JALAN YANG MENUJU KEBAHAGIAAN
Tujuan Hidup
MANUSIA SANGAT UNIK KERANA DAPAT MENULIS, MELUKIS, MENCIPTA, DAN MEMIKIRKAN SOALAN SEPERTI: Mengapakah alam semesta ini wujud? Mengapakah kita wujud? Apakah tujuan hidup? Apakah yang akan berlaku pada masa depan?
Sesetengah orang mengelakkan soalan sebegini kerana berfikir bahawa jawapannya terlalu susah. Yang lain kata soalan sebegini tidak bermakna kerana nyawa terhasil secara kebetulan melalui evolusi. William Provine, seorang profesor sejarah dan biologi, berkata, “Tiada Tuhan, tiada tujuan, tiada asas untuk etika, tiada makna untuk kehidupan.”
Namun, ada orang yang tidak menerima pandangan sedemikian. Mengapa? Mereka dapat melihat alam semesta yang berfungsi dengan tersusun dan rapi. Bagi mereka, reka bentuk alam semula jadi sungguh menakjubkan, dan bahkan ditiru oleh manusia. Maka mereka menyimpulkan bahawa rekaan yang canggih dan efektif itu pasti ada sumber yang bijak dan tidak terhasil secara kebetulan.
Kesimpulan sedemikian telah mendorong sesetengah pendukung evolusi untuk menilai semula pegangan mereka. Perhatikan dua contoh berikut:
DR. ALEXEI MARNOV, PAKAR BEDAH OTAK. “Di sekolah, saya diajar ateisme dan evolusi,” katanya. “Sesiapa yang percaya kepada Tuhan dianggap jahil.” Namun, fikirannya mula berubah pada tahun 1990.
Alexei menjelaskan, “Saya selalu cari sebab yang logik bagi sesuatu, termasuk otak manusia. Organ itu memang struktur yang paling kompleks di alam semesta. Tapi adakah otak direka untuk menimba ilmu dan kemahiran dan kemudiannya mati? Saya rasa hal itu tidak masuk akal dan mula berfikir, ‘Kenapa kita wujud? Apakah tujuan hidup?’ Selepas berfikir panjang, saya buat kesimpulan ini: Pencipta pasti wujud.”
Untuk mencari tujuan hidup, Alexei mula mengkaji Bible. Isterinya, seorang doktor yang juga seorang ateis, mula belajar Bible untuk membuktikan bahawa fikiran Alexei salah! Namun, mereka berdua kini percaya sepenuhnya kepada Tuhan dan memahami tujuan-Nya bagi manusia seperti yang dijelaskan dalam Bible.
DR. HUABI YIN, SAINTIS PLASMA. Huabi Yin ialah ahli fizik yang mengkaji plasma selama bertahun-tahun. Plasma ialah keadaan jirim yang keempat (seperti matahari), yang kebanyakannya terdiri daripada elektron dan ion positif.
“Setiap kali ahli sains mengkaji fenomena alam,” kata Huabi, “kami selalu dapati semuanya berlaku dengan amat tertib, dan hal itu memerlukan hukum-hukum alam. Saya pun fikir, ‘Dari mana datangnya semua hukum itu? Jika api untuk memasak perlu dikawal dengan baik, siapakah yang menetapkan hukum untuk kawal matahari?’ Akhirnya, saya menyimpulkan bahawa ayat pertama dalam Bible ialah jawapan yang paling masuk akal, ‘Pada mulanya, Tuhan menciptakan langit dan bumi.’”—Kejadian 1:1.
Memang benar, bidang sains telah menjawab banyak soalan “bagaimana,” seperti: Bagaimanakah sel otak berfungsi? Bagaimanakah matahari menghasilkan haba dan cahaya? Namun, seperti yang dipelajari Alexei dan Huabi, Bible menjawab soalan yang lebih penting, iaitu “mengapa,” seperti: Mengapakah alam semesta wujud? Mengapakah terdapat hukum alam? Mengapakah kita wujud?
Mengapakah bumi wujud? Bible menyatakan, “[Tuhan] menciptakan bumi bukannya tanpa tujuan, tetapi membentuknya untuk didiami.” (Yesaya 45:18) Rencana seterusnya akan membincangkan sebabnya Tuhan menciptakan bumi dan bagaimana hal itu berkait rapat dengan harapan masa depan kita.