Cara Memulakan Pembelajaran Bible dengan Mereka yang Telah Menerima Majalah Tempatan
1 Sepanjang bulan April dan Mei, kita akan menawarkan majalah tempatan dengan tujuan memulakan pembelajaran Bible dengan buku Bible Teach apabila kembali nanti. Cadangan-cadangan berikut mungkin dapat membantu anda berbuat demikian. Jangan lupa untuk menyesuaikan cadangan-cadangan ini dengan kawasan penyebaran anda dan gunakan kata-kata sendiri. Anda bebas menggunakan cara lain yang berkesan.
2 Gunakan Halaman-halaman Pengenalan: Apabila anda kembali, anda boleh berkata, “Majalah-majalah yang telah saya tinggalkan dengan anda menghalakan perhatian kepada Bible. Perhatikan sebabnya pembacaan Bible adalah begitu penting.” Baca Yesaya 48:17, 18; Yohanes 17:3; atau satu lagi ayat yang sesuai. Selepas memperkenalkan dan memberikan sebuah buku Bible Teach kepada penghuni rumah, anda boleh berkata,
◼ “Bible memberikan kita harapan yang benar untuk masa depan.” Tunjukkan penghuni muka surat 4-5 dan tanya, “Manakah antara janji-janji ini yang anda harap akan menjadi kenyataan?” Tujukan perhatian penghuni pada bab yang membincangkan janji Bible yang menarik perhatiannya. Jika penghuni mengizinkan, bincangkan satu atau dua perenggan secara ringkas.
◼ Anda juga boleh berkata, “Bible menjawab soalan-soalan kehidupan yang terpenting.” Halakan perhatian penghuni pada muka surat 6 dan tanya sama ada dia pernah memikirkan mana-mana soalan yang terdapat di bahagian bawah halaman tersebut. Tunjukkan bab yang mengandungi jawapan kepada soalannya dan bincangkan satu atau dua perenggan secara ringkas.
◼ Anda juga boleh menunjukkan beberapa tajuk yang terdapat pada senarai kandungan dan tanya penghuni tajuk mana yang menarik minatnya. Buka kepada bab berkenaan dan tunjukkan secara ringkas cara pembelajaran Bible diadakan.
3 Ajukan Satu Soalan pada Kunjungan Pertama: Kita boleh menyediakan asas untuk kunjungan kembali pada kali pertama kita bertemu dengan penghuni. Selepas penghuni menerima majalah tempatan, kemukakan satu soalan dan berjanjilah untuk menjawab soalan itu apabila anda kembali nanti. Buatlah temu janji untuk kembali dan pastikan anda menepati janji itu. (Mat. 5:37) Apabila anda membuat kunjungan kembali, ingatkan penghuni akan soalan yang telah diajukan. Baca dan bincangkan secara ringkas satu atau dua perenggan yang spesifik daripada buku Bible Teach yang akan menjawab soalan tersebut. Berikan dia sebuah buku supaya dia dapat mengikuti perbincangan. Perhatikan contoh-contoh berikut.
◼ Jika majalah tempatan yang telah anda berikan adalah berkaitan dengan keadaan dunia yang semakin buruk, anda boleh berkata, “Lain kali, kita boleh membincangkan jawapan Bible kepada soalan ini, Apakah perubahan yang akan dibawa oleh Tuhan ke atas bumi ini?” Gunakan halaman 4-5 apabila anda kembali. Atau anda juga boleh mengemukakan soalan ini, “Adakah tragedi berlaku kerana kehendak Tuhan?” Semasa anda berkunjung kembali, tunjukkan penghuni rumah perenggan 7-8 dalam bab 1.
◼ Jika majalah tempatan yang telah anda berikan adalah berkaitan dengan keluarga, anda boleh kemukakan soalan ini sebelum beredar, “Apakah yang boleh dilakukan oleh setiap ahli keluarga supaya kehidupan keluarga mereka lebih bahagia?” Apabila anda kembali, bincangkan perenggan 4 dalam bab 14.
◼ Jika majalah tempatan yang telah anda berikan adalah berkaitan dengan kebolehpercayaan Bible, anda boleh ajukan soalan ini untuk perbincangan yang berikutnya, “Adakah Bible tepat secara saintifik?” Semasa kunjungan kembali, bincangkan perenggan 8 dalam bab 2.
4 Selepas setiap perbincangan, ajukan satu lagi soalan yang akan dijawab pada kunjungan berikutnya. Setelah pembelajaran diadakan secara tetap, bincangkan kandungan buku secara sistematik dari permulaan hingga akhir. Bagaimana pula jika penghuni rumah enggan menerima buku Bible Teach? Anda masih boleh terus memberikannya majalah tempatan dan membincangkan ayat-ayat Bible dengannya. Jika anda terus memupuk minatnya, lambat-laun dia mungkin menerima pembelajaran Bible.
5 Yesus mengarahkan kita untuk “jadikanlah mereka pengikut . . . , ajarlah mereka.” (Mat. 28:19, 20) Oleh itu, tujuan kita meninggalkan majalah tempatan adalah untuk mengajarkan kebenaran kepada mereka yang tulus hati. Sepanjang bulan April dan Mei, berikhtiarlah untuk memulakan pembelajaran Bible selepas meninggalkan majalah tempatan.
[Soalan Pembelajaran]
1. Apakah matlamat kita sepanjang bulan April dan Mei?
2. Bagaimanakah kita boleh menggunakan halaman-halaman pengenalan dalam buku Bible Teach untuk memulakan pembelajaran Bible?
3. Bagaimanakah kita dapat memulakan pembelajaran Bible selepas memberikan majalah tempatan yang berkaitan dengan (a) keadaan dunia yang semakin buruk? (b) keluarga? (c) kebolehpercayaan Bible?
4. Apakah yang patut kita lakukan sekiranya penghuni rumah enggan menerima buku Bible Teach?
5. Mengapakah kita patut berikhtiar untuk melakukan lebih daripada sekadar meninggalkan majalah tempatan dengan orang lain?