tuhan ke atas hidup kita. (Yoh. 13:35; Gal. 5:22, 23; Ef. 4:22, 23) Apa lagi yang boleh dilakukan untuk membantu orang baru?
2 Sebagai Sebuah Sidang: Kita dapat memperlihatkan minat terhadap mereka yang telah bermula menghadiri perjumpaan dengan mengambil inisiatif untuk mengalu-alukan kedatangan mereka dan untuk berbual dengan mereka sebelum dan selepas perjumpaan. Semasa mengimbas kembali kali pertama dia bertemu dengan anggota sidang, seorang lelaki berkata, “Dalam satu hari sahaja, saya telah bertemu dengan banyak orang yang benar-benar pengasih, walaupun semuanya orang yang tidak saya kenali. Ini jauh berbeza daripada pengalaman saya di gereja di mana saya dibesarkan. Maka, jelaslah bahawa saya telah menemui kebenaran.” Dia telah dibaptiskan tujuh bulan selepas menghadiri perjumpaan pertamanya.
3 Pujilah pelajar Bible atas kemajuan rohaninya dengan ikhlas. Adakah dia sedang menghadapi tentangan selama ini? Adakah dia sedang menghadiri perjumpaan dengan tetap? Adakah dia mengerahkan keberanian untuk memberi komen? Sudahkah dia menyertai Sekolah Penyebaran Teokratik atau mulai mengambil bahagian dalam aktiviti penyebaran? Berikan pujian atas kemajuannya. Hal ini akan menyegarkan dan menggalakkannya.—Ams. 25:11.
4 Sebagai Seorang Pengajar Bible: Sesetengah penyiar telah membantu pelajar Bible mereka untuk berkenalan dengan anggota-anggota sidang dengan menjemput penyiar lain untuk menyertai pembelajaran Bible mereka. Dari awal lagi, jemputlah pelajar tersebut untuk menghadiri perjumpaan sidang. Apabila dia mulai menghadiri perjumpaan, pastikan anda memperkenalkannya kepada saudara saudari. Adakah dia sedang berjuang untuk mengatasi tabiat buruk seperti merokok? Adakah sesiapa dalam keluarganya yang membantahi pembelajaran Biblenya? Dia boleh mendapat manfaat daripada perbualannya dengan seorang penyiar yang pernah menghadapi dan mengatasi masalah yang serupa.—1 Ptr. 5:9.
5 Mereka yang baru memerlukan sokongan rohani daripada sidang. Semua dalam sidang boleh membantu mereka membuat kemajuan dengan memperlihatkan minat peribadi yang ikhlas.