PERPUSTAKAAN DALAM TALIAN Watchtower
PERPUSTAKAAN DALAM TALIAN
Watchtower
Melayu
  • BIBLE
  • BAHAN BACAAN
  • PERJUMPAAN
  • bhs bab 15 ms. 154-163
  • Cara yang Betul untuk Menyembah Tuhan

Tiada video untuk bahagian ini.

Maaf, terdapat masalah memainkan video.

  • Cara yang Betul untuk Menyembah Tuhan
  • Apakah yang Diajarkan Bible?
  • Baca di Ajaran Bible
  • Tajuk Kecil
  • Bahan yang Berkaitan
  • CARA YANG BETUL UNTUK MENYEMBAH TUHAN
  • APAKAH YANG AKAN ANDA LAKUKAN?
  • Bagaimanakah Anda Dapat Mengenal Pasti Ibadat Sejati?
    Berita Baik daripada Tuhan!
  • Ibadat Sejati Akan Membuat Anda Lebih Bahagia
    Menara Pengawal (Pembelajaran)—2022
Apakah yang Diajarkan Bible?
bhs bab 15 ms. 154-163

BAB 15

Cara yang Betul untuk Menyembah Tuhan

1. Siapakah yang dapat memberitahu kita cara yang betul untuk menyembah Tuhan?

HAMPIR semua agama mengatakan bahawa mereka mengajarkan kebenaran tentang Tuhan, tetapi hal itu mustahil, kerana ajaran setiap agama berbeza. Jadi, apakah cara yang betul untuk menyembah Tuhan? Hanya Yehuwa yang dapat memberitahu kita caranya.

2. Bagaimanakah anda dapat mempelajari cara yang betul untuk menyembah Tuhan?

2 Yehuwa telah memberi kita Bible supaya kita mempelajari cara yang betul untuk menyembah-Nya. Maka, kajilah Bible. Yehuwa mengambil berat tentang anda dan pasti membantu anda memahami dan mengikut ajaran-Nya.​—Yesaya 48:17.

3. Tuhan mahu kita melakukan apa?

3 Ada orang berkata bahawa Tuhan menerima semua agama, tetapi Yesus berkata, “Bukan semua orang yang berkata kepadaku, ‘Tuan, Tuan,’ akan masuk dalam Kerajaan di syurga. Hanya mereka yang melakukan kehendak Bapaku yang di syurga akan memasukinya.” Maka, kita perlu belajar tentang kehendak Tuhan dan melakukannya. Hal itu serius kerana Yesus berkata bahawa orang yang tidak taat kepada Tuhan ialah “orang yang melanggar hukum.”​—Matius 7:21-23.

4. Menurut Yesus, apakah yang akan berlaku apabila kita melakukan kehendak Tuhan?

4 Yesus mengingatkan kita bahawa kita akan menghadapi cabaran semasa melakukan kehendak Tuhan. Dia berkata, “Masuklah melalui pintu yang sempit, kerana pintu yang lebar dan jalan yang luas menuju kebinasaan. Ramai orang melalui jalan itu. Tetapi pintu yang sempit dan jalan yang susah menuju kehidupan. Hanya sedikit orang menjumpai jalan itu.” (Matius 7:13, 14) Jalan yang sempit, iaitu cara yang betul untuk menyembah Tuhan, akan menuju kehidupan kekal. Tetapi jalan yang luas, iaitu cara yang salah untuk menyembah Tuhan, akan menuju kematian. Yehuwa tidak mahu sesiapa pun dibinasakan. Maka Dia memberi semua orang peluang untuk belajar tentang-Nya.​—2 Petrus 3:9.

CARA YANG BETUL UNTUK MENYEMBAH TUHAN

5. Bagaimanakah anda dapat mengenal pasti orang yang menyembah Tuhan dengan cara yang betul?

5 Menurut Yesus, dengan memerhatikan kepercayaan dan kelakuan orang, kita dapat mengetahui siapa yang menyembah Tuhan dengan cara yang betul. Dia berkata, “Kamu akan mengenal mereka melalui perbuatan mereka.” Yesus menambah, “Setiap pokok yang baik akan menghasilkan buah yang baik.” (Matius 7:16, 17) Begitu juga, orang yang menyembah Tuhan dengan cara yang betul akan selalu berusaha melakukan apa yang benar, walaupun mereka tidak sempurna. Mari kita melihat beberapa cara untuk mengenal pasti mereka.

6, 7. Mengapakah agama yang benar harus mengajar berdasarkan Bible? Apakah yang kita belajar daripada Yesus?

6 Kita menyembah Tuhan mengikut ajaran Bible. “Segenap Ayat-Ayat Suci diilhami oleh Tuhan dan berguna untuk mengajar, menegur, membetulkan segala sesuatu, dan mendidik orang untuk melakukan apa yang benar, agar hamba Tuhan menjadi cekap dan dilengkapi dengan sepenuhnya untuk melakukan setiap perbuatan yang baik.” (2 Timotius 3:16, 17) Rasul Paulus menulis, “Semasa kami menyampaikan perkhabaran Tuhan kepada kamu, kamu telah mendengar lalu menerimanya, bukan sebagai perkhabaran daripada manusia, tetapi sebagai perkhabaran daripada Tuhan.” (1 Tesalonika 2:13) Agama yang benar harus mengajar berdasarkan Bible, dan bukannya pendapat manusia, adat, atau hal-hal lain.

7 Yesus selalu mengajar daripada Bible. (Baca Yohanes 17:17.) Dia selalu memetik ayat Bible. (Matius 4:4, 7, 10) Hamba-hamba Tuhan mengikut teladan Yesus dan sentiasa mengajar berdasarkan Bible.

8. Apakah ajaran Yesus tentang cara menyembah Yehuwa?

8 Kita hanya menyembah Yehuwa. Mazmur 83:18 berkata, “Engkau, yang bernama Yehuwa, ialah satu-satunya Tuhan Yang Maha Tinggi di seluruh bumi.” Yesus mahu orang mengenali Tuhan yang benar, dan dia mengajar orang tentang nama Tuhan. (Baca Yohanes 17:6.) Yesus berkata, “Kamu mesti menyembah Yehuwa, Tuhanmu, dan kamu mesti memberikan khidmat suci kepada Dia sahaja.” (Matius 4:10) Sebagai hamba Tuhan, kita mengikut teladan Yesus. Kita hanya menyembah Yehuwa, kita menggunakan nama-Nya, dan kita mengajar orang tentang nama Tuhan dan apa yang akan dilakukan-Nya untuk kita.

9, 10. Bagaimanakah kita menunjukkan kasih kepada satu sama lain?

9 Kita menunjukkan kasih yang ikhlas. Yesus mengajar murid-muridnya untuk saling mengasihi. (Baca Yohanes 13:35.) Tidak kira bangsa atau budaya kita, dan sama ada kita kaya atau miskin, kasih kita untuk satu sama lain harus menyatukan kita sebagai saudara dan saudari. (Kolose 3:14) Jadi kita tidak berperang atau membunuh orang. Bible berkata, “Anak-anak Tuhan dan anak-anak Iblis dapat diketahui dengan jelas melalui fakta ini: Sesiapa yang tidak mengamalkan apa yang benar tidak berasal daripada Tuhan, begitu juga dengan sesiapa yang tidak mengasihi saudaranya.” Firman Tuhan juga berkata, “Kita harus saling mengasihi. Janganlah kita menjadi seperti Kain yang berasal daripada Si Jahat dan yang membunuh adiknya.”​—1 Yohanes 3:10-12; 4:20, 21.

10 Kita akan menggunakan masa, tenaga, dan harta untuk membantu dan menggalakkan satu sama lain. (Ibrani 10:24, 25) Kita juga “berbuat baik kepada semua orang.”​—Galatia 6:10.

11. Mengapakah kita patuh kepada Yesus?

11 Kita patuh kepada Yesus kerana dialah jalan kepada Tuhan. Bible berkata, “Hanya melalui Yesus orang dapat diselamatkan, kerana tiada nama lain di bawah langit dan dalam kalangan manusia yang telah dipilih oleh Tuhan untuk menyelamatkan kita.” (Kisah 4:12) Dalam Bab 5, kita belajar bahawa Yehuwa mengutus Yesus untuk mengorbankan nyawanya sebagai tebusan untuk manusia yang taat. (Matius 20:28) Yehuwa telah memilih Yesus sebagai Raja seluruh bumi. Jika kita mahu hidup kekal, kita mesti patuh kepada Yesus.​—Baca Yohanes 3:36.

12. Mengapakah kita tidak terlibat dalam politik?

12 Kita tidak terlibat dalam politik. Yesus tidak terlibat dalam politik. Semasa disoal oleh Pilatus, seorang pegawai Roma, Yesus berkata, “Kerajaanku bukan sebahagian daripada dunia ini.” (Baca Yohanes 18:36.) Seperti Yesus, kita setia kepada Kerajaan Tuhan yang di syurga. Oleh itu, tidak kira di mana kita tinggal, kita tidak mencampuri politik. Namun begitu, Bible berkata kita harus “taat kepada pihak berkuasa,” iaitu kerajaan. (Roma 13:1) Kita akan mematuhi undang-undang tempatan, tetapi jika ada undang-undang yang bertentangan dengan hukum Tuhan, kita akan “patuh kepada Tuhan sebagai pemerintah dan bukannya kepada manusia,” seperti yang dilakukan para rasul.​—Kisah 5:29; Markus 12:17.

13. Apakah berita tentang Kerajaan Tuhan yang kita sebarkan?

13 Kita percaya bahawa hanya Kerajaan Tuhan dapat menyelesaikan masalah dunia. Yesus berkata bahawa “berita baik tentang Kerajaan Tuhan” akan disebarkan ke seluruh bumi. (Baca Matius 24:14.) Tiada kerajaan manusia dapat melakukan apa yang bakal dilakukan Kerajaan Tuhan. (Mazmur 146:3) Yesus mengajar kita agar berdoa untuk Kerajaan Tuhan. Dia berkata, “Datanglah Kerajaan-Mu. Semoga kehendak-Mu terlaksana di bumi seperti di syurga.” (Matius 6:10) Bible memberitahu kita bahawa Kerajaan Tuhan akan memusnahkan semua kerajaan manusia, dan “hanya kerajaan ini yang akan kekal buat selama-lamanya.”​—Daniel 2:44.

14. Pada pendapat anda, siapakah yang menyembah Tuhan dengan cara yang betul?

14 Selepas mengkaji isi-isi tadi, tanyalah diri, “Siapakah yang sentiasa mengajar daripada Bible? Siapakah yang memberitahu orang tentang nama Tuhan? Siapakah yang mengasihi satu sama lain dan percaya bahawa Yesus ialah Penyelamat yang diutus Tuhan? Siapakah yang tidak mencampuri politik? Siapakah yang memberitahu orang bahawa hanya Kerajaan Tuhan yang dapat menyelesaikan semua masalah kita?” Hanya Saksi-Saksi Yehuwa yang buat begitu.​—Yesaya 43:10-12.

APAKAH YANG AKAN ANDA LAKUKAN?

15. Apakah yang harus dilakukan jika kita ingin Tuhan menerima ibadat kita?

15 Sekadar percaya Tuhan wujud tidak cukup. Roh-roh jahat pun percaya Tuhan wujud, tetapi mereka tidak mentaati Tuhan. (Yakobus 2:19) Jika kita ingin Tuhan menerima ibadat kita, kita bukan sahaja perlu percaya Dia wujud, tetapi juga perlu mengikut perintah-Nya.

16. Mengapakah kita perlu menolak agama palsu?

16 Kita mesti menolak agama palsu dan apa-apa sahaja yang berkaitan dengannya. Nabi Yesaya menulis, “Keluarlah dari situ dan pastikan bahawa kamu tetap suci!” (Yesaya 52:11; 2 Korintus 6:17) Dengan itu, barulah Tuhan akan menerima ibadat kita.

17, 18. Apakah itu “Babilon Besar”? Mengapakah anda harus menolaknya dengan segera?

17 Apakah itu agama palsu? Jika sesebuah agama mengajar kita cara untuk menyembah Tuhan, tetapi ajarannya bercanggahan dengan ajaran Bible, agama itu ialah agama palsu. Bible memanggil semua agama palsu sebagai “Babilon Besar.” (Wahyu 17:5) Mengapa? Selepas Banjir pada zaman Nuh, banyak ajaran agama palsu bermula di kota Babilon, lalu tersebar ke seluruh bumi. Contohnya, orang Babilon menyembah tiga tuhan dalam satu. Hari ini, banyak agama mengajar orang bahawa Tuhan ialah Tritunggal. Tetapi Bible mengatakan dengan jelas bahawa hanya ada satu Tuhan yang benar, iaitu Yehuwa. Yesus ialah Anak-Nya. (Yohanes 17:3) Orang Babilon juga percaya bahawa orang mati mempunyai roh yang terus hidup dan mungkin diseksa di neraka. Ajaran itu juga tidak benar.​—Lihat Penjelasan 14, 17, dan 18.

18 Tuhan berkata bahawa semua agama palsu akan dibinasakan tidak lama lagi. (Wahyu 18:8) Itulah sebabnya Yehuwa mahu anda keluar daripada agama palsu dengan segera, sebelum terlambat.​—Wahyu 18:4.

Seorang lelaki disambut oleh sekumpulan Saksi-Saksi Yehuwa yang berbilang bangsa

Dengan menyembah Yehuwa bersama umat-Nya, anda menyertai sebuah keluarga sedunia

19. Jika anda menyembah Yehuwa, bagaimanakah Dia akan menjaga anda?

19 Semasa anda memutuskan untuk keluar daripada agama palsu dan menyembah Yehuwa, kawan atau keluarga anda mungkin berasa hairan, dan bahkan membuat hidup anda susah. Tetapi Yehuwa tidak akan meninggalkan anda. Anda akan menyertai sebuah keluarga sedunia, yang terdiri daripada jutaan orang yang saling mengasihi. Anda juga berpeluang hidup selama-lamanya di dunia baharu Tuhan. (Markus 10:28-30) Sesetengah kawan atau ahli keluarga yang menentang anda mungkin akan belajar Bible pada kemudian hari.

20. Mengapakah penting untuk menyembah Tuhan dengan cara yang betul?

20 Tidak lama lagi, Tuhan akan melenyapkan semua kejahatan, dan Kerajaan-Nya akan memerintah seluruh bumi. (2 Petrus 3:9, 13) Pada masa itu, semua orang akan menyembah Yehuwa mengikut cara yang diingini-Nya. Jika anda menginginkan masa depan sebegitu, bertindaklah sekarang dan sembahlah Tuhan dengan cara yang betul.

ORANG YANG MENYEMBAH TUHAN

Orang daripada pelbagai bangsa, lapisan umur, dan latar belakang, mengikut haluan agama yang benar
  • mengajar berdasarkan Bible

  • hanya menyembah Yehuwa dan mengajar orang lain nama-Nya

  • saling mengasihi

  • percaya bahawa Yesus ialah Penyelamat yang diutus Tuhan

  • tidak mencampuri politik

  • memberitahu orang bahawa hanya Kerajaan Tuhan dapat menyelesaikan masalah dunia

RINGKASAN

KEBENARAN 1: CARA MENGENAL PASTI AGAMA YANG BENAR

“Pintu yang sempit dan jalan yang susah menuju kehidupan. Hanya sedikit orang menjumpai jalan itu.”​—Matius 7:14

Bagaimanakah kita tahu bahawa Tuhan tidak menerima semua agama?

  • Matius 7:21-23

    Tuhan tidak menerima semua agama. Bukan semua agama melakukan kehendak-Nya.

  • Matius 7:13, 14

    Agama yang benar menuju kehidupan kekal. Agama palsu menuju kebinasaan kekal.

  • Matius 7:16, 17

    Anda dapat mengenal pasti agama yang benar melalui perbuatannya. Anda tidak perlu mengkaji semua agama. Anda hanya perlu mengkaji ajaran Bible.

KEBENARAN 2: CARA YANG BETUL UNTUK MENYEMBAH TUHAN

  • 1 Tesalonika 2:13; 2 Timotius 3:16, 17

    Hanya percaya apa yang diajarkan Bible, dan mengajar berdasarkan Bible sahaja.

  • Matius 4:10; Yohanes 17:6

    Sembah Yehuwa dan guna nama-Nya.

  • Yohanes 13:35

    Tunjukkan kasih yang ikhlas kepada satu sama lain.

  • Yohanes 3:36; Kisah 4:12

    Patuhi Yesus. Tuhan mengutusnya untuk menyelamatkan kita.

  • Yohanes 18:36; Kisah 5:29

    Jangan mencampuri politik.

  • Matius 24:14; 6:10

    Ajar orang lain bahawa hanya Kerajaan Tuhan dapat menyelesaikan semua masalah kita.

KEBENARAN 3: ANDA PERLU BERTINDAK

Apakah yang harus anda lakukan jika anda ingin Tuhan menerima ibadat anda?

  • Yakobus 2:19

    Sekadar percaya kepada Tuhan tidak cukup. Anda perlu melakukan apa yang disuruh-Nya dalam Bible.

  • Yesaya 52:11; Wahyu 17:5

    Agama palsu, atau “Babilon Besar,” mengajar orang cara yang salah untuk menyembah Tuhan. Ajaran sebegitu termasuk Tritunggal, roh orang mati, dan api neraka.

  • Wahyu 18:4, 8

    Tidak lama lagi, Yehuwa akan melenyapkan semua agama palsu. Jadi anda perlu menolak apa-apa sahaja yang berkaitan dengan agama palsu.

  • Markus 10:28-30

    Anda mungkin ditentang, tetapi Yehuwa tidak akan meninggalkan anda.

    Bahan Bacaan Bahasa Melayu (2004-2023)
    Log Keluar
    Log Masuk
    • Melayu
    • Kongsi
    • Pilihan
    • Copyright © 2025 Watch Tower Bible and Tract Society of Pennsylvania
    • Syarat Penggunaan
    • Polisi Privasi
    • Tetapan Privasi
    • JW.ORG
    • Log Masuk
    Kongsi