PERPUSTAKAAN DALAM TALIAN Watchtower
PERPUSTAKAAN DALAM TALIAN
Watchtower
Melayu
  • BIBLE
  • BAHAN BACAAN
  • PERJUMPAAN
  • Patutkah Saya Dibaptis?—Bahagian 1: Maksud Pembaptisan
    Kaum Muda Bertanya
    • Seorang pemuda dibaptis dalam kolam di konvensyen Saksi-Saksi Yehuwa.

      KAUM MUDA BERTANYA

      Patutkah Saya Dibaptis?—Bahagian 1: Maksud Pembaptisan

      Setiap tahun, banyak orang muda yang dibesarkan sebagai Saksi-Saksi Yehuwa dibaptis. Adakah kamu juga ingin dibaptis? Jika ya, kamu perlu memahami maksud pembaktian dan pembaptisan terlebih dahulu.

      • Apa itu pembaptisan?

      • Apa itu pembaktian?

      • Mengapa pembaptisan begitu penting?

      • Pandangan remaja lain

      • Mitos dan fakta

      Apa itu pembaptisan?

      Dalam Bible, pembaptisan dilakukan dengan memasukkan seluruh tubuh ke dalam air dan bukannya sekadar memercikkan air. Pembaptisan dalam air melambangkan sesuatu yang sangat penting.

      • Dengan memasukkan seluruh tubuh ke dalam air semasa pembaptisan, kamu menunjukkan kepada orang ramai bahawa kamu tidak lagi hidup untuk menyenangkan diri sendiri.

      • Apabila kamu keluar dari air, kamu menunjukkan bahawa kini kamu menggunakan hidup kamu untuk menyenangkan Tuhan.

      Semasa dibaptis, kamu menyatakan di hadapan umum bahawa kamu mengakui hak Yehuwa untuk menentukan apa yang betul dan apa yang salah. Kamu juga menyatakan janji kamu untuk selalu melakukan kehendak Yehuwa.

      Fikirkan: Mengapakah kamu patut menyatakan keinginan kamu untuk hidup selaras dengan kehendak Yehuwa di hadapan umum? Baca 1 Yohanes 4:19 dan Wahyu 4:11.

      Apa itu pembaktian?

      Sebelum dibaptis, kamu perlu membaktikan diri kepada Yehuwa. Bagaimana?

      Dalam doa peribadi, kamu berjanji untuk menyembah Yehuwa selama-lamanya dan melakukan kehendak-Nya, tidak kira apa yang berlaku atau apa pun keputusan orang lain.

      Apabila dibaptis, kamu menunjukkan kepada orang lain bahawa kamu sudah membaktikan diri kepada Yehuwa. Pembaptisan menunjukkan bahawa kamu tidak lagi hidup bagi diri sendiri dan kamu sekarang milik Yehuwa.—Matius 16:24.

      Fikirkan: Mengapakah kehidupan kamu lebih baik apabila kamu menjadi milik Yehuwa? Baca Yesaya 48:17, 18 dan Ibrani 11:6.

      Mengapa pembaptisan begitu penting?

      Yesus berkata bahawa semua muridnya mesti dibaptis. (Matius 28:19, 20) Jadi, pembaptisan merupakan syarat untuk menjadi orang Kristian. Sebenarnya, Bible mengatakan bahawa kita perlu dibaptis agar dapat diselamatkan.—1 Petrus 3:21.

      Namun, kasih dan penghargaan kamu terhadap Yehuwalah yang harus mendorong kamu untuk dibaptis. Kamu harus memiliki sikap seperti seorang pemazmur yang menulis, ‘Apakah yang dapat aku berikan kepada Yehuwa untuk membalas segala kebaikan-Nya terhadapku? Aku akan menyeru nama Yehuwa. Aku akan menunaikan ikrarku kepada Yehuwa.’—Mazmur 116:12-14.

      Fikirkan: Apakah yang telah dilakukan Yehuwa untuk kamu? Bagaimanakah kamu dapat membalas kebaikan-Nya? Baca Ulangan 10:12, 13 dan Roma 12:1.

      Pandangan remaja lain

      Mijin.

      “Pembaktian melibatkan janji kamu kepada Yehuwa, dan hal ini serius. Tapi jika kamu membaktikan diri kepada Yehuwa, Dia akan memberi kamu banyak berkat. Dia dapat menjaga kita lebih baik daripada kita menjaga diri sendiri.”—Mijin.

      Ember.

      “Yehuwa telah menunjukkan kasih-Nya kepada kamu. Jika kamu dibaptis, kamu menunjukkan kasih yang mendalam terhadap Dia. Pembaptisan ialah penghormatan dan berkat yang besar!”—Ember.

      Julian.

      “Keputusan untuk membaktikan diri kepada Tuhan dan dibaptis ialah keputusan yang terpenting dalam hidup seseorang. Tapi, janganlah takut. Jika kamu bersedia untuk dibaptis dan melakukannya dengan niat yang betul, keputusan itu akan menjadi keputusan yang terbaik dalam hidup kamu.”—Julian.

      Mitos dan fakta

      MITOS — Hanya orang dewasa boleh dibaptis kerana mereka sudah cukup matang.

      FAKTA — Kematangan tidak bergantung pada umur seseorang. Sebaliknya, seseorang yang matang mengasihi Yehuwa dan rela mentaati-Nya. Semasa muda, Yusuf, Samuel, dan Yosia telah menunjukkan kematangan seperti itu. Banyak orang muda hari ini juga melakukan hal yang sama.

      Bible menyatakan, “Kelakuan seorang anak menunjukkan sama ada dia murni atau tidak. Ya, perbuatannya membuktikan sama ada dia tulus atau tidak.”—Amsal 20:11.

      MITOS — Jika kawan kamu dibaptis, kamu pun harus dibaptis.

      FAKTA — Keputusan untuk membaktikan diri dan dibaptis merupakan keputusan sendiri. Kamu membuat keputusan ini kerana kamu benar-benar ingin dibaptis, dan bukannya kerana kamu sudah mencapai umur tertentu atau kerana orang lain ingin kamu dibaptis.

      Bible menyatakan, “Kamu mesti mengasihi Yehuwa, Tuhanmu, dengan segenap hati.”—Matius 22:37.

      MITOS — Jika kamu belum dibaptis, kamu tidak perlu bertanggungjawab kepada Yehuwa atas perbuatan kamu.

      FAKTA — Kamu bertanggungjawab kepada Yehuwa apabila kamu sudah tahu apa yang benar dan salah di mata-Nya, dan bukannya selepas dibaptis.

      Bible menyatakan, “Jika seseorang mengetahui cara untuk melakukan apa yang betul tetapi tidak melakukannya, dia sudah berdosa.”—Yakobus 4:17.

      TIP: Jika kamu berasa takut untuk membaktikan diri dan dibaptis kerana tanggungjawab seorang Kristian nampaknya terlalu berat, cubalah fikir mengapa kamu berasa begitu dan apa yang dapat kamu lakukan untuk mengatasi perasaan itu. Untuk membantu kamu, bacalah Bab 37 dalam buku “Pertanyaan Kaum Muda,” Jilid 2.

      Ulang kaji: Mengapa pembaptisan begitu penting?

      • Yesus berkata bahawa semua muridnya mesti dibaptis.

      • Pembaptisan ialah syarat untuk diselamatkan.

      • Menyembah Yehuwa sebagai orang Kristian yang sudah dibaptis ialah penghormatan yang besar.

  • Patutkah Saya Dibaptis?—Bahagian 2: Persediaan untuk Dibaptis
    Kaum Muda Bertanya
    • Seorang gadis mengkaji topik pembaptisan dengan menggunakan Bible dan bahan bacaan Bible.

      KAUM MUDA BERTANYA

      Patutkah Saya Dibaptis?—Bahagian 2: Persediaan untuk Dibaptis

      Jika kamu sedang hidup menurut standard Bible dan sedang memupuk persahabatan dengan Tuhan, kamu mungkin terfikir untuk dibaptis. Bagaimanakah kamu tahu bahawa kamu sudah bersedia untuk dibaptis?a

      Dalam rencana ini

      • Berapa banyak pengetahuan yang perlu saya miliki?

      • Apa yang patut saya lakukan?

      • Pandangan remaja lain

      Berapa banyak pengetahuan yang perlu saya miliki?

      Persediaan untuk dibaptis tidak bermaksud kamu perlu menghafal semua butiran seperti menduduki ujian sekolah. Namun, kamu perlu menggunakan “daya pemikiran” untuk menguatkan keyakinan kamu bahawa apa yang diajarkan Bible ialah kebenaran. (Roma 12:1) Contohnya:

      • Adakah kamu yakin bahawa Tuhan wujud dan bahawa Dia layak menerima penyembahan kamu?

        Bible berkata: “Sesiapa yang menghadap Tuhan mesti percaya bahawa Dia wujud dan bahawa Dia memberikan ganjaran kepada orang yang mencari-Nya dengan bersungguh-sungguh.”—Ibrani 11:6.

        Tanyalah diri: “Mengapakah saya percaya Tuhan wujud?” (Ibrani 3:4) “Mengapakah saya patut menyembah Tuhan?”—Wahyu 4:11.

        Perlukan maklumat tambahan? Lihatlah “Penciptaan atau Evolusi?—Bahagian 1: Mengapakah Percaya kepada Tuhan?”

      • Adakah kamu yakin bahawa mesej Bible berasal daripada Tuhan?

        Bible berkata: “Segenap Ayat-Ayat Suci diilhami oleh Tuhan dan berguna untuk mengajar, menegur, membetulkan segala sesuatu, dan mendidik orang untuk melakukan apa yang benar.”—2 Timotius 3:16.

        Tanyalah diri: “Mengapakah saya percaya bahawa kandungan Bible bukanlah fikiran manusia?”—Yesaya 46:10; 1 Tesalonika 2:13.

        Perlukan maklumat tambahan? Lihatlah “Bagaimanakah Bible Dapat Membantu Saya?—Bahagian 1: Menerokai Bible Kamu.”

      • Adakah kamu yakin bahawa Yehuwa menggunakan sidang Kristian untuk melaksanakan kehendak-Nya?

        Bible berkata: “Semoga [Tuhan] diberi kemuliaan dari generasi ke generasi untuk selama-lamanya melalui sidang dan melalui Kristus Yesus.”—Efesus 3:21.

        Tanyalah diri: “Adakah saya percaya bahawa apa yang saya belajar dari Bible semasa perjumpaan Kristian berasal daripada manusia atau daripada Yehuwa?” (Matius 24:45) “Adakah saya menghadiri perjumpaan walaupun ibu bapa saya tidak dapat hadir (sekiranya kamu diizinkan untuk berbuat demikian)?”—Ibrani 10:24, 25.

        Perlukan maklumat tambahan? Lihatlah “Mengapakah Perlu Menghadiri Perjumpaan Kristian di Dewan Perjumpaan Saksi-Saksi Yehuwa?”

      Apa yang patut saya lakukan?

      Kamu tidak perlu menjadi sempurna untuk dibaptis. Namun, kamu patut menunjukkan bahawa kamu benar-benar ingin ‘berpaling daripada apa yang jahat dan buat apa yang baik.’ (Mazmur 34:14) Contohnya:

      • Adakah kamu hidup menurut standard Yehuwa?

        Bible berkata: “Hendaklah hati nurani kamu sentiasa bersih.”—1 Petrus 3:16.

        Tanyalah diri: “Bagaimanakah saya telah menunjukkan bahawa ‘daya penilaian’ saya ‘sudah terlatih untuk membezakan apa yang betul daripada apa yang salah’?” (Ibrani 5:14) “Bilakah masanya saya pernah melawan tekanan rakan sebaya untuk melakukan sesuatu yang salah? Adakah kawan-kawan saya menggalakkan saya untuk melakukan apa yang betul?”—Amsal 13:20.

        Perlukan maklumat tambahan? Lihatlah “Bagaimanakah Saya Dapat Melatih Hati Nurani Saya?”

      • Adakah kamu faham bahawa kamu bertanggungjawab kepada Yehuwa atas perbuatan kamu?

        Bible berkata: “Kita bertanggungjawab kepada Tuhan atas perbuatan kita masing-masing.”—Roma 14:12.

        Tanyalah diri: “Adakah saya jujur dengan diri sendiri dan dengan orang lain?” (Ibrani 13:18) “Adakah saya mengakui kesilapan saya? Atau, adakah saya cenderung menyembunyikannya atau menyalahkan orang lain atas kesilapan saya?”—Amsal 28:13.

        Perlukan maklumat tambahan? Lihatlah “Apakah yang Harus Saya Lakukan apabila Berbuat Salah?”

      • Adakah kamu mengekalkan persahabatan dengan Yehuwa?

        Bible berkata: “Hampirilah Tuhan dan Dia pun akan menghampiri kamu.”—Yakobus 4:8.

        Tanyalah diri: “Apakah yang sedang saya lakukan untuk menghampiri Yehuwa?” Contohnya, “Seberapa kerapkah saya membaca Bible?” (Mazmur 1:1, 2) “Adakah saya berdoa secara tetap?” (1 Tesalonika 5:17) “Adakah saya berdoa secara spesifik? Adakah kawan-kawan saya merupakan sahabat Yehuwa?”—Mazmur 15:1, 4.

        Perlukan maklumat tambahan? Lihatlah “Bagaimanakah Bible Dapat Membantu Saya?—Bahagian 2: Jadikan Pembacaan Bible Sesuatu yang Menyeronokkan” dan “Mengapakah Saya Harus Berdoa?”

      TIP: Untuk membantu kamu bersedia untuk pembaptisan, bacalah bab 37 dalam buku Pertanyaan Kaum Muda—Jawapan yang Berkesan, Jilid 2. Fokuslah terutamanya pada lembaran kerja di muka surat 308 dan 309.

      a Bacalah rencana “Patutkah Saya Dibaptis?—Bahagian 1,” yang membincangkan tentang maksud dan pentingnya untuk membaktikan diri kepada Tuhan dan dibaptis.

      Pandangan remaja lain

      Gabriella.

      “Lembaran kerja tentang pembaptisan dalam buku Pertanyaan Kaum Muda telah membantu saya untuk kenal pasti perubahan yang perlu saya buat sebelum dibaptis. Saya juga dibantu untuk menetapkan matlamat yang ingin dicapai selepas dibaptis. Membaktikan diri kepada Yehuwa ialah tanggungjawab yang besar, tetapi hal ini juga merupakan penghormatan terbesar dalam hidup seseorang.”—Gabriella.

      Caleb.

      “Dalam Bible, Timotius dinasihati, ‘Hendaklah kamu terus berpegang pada apa yang telah kamu pelajari dan apa yang telah kamu percayai selepas diyakinkan.’” (2 Timotius 3:14) “Luangkanlah masa untuk belajar Firman Tuhan agar kamu yakin bahawa apa yang diajarkannya adalah benar. Kamu membaktikan diri kepada Yehuwa, bukannya kepada orang lain. Jadi semasa kamu ingin dibaptis, perasaan Yehuwa harus menjadi hal yang terpenting untuk difikirkan.”—Caleb.

      Ulang kaji: Bagaimanakah saya dapat bersedia untuk dibaptis?

      Periksalah kepercayaan kamu. Adakah kamu yakin bahawa Tuhan wujud? Bahawa Dia layak menerima penyembahan kamu? Bahawa Bible merupakan Firman yang diilhami Tuhan? Bahawa Yehuwa menggunakan sebuah organisasi untuk melaksanakan kehendak-Nya?

      Periksalah kelakuan kamu. Adakah kamu hidup menurut standard Yehuwa? Adakah kamu faham bahawa kamu bertanggungjawab kepada Yehuwa atas perbuatan kamu? Adakah kamu mengekalkan persahabatan dengan Yehuwa?

  • Patutkah Saya Dibaptis?—Bahagian 3: Mengapakah Saya Teragak-Agak untuk Dibaptis?
    Kaum Muda Bertanya
    • Seorang lelaki sedang dibaptis di dalam tasik seraya orang lain memerhatikannya.

      KAUM MUDA BERTANYA

      Patutkah Saya Dibaptis?—Bahagian 3: Mengapakah Saya Teragak-Agak untuk Dibaptis?

      Adakah keputusan untuk membaktikan diri kepada Yehuwa dan dibaptis membuat kamu risau? Jika ya, rencana ini akan membantu kamu mengatasi kerisauan itu.

      Dalam rencana ini

      • Bagaimana jika saya melakukan dosa besar selepas dibaptis?

      • Bagaimana jika saya rasa takut untuk memikul lebih banyak tanggungjawab selepas dibaptis?

      • Bagaimana jika saya rasa tidak layak untuk menyembah Yehuwa?

      • Pandangan remaja lain

      Bagaimana jika saya melakukan dosa besar selepas dibaptis?

      Sebab kerisauan: Mungkin kamu mengenali seseorang yang telah melakukan dosa besar lalu disingkirkan dari sidang. (1 Korintus 5:11-13) Kamu mungkin risau hal yang sama akan berlaku kepada kamu.

      “Kali pertama saya memikirkan tentang pembaptisan, saya berasa takut saya akan melakukan kesilapan besar selepas dibaptis. Saya tahu hal ini akan memalukan ibu bapa saya.”—Rebekah.

      Ayat kunci: “Hendaklah orang jahat meninggalkan haluan mereka . . . Biarlah mereka kembali kepada Yehuwa, Tuhan kita, kerana Dia akan berbelas kasihan terhadap mereka dan mengampuni mereka dengan rela hati.”—Yesaya 55:7.

      Fikirkan: Walaupun orang yang melakukan dosa besar dan tidak bertaubat akan disingkirkan dari sidang, Yehuwa masih berbelas kasihan terhadap mereka yang dengan rendah hati bertaubat dan menerima teguran.—Mazmur 103:13, 14; 2 Korintus 7:11.

      Selain itu, meskipun kamu tidak sempurna, dengan adanya bantuan Tuhan, kamu dapat melawan godaan. (1 Korintus 10:13) Lagipun, siapa yang menentukan tindakan kamu? Orang lain? Atau kamu?

      “Saya risau saya akan melakukan dosa besar selepas dibaptis, tapi saya sedar saya sedang melakukan kesilapan jika saya menahan diri daripada dibaptis. Saya tidak patut membiarkan rasa takut akan apa yang mungkin berlaku pada masa depan menghalang kemajuan saya pada hari ini.”—Karen.

      Kesimpulan: Seperti kebanyakan umat Yehuwa, kamu juga dapat memilih untuk mengelak daripada melakukan dosa besar.—Filipi 2:12.

      Perlukan lebih banyak bantuan? Lihat “Bagaimanakah Saya Dapat Melawan Godaan?”

      Bagaimana jika saya rasa takut untuk memikul lebih banyak tanggungjawab selepas dibaptis?

      Sebab kerisauan: Kamu mungkin mengenali kaum muda yang telah berpindah jauh daripada keluarga dan kawan untuk meluaskan khidmat mereka kepada Yehuwa. Kamu risau bahawa orang lain akan mengharapkan hal yang sama daripada kamu.

      “Orang Kristian yang dibaptis layak melakukan lebih banyak dalam khidmat Yehuwa, tapi sesetengah orang belum bersedia untuk meluaskan khidmat mereka atau keadaan mereka tidak mengizinkan mereka untuk berbuat demikian.”—Marie.

      Ayat kunci: “Hendaklah setiap orang memeriksa perbuatannya sendiri, dan dengan demikian, dia akan berasa gembira kerana apa yang sudah dilakukannya dan bukannya kerana dia membandingkan diri dengan orang lain.”—Galatia 6:4.

      Fikirkan: Daripada membandingkan diri kamu dengan orang lain, renungkanlah Markus 12:30, yang mengatakan, “Kamu mesti mengasihi Yehuwa, Tuhanmu, dengan segenap hati.”

      Perhatikan, kamu harus berkhidmat kepada Yehuwa dengan segenap hati. Jika kamu benar-benar mengasihi Yehuwa, kamu akan berkhidmat kepadanya dengan segala kemampuan kamu.

      “Walaupun pembaptisan merupakan langkah yang besar, pembaptisan bukanlah beban yang berat. Jika kamu memilih pergaulan yang baik, mereka dapat membantu kamu. Sebenarnya, jika kamu memikul tanggungjawab secara bertahap-tahap, kamu akan lebih gembira. Apabila kamu mengelakkan pembaptisan, kamu merugikan diri sendiri saja.”—Julia.

      Kesimpulan: Binalah penghargaan terhadap kasih yang telah ditunjukkan Yehuwa kepada kamu. Dengan berbuat demikian, kamu akan didorong untuk memberikan yang terbaik, yang mampu kamu berikan kepada Yehuwa.—1 Yohanes 4:19.

      Perlukan lebih banyak bantuan? Lihat “Adakah Saya Orang yang Bertanggungjawab?”

      Bagaimana jika saya rasa tidak layak untuk menyembah Yehuwa?

      Sebab kerisauan: Manusia sangat kecil dan tidak penting jika dibandingkan dengan Yehuwa, Pemerintah Alam Semesta Yang Berdaulat. Jadi, kamu mungkin tertanya-tanya sama ada Yehuwa mengetahui kewujudan kamu atau tidak.

      “Ibu bapa saya Saksi-Saksi Yehuwa, jadi saya risau saya hanya ‘mewarisi’ persahabatan saya dengan Yehuwa daripada mereka, dan bahawa Yehuwa tidak memimpin saya kepada-Nya secara peribadi.”—Natalie.

      Ayat kunci: “Tiada seorang pun dapat datang kepadaku kecuali Bapa yang mengutus aku memimpinnya kepadaku.”—Yohanes 6:44.

      Fikirkan: Hakikat bahawa kamu sedang mempertimbangkan keputusan untuk dibaptis, mungkin menunjukkan bahawa Yehuwa sedang memimpin kamu kepada-Nya dan bahawa Dia ingin mengeratkan persahabatan-Nya dengan kamu. Mahukah kamu menerima jemputan ini?

      Ingat, Yehuwalah yang menetapkan standard yang menentukan siapa yang akan dipimpin kepada-Nya, bukan kamu atau orang lain. Tambahan lagi, Firman-Nya meyakinkan kamu bahawa jika kamu ‘menghampiri Tuhan . . . Dia pun akan menghampiri kamu.’—Yakobus 4:8.

      “Hakikat bahawa kamu mengenali Yehuwa dan telah dipimpin kepada-Nya membuktikan bahawa Dia mengasihi kamu. Jadi, jika kamu berasa bahawa kamu tidak layak berkhidmat kepada Yehuwa, ingatlah bahawa ini bukan pandangan Yehuwa tentang kamu.”—Selina.

      Kesimpulan: Kamu layak menyembah Yehuwa jika kamu memenuhi syarat-syarat Bible mengenai pembaptisan. Lagipun, Yehuwa berhak menerima penyembahan kamu.—Wahyu 4:11.

      Perlukan lebih banyak bantuan? Lihat “Mengapakah Saya Harus Berdoa?”

      Pandangan remaja lain

      Skye.

      “Jangan membiarkan perasaan takut gagal menghalang kamu daripada dibaptis. Pembaptisan bagaikan lumba lari. Kamu mungkin takut menyertainya kerana kamu takut kamu akan jatuh. Tapi, jika kamu jatuh, kamu dapat bangun semula. Namun, jika kamu tidak mula berlari, kamu tidak dapat sampai ke garisan penamat.”—Skye

      Vinicio.

      “Seseorang tidak akan membiarkan perasaan takut akan kemalangan menghalang dia daripada mendapatkan lesen memandunya. Halnya sama dengan pembaptisan. Kita harus berusaha untuk mengekalkan persahabatan yang erat dengan Yehuwa, dan bukannya risau tentang perkara yang mungkin akan berlaku.”—Vinicio.

      Ulang kaji: Mengapakah saya teragak-agak untuk dibaptis?

      • Takut melakukan dosa yang besar. Seperti kebanyakan umat Yehuwa, kamu juga dapat memilih untuk mengelak daripada melakukan dosa besar.

      • Takut memikul tanggungjawab. Binalah penghargaan terhadap kasih yang telah ditunjukkan Yehuwa kepada kamu. Dengan berbuat demikian, kamu akan didorong untuk memberikan yang terbaik, yang mampu kamu berikan kepada Yehuwa.

      • Takut tidak layak. Kamu layak menyembah Yehuwa jika kamu memenuhi syarat-syarat Bible mengenai pembaptisan. Lagipun, Yehuwa berhak menerima penyembahan kamu.

Bahan Bacaan Bahasa Melayu (2004-2023)
Log Keluar
Log Masuk
  • Melayu
  • Kongsi
  • Pilihan
  • Copyright © 2025 Watch Tower Bible and Tract Society of Pennsylvania
  • Syarat Penggunaan
  • Polisi Privasi
  • Tetapan Privasi
  • JW.ORG
  • Log Masuk
Kongsi