-
Bagaimanakah Badan Pimpinan Berfungsi Dewasa Ini?Siapakah yang Sedang Melakukan Kehendak Yehuwa?
-
-
PELAJARAN 20
Bagaimanakah Badan Pimpinan Berfungsi Dewasa Ini?
Badan pimpinan pada abad pertama
Membaca surat daripada badan pimpinan
Pada abad pertama, badan pimpinan terdiri daripada sekumpulan kecil “para rasul dan penatua di Yerusalem.” Mereka mewakili sidang Kristian terurap dalam memutuskan hal-hal penting. (Kisah 15:2) Mereka selalu membuat keputusan setelah membincangkan ayat Bible dan menurut bimbingan kuasa suci Tuhan. (Kisah 15:25) Begitu juga dengan Badan Pimpinan pada hari ini.
Badan Pimpinan digunakan oleh Tuhan untuk melaksanakan kehendak-Nya. Badan Pimpinan terdiri daripada saudara terurap yang amat berminat terhadap Firman Tuhan dan berpengalaman dalam mengendalikan hal-hal praktikal dan rohani. Mereka berkumpul setiap minggu untuk membincangkan keperluan persaudaraan sedunia. Seperti pada abad pertama, mereka memberikan arahan berdasarkan Bible menerusi surat, penyelia lawatan, dan sebagainya. Hasilnya, umat Tuhan bersatu dalam fikiran dan tindakan mereka. (Kisah 16:4, 5) Badan Pimpinan mengawasi penyediaan makanan rohani, mendorong kita mengutamakan kerja penyebaran, dan menyelia pelantikan saudara yang memikul tanggungjawab.
Badan Pimpinan menurut bimbingan kuasa suci Tuhan. Badan Pimpinan mencari bimbingan Pemerintah Alam Semesta Yang Berdaulat, Yehuwa, dan Kepala sidang, Yesus. (1 Korintus 11:3; Efesus 5:23) Anggota Badan Pimpinan tidak mengetuai atau mengawal umat Tuhan. Seiring dengan semua orang Kristian terurap, mereka “terus mengikuti Anak Bebiri [Yesus] tidak kira ke mana sahaja dia pergi.” (Wahyu 14:4) Badan Pimpinan amat menghargai doa yang diucapkan bagi pihak mereka.
Siapakah yang menganggotai badan pimpinan pada abad pertama?
Bagaimanakah Badan Pimpinan dewasa ini mencari bimbingan Tuhan?
-
-
Apakah Itu Bethel?Siapakah yang Sedang Melakukan Kehendak Yehuwa?
-
-
PELAJARAN 21
Apakah Itu Bethel?
Bahagian Seni, A.S.
Jerman
Kenya
Colombia
Perkataan Bethel dalam bahasa Ibrani bererti “Rumah Tuhan.” (Kejadian 28:17, 19, nota kaki) Nama ini sesuai bagi bangunan yang digunakan oleh Saksi-Saksi Yehuwa di seluas dunia untuk mengatur dan menyokong kerja penyebaran. Dari ibu pejabat sedunia di negeri New York, A.S., Badan Pimpinan menyelia aktiviti pejabat cawangan di banyak negara. Sebagai satu kumpulan, mereka yang berkhidmat di Bethel dipanggil keluarga Bethel. Mereka tinggal, bekerja, makan, dan mempelajari Bible bersama-sama.—Mazmur 133:1.
Tempat istimewa di mana ahli keluarga Bethel menunjukkan sikap rela berkorban. Di setiap Bethel, terdapat lelaki dan wanita Kristian yang setia melakukan kehendak Tuhan serta menyokong kerja Kerajaan Tuhan dengan sepenuh masa. (Matius 6:33) Mereka tidak dibayar gaji, tetapi diberikan tempat tinggal dan makanan serta elaun untuk perbelanjaan peribadi. Setiap ahli Bethel diberikan tugasan tertentu, sama ada di pejabat, dobi, dapur, atau ruang makan. Ada yang berkhidmat di bahagian pencetakan atau penjilidan buku, pembersihan, penyelenggaraan, dan sebagainya.
Tempat sibuk yang menyokong kerja penyebaran. Matlamat utama Bethel adalah untuk menyebarkan kebenaran Bible kepada seramai orang yang mungkin. Contohnya, brosur ini ditulis di bawah pengawasan Badan Pimpinan lalu dihantar menerusi komputer kepada ratusan kumpulan penterjemah di serata dunia. Kemudian, brosur ini dicetak di beberapa Bethel yang mempunyai mesin cetak berkelajuan tinggi lalu dihantar ke lebih daripada 110,000 buah sidang. Setiap langkah proses ini disokong sepenuhnya oleh keluarga Bethel. Inilah caranya mereka menyokong kerja terpenting, iaitu kerja menyebarkan berita baik.—Markus 13:10.
Siapakah yang berkhidmat di Bethel? Apakah kemudahan yang disediakan bagi mereka?
Apakah kerja terpenting yang disokong oleh Bethel?
-
-
Apakah Kerja yang Dilakukan di Pejabat Cawangan?Siapakah yang Sedang Melakukan Kehendak Yehuwa?
-
-
PELAJARAN 22
Apakah Kerja yang Dilakukan di Pejabat Cawangan?
Kepulauan Solomon
Kanada
Afrika Selatan
Ahli keluarga Bethel berkhidmat di pelbagai bahagian bagi menyokong aktiviti penyebaran di satu atau beberapa negara. Mereka mungkin menterjemah, mencetak majalah, menjilid buku, mengendalikan stok bahan bacaan, menghasilkan bahan audio/video, atau menguruskan hal ehwal kawasan di bawah jagaan pejabat cawangan.
Jawatankuasa Cawangan menyelia aktiviti pejabat cawangan. Jawatankuasa Cawangan terdiri daripada tiga atau lebih orang penatua yang layak. Mereka ditugaskan oleh Badan Pimpinan untuk mengawasi aktiviti di pejabat cawangan mereka. Mereka memaklumkan Badan Pimpinan tentang kemajuan aktiviti di negara di bawah pengawasan mereka atau masalah yang mungkin timbul. Laporan mereka membantu Badan Pimpinan untuk menentukan topik-topik yang sesuai dibincangkan dalam bahan bacaan, perjumpaan, dan perhimpunan. Wakil-wakil Badan Pimpinan akan melawat pejabat cawangan dari masa ke masa dan membantu Jawatankuasa Cawangan melaksanakan tugas mereka. (Amsal 11:14) Wakil ibu pejabat itu akan menyampaikan ceramah dalam satu program khas yang diadakan untuk menggalakkan saudara saudari yang tinggal di kawasan pejabat cawangan.
Bantuan diberikan kepada sidang tempatan. Saudara yang bertanggungjawab di pejabat cawangan meluluskan pembentukan sidang baharu. Mereka mengaturkan aktiviti perintis, perintis seberang laut, dan penyelia litar yang berkhidmat di kawasan pejabat cawangan. Mereka juga mengaturkan perhimpunan dan konvensyen, menguruskan pembinaan Dewan Perjumpaan yang baharu, dan memastikan bahawa sidang tempatan menerima bahan bacaan yang diperlukan. Melalui kerja yang dilakukan di pejabat cawangan, kerja penyebaran dapat dijalankan dengan teratur.—1 Korintus 14:33, 40.
Bagaimanakah Jawatankuasa Cawangan membantu Badan Pimpinan?
Apakah kerja yang dilakukan di pejabat cawangan?
-