Rujukan untuk Lembaran Kerja Kehidupan dan Kegiatan Kristian
3-9 FEBRUARI
HARTA KARUN DALAM FIRMAN TUHAN | KEJADIAN 12-14
“Perjanjian yang Berkaitan dengan Anda”
(Kejadian 12:1, 2) Yehuwa berfirman kepada Abram, “Tinggalkanlah negerimu, sanak saudaramu, dan rumah bapamu, dan pergilah ke negeri yang akan Aku tunjukkan kepadamu. 2 Aku akan membuat keturunanmu menjadi bangsa yang besar dan Aku akan memberkati engkau. Aku akan membuat namamu termasyhur, dan engkau akan membawa berkat kepada orang lain.
it-2 478 per. 3
Perjanjian
Perjanjian dengan Abraham. Nampaknya perjanjian dengan Abraham berkuat kuasa apabila Abram (Abraham) menyeberangi Sungai Efrat dalam perjalanannya ke Kanaan. Perjanjian Hukum Musa dibuat 430 tahun kemudian. (Ga 3:17) Semasa Abraham tinggal di Mesopotamia, iaitu di Ur, kota orang Kasdim, Yehuwa telah berfirman kepadanya, “Pergilah ke negeri yang akan Aku tunjukkan kepadamu.” (Kis 7:2, 3; Kej 11:31; 12:1-3) Keluaran 12:40, 41 (LXX) menyatakan bahawa “pada hari terakhir” orang Israel tinggal di Mesir dan Kanaan selama 430 tahun, mereka akan dibebaskan daripada perhambaan di Mesir. Hal itu telah berlaku pada 14 Nisan 1513 SM, iaitu pada Hari Paska. (Kel 12:2, 6, 7) Maka kita boleh menyimpulkan bahawa Abraham merentasi Sungai Efrat pada 14 Nisan 1943 SM, dan perjanjian dengan Abraham berkuat kuasa pada hari itu. Semasa Abraham tiba di Sikhem di tanah Kanaan, Yehuwa sekali lagi menampakkan diri kepada Abraham dan berfirman, “Aku akan memberikan negeri ini kepada keturunanmu.” Kata-kata ini menunjukkan bahawa perjanjian dengan Abraham berkait rapat dengan janji Tuhan di Taman Eden, dan juga menunjukkan bahawa “keturunan” itu ialah seorang manusia. (Kej 12:4-7) Pada kemudian hari, Yehuwa telah menyingkapkan butiran-butiran lain mengenai hal ini di Kejadian 13:14-17; 15:18; 17:2-8, 19; 22:15-18.
(Kejadian 12:3) Aku akan memberkati orang yang memberkati engkau, dan mengutuk orang yang mengutuk engkau. Melalui engkau, semua bangsa di bumi pasti akan diberkati.”
w89 1/7 3 per. 4
Mengapa Anda Patut Mengetahui Kebenaran tentang Abraham
Abraham mendengar tentang janji yang menakjubkan ini sekurang-kurangnya dua kali lagi. (Kejadian 18:18; 22:18) Untuk menunaikan janji ini, Tuhan perlu membangkitkan orang daripada “semua bangsa” yang telah meninggal. Orang yang telah dibangkitkan itu akan meraih berkat kerana kebanyakan daripada mereka akan hidup di bumi Firdaus, dan mereka akan diajar tentang cara memperoleh berkat hidup kekal.—Kejadian 2:8, 9, 15-17; 3:17-23.
(Kejadian 13:14-17) Selepas Lot berpisah dengan Abram, Yehuwa berfirman kepada Abram, “Dari tempat engkau berada, pandanglah ke arah utara dan selatan, timur dan barat. 15 Seluruh tanah yang engkau lihat itu akan Aku berikan kepadamu dan keturunanmu. Tanah itu akan sentiasa menjadi milik kamu. 16 Aku juga akan memberi engkau keturunan yang sangat banyak. Sebagaimana orang tidak dapat menghitung debu di bumi, demikian juga keturunanmu tidak akan dapat dihitung. 17 Sekarang, jelajahilah seluruh tanah ini, kerana Aku akan memberikannya kepada engkau.”
it-1 977 per. 8
Hukum
Menurut bukti sejarah, sesetengah cendekiawan berpendapat bahawa apabila orang Israel menukar hak milik hartanah, penjual akan membawa pembeli ke satu tempat yang tinggi lalu menunjukkan tanah itu dan sempadannya kepada pembeli itu. Apabila pembeli itu berkata, “Aku sudah melihatnya,” hal itu bererti bahawa urusan jual beli itu sudah dipersetujui secara sah. Semasa Yehuwa berjanji untuk memberikan tanah Kanaan kepada Abraham, Abraham disuruh untuk melihat tanah itu. Pada waktu itu, Abraham tidak berkata, “Aku sudah melihatnya,” mungkin kerana Tuhan telah berfirman bahawa tanah itu akan diberikan kepada keturunan Abraham pada masa depan. (Kej 13:14, 15) Apabila Musa, selaku wakil bangsa Israel, disuruh untuk “melihat” tanah yang dijanjikan Tuhan, hal ini bererti bahawa tanah itu telah diberikan secara sah kepada orang Israel, dan mereka mendudukinya di bawah pimpinan Yosua. (Ul 3:27, 28; 34:4; lihat juga tawaran Syaitan kepada Yesus di Mt 4:8.) Satu lagi cara untuk mengesahkan pertukaran hak milik hartanah adalah dengan menjelajahi tanah itu atau memasukinya untuk tujuan menaklukinya. (Kej 13:17; 28:13) Dalam sesetengah dokumen kuno, jumlah pokok di sebidang tanah dicatatkan dalam setiap penjualan hartanah.—Bandingkan Kej 23:17, 18.
Mencari Permata Rohani
(Kejadian 14:18-20) Raja Melkisedek dari Salem, yang merupakan imam Tuhan Yang Maha Tinggi, juga datang sambil membawa roti dan wain. 19 Lalu dia memberkati Abram dan berkata, “Semoga Tuhan Yang Maha Tinggi, Pencipta langit dan bumi, memberkati Abram. 20 Terpujilah Tuhan Yang Maha Tinggi, yang telah menyerahkan musuhmu ke dalam tanganmu!” Kemudian Abram memberinya satu persepuluh daripada segala harta yang diperoleh kembali.
(Ibrani 7:4-10) Lihatlah betapa pentingnya kedudukan Melkisedek sehingga Abraham, bapa bangsa kita, telah memberi dia satu persepuluh daripada harta rampasan perang yang terbaik. 5 Menurut Hukum, keturunan Lewi yang dilantik sebagai imam diperintahkan untuk memungut persepuluhan daripada umat Israel, iaitu saudara-saudara mereka, walaupun saudara-saudara mereka itu juga keturunan Abraham. 6 Melkisedek bukan keturunan Lewi, tetapi dia menerima persepuluhan daripada Abraham, dan dia telah memberkati lelaki yang telah menerima janji-janji Tuhan itu. 7 Memang tidak dapat dinafikan bahawa orang yang berkedudukan rendah diberkati oleh orang yang berkedudukan tinggi. 8 Orang Lewi yang menerima persepuluhan merupakan manusia yang akan mati. Tetapi Ayat-Ayat Suci membuktikan bahawa Melkisedek yang telah menerima persepuluhan terus hidup. 9 Boleh dikatakan bahawa Lewi, iaitu dia yang menerima persepuluhan, juga telah membayar persepuluhan melalui Abraham. 10 Hal ini demikian kerana Lewi sudah berada dalam Abraham, nenek moyangnya, semasa Melkisedek berjumpa dengan Abraham.
it-1 1026
Imam
Raja Melkisedek dari Salem ialah seorang imam (ko·henʹ) yang luar biasa. Bible tidak mencatatkan apa-apa tentang salasilah keluarganya, kelahirannya, atau kematiannya. Dia menjadi imam bukan kerana dia berasal daripada keturunan imam. Selain itu, tiada orang lain yang mempunyai kedudukan sebagai raja dan imam sebelum Melkisedek lahir dan selepas dia mati. Jawatannya sebagai imam lebih tinggi daripada imam keturunan Lewi kerana Lewi seolah-olah telah membayar persepuluhan kepada Melkisedek melalui Abraham. Hal ini demikian kerana Lewi “berada dalam Abraham” apabila Abraham membayar persepuluhan kepada Melkisedek dan diberkati oleh Melkisedek. (Kej 14:18-20; Ibr 7:4-10) Dalam hal-hal ini, Melkisedek merupakan bayangan kepada Yesus Kristus, yang akan menjadi ‘seorang imam seperti Melkisedek untuk selama-lamanya.’—Ibr 7:17.
JADILAH PENGINJIL YANG LEBIH MAHIR
Wanita yang Beriman dan Isteri yang Sangat Berharga
Suami Sara ialah seorang lelaki yang mempunyai iman yang kuat. Tetapi Sara juga menyediakan teladan yang baik bagi kita. Sebenarnya, Bible pernah menyebut tentang Sara sebanyak tiga kali sebagai wanita yang patut dicontohi. (Yesaya 51:1, 2; Ibrani 11:11; 1 Petrus 3:3-6) Biarpun Bible tidak mengandungi banyak catatan tentang wanita yang menakjubkan ini, kita masih dapat mengenali sifat-sifatnya yang baik.
Contohnya, fikirkan reaksi Sara apabila Abraham memberitahunya tentang arahan Tuhan untuk meninggalkan Ur. Dia mungkin tertanya-tanya ke mana mereka harus pergi dan mengapa Tuhan memberikan arahan itu. Dia juga mungkin risau tentang keperluan fizikal keluarganya. Selain itu, dia mungkin berasa sedih kerana harus meninggalkan sahabat dan keluarganya yang tersayang, dan tidak mengetahui bila mereka akan bertemu lagi. Biarpun begitu, dia sudi mematuhi arahan Yehuwa kerana dia yakin bahawa Yehuwa akan memberkati kepatuhannya.—Kisah 7:2, 3.
Selain mematuhi Tuhan, Sara juga ialah seorang isteri yang baik. Dia tidak cuba merebut kuasa suaminya sebagai ketua keluarga. Sebaliknya dia menghormati suaminya dengan mendalam dan menyokong suaminya. Sifat-sifatnya yang baik ini menghiasi keperibadiannya dan menjadikannya seorang isteri yang sangat berharga.—1 Petrus 3:1-6.
Sifat-sifat Sara dapat membantu para isteri dewasa ini. Jill, seorang wanita yang menikmati perkahwinan yang bahagia selama lebih daripada 30 tahun berkata, “Teladan Sara mengajar saya bahawa saya boleh meluahkan pandangan saya kepada suami. Suami saya ialah ketua keluarga maka dia bertanggungjawab untuk membuat keputusan. Selepas dia membuat keputusan, saya harus menyokong keputusannya dengan sepenuh hati.”
Kita dapat pelajari sesuatu yang sangat penting daripada Sara: Walaupun dia sangat cantik, dia tidak membiarkan kecantikannya membuatnya menjadi angkuh. (Kejadian 12:10-13) Sebaliknya, dengan rendah hati, dia menyokong Abraham seraya mereka mengharungi pahit manis kehidupan. Sememangnya, Abraham dan Sara ialah pasangan suami isteri yang setia, rendah hati, dan saling mengasihi.
10-16 FEBRUARI
HARTA KARUN DALAM FIRMAN TUHAN | KEJADIAN 15-17
“Mengapakah Yehuwa Memberikan Nama Baharu kepada Abram dan Sarai?”
(Kejadian 17:1) Semasa Abram berumur 99 tahun, Yehuwa menampakkan diri kepada Abram lalu berfirman, “Aku ialah Tuhan Yang Maha Kuasa. Hendaklah engkau sentiasa hidup selaras dengan kehendak-Ku dan buktikan bahawa engkau tidak bercela.
it-2 1032-1033
Kesalahan, Mencari Kesalahan
Sebaliknya, manusia selalu membuat kesilapan kerana semua orang telah mewarisi dosa daripada Adam. (Rm 5:12; Mz 51:5) Walaupun Yehuwa tidak bercela, Dia berbelas kasihan terhadap kita kerana “Dia ingat bahawa kita ini debu.” (Mz 103:13, 14) Yehuwa memandang Nuh sebagai orang yang setia dan “hidup tanpa cela dalam kalangan orang yang sezaman dengannya.” (Kej 6:9) Dia menyuruh Abraham, “Hendaklah engkau sentiasa hidup selaras dengan kehendak-Ku dan buktikan bahawa engkau tidak bercela.” (Kej 17:1) Meskipun Nuh dan Abraham ialah manusia yang tidak sempurna, mereka “tidak bercela” di mata Yehuwa, Tuhan yang “melihat hati orang.” (1Sa 16:7; bandingkan 2Ra 20:3; 2Ta 16:9.) Dia menyuruh orang Israel, “Kamu mesti tidak bercacat cela di hadapan Yehuwa, Tuhan kamu.” (Ul 18:13; 2Sa 22:24) Tuhan telah menyediakan korban tebusan menerusi Anak-Nya yang sempurna dan tidak bersalah. (Ibr 7:26) Melalui korban ini, Tuhan dapat memperlihatkan keadilan-Nya dan mengampunkan kesalahan orang yang beriman dan patuh kepada-Nya.—Rm 3:25, 26.
(Kejadian 17:3-5) Abram bersujud lalu Tuhan berfirman kepadanya, 4 “Aku telah membuat perjanjian dengan engkau, dan engkau pasti akan menjadi bapa kepada banyak bangsa. 5 Namamu tidak lagi disebut Abram. Mulai sekarang, namamu ialah Abraham, kerana Aku akan menjadikan engkau bapa kepada banyak bangsa.
it-1 27 per. 2
Abraham
Abraham dan keluarganya sudah menetap di Kanaan lebih daripada 10 tahun, tetapi Sara masih belum dapat melahirkan anak. Maka Sara mencadangkan supaya Hagar, hambanya yang berbangsa Mesir, diberikan kepada Abraham sebagai isteri dan melahirkan anak baginya. Abraham pun setuju. Jadi pada tahun 1932 SM, iaitu semasa Abraham berumur 86 tahun, Ismael dilahirkan. (Kej 16:3, 15, 16) Selepas itu, pada tahun 1919 SM, iaitu semasa Abraham berumur 99 tahun, Yehuwa menyuruh Abraham dan semua lelaki dalam rumah tangganya disunat sebagai tanda perjanjian antara Dia dan Abraham. Pada masa yang sama, Yehuwa juga memberitahu Abraham bahawa namanya akan ditukar daripada Abram kepada Abraham, kerana dia akan menjadi “bapa kepada banyak bangsa.” (Kej 17:5, 9-27; Rm 4:11) Tidak lama kemudian, Abraham telah menyambut tiga malaikat yang datang kepadanya. Malaikat itu berjanji bahawa Sara akan mengandung dan melahirkan seorang anak lelaki dalam masa setahun.—Kej 18:1-15.
(Kejadian 17:15, 16) Kemudian Tuhan berfirman kepada Abraham, “Mulai sekarang, isterimu tidak lagi dipanggil Sarai, tetapi akan dipanggil Sara. 16 Aku akan memberkatinya dan memberimu seorang anak lelaki melaluinya. Aku akan memberkati Sara dan dia akan menjadi ibu kepada banyak bangsa dan raja.”
w09 1/2 13
Apa Ertinya Suatu Nama
Tuhan pernah memberi manusia nama baharu yang selaras dengan nubuat-Nya. Contohnya, Tuhan telah mengubah nama Abram yang bererti “Bapa yang Ditinggikan” kepada Abraham yang bererti “Bapa kepada Banyak Orang.” Selaras dengan maksud namanya, Abraham telah menjadi bapa kepada banyak bangsa. (Kejadian 17:5, 6) Selain itu, Tuhan juga telah mengubah nama isteri Abraham, iaitu Sarai yang bererti “Pertengkaran,” kepada Sara yang bererti “Puteri.” Sara pasti sangat gembira kerana hal ini bererti bahawa dia akan menjadi ibu kepada banyak raja.—Kejadian 17:15, 16.
Mencari Permata Rohani
(Kejadian 15:13, 14) Kemudian Tuhan berfirman kepada Abram, “Ketahuilah bahawa keturunanmu akan menjadi orang asing di negeri lain. Mereka akan menjadi hamba di sana dan akan ditindas selama 400 tahun. 14 Tetapi Aku akan menghukum bangsa yang memperhamba keturunanmu itu. Kemudian, keturunanmu akan meninggalkan negeri itu sambil membawa banyak harta benda.
it-1 1334
Kronologi
Yehuwa memberitahu Abram (Abraham), “Ketahuilah bahawa keturunanmu akan menjadi orang asing di negeri lain. Mereka akan menjadi hamba di sana dan akan ditindas selama 400 tahun.” (Kej 15:13; lihat juga Kis 7:6, 7.) Kata-kata ini diucapkan sebelum kelahiran ‘keturunan’ Abraham, iaitu Ishak. Pada tahun 1932 SM, Hagar telah melahirkan seorang anak lelaki yang bernama Ismael untuk Abraham, dan pada tahun 1918 SM, Ishak dilahirkan. (Kej 16:16; 21:5) Memandangkan penindasan yang dialami orang Israel selama 400 tahun berakhir apabila mereka dibebaskan dari Mesir, (Kej 15:14) kita dapat menyimpulkan bahawa penindasan itu bermula pada tahun 1913 SM, iaitu sewaktu Ishak berusia kira-kira lima tahun. Nampaknya pada masa itu, Ishak baru bercerai susu dan sedang hidup sebagai “orang asing di negeri lain.” Dia juga “ditindas” kerana Ismael yang berusia kira-kira 19 tahun ‘asyik mengejeknya.’ (Kej 21:8, 9) Dewasa ini, perbuatan Ismael mengejek Ishak mungkin dianggap sesuatu yang tidak serius. Tetapi pada zaman Abraham, perbuatan ini merupakan sesuatu yang serius kerana Sara telah meminta Abraham untuk mengusir Hagar dan Ismael, dan Tuhan bersetuju dengan permintaan Sara. (Kej 21:10-13) Memandangkan perbuatan ini juga dicatatkan dalam Bible, hal ini menandakan bahawa penindasan selama 400 tahun itu bermula semasa Ismael mengejek Ishak dan tamat sewaktu orang Israel keluar dari Mesir.—Ga 4:29.
(Kejadian 15:16) Generasimu yang keempat akan kembali ke sini, kerana masa untuk menghukum orang Amori masih belum tiba.”
it-1 647 per. 3
Keluar dari Mesir
“Generasimu yang keempat.” Ingatlah, Yehuwa pernah memberitahu Abraham bahawa generasinya yang keempat akan kembali ke Kanaan. (Kej 15:16) Dari waktu perjanjian dengan Abraham berkuat kuasa sehingga orang Israel meninggalkan Mesir, jangka masanya ialah 430 tahun. Namun catatan Bible menunjukkan bahawa terdapat lebih daripada empat generasi yang hidup sepanjang 430 tahun itu, dan orang Israel sebenarnya tinggal di Mesir hanya selama 215 tahun. Maka pengiraan empat generasi ini bermula selepas orang Israel mula tinggal di Mesir. Sebagai contoh, empat generasi daripada suku Lewi yang mula tinggal di Mesir ialah (1) Lewi, (2) Kehat, (3) Amram, dan (4) Musa.—Kel 6:16, 18, 20.
17-23 FEBRUARI
HARTA KARUN DALAM FIRMAN TUHAN | KEJADIAN 18-19
“‘Hakim bagi Seluruh Bumi’ Membinasakan Sodom dan Gomora”
(Kejadian 19:24, 25) Kemudian Yehuwa menurunkan hujan belerang dan api ke atas kota Sodom dan Gomora. Ya, hujan belerang dan api itu datang daripada Yehuwa, yang berada di syurga. 25 Dia membinasakan kedua-dua buah kota itu. Seluruh daerah itu dibinasakan termasuk semua penduduknya dan tumbuh-tumbuhan di situ.
w10 15/11 26 per. 12
Yehuwa, Tuhan Kita yang Berdaulat!
12 Kita yakin bahawa tidak lama lagi Yehuwa akan menegakkan kedaulatan-Nya, kerana Dia tidak akan membenarkan kejahatan berterusan, dan kita sedang hidup pada hari-hari terakhir. Yehuwa pernah menggunakan banjir untuk melenyapkan orang jahat pada zaman Nuh. Dia juga telah memusnahkan Sodom dan Gomora, dan membinasakan Firaun dan angkatan tenteranya. Sisera dan tenteranya, dan Sanherib dan tentera orang Assyria pun tewas dalam tangan Tuhan Yang Maha Tinggi. (Kej. 7:1, 23; 19:24, 25; Kel. 14:30, 31; Hak. 4:15, 16; 2 Raj. 19:35, 36) Maka kita dapat yakin bahawa Tuhan Yehuwa tidak akan terus bersabar dengan orang jahat yang menghina nama-Nya dan menganiaya Saksi-Saksi-Nya. Tambahan lagi, kita dapat melihat tanda kehadiran Yesus dan penghujung sistem dunia yang jahat ini.—Mat. 24:3.
Mencari Permata Rohani
(Kejadian 18:1) Pada suatu hari, Yehuwa menampakkan diri kepada Abraham dekat pokok-pokok besar di Mamre. Abraham sedang duduk di pintu khemahnya ketika hari panas terik.
(Kejadian 18:22) Kemudian dua orang lelaki itu pergi ke Sodom, tetapi Yehuwa tetap bersama Abraham.
w88 15/5 23 per. 4-5
Pernahkah Sesiapa Melihat Tuhan?
Sekarang barulah kita faham mengapa Abraham bercakap kepada malaikat itu seolah-olah dia sedang bercakap kepada Yehuwa. Memandangkan malaikat itu mewakili Tuhan dan menyampaikan Firman Tuhan kepada Abraham dengan tepat, Bible dapat menyatakan bahawa “Yehuwa menampakkan diri kepada Abraham.”—Kejadian 18:1.
Sebagaimana kita dapat bercakap kepada orang lain menerusi telefon atau radio, Tuhan dapat bercakap kepada manusia menerusi malaikat. Maka apabila Abraham, Musa, Manoah, dan orang lain bercakap kepada malaikat, mereka sebenarnya sedang bercakap kepada Tuhan. Meskipun mereka dapat melihat kemuliaan Yehuwa yang dicerminkan malaikat, mereka tidak dapat melihat Yehuwa sendiri. Hal ini selaras dengan apa yang dikatakan oleh Rasul Yohanes, “Tiada seorang pun yang pernah melihat Tuhan.” (Yohanes 1:18) Ya, mereka hanya dapat melihat malaikat yang mewakili Tuhan dan bukannya Tuhan.
24 FEBRUARI–1 MAC
HARTA KARUN DALAM FIRMAN TUHAN | KEJADIAN 20-21
Mencari Permata Rohani
(Kejadian 21:33) Kemudian Abraham menanam sebatang pokok di Beer-syeba, dan di sana, dia memuji nama Yehuwa, Tuhan yang abadi.
w89 1/7 20 per. 9
Abraham—Teladan bagi Orang yang Ingin Menjadi Sahabat Tuhan
9 Abram membuktikan imannya melalui perbuatan. Seperti yang dinyatakan dalam Bible, “dia membina sebuah mazbah di sana untuk Yehuwa.” (Kejadian 12:7) Dia juga mungkin telah mempersembahkan korban binatang kerana perkataan Ibrani bagi “mazbah” bererti “tempat mempersembahkan korban.” Kemudian, Abram juga berbuat demikian di tempat-tempat lain. Selain itu, dia “memuji nama Yehuwa.” (Kejadian 12:8; 13:18; 21:33) Ungkapan Ibrani “memuji nama” juga membawa maksud “menyeru (mengisytiharkan) nama.” Maka seluruh rumah tangga Abram dan penduduk Kanaan pasti telah mendengar Abram mengisytiharkan nama Tuhannya Yehuwa dengan berani. (Kejadian 14:22-24) Begitu juga, semua orang yang ingin menjadi sahabat Tuhan dewasa ini haruslah menyeru nama-Nya dan beriman kepada-Nya. Hal ini merangkumi menyertai kerja penyebaran dan “sentiasa mempersembahkan puji-pujian sebagai korban kepada Tuhan,” iaitu dengan “mengisytiharkan nama-Nya di hadapan umum.”—Ibrani 13:15; Roma 10:10.