PERPUSTAKAAN DALAM TALIAN Watchtower
PERPUSTAKAAN DALAM TALIAN
Watchtower
Melayu
  • BIBLE
  • BAHAN BACAAN
  • PERJUMPAAN
  • mwbr21 Mei ms. 1-10
  • Rujukan untuk Lembaran Kerja Kehidupan dan Kegiatan Kristian

Tiada video untuk bahagian ini.

Maaf, terdapat masalah memainkan video.

  • Rujukan untuk Lembaran Kerja Kehidupan dan Kegiatan Kristian
  • Rujukan untuk Lembaran Kerja Kehidupan dan Kegiatan Kristian—2021
  • Tajuk Kecil
  • 3-9 MEI
  • Permata Rohani
  • 10-16 MEI
  • Permata Rohani
  • 17-23 MEI
  • Permata Rohani
  • 24-30 MEI
  • Permata Rohani
  • 31 MEI–6 JUN
  • BERSEDIA SEBELUM BENCANA!
  • 7-13 JUN
  • Permata Rohani
  • 14-20 JUN
  • 21-27 JUN
  • Permata Rohani
  • 28 JUN–4 JULAI
  • Permata Rohani
Rujukan untuk Lembaran Kerja Kehidupan dan Kegiatan Kristian—2021
mwbr21 Mei ms. 1-10

Rujukan untuk Lembaran Kerja Kehidupan dan Kegiatan Kristian

3-9 MEI

HARTA KARUN DALAM FIRMAN TUHAN | BILANGAN 27-29

Permata Rohani

it-2 504-505

Korban

Korban wain. Korban wain dipersembahkan bersama korban-korban lain, terutamanya setelah orang Israel menetap di Tanah yang Dijanjikan. (Bil 15:2, 5, 8-10) Korban ini dicurahkan di atas mazbah. (Bil 28:7, 14; bandingkan Kel 30:9; Bil 15:10.) Rasul Paulus menulis kepada orang Kristian di Filipi, “Biarpun aku menjadi seperti korban wain yang dicurahkan ke atas korban yang kamu berikan, iaitu khidmat suci kamu yang didorong oleh iman, aku berasa gembira.” Di ayat itu, dia menggunakan korban wain dalam erti kiasan untuk menggambarkan kerelaannya untuk berusaha keras demi rakan Kristiannya. (Flp 2:17) Tidak lama sebelum kematiannya, dia menulis kepada Timotius, “Aku sudah menjadi seperti korban wain yang dicurahkan, dan masa pembebasanku sudah sangat dekat.”—2Ti 4:6.

JADILAH PENGINJIL YANG LEBIH MAHIR

w07 1/4 17-18

Mempersembahkan Korban yang Diperkenankan Tuhan

Apabila bangsa Israel ditubuhkan, Yehuwa memberikan arahan terperinci tentang cara untuk menyembah-Nya. Hal ini termasuk korban dan pemberian yang harus dipersembahkan kepada-Nya. (Bilangan, bab 28 dan 29) Korban yang diterima oleh Yehuwa, merangkumi hasil tanaman dan binatang-binatang, seperti lembu, biri-biri, kambing, burung merpati, dan burung tekukur. (Imamat 1:3, 5, 10, 14; 23:10-18; Bilangan 15:1-7; 28:7) Orang Israel boleh memberikan korban bakar dan korban pendamaian. Seluruh korban bakar akan dipersembahkan kepada Yehuwa, manakala sebahagian korban pendamaian akan dimakan oleh orang yang mempersembahkannya.​—Keluaran 29:38-42; Imamat 19:5-8.

Semua korban dan pemberian ini ialah cara orang Israel menyembah Tuhan dan mengakui kedudukan-Nya sebagai Pemerintah Alam Semesta. Dengan mempersembahkan korban, orang Israel menunjukkan bahawa mereka bersyukur kepada Yehuwa kerana Dia memberkati dan melindungi mereka serta mengampunkan dosa mereka. Mereka akan diberkati selagi mereka mematuhi aturan Yehuwa untuk ibadat sejati.​—Amsal 3:9, 10.

Perkara terpenting bagi Yehuwa ialah sikap orang yang mempersembahkan korban. Melalui Nabi Hosea, Yehuwa berfirman, “Aku lebih ingin kamu menunjukkan kasih dan kesetiaan, bukannya mempersembahkan korban, dan Aku lebih suka kamu mengenal Aku daripada membakar korban untuk-Ku.” (Hosea 6:6) Maka apabila orang Israel meninggalkan ibadat sejati, mengamalkan perbuatan yang tidak bermoral, dan menumpahkan darah orang yang tidak bersalah, korban yang dipersembahkan oleh mereka di mazbah Yehuwa tidak diperkenankan-Nya. Itulah sebabnya Yehuwa berfirman kepada bangsa Israel melalui Nabi Yesaya, “Apa gunanya kamu mempersembahkan begitu banyak korban bagi-Ku? Aku sudah bosan dengan biri-biri jantan yang dipersembahkan sebagai korban bakar dan lemak binatang yang digemukkan. Aku tidak suka dengan darah anak lembu jantan, biri-biri, dan kambing.”​—Yesaya 1:11.

10-16 MEI

HARTA KARUN DALAM FIRMAN TUHAN | BILANGAN 30-31

“Tunaikan Ikrar Anda”

it-1 1015

Ikrar

Ikrar Dibuat Secara Sukarela, tetapi Wajib Ditunaikan. Ikrar dibuat secara sukarela, tetapi menurut hukum Tuhan, selepas seseorang membuat ikrar, dia wajib menunaikannya. Jika dia tidak menunaikan ikrarnya, dia “harus dihukum mati.” (Bil 30:2; lihat juga Rm 1:31, 32.) Memandangkan hal ini melibatkan hidup mati seseorang, Bible menggalakkannya untuk berfikir dengan mendalam sebelum membuat ikrar. Hukum Musa menyatakan, ‘Jika kamu berikrar kepada Yehuwa, Dia menghendaki kamu menunaikan ikrar kamu itu. Kamu berdosa jika kamu tidak menunaikannya. Tetapi kamu tidak berdosa jika kamu tidak berikrar kepada Tuhan.’—Ul 23:21, 22.

it-1 1015

Ikrar

Ikrar ialah suatu janji kepada Tuhan untuk melakukan sesuatu, mempersembahkan sesuatu pemberian atau hadiah, melakukan khidmat tertentu. Seseorang juga boleh berikrar untuk menghindari sesuatu walaupun hal itu tidak diharamkan. Ikrar dibuat secara sukarela dan tanpa dipaksa. Dalam Bible, ikrar boleh disamakan dengan membuat janji atau mengangkat sumpah. Kadangkala perkataan-perkataan ini muncul dalam ayat Bible yang sama. (Bil 30:2; Mt 5:33) Seseorang yang berikrar sedang mengumumkan niatnya untuk melakukan sesuatu. Seseorang yang bersumpah pula sedang membuat janji di hadapan orang yang lebih berkuasa sebagai jaminan bahawa dia akan menunaikan janji itu. Sumpah juga digunakan untuk mengukuhkan perjanjian yang dibuat antara dua pihak.—Kej 26:28; 31:44, 53.

w04 1/8 27 per. 3

Sorotan daripada Buku Bilangan

30:6-8—Bolehkah seorang lelaki Kristian membatalkan ikrar isterinya? Yehuwa memperhatikan ikrar yang dibuat oleh setiap penyembah-Nya. Contohnya, ikrar pembaktian kepada Yehuwa ialah ikrar peribadi. (Galatia 6:5) Seorang suami tidak berhak untuk membatalkan ikrar sebegini yang dibuat oleh isterinya. Walaupun begitu, seorang isteri tidak patut membuat ikrar yang bercanggah dengan Firman Tuhan, atau yang menghalangnya daripada menunaikan tanggungjawab sebagai isteri.

Permata Rohani

it-2 1172

Yefta

Seseorang boleh membaktikan diri kepada Yehuwa untuk berkhidmat di khemah suci buat seumur hidup. Ibu bapa juga boleh membaktikan anak mereka. Contohnya, sebelum Samuel dilahirkan, ibunya Hana telah berikrar bahawa Samuel akan berkhidmat di khemah suci. Suami Hana, iaitu Elkana, bersetuju dengan ikrarnya. Sebaik sahaja Samuel bercerai susu, Hana membawanya ke khemah suci. Dia juga membawa seekor binatang sebagai korban. (1Sa 1:11, 22-28; 2:11) Seperti Samuel, Simson juga dibaktikan kepada Yehuwa sebagai seorang Nazir sebelum dia dilahirkan.—Hak 13:2-5, 11-14; berkenaan kuasa bapa atas ikrar yang dibuat oleh anak perempuannya, sila lihat Bil 30:3-5, 16.

17-23 MEI

HARTA KARUN DALAM FIRMAN TUHAN | BILANGAN 32-33

“Halaulah Semua Penduduk Tanah Itu”

w10 1/8 23

Tahukah Anda?

Apakah yang dimaksudkan oleh “tempat-tempat tinggi” yang biasa disebut dalam Kitab Ibrani?

Apabila orang Israel memasuki Tanah yang Dijanjikan, Yehuwa menyuruh mereka untuk memusnahkan semua tempat pemujaan yang dibina oleh orang Kanaan. Dia berfirman, ‘Kamu mesti memusnahkan semua berhala mereka yang diperbuat daripada batu dan logam. Selain itu kamu mesti memusnahkan tempat-tempat tinggi mereka.’ (Bilangan 33:52, nota kaki) Tempat-tempat ibadat palsu itu mungkin dibina di atas bukit atau di tempat lain, seperti di bawah pokok atau di kota. (1 Raja-Raja 14:23; 2 Raja-Raja 17:29; Yehezkiel 6:3) Mazbah, tugu atau tiang suci, patung berhala, mazbah kemenyan, dan sebagainya, diletakkan di tempat-tempat itu.

w08 15/2 27 per. 5-6

Belajarlah daripada Kesilapan Orang Israel

Hari ini, kita menghadapi banyak cabaran yang pernah dihadapi oleh orang Israel kuno. Masyarakat zaman moden memuja pelbagai berhala, seperti duit, bintang-bintang terkenal, tokoh sukan, sistem politik, pemimpin agama, dan bahkan ahli keluarga sendiri. Semua ini boleh menjadi tumpuan utama hidup kita. Jika kita menjalinkan hubungan yang rapat dengan orang yang tidak mengasihi Yehuwa, hal ini boleh menjejaskan kerohanian kita.

Penyembahan Baal berkait rapat dengan perbuatan seks yang tidak bermoral, dan ramai orang Israel tergoda dengan hal ini. Hari ini, umat Tuhan juga boleh tergoda dengan hal yang sama. Contohnya, semasa melayari Internet, seorang Kristian yang tidak berhati-hati, atau yang mempunyai rasa ingin tahu, mungkin akan terdedah kepada pornografi. Hal ini akan menjejaskan hati nuraninya. Betapa sedihnya jika orang Kristian terjerat dengan amalan buruk ini!

it-1 1145

Kanaan

Berkenaan melenyapkan orang Kanaan, Yosua telah melaksanakan “setiap perintah Yehuwa kepada Musa.” (Yos 11:15) Tetapi bangsa Israel tidak mengikut teladan baik Yosua. Mereka tidak meneruskan usaha untuk melenyapkan segala pengaruh buruk orang Kanaan. Memandangkan orang Kanaan masih berada di Tanah yang Dijanjikan, mereka mempengaruhi orang Israel untuk melakukan jenayah, perbuatan seks yang tidak bermoral, penyembahan berhala, dan hal-hal lain yang menyebabkan ramai orang mati. Keadaan ini boleh dielakkan jika orang Israel pada mulanya mengusir semua orang Kanaan dari tanah itu, seperti yang diperintahkan oleh Yehuwa. (Bil 33:55, 56; Hak 2:1-3, 11-23; Mz 106:34-43) Yehuwa memberitahu orang Israel bahawa Dia ialah Tuhan yang adil dan tidak berat sebelah. Jika orang Israel menjalinkan hubungan dengan orang Kanaan, seperti mengahwini mereka, mencampuradukkan ibadat sejati dengan ibadat palsu, menerima adat agama palsu, dan mengamalkan perbuatan yang keji, mereka akan diusir dari tanah itu, seperti orang Kanaan.—Kel 23:32, 33; 34:12-17; Im 18:26-30; Ul 7:2-5, 25, 26.

Permata Rohani

it-1 341

Sempadan

Selepas undi menentukan lokasi tanah warisan setiap suku, mereka harus menentukan keluasan tanah setiap suku menurut saiz suku itu. Bible menyatakan, “Kamu mesti membahagikan tanah itu kepada setiap suku dengan membuang undi. Suku yang lebih besar harus diberi bahagian tanah yang lebih besar, tetapi suku yang lebih kecil harus diberi bahagian tanah yang lebih kecil. Setiap orang akan mendapat tanah warisan berdasarkan undi yang dibuat.” (Bil 33:54) Lokasi tanah warisan yang ditentukan oleh undi tidak akan berubah, tetapi keluasan tanah itu akan diubah mengikut keperluan. Contohnya, apabila bahagian tanah suku Yehuda terlalu besar untuk mereka, sebahagian tanah itu telah diberikan kepada suku Simeon.—Yos 19:9.

JADILAH PENGINJIL YANG LEBIH MAHIR

w09 1/10 30, kotak

Bolehkah Orang Kristian Menyertai Peperangan?

PEPERANGAN YANG DIBERKATI TUHAN

Sebelum agama Kristian wujud, bangsa Israel kuno ialah bangsa yang dipilih khas oleh Tuhan. Ada kalanya mereka diarahkan untuk mengumpulkan tentera dan berperang. Sebelum memasuki tanah Kanaan, iaitu tanah yang dijanjikan oleh Tuhan kepada Abraham, bangsa Israel diberitahu, “Yehuwa, Tuhan kamu, akan menyerahkan [tujuh buah bangsa itu] ke dalam tangan kamu, dan kamu mesti mengalahkan dan membinasakan mereka semua. Jangan mengasihani mereka dan jangan membuat perjanjian dengan mereka.” (Ulangan 7:1, 2) Maka panglima tentera Israel, Yosua, menghapuskan bangsa-bangsa itu, “seperti yang diperintahkan oleh Yehuwa, Tuhan orang Israel.”—Yosua 10:40.

Adakah orang Israel tamak dan kejam kerana menakluki bangsa lain? Sama sekali tidak! Bangsa-bangsa itu sarat dengan penyembahan berhala, pertumpahan darah, dan perbuatan seks yang menjijikkan. Mereka bahkan mempersembahkan anak mereka sebagai korban kepada tuhan-tuhan palsu. (Bilangan 33:52; Yeremia 7:31) Kesucian, keadilan, dan kasih Yehuwa terhadap umat-Nya mendorong-Nya untuk menyingkirkan semua kenajisan dari tanah itu. Biarpun begitu, Yehuwa dapat melakukan sesuatu yang tidak dapat dilakukan oleh mana-mana panglima tentera manusia. Yehuwa memeriksa hati setiap orang, dan menyelamatkan orang yang sanggup meninggalkan haluan jahat mereka lalu menyembah-Nya.

24-30 MEI

HARTA KARUN DALAM FIRMAN TUHAN | BILANGAN 34-36

Permata Rohani

w91 15/2 13 per. 13

Tebusan yang Sepadan untuk Semua Orang

13 Adam dan Hawa tidak akan meraih manfaat daripada tebusan. Hukum Musa mengandungi prinsip ini: “Kamu tidak boleh menerima tebusan untuk menyelamatkan nyawa orang yang sengaja membunuh.” (Bilangan 35:31) Adam tidak tertipu, jadi dia melakukan dosa dengan sengaja. (1 Timotius 2:14) Akibatnya, dia telah membunuh keturunannya kerana sekarang mereka mewarisi dosanya dan akan mati. Adam memang patut mati kerana sebagai manusia yang sempurna, dia telah sengaja melanggar hukum Tuhan. Maka jika Yehuwa membenarkan Adam untuk meraih manfaat daripada korban tebusan, Yehuwa sedang melanggar prinsip-Nya yang adil. Tetapi dengan membayar hutang dosa Adam, keturunannya dapat dibebaskan daripada kematian! (Roma 5:16) Hal ini bererti tebusan Yesus akan melenyapkan punca dosa secara sah. Maka Bible dapat menyatakan bahawa Yesus “merasai kematian bagi setiap orang” dan membebaskan manusia daripada kesan buruk dosa.—Ibrani 2:9; 2 Korintus 5:21; 1 Petrus 2:24.

31 MEI–6 JUN

HARTA KARUN DALAM FIRMAN TUHAN | ULANGAN 1-2

“Bertindak sebagai Wakil Tuhan semasa Menghakimi”

w96 15/3 23 per. 1

Yehuwa Mencintai Kebenaran dan Keadilan

Para penatua perlu menghakimi orang yang melakukan dosa yang serius. (1 Korintus 5:12, 13) Semasa mereka berbuat demikian, mereka mencontohi Yehuwa dan cuba menunjukkan belas kasihan jika boleh. Tetapi mereka tidak dapat menunjukkan belas kasihan sekiranya pendosa itu enggan bertaubat. Biarpun begitu, mereka tidak akan menyingkirkan pendosa kerana ingin membalas dendam. Mereka berharap apabila pendosa itu disingkirkan, dia akan sedar akan kesilapannya dan bertaubat. (Bandingkan Yehezkiel 18:23.) Di bawah pimpinan Kristus, para penatua harus bertindak dengan adil dan menjadi seperti “tempat perlindungan daripada angin kencang.” (Yesaya 32:1, 2) Maka mereka harus bersikap tidak berat sebelah dan munasabah.—Ulangan 1:16, 17.

w02 1/8 9-10 per. 4

Tunduk kepada Kekuasaan Yehuwa dengan Setia

4 Seorang hakim bukan sekadar perlu tahu Hukum Tuhan. Pada zaman orang Israel kuno, para pemimpin harus berjaga-jaga supaya kecenderungan yang berdosa, seperti sikap mementingkan diri, berat sebelah, dan tamak, tidak menghalang mereka daripada menghakimi dengan adil. Musa memberitahu mereka, “Tidak kira seseorang berkedudukan tinggi atau rendah, kamu tidak boleh bersikap berat sebelah. Semasa menghakimi, janganlah takut terhadap sesiapa pun kerana kamu bertindak sebagai wakil Tuhan.” Ya, para hakim di Israel sedang bertindak sebagai wakil Tuhan. Betapa besarnya penghormatan ini!—Ulangan 1:16, 17.

KEHIDUPAN KRISTIAN KITA

nwtsty nota pembelajaran untuk Mt 24:8

kesusahan, seperti kesakitan yang dialami oleh seorang wanita yang akan bersalin: Kesusahan dan penderitaan ini akan menjadi semakin kerap dan teruk, dan berlangsung untuk jangka masa yang lebih lama sebelum tiba kesengsaraan besar yang disebut di Mt 24:21.

g17.5 4

Cara Menjaga Keselamatan semasa Bencana Melanda

BERSEDIA SEBELUM BENCANA!

BENCANA boleh berlaku kepada sesiapa sahaja. Persediaan adalah sangat penting jika kita ingin selamat. Bagaimanakah kita boleh membuat persediaan?

• Buat persediaan mental. Sedarlah bahawa bencana boleh berlaku, dan anda berserta keluarga anda akan menghadapi bahaya. Sudah terlambat untuk membuat persediaan selepas bencana berlaku.

• Ketahuilah apa bencana yang mungkin berlaku di kawasan anda, dan lokasi tempat perlindungan. Pastikan bahawa struktur rumah anda berada dalam keadaan yang baik, dan rumah anda berada di lokasi yang selamat. Singkirkan apa sahaja bahan yang mudah terbakar. Pasang alat pengesan asap, dan tukar baterinya sekurang-kurangnya sekali setahun.

• Sediakan bekalan kecemasan. Bekalan elektrik dan air, perkhidmatan telefon, dan pengangkutan awam mungkin dihentikan. Jika anda ada kereta, pastikan tangki minyak kereta anda sekurang-kurangnya separuh penuh. Pastikan juga bahawa anda sentiasa mempunyai makanan, air, dan kit kecemasan di rumah anda.—Lihat kotak “Apakah yang Perlu Anda Sediakan?”

• Sediakan senarai nombor telefon kawan-kawan anda yang tinggal di kawasan dekat dan jauh.

• Buatlah pelan kecemasan dan adakan latihan. Kenal pasti pintu keluar yang terdekat dalam bangunan anda, dan ajarlah anak-anak tentang apa yang harus dilakukan jika bencana berlaku sewaktu mereka di sekolah. Tetapkan tempat berkumpul untuk keluarga anda, seperti sekolah atau perpustakaan; satu di tempat yang dekat, dan satu lagi di tempat yang jauh. Pihak berkuasa mencadangkan agar anda dan keluarga mengadakan latihan dengan berjalan kaki ke tempat-tempat itu.

• Buatlah rancangan untuk membantu orang lain, termasuk orang yang tua atau sakit.

g17.5 6

Cara Menjaga Keselamatan semasa Bencana Melanda

APAKAH YANG PERLU ANDA SEDIAKAN?

Organisasi pengurusan bencana menggalakkan orang untuk menyimpan bekalan kecemasan dan memeriksanya setiap tahun. Bekalan yang diperlukan bergantung pada lokasi dan keadaan anda. Maka tanyalah organisasi pengurusan bencana di kawasan anda untuk menentukan bekalan yang perlu disediakan.

Biasanya anda disarankan untuk menyimpan sekurang-kurangnya 11 liter air minum bagi setiap orang dan makanan yang secukupnya untuk tiga hari. Makanan itu haruslah tidak mudah rosak dan sedia dimakan.

Sesetengah keluarga juga menyediakan beg kecemasan dengan barangan berikut:a

• Selimut, satu set pakaian, dan kasut yang tahan lasak

• Lampu suluh, radio (yang menggunakan bateri atau windup), dan bateri tambahan

• Kit kecemasan dan wisel untuk meminta bantuan

• Sudu, garpu, pembuka tin, pisau lipat serba guna, dan mancis kalis air

• Topeng habuk, pita kalis air, dan helaian plastik untuk membina khemah

• Berus gigi, sabun, tuala, dan tisu

• Barang penjagaan anak, orang tua, atau orang kurang upaya

• Bekas kalis air yang mengandungi ubat-ubatan, salinan preskripsi ubat, dan dokumen-dokumen penting yang lain

• Senarai nombor telefon yang boleh dihubungi semasa kecemasan, senarai tempat berkumpul, dan peta tempatan

• Kad kredit dan wang tunai

• Set tambahan kunci rumah dan kunci kereta

• Kertas, pensel, buku, dan alat permainan untuk kanak-kanak

• Bible

7-13 JUN

HARTA KARUN DALAM FIRMAN TUHAN | ULANGAN 3-4

“Hukum Yehuwa Bijaksana dan Adil”

it-2 397-398

Pemahaman

Apabila seseorang berusaha mengkaji dan mematuhi Firman Tuhan, dia akan mempunyai lebih banyak pengertian daripada gurunya dan lebih banyak pemahaman daripada orang yang lebih tua. (Mz 119:99, 100, 130; bandingkan Lu 2:46, 47.) Hal ini kerana kebijaksanaan dan pemahaman sebati dengan hukum dan ketetapan Tuhan yang murni. Maka orang Israel yang mematuhi hukum itu dengan setia akan dipandang sebagai ‘bangsa yang bijaksana dan berpengertian’ oleh orang di sekeliling mereka. (Ul 4:5-8; Mz 111:7, 8, 10; bandingkan 1Ra 2:3.) Orang yang mempunyai pemahaman sedar bahawa dia tidak boleh melanggar hukum Tuhan. Maka dia akan hidup selaras dengan hukum itu, dan memohon bantuan Tuhan untuk berbuat demikian. (Mz 119:169) Dia membenarkan Firman Tuhan berakar dalam hatinya (Mt 13:19-23), menuliskan firman itu pada hatinya (Ams 3:3-6; 7:1-4), dan “membenci segala haluan yang salah” (Mz 119:104). Semasa di bumi, Anak Tuhan menunjukkan pemahaman sebegitu apabila dia sudi mati pada tiang seksaan supaya apa yang tercatat di dalam Ayat-Ayat Suci akan menjadi kenyataan.—Mt 26:51-54.

w99 1/11 20 per. 6-7

Pupuklah Sifat Murah Hati

Ratu dari Syeba kagum dengan apa yang didengar dan dilihatnya, lalu berkata, ‘Berbahagialah para pegawai tuanku yang sentiasa bersama tuanku kerana mereka dapat mendengar kebijaksanaan tuanku!’ (1 Raja-Raja 10:4-8) Dia mengatakan bahawa hamba-hamba Salomo berbahagia bukan kerana kemewahan yang dinikmati oleh mereka, tetapi kerana mereka sentiasa dapat mendengar kata-kata hikmat yang dikurniakan Tuhan kepada Salomo. Ratu dari Syeba menjadi teladan baik bagi umat Tuhan pada hari ini, yang juga berpeluang untuk mendengar kebijaksanaan Yehuwa dan Anak-Nya, Yesus Kristus!

Perhatikan juga kata-kata ratu itu kepada Salomo, “Terpujilah Yehuwa, Tuhan tuanku.” (1 Raja-Raja 10:9) Dia sedar bahawa kebijaksanaan dan kemasyhuran yang dimiliki Salomo berasal daripada Yehuwa. Hal ini selaras dengan janji Yehuwa kepada umat Israel, ‘Kamu mesti mematuhi semua hukum-Ku dengan bersungguh-sungguh. Dengan demikian, kebijaksanaan dan pengertian kamu akan menjadi nyata di hadapan bangsa-bangsa lain. Apabila mereka mendengar tentang semua hukum itu, mereka akan berkata, “Bangsa yang besar itu sesungguhnya bijaksana dan berpengertian.”’—Ulangan 4:5-7.

w07 1/8 29 per. 13

Adakah Anda “Kaya Di Mata Tuhan”?

13 Apabila Yehuwa memberkati umat-Nya, Dia selalu memberi mereka apa yang terbaik. (Yakobus 1:17) Contohnya, apabila Yehuwa menyediakan tempat tinggal bagi orang Israel, Dia memberi mereka “tanah yang melimpah dengan susu dan madu.” Mesir juga pernah digambarkan dalam cara yang sama. Tetapi tanah yang diberikan oleh Yehuwa kepada orang Israel jauh berbeza. Mengapa? Musa menjelaskan kepada orang Israel bahawa ‘Yehuwa akan sentiasa memelihara tanah itu.’ Maka orang Israel dapat hidup makmur kerana Yehuwa menjaga mereka. Selagi mereka setia kepada Yehuwa, Dia akan memberkati mereka dengan melimpah, dan mereka akan menikmati kehidupan yang jauh lebih baik daripada bangsa di sekeliling mereka. Ya, berkat Yehuwalah yang menjadikan seseorang kaya!—Bilangan 16:13; Ulangan 4:5-8; 11:8-15.

Permata Rohani

w04 15/9 25 per. 3

Sorotan daripada Buku Ulangan

4:15-20, 23, 24—Adakah larangan membuat patung bererti bahawa kita tidak boleh membuat gambar dan ukiran sebagai bahan seni? Tidak. Yehuwa hanya melarang orang Israel daripada membuat patung berhala untuk tujuan ibadat supaya mereka tidak “bersujud dan menyembah benda-benda itu.” Ayat-Ayat Suci tidak melarang orang daripada mengukir patung atau membuat lukisan sebagai bahan seni.—1 Raja-Raja 7:18, 25.

14-20 JUN

HARTA KARUN DALAM FIRMAN TUHAN | ULANGAN 5-6

“Latihlah Anak Anda untuk Mengasihi Yehuwa”

w05 15/6 20 per. 11

Ibu Bapa, Jagalah Keperluan Keluarga Anda

11 Mengenai topik ini, ayat Bible di Ulangan 6:5-7 selalu digunakan. Sila baca ayat Bible ini. Perhatikan bahawa ibu bapa harus terlebih dahulu memupuk kerohanian mereka, mengasihi Yehuwa, dan menyimpan firman-Nya dalam hati mereka. Ya, ibu bapa, anda perlu belajar Bible dengan tekun, membacanya setiap hari, dan merenungkannya supaya anda dapat memahami dan mencintai hukum serta prinsip Yehuwa. Hasilnya, hati anda akan melimpah dengan kebenaran Bible lalu anda akan semakin bersukacita dan mengasihi Yehuwa. Dengan itu, anda mempunyai banyak perkara baik yang anda dapat kongsi dengan anak anda.—Lukas 6:45.

w07 15/5 15-16

Bagaimanakah Saya Dapat Memberikan Pendidikan yang Terbaik kepada Anak Saya?

Impian, nilai moral, dan minat anda dapat dilihat bukan sahaja melalui kata-kata anda, tetapi juga melalui perbuatan anda. (Roma 2:21, 22) Sejak kecil, anak-anak belajar dengan memerhatikan ibu bapa mereka. Anak-anak tahu apa yang penting kepada ibu bapa, dan mereka juga akan mementingkan hal yang sama. Jika anda mengasihi Yehuwa, anak-anak akan sedar akan hal itu. Contohnya, jika anda selalu membaca dan mengkaji Bible, anak-anak akan sedar bahawa anda mengutamakan Kerajaan Tuhan. (Matius 6:33) Jika anda menghadiri perjumpaan dan menyertai kerja penyebaran secara tetap, anak-anak dapat melihat bahawa khidmat Yehuwa penting bagi anda.—Matius 28:19, 20; Ibrani 10:24, 25.

w05 15/6 21 per. 14

Ibu Bapa, Jagalah Keperluan Keluarga Anda

14 Menurut Ulangan 6:7, terdapat banyak peluang untuk ibu bapa membincangkan hal-hal rohani dengan anak mereka. Contohnya, semasa berjalan, membuat kerja di rumah, atau bersantai, anda boleh mencari peluang untuk memenuhi keperluan rohani anak anda. Sudah pasti, anda tidak perlu sentiasa “berceramah” tentang kebenaran Bible. Sebaliknya, pastikanlah bahawa perbualan anda membina dan berkisarkan hal-hal rohani. Contohnya, majalah Sedarlah! mempunyai banyak rencana tentang pelbagai topik. Rencana-rencana ini dapat membantu anda memulakan perbualan tentang haiwan yang diciptakan Yehuwa, alam semula jadi yang indah, atau pelbagai budaya di serata dunia. Perbualan sebegini boleh membangkitkan minat anak untuk membaca bahan-bahan yang diterbitkan oleh hamba yang setia dan bijaksana.—Matius 24:45-47.

21-27 JUN

HARTA KARUN DALAM FIRMAN TUHAN | ULANGAN 7-8

“Jangan Menjalin Ikatan Perkahwinan dengan Mereka”

w12 1/7 29 per. 2

Mengapakah Yehuwa Menghendaki Orang Israel untuk Hanya Berkahwin dengan Orang yang Menyembah-Nya?

Yehuwa tahu bahawa Syaitan ingin mencelakakan umat-Nya dengan menggoda mereka untuk menyembah tuhan-tuhan palsu. Oleh itu, Dia memberitahu orang Israel bahawa bangsa-bangsa asing itu “akan menyebabkan anak-anak lelaki mereka menyembah tuhan-tuhan lain.” Mengapakah hal ini begitu serius? Kerana jika orang Israel menyembah tuhan lain, mereka akan kehilangan perkenan dan perlindungan Yehuwa. Tanpa perlindungan Yehuwa, mereka akan dibinasakan oleh bangsa-bangsa lain dengan mudah. Jika hal ini berlaku, mereka tidak dapat menghasilkan Mesias yang dijanjikan. Jadi itulah sebabnya Syaitan mencuba menggoda orang Israel untuk berkahwin dengan orang yang tidak menyembah Yehuwa.

Permata Rohani

w04 1/2 13-14 per. 4

Yehuwa Memenuhi Keperluan Harian Kita

4 Selain berdoa meminta makanan harian daripada Yehuwa, kita juga perlu ingat tentang makanan rohani. Pernah sekali, setelah Yesus lama berpuasa, Syaitan menggodanya supaya menukar batu menjadi roti. Yesus enggan berbuat demikian. Sebaliknya, dia berkata, “Ada tertulis, ‘Manusia mesti hidup bukan dengan roti sahaja, tetapi juga dengan setiap kata yang keluar daripada mulut Yehuwa.’” (Matius 4:4) Yesus telah memetik kata-kata Musa kepada orang Israel: “[Yehuwa] telah merendahkan hati kamu dan membiarkan kamu kelaparan lalu memberi kamu manna, iaitu makanan yang tidak pernah kamu dan nenek moyang kamu lihat. Dengan itu, kamu sedar bahawa manusia mesti hidup bukan dengan roti sahaja, tetapi juga dengan setiap kata yang keluar daripada mulut Yehuwa.” (Ulangan 8:3) Manna bukan sahaja memenuhi keperluan fizikal orang Israel. Semasa memberikan manna, Yehuwa juga memberikan pengajaran rohani yang penting. Bible menyatakan, ‘Setiap hari, mereka masing-masing harus keluar mengumpulkan manna yang diperlukan untuk hari itu.’ Jika mereka mengumpulkan lebihan manna, manna itu akan berulat dan berbau busuk pada keesokan harinya. (Keluaran 16:4, 20) Tetapi hal ini tidak berlaku pada hari keenam, apabila mereka harus mengumpulkan dua kali lebih banyak makanan daripada apa yang biasanya dikumpulkan pada hari-hari lain. Manna yang dikumpulkan untuk hari Sabat tidak akan menjadi basi atau berulat. (Keluaran 16:5, 23, 24) Jadi hal ini mengingatkan mereka bahawa mereka harus patuh kepada Tuhan, dan hidup mereka tidak bergantung pada makanan, tetapi bergantung pada “setiap kata yang keluar daripada mulut Yehuwa.”

JADILAH PENGINJIL YANG LEBIH MAHIR

w06 1/1 28 per. 14-15

Orang yang Melakukan Apa yang Benar di Mata Tuhan akan Dilindungi-Nya

14 Sebelum orang Israel memasuki Tanah yang Dijanjikan, Yehuwa mengingatkan mereka agar tidak melupakan-Nya. Melalui Musa, Yehuwa berfirman, “Berhati-hatilah agar kamu tidak melupakan Yehuwa, Tuhan kamu. Jangan gagal mematuhi semua perintah, ketetapan, dan peraturan-Nya, yang aku sampaikan kepada kamu hari ini. Apabila kamu puas menikmati makanan yang melimpah, dan sudah membina rumah-rumah yang indah sebagai tempat tinggal kamu, apabila ternakan kamu sudah menjadi banyak, dan emas, perak, dan segala harta kamu sudah bertambah banyak, jangan menjadi sombong dan melupakan Yehuwa.”—Ulangan 8:11-14.

15 Mungkinkah hal yang sama berlaku pada hari ini? Jika kita tidak menetapkan keutamaan yang betul, kita mungkin akan melupakan Yehuwa. Tetapi jika kita berusaha melakukan apa yang benar di mata Tuhan, kita akan mengutamakan ibadat yang sejati. Kita akan mengikut nasihat Paulus dan ‘menggunakan masa kita dengan sebaik-baiknya’ untuk menginjil dengan bersungguh-sungguh. (Kolose 4:5; 2 Timotius 4:2) Sebaliknya jika kita berasa bahawa aktiviti riadah lebih penting daripada menghadiri perjumpaan dan kerja penyebaran, kita mungkin akan melupakan Yehuwa kerana kita tidak lagi mengutamakan Dia dalam kehidupan kita. Paulus berkata bahawa pada hari-hari terakhir, manusia akan “mencintai kesenangan tetapi tidak mencintai Tuhan.” (2 Timotius 3:4) Maka orang Kristian yang sejati harus sentiasa memeriksa diri untuk memastikan agar mereka tidak terpengaruh dengan pemikiran sedemikian.—2 Korintus 13:5.

28 JUN–4 JULAI

HARTA KARUN DALAM FIRMAN TUHAN | ULANGAN 9-10

“Apakah yang Dikehendaki Yehuwa daripada Anda?”

w09 1/10 10 per. 3-4

Apakah yang Dikehendaki oleh Yehuwa daripada Kita?

Apakah yang mendorong kita untuk mentaati Tuhan dengan rela hati? Musa menyatakan salah satu sebabnya: “Takutlah akan Yehuwa, Tuhan kamu.” (Ayat 12) Rasa takut ini berbeza daripada perasaan takut kerana akan menderita akibat yang buruk. Rasa takut ini ialah perasaan kagum dan hormat terhadap Yehuwa dan hukum-Nya. Jika kita memiliki perasaan takut ini, kita tidak mahu menyedihkan hati Yehuwa.

Apakah motif utama kita mentaati Tuhan? Musa berkata, “Kasihilah Yehuwa dan abdikanlah diri kamu kepada-Nya dengan sepenuh hati dan sepenuh jiwa.” (Ayat 12) Kasih kepada Tuhan bukan sekadar perasaan. Sebuah buku rujukan menyatakan, “Dalam bahasa Ibrani, kata kerja yang merujuk kepada perasaan, juga merujuk kepada tindakan yang dihasilkan oleh perasaan itu.” Buku yang sama menjelaskan bahawa mengasihi Tuhan bererti “menunjukkan kasih kepada-Nya melalui tindakan.” Maka jika kita benar-benar mengasihi Tuhan, kita akan bertindak dalam cara yang menyenangkan hati-Nya.—Amsal 27:11.

w09 1/10 10 per. 6

Apakah yang Dikehendaki oleh Yehuwa daripada Kita?

Kita akan menerima banyak berkat jika kita mentaati Yehuwa dengan rela hati. Musa berkata, “Lakukanlah semua itu demi kebaikan kamu sendiri.” (Ayat 13) Ya, setiap hukum dan perintah daripada Yehuwa adalah untuk kebaikan kita. Mengapa? Bible menyatakan bahawa “Tuhan itu kasih.” (1 Yohanes 4:8) Maka segala hukum dan perintah daripada Yehuwa adalah untuk kebaikan kita yang berkekalan. (Yesaya 48:17) Jika kita mematuhi semua perintah Yehuwa, kita dapat mengelakkan banyak masalah sekarang dan mendapat banyak berkat pada masa depan di bawah pemerintahan Kerajaan-Nya.

Permata Rohani

it-1 131

Orang Enak

Keturunan Enak merupakan bangsa yang berbadan besar dan kuat. Mereka tinggal di kawasan pergunungan dan beberapa kawasan persisiran pantai di tanah Kanaan, terutamanya di kawasan selatan. Pada suatu masa, tiga orang lelaki Enak yang terkemuka tinggal di kota Hebron, iaitu Ahiman, Sesai, dan Talmai. (Bil 13:22) Di kota inilah 12 orang pengintip Ibrani nampak orang Enak buat kali pertama. Sepuluh daripada pengintip itu memberikan laporan yang menakutkan. Mereka mendakwa bahawa orang Enak ialah keturunan Nefilim yang hidup sebelum Banjir Besar, dan jika dibandingkan dengan orang Enak, orang Israel “hanyalah seperti belalang.” (Bil 13:28-33; Ul 1:28) Keturunan Enak sangat tinggi dan besar sehingga bangsa lain yang berbadan besar, seperti orang Emim dan orang Refaim, dibandingkan dengan orang Enak. Orang Enak begitu kuat sehingga ada yang berkata, “Tiada sesiapa pun yang dapat melawan orang Enak.”—Ul 2:10, 11, 20, 21; 9:1-3.

[Nota kaki]

a Bukan semua barang dalam senarai ini sesuai dengan lokasi dan kawasan anda. Anda mungkin perlu menyediakan barang-barang lain.

    Bahan Bacaan Bahasa Melayu (2004-2023)
    Log Keluar
    Log Masuk
    • Melayu
    • Kongsi
    • Pilihan
    • Copyright © 2025 Watch Tower Bible and Tract Society of Pennsylvania
    • Syarat Penggunaan
    • Polisi Privasi
    • Tetapan Privasi
    • JW.ORG
    • Log Masuk
    Kongsi