-
Dibicarakan Sekali Lagi lalu Dibawa kepada PilatusYesus—Jalan, Kebenaran, dan Kehidupan
-
-
BAB 127
Dibicarakan Sekali Lagi lalu Dibawa kepada Pilatus
MATIUS 27:1-11 MARKUS 15:1 LUKAS 22:66–23:3 YOHANES 18:28-35
DIBICARAKAN OLEH MAJLIS ORANG YAHUDI SEKALI LAGI
YUDAS ISKARIOT MENGGANTUNG DIRI
YESUS DIBAWA KEPADA PILATUS UNTUK DIHUKUM
Malam hampir berlalu apabila Petrus menyangkal Yesus buat kali ketiga. Majlis Orang Yahudi bersurai setelah perbicaraan Yesus tamat. Tetapi pada awal pagi hari Jumaat, mereka berkumpul sekali lagi. Barangkali mereka ingin berpura-pura mengadakan satu lagi perbicaraan supaya perbicaraan sebelum ini kelihatan sah.
Mereka berkata kepada Yesus sekali lagi, “Jika kamu ialah Kristus, beritahulah kami.” Yesus menjawab, “Biarpun aku memberitahu kamu, kamu langsung tidak akan percaya. Lagipun, jika aku bertanya kepada kamu, kamu tidak akan menjawab.” Kemudian dengan berani, Yesus menunjukkan bahawa dialah “anak manusia” yang dinubuatkan di Daniel 7:13. Dia berkata, “Mulai sekarang, Anak Manusia akan duduk di sebelah kanan Tuhan yang berkuasa.”—Lukas 22:67-69; Matius 26:63.
Mereka berkata lagi, “Jadi, adakah kamu Anak Tuhan?” Yesus menjawab, “Kamu sendiri yang mengatakan bahawa aku ialah Anak Tuhan.” Nampaknya mereka menggunakan jawapan ini sebagai bukti bahawa Yesus telah menghina Tuhan. Mereka berkata, “Adakah kita memerlukan saksi lagi?” (Lukas 22:70, 71; Markus 14:64) Maka mereka mengikat Yesus dan membawanya kepada Pontius Pilatus, seorang gabenor Roma.
Yudas Iskariot mungkin nampak Yesus dibawa kepada Pilatus dan sedar bahawa Yesus akan dihukum mati. Maka dia berasa sedih, tetapi dia tidak bertaubat. Sebaliknya dia memulangkan 30 keping wang perak itu kepada para ketua imam dan berkata, “Aku sudah berdosa apabila aku mengkhianati orang yang tidak bersalah.” Tetapi mereka menjawab, “Hal itu tidak ada kena-mengena dengan kami. Itu urusan kamu!”—Matius 27:4.
Yudas membuang wang perak itu ke dalam Rumah Tuhan. Kemudian dia mengikatkan seutas tali pada dahan pokok dan mencuba menggantung diri, tetapi dahan itu patah. Dia jatuh terjunam dan isi perutnya terburai.—Kisah 1:17, 18.
Hari masih awal apabila Yesus dibawa ke istana Pontius Pilatus. Orang Yahudi yang membawanya ke situ enggan memasuki istana itu. Mereka takut dianggap najis dan tidak dibenarkan untuk menyambut Perayaan Roti Tidak Beragi, yang juga merupakan sebahagian daripada Perayaan Paska.
Pilatus keluar dan bertanya kepada mereka, “Apakah tuduhan kamu semua terhadap lelaki ini?” Mereka menjawab, “Jika lelaki ini bukan penjenayah, kami tidak akan menyerahkannya kepada tuan.” Pilatus mungkin berasa bahawa mereka memaksanya untuk menghukum Yesus, maka dia berkata, “Bawalah dia pergi dan hakimilah dia menurut hukum kamu.” Mereka memang berniat untuk membunuh Yesus, tetapi mereka berkata, “Kami tidak berhak membunuh sesiapa pun.”—Yohanes 18:29-31.
Jika mereka membunuh Yesus semasa Perayaan Paska, orang ramai akan marah. Tetapi jika mereka dapat mempengaruhi orang Roma untuk membunuh Yesus atas tuduhan politik, mereka tidak perlu bertanggungjawab atas kematiannya.
Mereka tidak memberitahu Pilatus bahawa mereka sudah menghukum Yesus atas kesalahan menghina Tuhan. Sekarang mereka membuat tuduhan palsu yang lain dengan berkata, “Kami mendapati bahawa lelaki ini [1] menyesatkan bangsa kami. [2] Dia melarang orang membayar cukai kepada Kaisar dan [3] mengatakan bahawa dia ialah Kristus, seorang raja.”—Lukas 23:2.
Pilatus risau setelah mendengar tentang tuduhan yang ketiga kerana menurut undang-undang Roma, seseorang yang mengaku bahawa dia ialah seorang raja sedang memberontak melawan Kaisar. Jadi Pilatus masuk ke dalam istana sekali lagi dan menanya Yesus, “Adakah kamu Raja orang Yahudi?” Yesus mungkin ingin tahu pandangan Pilatus terhadapnya, maka dia bertanya, “Adakah kamu berkata demikian berdasarkan pemikiran sendiri, atau adakah orang lain yang memberitahu kamu tentang aku?”—Yohanes 18:33, 34.
Pilatus langsung tidak mengetahui apa-apa tentang Yesus, tetapi dia ingin mengetahui apa yang sedang berlaku. Maka dia berkata, “Adakah aku orang Yahudi?” Dia menambah, “Bangsa kamu sendiri dan ketua-ketua imam yang menyerahkan kamu kepadaku. Apakah yang telah kamu lakukan?”—Yohanes 18:35.
Yesus tidak menafikan bahawa dia ialah seorang raja, dan jawapannya pasti mengejutkan Gabenor Pilatus.
-
-
Didapati Tidak Bersalah oleh Pilatus dan HerodesYesus—Jalan, Kebenaran, dan Kehidupan
-
-
BAB 128
Didapati Tidak Bersalah oleh Pilatus dan Herodes
MATIUS 27:12-14, 18, 19 MARKUS 15:2-5 LUKAS 23:4-16 YOHANES 18:36-38
YESUS DISOAL OLEH PILATUS DAN HERODES
Yesus memang seorang raja, tetapi Kerajaannya tidak akan mengancam kerajaan Roma. Dia memberitahu Pilatus, “Kerajaanku bukan sebahagian daripada dunia ini. Jika Kerajaanku sebahagian daripada dunia ini, pengikut-pengikutku tentu berjuang supaya aku tidak diserahkan kepada orang Yahudi. Tetapi, Kerajaanku bukanlah dari dunia ini.”—Yohanes 18:36.
Pilatus bertanya sekali lagi, “Jadi, adakah kamu seorang raja?” Pilatus telah membuat kesimpulan yang betul, maka Yesus menjawab, “Kamu sendiri yang mengatakan bahawa aku ialah seorang raja. Aku harus memberikan kesaksian tentang kebenaran, kerana untuk tujuan inilah aku dilahirkan dan datang ke dunia. Setiap orang yang berpihak pada kebenaran mendengarkan suaraku.”—Yohanes 18:37.
Yesus pernah memberitahu Tomas, “Akulah jalan dan kebenaran dan kehidupan.” Sekarang Pilatus juga tahu bahawa Yesus turun ke bumi untuk memberikan kesaksian tentang “kebenaran,” iaitu kebenaran tentang Kerajaannya. Yesus bahkan sanggup mengorbankan nyawanya untuk mempertahankan kebenaran itu. Pilatus bertanya, “Apakah itu kebenaran?” tetapi dia sebenarnya tidak ingin mendengar jawapan Yesus.—Yohanes 14:6; 18:38.
Pilatus keluar dari istananya. Nampaknya Yesus berada di sisinya apabila dia memberitahu para ketua imam dan orang ramai di situ, “Aku tidak dapat mencari kesalahan lelaki ini.” Mereka marah dan berkata, “Dia menimbulkan banyak masalah di serata Yudea dengan menyebarkan ajarannya dari Galilea sampai ke sini.”—Lukas 23:4, 5.
Pilatus terkejut dengan kedegilan mereka. Seraya mereka terus berteriak, Pilatus menanya Yesus, “Tidakkah kamu mendengar tuduhan-tuduhan yang dilemparkan oleh mereka terhadapmu?” (Matius 27:13) Tetapi Yesus berdiam diri, dan hal ini membuat Pilatus hairan.
Orang Yahudi mengatakan bahawa Yesus “menyebarkan ajarannya dari Galilea.” Apabila Pilatus mendapat tahu bahawa Yesus berasal dari Galilea, dia menggunakan hal ini untuk lari daripada tanggungjawabnya. Herodes Antipas (iaitu anak lelaki Herodes yang Agung) ialah pemerintah Galilea, dan dia berada di Yerusalem untuk Perayaan Paska. Maka Pilatus menghantar Yesus kepada Herodes. Herodes telah memancung kepala Yohanes Pembaptis sebelum ini. Apabila dia mendengar bahawa Yesus melakukan banyak mukjizat, dia berfikir bahawa mungkin Yesus ialah Yohanes yang telah dibangkitkan.—Lukas 9:7-9.
Herodes teringin berjumpa dengan Yesus. Hal ini bukan kerana dia ingin membantu Yesus atau mengetahui sama ada tuduhan yang dilemparkan terhadap Yesus benar atau tidak. Dia hanya ingin melihat Yesus melakukan mukjizat. (Lukas 23:8) Tetapi Yesus tidak memuaskan rasa ingin tahu Herodes. Apabila Herodes menyoalnya, dia tidak menjawab sepatah kata pun. Oleh itu, Herodes dan askar-askarnya “menghina Yesus.” (Lukas 23:11) Mereka mengolok-olokkan Yesus dengan mengenakan jubah yang cantik padanya. Kemudian Herodes menghantar dia kembali kepada Pilatus. Walaupun Herodes dan Pilatus dahulunya bermusuhan, sejak hari itu mereka berdua menjadi kawan baik.
Setelah itu, Pilatus mengumpulkan para ketua imam, para pemimpin orang Yahudi, dan orang ramai, lalu berkata, “Aku sudah menyoal dia di hadapan kamu, tetapi aku mendapati semua tuduhan yang kamu lontarkan itu tidak berasas. Sebenarnya, Herodes juga mendapati bahawa dia tidak bersalah lalu menghantarnya kembali kepada kami. Dia tidak melakukan apa-apa yang membuatnya patut dihukum mati. Jadi, aku akan mencambuk dia lalu membebaskannya.”—Lukas 23:14-16.
Pilatus ingin melepaskan Yesus. Dia tahu bahawa para imam membawa Yesus kepadanya kerana mereka cemburu terhadap Yesus. Lagipun, semasa dia duduk di tempat pengadilan, isterinya menghantar orang untuk memberitahunya, “Janganlah mencampuri urusan orang baik itu. Hari ini aku cukup menderita dalam mimpi [daripada Tuhan] kerana dia.”—Matius 27:19.
Jadi Pilatus tahu bahawa dia sepatutnya membebaskan Yesus. Bagaimanakah dia dapat berbuat demikian?
-