PERPUSTAKAAN DALAM TALIAN Watchtower
PERPUSTAKAAN DALAM TALIAN
Watchtower
Melayu
  • BIBLE
  • BAHAN BACAAN
  • PERJUMPAAN
  • ‘Ke Mana Sahaja Air Itu Mengalir Akan Ada Kehidupan’
    Ibadat Sejati kepada Yehuwa Akhirnya Dipulihkan!
    • Yehezkiel menyeberangi sungai itu sementara lelaki yang berkilauan seperti tembaga memerhatikannya dari tebing sungai.

      BAB 19

      ‘Ke Mana Sahaja Air Itu Mengalir Akan Ada Kehidupan’

      YEHEZKIEL 47:9

      ISI UTAMA: Bagaimana penglihatan tentang sungai yang mengalir dari Rumah Tuhan menjadi kenyataan pada masa dulu, sekarang, dan pada masa depan

      1, 2. Berdasarkan Yehezkiel 47:1-12, apakah yang dilihat dan diketahui Yehezkiel? (Lihat gambar pada permulaan bab.)

      DALAM penglihatan Rumah Tuhan, Yehezkiel memerhatikan satu lagi perkara yang sangat menarik. Terdapat air yang sedang mengalir dari Rumah Tuhan. (Baca Yehezkiel 47:1-12.) Mula-mula, dia melihat sedikit air mengalir dari bawah ambang pintu Rumah Tuhan ke arah pintu gerbang timur. Malaikat yang memimpinnya sedang mengukur jarak aliran itu. Seraya mereka menyusuri aliran air yang jernih itu, malaikat itu berulang kali menyuruh Yehezkiel untuk menyeberanginya. Apabila Yehezkiel berbuat demikian, dia mendapati bahawa aliran itu menjadi semakin dalam dan deras. Akhirnya, sungai itu menjadi begitu dalam sehingga dia harus berenang jika ingin menyeberanginya.

      2 Yehezkiel juga diberitahu bahawa sungai itu mengalir ke Laut Mati dan menyembuhkan air laut yang sangat masin itu. Hasilnya, laut yang tiada hidupan itu mula dipenuhi dengan banyak sekali ikan. Di tebing sungai itu, terdapat banyak pokok yang menghasilkan buah. Setiap bulan, pokok-pokok itu berbuah dan menumbuhkan daun yang dapat digunakan sebagai ubat. Apakah perasaan Yehezkiel semasa melihat pokok-pokok yang subur dan sungai yang jernih itu? Hal ini pasti meneguhkan harapannya dan membuatnya bersukacita. Sekarang, mari kita kaji maksud penglihatan ini bagi Yehezkiel serta tawanan lain, dan maksudnya bagi kita.

      Maksud Penglihatan Ini bagi Para Tawanan

      3. Mengapakah orang Yahudi tahu bahawa sungai yang dilihat Yehezkiel bukanlah sungai yang harfiah?

      3 Sudah pasti orang Yahudi tahu bahawa sungai itu bukanlah sungai yang harfiah. Penglihatan ini mungkin mengingatkan mereka tentang nubuat pemulihan yang dicatatkan oleh Nabi Yoel lebih daripada 200 tahun lalu. (Baca Yoel 3:18.) Yoel menyebut tentang ‘gunung-gunung yang diliputi wain manis’ dan ‘bukit-bukit yang melimpah dengan susu.’ Memandangkan hal ini mustahil berlaku secara harfiah, para tawanan dapat menyimpulkan bahawa nubuat Yoel tentang air yang ‘mengalir dari rumah milik Yehuwa’ bukanlah sungai yang harfiah. Maka, mereka pasti tahu bahawa sungai dalam penglihatan Yehezkiel hanyalah sungai kiasan.a Jadi, apakah yang ingin disampaikan oleh Yehuwa melalui gambaran tentang sungai itu? Kita akan pertimbangkan tiga jaminan yang boleh diraih melalui penglihatan ini. Mari kita mengkajinya dengan lebih terperinci.

      Sebatang sungai.

      KOTAK MAKLUMAT 19A: Sungai yang Membawa Berkat Yehuwa

      4. (a) Apakah berkat-berkat yang dinantikan oleh orang Yahudi? (b) Mengapakah perkataan “sungai” dan “air” meyakinkan umat Tuhan bahawa Yehuwa akan memberkati mereka? (Lihat kotak “Sungai yang Membawa Berkat Yehuwa.”)

      4 Sungai yang membawa berkat. Dalam Bible, sungai dan air sering digunakan untuk menggambarkan berkat yang melimpah daripada Yehuwa. Maka, sungai yang mengalir dari Rumah Tuhan mungkin membantu umat Tuhan faham akan hal ini: Selagi mereka menjalankan ibadat sejati, mereka akan menerima berkat rohani yang melimpah. Apakah berkat-berkat yang akan diraih mereka? Mereka akan diajar oleh para imam dan menerima pengampunan Tuhan melalui korban yang dipersembahkan di Rumah Tuhan. (Yeh. 44:15, 23; 45:17) Ya, air yang mengalir dari Rumah Tuhan seolah-olah menjadikan mereka murni semula.

      5. Bagaimanakah penglihatan tentang sungai meyakinkan umat Tuhan bahawa berkat Yehuwa akan mencukupi untuk semua orang?

      5 Adakah berkat Yehuwa akan mencukupi untuk semua umat Tuhan? Dalam penglihatan Yehezkiel, aliran air yang sedikit telah menjadi sungai yang deras hanya dalam jarak kira-kira dua kilometer. (Yeh. 47:3-5) Walaupun bilangan orang Yahudi yang kembali semakin bertambah, berkat-berkat Yehuwa pasti cukup untuk memenuhi keperluan mereka. Hal itu jelas ditunjukkan melalui sungai yang deras dan dalam itu.

      6. (a) Apakah jaminan yang diberikan melalui gambaran air yang memberikan kehidupan? (b) Apakah amaran yang disampaikan dalam penglihatan ini? (Lihat nota kaki.)

      6 Air yang memberikan kehidupan. Dalam penglihatan Yehezkiel, sungai yang mengalir ke Laut Mati menyebabkan laut itu dipenuhi makhluk hidup. Terdapat pelbagai jenis ikan di situ seperti yang terdapat dalam Laut Tengah (atau Laut Mediterranean). Di persisiran pantai Laut Mati, terdapat industri perikanan yang meliputi kawasan yang sangat luas. Malaikat itu berkata, “Ke mana sahaja air itu mengalir, di situ akan ada kehidupan.” Gambaran ini memberikan jaminan bahawa ibadat sejati yang dipulihkan akan membawa berkat kepada manusia. Tetapi, adakah hal itu bermaksud bahawa seluruh Laut Mati akan disembuhkan? Tidak! Malaikat itu menyatakan bahawa sesetengah kawasan yang berlumpur tidak akan disembuhkan tetapi “dibiarkan menjadi garam.”b (Yeh. 47:8-11) Maka, penglihatan ini juga mengandungi amaran bagi umat Tuhan: Bukan semua orang akan dipulihkan atau sudi menerima berkat Yehuwa.

      7. Apakah yang dipelajari oleh orang Yahudi daripada pokok-pokok yang tumbuh di tebing sungai?

      7 Pokok-pokok yang menghasilkan makanan dan membawa penyembuhan. Apabila Yehezkiel dan para tawanan membayangkan buah-buah yang dapat dinikmati setiap bulan, mereka pasti rasa sangat gembira. Sebenarnya, pokok-pokok di tebing sungai itu memberikan pengajaran yang penting. Apakah pengajarannya? Mereka diyakinkan bahawa Yehuwa akan memberi mereka makanan rohani yang melimpah. Selain itu, perhatikan bahawa daun-daun pokok itu “akan digunakan sebagai ubat.” (Yeh. 47:12) Yehuwa tahu bahawa umat-Nya yang kembali perlu disembuhkan secara rohani. Maka Dia telah berjanji untuk membantu mereka pulih, seperti yang dibincangkan dalam Bab 9 buku ini.

      8. Apakah yang menunjukkan bahawa penglihatan Yehezkiel akan menjadi kenyataan dalam skala yang lebih besar?

      8 Dalam Bab 9, kita juga belajar bahawa para tawanan yang kembali hanya melihat janji Yehuwa menjadi kenyataan dalam skala yang kecil. Mengapa? Kerana mereka tidak setia dan telah mengabaikan ibadat sejati. Bayangkanlah betapa kecewanya para tawanan yang setia apabila melihat sikap rakan-rakan mereka yang jahat dan tidak taat. Namun, umat Tuhan yang setia yakin bahawa semua janji Yehuwa pasti ditunaikan. (Baca Yosua 23:14.) Sememangnya, penglihatan Yehezkiel akan menjadi kenyataan dalam skala yang lebih besar. Tetapi bilakah hal itu akan berlaku?

      Sungai Itu Mengalir Hari Ini!

      9. Bilakah penglihatan Yehezkiel tentang Rumah Tuhan menjadi kenyataan lagi?

      9 Dalam Bab 14 buku ini, kita belajar bahawa penglihatan tentang Rumah Tuhan menjadi kenyataan dalam skala yang lebih besar “pada hari-hari terakhir.” Itulah masanya ibadat sejati dijunjung tinggi. (Yes. 2:2) Bagaimanakah penglihatan tentang sungai yang dilihat oleh Yehezkiel menjadi kenyataan sekarang?

      10, 11. (a) Apakah berkat-berkat yang diumpamakan seperti sungai? (b) Apakah yang membuktikan bahawa umat Tuhan mendapat makanan rohani yang mencukupi hari ini?

      10 Sungai yang membawa berkat. Apakah berkat-berkat yang diumpamakan seperti sungai yang mengalir dari Rumah Tuhan? Kita mungkin terfikir tentang semua berkat daripada Yehuwa yang membantu kita tetap kuat secara rohani. Berkat terbesar yang kita terima ialah korban tebusan Kristus. Kurniaan ini membersihkan kita daripada dosa dan membantu kita mendapat pengampunan Tuhan. Selain itu, kebenaran dalam Firman Tuhan juga bagaikan air murni yang memberikan kehidupan. (Ef. 5:25-27) Bagaimanakah Yehuwa mencurahkan berkat-berkat ini pada zaman kita?

      11 Pada tahun 1919, hanya terdapat beberapa ribu Saksi-Saksi Yehuwa di seluruh bumi. Pada masa itu, mereka mendapat makanan rohani yang memenuhi keperluan mereka. Seraya masa berlalu, bilangan mereka terus meningkat sehingga menjadi lebih daripada lapan juta orang. Adakah umat Tuhan hari ini masih mendapat makanan rohani yang mencukupi? Ya! Yehuwa telah menyediakan makanan yang berlimpah-limpah. Contohnya, sepanjang 100 tahun yang lalu, berbilion-bilion Bible, buku, majalah, brosur, dan risalah telah diterbitkan. Seperti sungai dalam penglihatan Yehezkiel, air kebenaran telah mengalir dengan deras agar semua orang yang mendahagakan kebenaran Bible dapat dipuaskan. Selain daripada bahan bacaan yang bercetak, organisasi Yehuwa juga menyediakan bahan-bahan dalam bentuk elektronik di laman web jw.org. Hari ini, jw.org didapati dalam lebih daripada 1,000 bahasa! Bagaimanakah semua pemberian rohani ini membantu orang yang berhati jujur?

      12. (a) Apakah manfaat yang dibawa oleh air kebenaran? (b) Apakah amaran yang disampaikan dalam penglihatan ini? (Lihat nota kaki.)

      12 Air yang memberikan kehidupan. Yehezkiel diberitahu, “Ke mana sahaja air itu mengalir, di situ akan ada kehidupan.” Air kebenaran yang dicurahkan oleh Yehuwa telah memberikan manfaat kepada ramai orang. Jutaan orang yang menimba air ini tidak lagi mati secara rohani. Sebaliknya mereka seolah-olah dihidupkan kerana mereka mengenali Yehuwa dan beriman kepada-Nya. Namun, penglihatan ini juga mengandungi amaran bagi kita: Bukan semua orang akan terus menerima air kehidupan ini. Sepertimana terdapat tempat yang berpaya dan berlumpur yang tidak disembuhkan, sesetengah orang juga akan menolak air kebenaran.c Semoga hal ini tidak berlaku kepada kita!​—Baca Ulangan 10:16-18.

      13. Apakah yang kita pelajari daripada pokok-pokok di tebing sungai?

      13 Pokok-pokok yang menghasilkan makanan dan membawa penyembuhan. Dalam nubuat Yehezkiel, pokok-pokok itu menghasilkan buah-buahan yang enak setiap bulan dan daunnya dapat menjadi ubat. (Yeh. 47:12) Apakah yang kita pelajari daripada hal itu? Hari ini, Yehuwa juga memberikan makanan yang melimpah untuk memenuhi dan menjaga kesihatan rohani kita. Keadaan kita memang berbeza daripada orang di dunia ini yang lapar dan sakit secara rohani. Apakah perasaan anda semasa membaca majalah kita, menyanyikan lagu-lagu rohani di konvensyen atau perhimpunan, dan menonton video-video yang disediakan oleh organisasi Yehuwa? Tidakkah anda rasa diberkati? (Yes. 65:13, 14) Makanan yang berkhasiat ini dapat membantu kita menjauhi perbuatan yang tidak bermoral. Selain itu, kita dapat menghindari sikap tamak atau menjadi orang yang tidak beriman. Sekiranya kita melakukan dosa yang serius dan jatuh sakit secara rohani, Yehuwa juga telah menyediakan aturan agar kita dapat disembuhkan. (Baca Yakobus 5:14.) Alangkah bersyukurnya kita kerana Yehuwa telah memberkati kita dengan melimpah!

      14, 15. (a) Apakah pengajaran yang kita peroleh semasa memikirkan kawasan berlumpur yang tidak disembuhkan? (b) Bagaimanakah kita dapat meraih berkat Tuhan yang melimpah?

      14 Apakah pengajaran yang kita peroleh daripada kawasan berlumpur yang tidak disembuhkan? Kita tidak mahu menjadi seperti orang di dunia ini yang enggan disembuhkan atau membiarkan apa-apa menghalang kita daripada menerima berkat Yehuwa. (Mat. 13:15) Sebaliknya, kita ingin terus menikmati berkat-Nya yang melimpah. Kita berbuat demikian dengan menerima air kebenaran dalam Bible dan menyebarkannya kepada orang lain dengan bersemangat. Selain itu, kita dapat meraih manfaat daripada sungai itu apabila kita mendengarkan nasihat dan bimbingan para penatua yang dilatih oleh hamba yang setia. Sememangnya, sungai yang mengalir dari Rumah Tuhan memberikan kehidupan dan membawa penyembuhan.

      15 Adakah penglihatan ini juga akan menjadi kenyataan pada masa depan? Ya! Di Firdaus, sungai itu akan mendatangkan berkat yang jauh lebih besar kepada umat manusia. Mari kita belajar lebih lanjut tentang hal ini.

      Penglihatan Ini Akan Menjadi Kenyataan di Firdaus

      16, 17. Apakah berkat yang akan kita nikmati di Firdaus?

      16 Pernahkah anda membayangkan diri anda bersama keluarga yang tersayang di dunia baharu? Kehidupan anda pasti sangat menggembirakan dan memuaskan! Dengan mengkaji penglihatan Yehezkiel ini, anda akan mendapat gambaran yang lebih jelas tentang kehidupan di Firdaus. Sekarang, mari kita lihat bagaimana penglihatan Yehezkiel akan menjadi kenyataan di Firdaus.

      17 Sungai yang membawa berkat. Di Firdaus, manusia bukan hanya diberkati secara rohani tetapi juga secara jasmani. Ya, “kumpulan besar manusia” yang selamat mengharungi “kesengsaraan besar” akan menikmati banyak berkat daripada sungai itu. (Why. 7:9, 14) Semasa Pemerintahan Seribu Tahun Kristus, kita akan meraih manfaat yang sepenuhnya daripada korban tebusan Yesus. Kita akan beransur-ansur menjadi sempurna. Tiada lagi hospital, doktor, jururawat, dan penyakit. Berkat-berkat ini memang sangat menakjubkan, bukan? Tetapi, ingatlah bahawa aliran air yang dilihat Yehezkiel telah beransur-ansur menjadi sungai yang sangat deras. Maka, berkat-berkat yang akan dinikmati sejurus selepas Armagedon hanyalah seperti setitis air apabila dibandingkan dengan berkat-berkat yang bakal dicurahkan ke atas umat Tuhan.

      Orang yang muda dan sihat bekerja dan bersiar-siar di Firdaus. Sebatang sungai sedang mengalir di belakang.

      Di Firdaus, sungai yang membawa berkat akan membantu manusia menjadi muda dan sihat (Lihat perenggan 17)

      18. Bagaimanakah “sungai air kehidupan” menjadi semakin deras semasa Pemerintahan Seribu Tahun Kristus?

      18 Air yang memberikan kehidupan. Semasa Pemerintahan Seribu Tahun Kristus, “sungai air kehidupan” akan menjadi semakin deras. (Why. 22:1) Berjuta-juta orang akan dihidupkan semula dan diberikan peluang untuk hidup selama-lamanya di Firdaus! Ya, bahkan mereka yang sudah mati selama berkurun-kurun dapat meraih berkat di bawah pemerintahan Kerajaan Tuhan. (Yes. 26:19) Tetapi, adakah semua orang yang dibangkitkan akan hidup selama-lamanya?

      19. (a) Bagaimanakah kita tahu bahawa air kehidupan akan terus mengalir di Firdaus? (b) Mengapakah sesetengah orang bagaikan kawasan berlumpur yang “dibiarkan menjadi garam”?

      19 Semasa seribu tahun itu, air kehidupan akan terus mengalir kerana Yehuwa akan membuka kitab-kitab baharu yang mengandungi arahan dan kebenaran baharu. Tidakkah kita teruja untuk menantikan saat itu? Sedihnya, bukan semua orang akan mengikut arahan baharu itu. Jadi, walaupun kita semua diberikan peluang untuk hidup selama-lamanya, ada yang tetap memilih untuk memberontak terhadap Yehuwa. Alangkah bodohnya mereka kerana enggan meminum air kehidupan! Mereka bagaikan kawasan berlumpur yang “dibiarkan menjadi garam.” Tetapi Yehuwa tidak akan membiarkan mereka untuk merosakkan keamanan di Firdaus. (Yes. 65:20) Selepas seribu tahun itu, semua yang berpihak kepada Syaitan akan mengalami kesudahan yang sama, iaitu pembinasaan kekal.​—Why. 20:7-12.

      20. Semasa Pemerintahan Seribu Tahun Kristus, apakah aturan yang diumpamakan seperti pokok-pokok dalam penglihatan Yehezkiel?

      20 Pokok-pokok yang menghasilkan makanan dan membawa penyembuhan. Yehuwa tidak mahu sesiapa pun kehilangan peluang untuk hidup selama-lamanya. Maka, Dia pasti akan menyediakan suatu aturan untuk membantu kita memperoleh semua berkat-Nya. Semasa Pemerintahan Seribu Tahun Kristus, 144,000 orang akan memerintah sebagai raja bersama Yesus. Selaku imam, mereka akan membantu kita menjadi sempurna dengan menggunakan korban tebusan Yesus. (Why. 20:6) Aturan ini diumpamakan seperti pokok-pokok yang menghasilkan buah yang berkhasiat dan daunnya membawa penyembuhan. Sebenarnya, gambaran ini mengingatkan kita tentang penglihatan Rasul Yohanes. (Baca Wahyu 22:1, 2.) Daun-daun dalam penglihatannya juga “dapat menyembuhkan bangsa-bangsa.” Maka, Yesus dan 144,000 orang imam itu akan membawa penyembuhan rohani dan jasmani kepada jutaan orang yang taat.

      Yehezkiel melihat sedikit air menjadi sungai yang dalam dan deras.

      KOTAK MAKLUMAT 19B: Sedikit Air Menjadi Sungai yang Deras!

      21. (a) Apakah perasaan anda setelah meneliti penglihatan Yehezkiel? (Lihat kotak “Sedikit Air Menjadi Sungai yang Deras!”) (b) Apakah yang akan kita bincangkan seterusnya?

      21 Setelah meneliti sungai dalam penglihatan Yehezkiel, tidakkah kita berasa syukur dan dipenuhi harapan? Sememangnya, masa depan yang mengagumkan menantikan kita semua! Sejak ribuan tahun yang lalu, Yehuwa telah membuka peluang kepada umat manusia untuk hidup di dunia baharu. Dia memberikan penglihatan-penglihatan ini agar kita dapat membayangkan berkat yang akan dinikmati di Firdaus. Tetapi, adakah anda benar-benar dapat hidup di sana? Untuk menguatkan keyakinan anda, mari kita kaji bahagian akhir penglihatan Yehezkiel.

      a Tambahan lagi, orang Yahudi yang ingat bentuk muka bumi di tanah air mereka tahu bahawa sungai itu bukan sungai yang harfiah. Hal ini demikian kerana tiada Rumah Tuhan yang wujud di gunung yang sebegitu tinggi. Selain itu, sungai itu tidak mungkin dapat terus mengalir ke Laut Mati tanpa apa-apa halangan.

      b Sesetengah pengulas Bible berpendapat bahawa ungkapan ini membawa maksud yang positif. Hal ini kerana garam digunakan sebagai bahan pengawet dan merupakan sumber pendapatan yang lumayan bagi orang di kawasan Laut Mati. Tetapi Yehezkiel menyatakan bahawa kawasan berlumpur “tidak akan disembuhkan” oleh air kehidupan yang mengalir daripada Rumah Tuhan, dan tiada hidupan akan tinggal di sana. Maka dalam penglihatan ini, ungkapan ini nampaknya membawa maksud yang negatif.​—Mzm. 107:33, 34; Yer. 17:6.

      c Hal ini mirip dengan perumpamaan Yesus tentang ikan-ikan yang ditangkap dalam pukat. Sesetengah ikan dalam pukat itu tidak sesuai dan harus dibuang. Maka, perumpamaan Yesus menunjukkan bahawa sebilangan besar orang yang menyertai atau bergaul dengan umat Yehuwa tidak akan tetap setia.​—Mat. 13:47-50; 2 Tim. 2:20, 21.

      PERANAN ANDA DALAM IBADAT SEJATI

      1. Bagaimanakah penglihatan Yehezkiel tentang sungai menjadi kenyataan pada zaman dahulu?

      2. Bagaimanakah penglihatan ini menjadi kenyataan sekarang?

      3. Bagaimanakah penglihatan ini akan menjadi kenyataan lagi semasa Pemerintahan Seribu Tahun Kristus?

  • ‘Bahagikan Tanah Itu sebagai Warisan’
    Ibadat Sejati kepada Yehuwa Akhirnya Dipulihkan!
    • Sebatang sungai mengalir ke laut dan dikelilingi tanah warisan.

      BAB 20

      ‘Bahagikan Tanah Itu sebagai Warisan’

      YEHEZKIEL 45:1

      ISI UTAMA: Pengajaran daripada tanah yang dibahagikan

      1, 2. (a) Apakah arahan yang diberikan kepada Yehezkiel? (b) Apakah soalan-soalan yang akan kita bincangkan?

      TAHUNNYA ialah 593 SM, dan Yehuwa telah memberi Yehezkiel satu lagi penglihatan. Apa yang dilihatnya mungkin membuatnya terfikir tentang suatu peristiwa yang telah berlaku kira-kira 900 tahun yang lalu. Mari kita kembali ke zaman Musa dan Yosua untuk mengetahui apa yang telah terjadi. Pada masa itu, Yehuwa telah memberi Musa arahan-arahan tentang sempadan bagi Tanah yang Dijanjikan. Pada kemudian hari pula, Yehuwa telah memberitahu Yosua bagaimana kawasan itu harus dibahagikan antara suku-suku Israel. (Bil. 34:1-15; Yos. 13:7; 22:4, 9) Tetapi kini, dalam penglihatan yang diberikan kepada Yehezkiel, Yehuwa sekali lagi memberinya arahan mengenai cara untuk membahagikan Tanah yang Dijanjikan bagi suku-suku Israel.​—Yeh. 45:1; 47:14; 48:29.

      2 Apakah yang dipelajari oleh Yehezkiel dan para tawanan melalui penglihatan ini? Mengapakah penglihatan ini menggalakkan umat Tuhan hari ini? Adakah penglihatan ini akan menjadi kenyataan dalam skala yang lebih besar pada masa depan?

      Empat Jaminan daripada Yehuwa

      3, 4. (a) Apakah empat jaminan yang diperoleh melalui penglihatan Yehezkiel yang terakhir? (b) Apakah yang akan kita kaji dalam bab ini?

      3 Penglihatan terakhir ini meliputi sembilan bab dalam buku Yehezkiel. (Yeh. 40:1–48:35) Apabila para tawanan mengetahui tentang apa yang dilihat oleh Yehezkiel, mereka pasti sangat digalakkan. Mengapa? Kerana penglihatan ini memberikan empat jaminan tentang bangsa Israel yang dipulihkan. Pertama, ibadat sejati akan dipulihkan di Rumah Tuhan. Kedua, imam dan gembala yang setia akan memimpin bangsa itu. Ketiga, tanah warisan akan diberikan kepada mereka yang kembali ke Israel. Keempat, Yehuwa akan menyertai mereka dan Dia akan tinggal semula dalam kalangan mereka.

      4 Dalam Bab 13 dan 14 buku ini, kita telah belajar tentang dua jaminan yang pertama, iaitu pemulihan ibadat sejati dan persediaan aturan gembala yang setia. Kita juga telah mengkaji bagaimana dua jaminan itu akan menjadi kenyataan. Dalam bab ini, kita akan bertumpu kepada jaminan yang ketiga, iaitu tanah warisan yang dijanjikan. Bab seterusnya pula akan meneliti janji Yehuwa untuk menyertai umat-Nya.​—Yeh. 47:13-21; 48:1-7, 23-29.

      ‘Tanah Ini Akan Diberikan kepada Kamu sebagai Warisan’

      5, 6. (a) Apakah tanah yang dibahagikan dalam penglihatan Yehezkiel? (Lihat gambar pada permulaan bab.) (b) Mengapakah Yehuwa memberikan penglihatan ini?

      5 Baca Yehezkiel 47:14. Dalam penglihatan ini, Yehezkiel melihat tanah yang akan menjadi “seperti Taman Eden.” (Yeh. 36:35) Selepas itu Yehuwa berfirman, “Kamu haruslah membahagikan tanah ini dan memberikannya kepada 12 suku Israel.” (Yeh. 47:13) Apakah tanah yang dimaksudkan itu? Tanah ini ialah negeri Israel yang dipulihkan dan yang akan didiami oleh para tawanan setelah mereka kembali. Kemudian, seperti yang dicatatkan di Yehezkiel 47:15-21, Yehuwa memberinya maklumat yang terperinci tentang sempadan-sempadan tanah itu.

      6 Mengapakah Yehuwa memberi Yehezkiel dan para tawanan Yahudi penglihatan ini? Gambaran yang terperinci tentang pembahagian tanah warisan meyakinkan Yehezkiel dan para tawanan bahawa tanah air mereka akan dipulihkan. Bayangkanlah perasaan para tawanan semasa mendengar tentang hal itu. Mereka pasti berasa sangat gembira dan dilegakan. Ya, jaminan itu tentu menyemarakkan semangat mereka! Namun, adakah mereka benar-benar menerima tanah warisan yang dijanjikan itu?

      Sebatang sungai mengalir ke laut dan dikelilingi tanah warisan.

      7. (a) Apakah yang berlaku pada 537 SM? Peristiwa itu mengingatkan kita tentang apa? (b) Apakah soalan yang akan kita bincangkan terlebih dahulu?

      7 Seperti yang dijanjikan oleh Yehuwa, hal itu telah menjadi kenyataan kira-kira 56 tahun kemudian. Pada tahun 537 SM, ribuan tawanan telah kembali ke negeri Israel dan mendiaminya. Sebenarnya, hal ini mengingatkan kita tentang peristiwa serupa yang telah berlaku dalam kalangan umat Tuhan pada zaman moden. Yehuwa telah memberi umat-Nya sebuah tanah kiasan dan mereka sedang mendiami tanah itu. Memandangkan terdapat persamaan antara pemulihan yang telah berlaku pada zaman kuno dengan hari ini, kita dapat memperoleh pengajaran yang berguna daripada kisah mereka. Tetapi sebelum meneliti pengajaran-pengajaran itu, mari kita jawab soalan ini: Mengapakah kita yakin bahawa tanah kiasan ini betul-betul wujud dewasa ini?

      8. (a) Bangsa Israel digantikan dengan siapa? (b) Apakah itu firdaus rohani? (c) Bilakah firdaus rohani mula wujud, dan siapakah yang mendiaminya?

      8 Dalam penglihatan yang sebelumnya, Yehuwa menyingkapkan bahawa nubuat pemulihan Israel akan menjadi kenyataan dalam skala yang lebih besar. Hal itu berlaku pada 1914 apabila ‘Hamba-Nya Daud,’ iaitu Yesus, mula memerintah sebagai raja. (Yeh. 37:24) Pada masa itu, bangsa Israel sudah digantikan dengan Israel rohani yang terdiri daripada kaum terurap. (Baca Matius 21:43; 1 Petrus 2:9.) Yehuwa juga telah membawa umat-Nya ke sebuah tanah kiasan, iaitu firdaus rohani. (Yes. 66:8) Dalam Bab 17 buku ini, kita belajar bahawa firdaus rohani ini merujuk kepada keadaan yang selamat dan makmur secara rohani. Sejak 1919, kaum terurap telah menyembah Yehuwa dalam firdaus rohani ini. (Lihat kotak 9B, “Mengapa 1919?”) Pada kemudian hari, umat Tuhan yang mempunyai harapan untuk hidup di bumi juga mendiami firdaus rohani ini. (Yoh. 10:16) Pada zaman sekarang, firdaus rohani ini semakin berkembang. Namun, berkat-berkatnya hanya dapat dinikmati dengan sepenuhnya selepas Armagedon.

      Tanah Dibahagikan Secara Sama Rata

      9. Apakah arahan terperinci yang diberikan oleh Yehuwa tentang tanah itu?

      9 Baca Yehezkiel 48:1, 28. Selepas menyatakan sempadan bagi tanah dalam penglihatan Yehezkiel, Yehuwa memberikan arahan terperinci tentang cara untuk membahagikannya. Dia menyatakan bahawa tanah itu harus dibahagikan secara sama rata antara 12 suku Israel, bermula dengan suku Dan di bahagian utara hingga suku Gad di bahagian selatan. Setiap suku mempunyai tanah yang disusun secara melintang, dan keluasannya bermula dari sempadan di bahagian timur hingga ke Laut Tengah (atau Laut Mediterranean) yang merupakan sempadan barat.​—Yeh. 47:20; lihat peta dalam kotak “Cara Tanah Itu Dibahagikan.”

      10. Apakah yang dipelajari oleh para tawanan daripada penglihatan ini?

      10 Apakah yang dipelajari oleh para tawanan daripada penglihatan tentang pembahagian tanah ini? Gambaran yang sangat terperinci itu menegaskan bahawa tanah warisan mereka akan dibahagikan dengan teratur. Selain itu, tanah yang dibahagikan secara sama rata pasti meyakinkan mereka bahawa mereka akan mendapat tanah warisan masing-masing. Ya, para tawanan yang kembali ke tanah yang dipulihkan itu tidak akan diabaikan.

      Lelaki yang berkilauan seperti tembaga membawa Yehezkiel untuk melihat tanah warisan.

      KOTAK MAKLUMAT 20A: Cara Tanah Itu Dibahagikan

      11. Apakah pengajaran yang kita peroleh daripada penglihatan ini? (Lihat kotak “Cara Tanah Itu Dibahagikan.”)

      11 Apakah pengajaran yang kita peroleh daripada penglihatan ini? Tanah dalam penglihatan Yehezkiel bukan hanya disediakan untuk para imam, orang Lewi, dan para pemimpin, tetapi juga untuk rakyat biasa daripada 12 suku Israel. (Yeh. 45:4, 5, 7, 8) Begitu juga, firdaus rohani tidak hanya didiami oleh kaum terurap dan para saudara daripada “kumpulan besar” yang mengambil pimpinan. Tetapi semua saudara saudari daripada “kumpulan besar manusia” juga tinggal di firdaus rohani ini.a (Why. 7:9) Jadi, tidak kira peranan kita besar atau kecil dalam organisasi Yehuwa, kita semua mempunyai tugasan yang penting dan diberikan tempat dalam firdaus rohani. Tidakkah hal ini menyentuh hati anda?

      Kolaj: Umat Tuhan hari ini. 1. Seorang saudari membantu ibunya yang tua makan ubat. 2. Seorang mubaligh melatih seorang penyiar muda semasa menginjil di tepi pantai. 3. Seorang ibu tunggal mengadakan pembelajaran Bible bersama dua orang anaknya. 4. Gerrit Lösch mengendalikan penyembahan pagi di Bethel. 5. Seorang saudari tua sedang berdoa. Dia mempunyai Bible dan senarai nama saudara-saudara yang dipenjarakan. 6. Seorang saudara membersihkan tandas di Dewan Perjumpaan. 7. Seorang saudara menjadi atendan parkir di Dewan Perhimpunan. 8. Saudara-saudara bekerja di studio rakaman di pejabat penterjemahan.

      Tidak kira peranan kita besar atau kecil dalam organisasi Yehuwa, Dia menghargai usaha kita (Lihat perenggan 11)

      Dua Perbezaan dan Pengajarannya untuk Kita

      12, 13. Apakah arahan spesifik yang diberikan oleh Yehuwa tentang cara membahagikan tanah?

      12 Sesetengah arahan yang diberikan oleh Yehuwa tentang pembahagian tanah mungkin mengelirukan Yehezkiel. Mengapa? Kerana arahan-arahan itu berbeza daripada arahan yang diberikan kepada Musa. Sekarang, kita akan mengkaji dua perbezaan itu. Yang pertama berkaitan dengan pembahagian tanah, dan yang kedua berkaitan dengan penduduk yang menetap di sana.

      13 Perbezaan yang pertama: Pembahagian tanah. Musa disuruh untuk memberikan tanah yang lebih luas kepada suku yang lebih besar. (Bil. 26:52-54) Tetapi, dalam penglihatan Yehezkiel, Yehuwa memberikan arahan bahawa tanah itu harus dibahagikan secara “sama rata” antara semua suku. (Yeh. 47:14) Maka, jarak dari sempadan utara ke sempadan selatan bagi setiap suku adalah sama. Dengan demikian, setiap suku dapat menikmati hasil tanah yang sama tidak kira di mana mereka tinggal.

      14. Berkenaan orang asing, apakah perbezaan antara perintah Yehuwa kepada Musa dengan arahan-Nya kepada Yehezkiel?

      14 Perbezaan yang kedua: Penduduk yang menetap di tanah itu. Dalam Hukum Musa, Yehuwa menetapkan peraturan untuk melindungi orang asing dan membenarkan mereka untuk beribadat kepada-Nya. Namun mereka tidak diberikan tanah warisan. (Im. 19:33, 34) Dalam penglihatan Yehezkiel pula, Yehuwa berfirman, ‘Orang asing haruslah diberi tanah warisan bersama-sama suku di tempat mereka tinggal.’ Maka, Yehuwa telah merobohkan salah satu “tembok” yang membezakan “penduduk asli Israel” daripada orang asing. (Yeh. 47:22, 23) Kedua-dua kumpulan itu setaraf di mata Tuhan, dan mereka dapat beribadat dengan bersatu padu.​—Im. 25:23.

      15. Apakah kebenaran yang ditonjolkan melalui arahan-arahan Yehuwa kepada Yehezkiel?

      15 Apakah pengajaran yang diperoleh para tawanan daripada dua arahan itu? Mereka diyakinkan bahawa Yehuwa akan memberikan tanah secara sama rata kepada semua umat-Nya, tidak kira mereka ialah orang asing atau orang Israel. (Ezr. 8:20; Neh. 3:26; 7:6, 25; Yes. 56:3, 8) Hal ini juga menonjolkan satu kebenaran yang amat melegakan hati kita: Yehuwa menghargai setiap hamba-Nya dan Dia tidak bersikap berat sebelah. (Baca Hagai 2:7.) Betapa bersyukurnya kita kerana Yehuwa mengasihi semua umat-Nya, tidak kira kita berpeluang untuk hidup di syurga atau bumi.

      16, 17. (a) Apakah pengajaran yang kita raih daripada penglihatan ini? (b) Apakah yang akan kita bincang dalam bab seterusnya?

      16 Apakah pengajaran yang kita raih daripada penglihatan ini? Kita belajar bahawa perpaduan dan sikap tidak berat sebelah harus jelas kelihatan dalam firdaus rohani. Memandangkan Yehuwa ialah Tuhan yang adil, kita harus tanya diri, “Adakah saya juga bersikap adil seperti Yehuwa? Adakah saya melayan rakan seiman dengan hormat, tidak kira bangsa, keadaan hidup, atau latar belakang mereka?” (Rm. 12:10) Yehuwa telah memberi kita peluang untuk hidup di firdaus rohani ini. Ya, kita berbesar hati kerana dapat berkhidmat kepada-Nya dengan sepenuh hati dan menikmati berkat-Nya.​—Gal. 3:26-29; Why. 7:9.

      Saudari-saudari daripada pelbagai bangsa dan umur mengadakan penyembahan keluarga di rumah seorang saudari yang kurang upaya.

      Seperti Yehuwa, adakah kita menghormati semua orang dan tidak bersikap berat sebelah? (Lihat perenggan 15, 16)

      17 Dalam bab yang seterusnya, kita akan membincangkan jaminan keempat, iaitu janji Yehuwa untuk menyertai para tawanan. Apakah pengajaran yang dapat kita raih daripada jaminan itu? Mari kita lihat.

      a Untuk mengetahui lebih lanjut tentang para imam dan pemimpin yang menduduki tanah kiasan ini, sila lihat Bab 14 buku ini.

      PERANAN ANDA DALAM IBADAT SEJATI

      1. Mengapakah anda yakin bahawa tanah kiasan ini betul-betul wujud dewasa ini?

      2. Mengapakah anda yakin bahawa anda mempunyai tugasan yang penting dan diberikan tempat dalam firdaus rohani?

      3. Apakah yang anda pelajari tentang Yehuwa melalui penglihatan ini?

  • ‘Kota Itu Dinamakan “Yehuwa Ada di Situ”’
    Ibadat Sejati kepada Yehuwa Akhirnya Dipulihkan!
    • Pemandangan kota yang bernama “Yehuwa Ada di Situ.”

      BAB 21

      ‘Kota Itu Dinamakan “Yehuwa Ada di Situ”’

      YEHEZKIEL 48:35

      ISI UTAMA: Maksud kota dan kawasan yang disumbangkan kepada Tuhan

      1, 2. (a) Mengapakah sebahagian daripada tanah warisan telah diasingkan? (Lihat gambar pada kulit buku.) (b) Apakah jaminan yang diperoleh para tawanan daripada penglihatan ini?

      DALAM penglihatan terakhir ini, Yehezkiel melihat bahawa terdapat sebuah kawasan dalam tanah warisan yang telah diasingkan. Tujuannya diasingkan sangat istimewa kerana kawasan itu harus disumbangkan kepada Yehuwa. Yehezkiel juga nampak sebuah kota yang mempunyai nama yang sangat menarik. Secara keseluruhan, penglihatan tentang kota dan kawasan yang disumbangkan kepada Yehuwa merupakan jaminan bahawa Dia akan menyertai para tawanan yang kembali ke tanah air mereka.

      2 Dalam catatan Yehezkiel, kita diberitahu perincian mengenai kawasan yang disumbangkan itu. Sebagai penyembah Yehuwa, hal ini berkait rapat dengan kita. Maka, mari kita kaji hal ini bersama dan memperoleh pengajaran daripadanya.

      Pemandangan “seluruh kawasan yang disumbangkan” dan kota yang bernama “Yehuwa Ada di Situ.” Dalam penglihatan Yehezkiel, dia melihat Rumah Tuhan di atas gunung yang sangat tinggi. Kemuliaan Yehuwa menyinari dari Rumah-Nya dan terdapat sungai yang mengalir dari situ.

      Sumbangan Suci dan Kota

      Peta menunjukkan “kawasan untuk disumbangkan kepada Tuhan” dan kotak yang menunjukkan sebahagian kawasan itu yang dipanggil “seluruh kawasan yang disumbangkan.”

      KOTAK MAKLUMAT 21A: ‘Asingkan Kawasan untuk Disumbangkan kepada Tuhan’

      3. Apakah lima bahagian yang terangkum dalam kawasan istimewa ini? Jelaskan tujuannya. (Lihat kotak ‘Asingkan Kawasan untuk Disumbangkan kepada Tuhan.’)

      3 Di kawasan yang disumbangkan kepada Yehuwa (lihat kotak 21A, A), atau tanah sumbangan, terdapat sebuah kawasan khas yang dikenali sebagai “seluruh kawasan yang disumbangkan.” (B) Ukuran kawasan yang berbentuk segi empat sama ini ialah 25,000 hasta (13 km) dari utara ke selatan dan 25,000 hasta (13 km) dari timur ke barat. Kawasan ini dibahagikan secara melintang kepada tiga bahagian. Bahagian yang atas dikhaskan untuk orang Lewi. Bahagian tengah pula dikhaskan untuk Rumah Tuhan dan para imam. Kedua-dua bahagian itu dipanggil “sumbangan suci.” (D) Akhirnya, bahagian ketiga yang lebih kecil, iaitu “kawasan selebihnya,” (E) merupakan tempat umum untuk “kegunaan penduduk kota.”​—Yeh. 48:15, 20.

      4. Apakah pengajaran yang diperoleh daripada cara Yehuwa mengasingkan tanah sumbangan?

      4 Apakah pengajaran yang diperoleh daripada cara Yehuwa mengasingkan tanah sumbangan? Sebelum membahagikan tanah antara suku-suku Israel, Yehuwa menyatakan bahawa tanah sumbangan, iaitu kawasan yang berkaitan dengan ibadat-Nya, harus diasingkan terlebih dahulu. (Yeh. 45:1) Apabila para tawanan memperhatikan bahawa Yehuwa memberikan keutamaan kepada tanah sumbangan, mereka belajar bahawa hal-hal yang berkaitan dengan ibadat sejati harus diutamakan. Demikian juga, kita harus mementingkan hal rohani seperti mempelajari Bible, menghadiri perjumpaan, dan menginjil. Apabila kita menetapkan keutamaan hidup yang betul, kita sedang mencerminkan sikap Yehuwa. Hasilnya, kita dapat terus mengutamakan ibadat kepada-Nya.

      ‘Kota yang Terletak Di Tengah-Tengah Kawasan Ini’

      5, 6. (a) Kota itu milik siapa? (b) Kota itu tidak merujuk kepada apa, dan mengapa?

      5 Baca Yehezkiel 48:15. Apakah yang dijelaskan tentang kota dan kawasan di sekelilingnya? (Yeh. 48:16-18) Yehuwa memberitahu Yehezkiel, “Kamu patut mengasingkan sebidang tanah sebagai milik kota. . . . Tanah itu akan menjadi milik seluruh bangsa Israel.” (Yeh. 45:6, 7) Maka, kota dan tanah di sekelilingnya bukanlah sebahagian daripada “sumbangan suci” yang diberikan “khas kepada Yehuwa.” (Yeh. 48:9) Setelah memahami hal ini, mari kita mengenali kota itu dengan lebih lanjut dan melihat pengajaran yang dapat diperoleh daripadanya.

      6 Mula-mula, kita perlu tahu apa yang tidak dimaksudkan oleh kota itu. Kota itu tidak merujuk kepada kota Yerusalem, iaitu tempat letaknya Rumah Tuhan. Mengapa? Kerana kota dalam penglihatan Yehezkiel tidak mempunyai Rumah Tuhan. Selain itu, kota yang dilihat Yehezkiel tidak merujuk kepada mana-mana kota lain di negeri Israel yang dipulihkan. Mengapa? Kerana kota-kota di Israel tidak mempunyai ciri-ciri yang disebutkan oleh Yehezkiel. Akhir sekali, kota itu tidak merujuk kepada kota di syurga. Mengapa? Kerana kota itu dibina di “tempat umum,” dan bukannya di tempat yang dikhaskan untuk ibadat kepada Yehuwa.​—Yeh. 42:20.

      7. Apakah yang dapat kita simpulkan tentang kota itu? Kota itu nampaknya melambangkan apa? (Lihat gambar pada permulaan bab.)

      7 Jadi, kota yang dilihat oleh Yehezkiel merujuk kepada apa? Perhatikan bahawa Yehuwa menunjukkan kota itu dan tanah warisan dalam penglihatan yang sama. (Yeh. 40:2; 45:1, 6) Bible menyingkapkan bahawa tanah warisan itu merupakan tanah kiasan. Oleh itu, kita dapat menyimpulkan bahawa kota itu ialah sebuah kota kiasan. Apakah yang kita faham apabila mendengar perkataan “kota”? Kita mungkin terfikir tentang sekumpulan orang yang hidup bersama di suatu tempat dan yang mempunyai pentadbiran dan aturan tertentu. Maka, kota berbentuk segi empat sama ini nampaknya melambangkan sebuah pusat pentadbiran yang sangat tertib dan teratur.

      Pemandangan kota yang bernama “Yehuwa Ada di Situ.”

      8. Berapa luaskah lingkungan kuasa pentadbiran ini? Mengapakah kita berkata demikian?

      8 Berapa luaskah lingkungan kuasa pentadbiran kota itu? Penglihatan Yehezkiel menunjukkan bahawa kota itu terletak di tanah kiasan. Maka, pentadbiran ini membimbing kegiatan umat Tuhan yang hidup di firdaus rohani. Perhatikan juga bahawa kota itu terletak di tempat umum dan bukannya di tempat suci yang dikhaskan untuk Yehuwa. Hal ini mengingatkan kita bahawa pentadbiran ini wujud di bumi dan bukannya di syurga, dan bertujuan untuk menjaga kepentingan orang yang tinggal di firdaus rohani.

      9. (a) Siapakah yang berkhidmat dalam pentadbiran ini? (b) Apakah yang akan dilakukan Yesus semasa pemerintahan seribu tahun?

      9 Siapakah yang berkhidmat dalam pentadbiran ini? Yehezkiel melihat bahawa terdapat “pemimpin” yang bertanggungjawab dalam pentadbiran kota itu. (Yeh. 45:7) Pemimpin itu bukanlah seorang imam atau orang Lewi. Hal itu mengingatkan kita tentang para penatua sidang, terutamanya mereka yang bukan sebahagian daripada kaum terurap. Gembala-gembala yang pengasih ini ialah sebahagian daripada “biri-biri lain” dan berkhidmat dalam kalangan umat Tuhan di bumi. (Yoh. 10:16) Semasa pemerintahan seribu tahun, Yesus akan melantik para penatua sebagai “penguasa di seluruh bumi.” (Mzm. 45:16) Mereka akan berkhidmat di bawah pimpinan Kerajaan Tuhan dan menjaga kepentingan umat Tuhan semasa seribu tahun itu.

      “Yehuwa Ada di Situ”

      10. Apakah nama kota itu, dan apakah jaminannya?

      10 Baca Yehezkiel 48:35. Kota yang bernama “Yehuwa Ada di Situ” membawa maksud yang sangat istimewa. Nama itu merupakan jaminan bahawa Yehuwa akan menyertai penduduk kota itu. Sebenarnya, Yehuwa seolah-olah sedang memberitahu para tawanan, “Aku akan bersama kamu sekali lagi.” Sudah pasti hal ini amat melegakan hati mereka!

      11. Apakah pengajaran yang kita peroleh daripada kota itu?

      11 Apakah pengajarannya bagi kita? Nama kota itu meyakinkan kita bahawa Yehuwa akan menyertai umat-Nya di bumi sekarang dan untuk selamanya. Nama itu juga menonjolkan kebenaran ini: Tujuan kota itu diasaskan bukanlah untuk memberikan kuasa kepada manusia agar mentadbir mengikut piawaian sendiri. Tetapi mereka harus melaksanakan aturan Yehuwa dalam cara yang pengasih dan adil. Sebagai contoh, para pentadbir kota itu tidak diberikan kuasa untuk membahagikan tanah sesuka hati. Sebaliknya, mereka harus mengikut aturan Yehuwa. Hari ini, Yehuwa memberi umat-Nya, termasuk mereka yang nampaknya kurang penting, peranan masing-masing dalam firdaus rohani. Maka, para pentadbir harus menghormati peranan yang dimainkan oleh setiap umat Yehuwa.​—Yeh. 46:18; 48:29.

      12. (a) Apakah satu lagi ciri yang menarik tentang kota itu, dan apakah maksudnya? (b) Apakah pengajaran yang diperoleh para penyelia Kristian?

      12 Apakah satu lagi ciri yang menarik tentang kota itu? Pada zaman kuno, sebuah kota dikelilingi tembok dan tidak mempunyai banyak pintu gerbang. Tetapi, kota “Yehuwa Ada di Situ” mempunyai 12 buah pintu gerbang (tiga buah pintu di setiap sisi kota itu). (Yeh. 48:30-34) Gambaran ini menunjukkan bahawa para pentadbir kota itu mudah dihampiri. Bukan itu sahaja, 12 pintu gerbang menegaskan bahawa kota itu terbuka kepada “seluruh bangsa Israel.” (Yeh. 45:6) Hal ini mengingatkan para penyelia Kristian bahawa mereka haruslah mudah dihampiri. Mereka juga harus sentiasa bersedia untuk menawarkan bantuan kepada semua yang tinggal di firdaus rohani.

      Seorang penatua berbual dengan kanak-kanak di Dewan Perjumpaan dan melihat gambar yang dilukis mereka.

      Penyelia Kristian mudah dihampiri dan sentiasa sedia membantu (Lihat perenggan 12)

      Umat Tuhan Datang untuk Menyembah-Nya dan Bekerja di Kota

      13. Apakah tugas-tugas yang dijalankan oleh umat Tuhan?

      13 Sekarang, mari kita kembali ke zaman Yehezkiel untuk menyelidiki ciri-ciri lain dalam penglihatannya. Yehuwa telah menyebutkan tugas-tugas yang dijalankan oleh umat-Nya. Misalnya, terdapat para imam yang mempersembahkan korban dan berkhidmat ‘di tempat suci-Nya.’ Orang Lewi pula “berkhidmat di Rumah Tuhan” dan “bertanggungjawab atas segala tugas yang wajib dilaksanakan di situ.” (Yeh. 44:14-16; 45:4, 5) Selain itu, terdapat pekerja lain yang menyokong kota itu. Siapakah mereka?

      14. Para pekerja yang menyokong kota itu mengingatkan kita tentang apa?

      14 Para pekerja yang menyokong kota itu datang daripada “semua suku Israel.” Mereka harus mengusahakan tanah yang “menjadi sumber makanan bagi pekerja kota.” (Yeh. 48:18, 19) Tidakkah hal itu mengingatkan kita tentang kerja yang dapat kita lakukan di firdaus rohani? Kita semua dapat menyokong kaum terurap dan para saudara daripada “kumpulan besar manusia” yang dilantik untuk mengambil pimpinan. (Why. 7:9, 10) Cara utama kita berbuat demikian adalah dengan mengikut arahan yang diberikan oleh hamba yang setia.

      15, 16. (a) Apakah butiran lain yang terkandung dalam penglihatan Yehezkiel? (b) Apakah penghormatan yang kita miliki hari ini?

      15 Terdapat satu lagi butiran daripada penglihatan Yehezkiel yang bermanfaat bagi kita. Apakah butiran itu? Yehuwa menyatakan bahawa mereka yang datang daripada 12 suku Israel akan berkhidmat di dua tempat: (1) Di halaman Rumah Tuhan, dan (2) di padang rumput kota itu. Apakah yang dilakukan mereka di situ? Mereka “menyembah Yehuwa” di halaman Rumah-Nya dengan memberikan korban kepada-Nya. (Yeh. 46:9, 24) Mereka juga menyokong kota itu dengan mengusahakan tanah di padang rumput kota. Daripada contoh mereka, apakah pengajaran yang dapat kita terapkan?

      16 Hari ini, kumpulan besar manusia mempunyai penghormatan untuk melakukan tugas-tugas seperti yang digambarkan dalam penglihatan Yehezkiel. Mereka menyembah Yehuwa “di Rumah-Nya” dengan memberikan korban pujian. (Why. 7:9-15) Mereka berbuat demikian dengan menginjil, memberikan komen, dan bernyanyi semasa perjumpaan. Hal ini ialah sebahagian daripada ibadat mereka dan merupakan tanggungjawab utama mereka. (1 Taw. 16:29) Umat Tuhan juga menyokong organisasi-Nya dalam pelbagai cara. Contohnya, ada yang membina dan menyelenggarakan Dewan Perjumpaan atau bangunan teokratik lain. Ada juga yang membantu dalam projek-projek yang diaturkan oleh organisasi Yehuwa. Yang lain pula memberikan bantuan dari segi kewangan. Semua kerja ini dapat disamakan dengan kerja mengusahakan tanah yang dilakukan “untuk memuliakan Tuhan.” (1 Kor. 10:31) Mereka menjalankan tugas mereka dengan bersemangat dan gembira kerana mereka tahu bahawa “korban-korban sebegitu menyenangkan hati Tuhan.” (Ibr. 13:16) Adakah anda sedang bergiat dalam aktiviti-aktiviti sebegini?

      Umat Tuhan memunggah biji-bijian dan menjaga ternakan berdekatan pintu gerbang kota yang bernama “Yehuwa Ada di Situ.”

      Apakah pengajaran yang kita peroleh daripada kerja yang dijalankan di dalam kota dan di kawasan sekelilingnya? (Lihat perenggan 14-16)

      ‘Kita Menantikan Langit Baharu dan Bumi Baharu’

      17. (a) Bagaimanakah penglihatan Yehezkiel ini akan menjadi kenyataan dalam skala yang lebih besar? (b) Semasa Pemerintahan Seribu Tahun Kristus, siapakah yang akan mendapat manfaat daripada aturan pentadbiran di bumi?

      17 Pada masa depan, penglihatan Yehezkiel ini pasti menjadi kenyataan dalam skala yang lebih besar. Ingatlah bahawa bahagian kawasan yang dipanggil “sumbangan suci” terletak di tengah-tengah tanah warisan, dan “tempat suci Yehuwa” terletak di situ. (Yeh. 48:10) Maka, hal ini meyakinkan kita bahawa selepas Armagedon, Yehuwa akan menyertai umat-Nya di bumi tidak kira di mana mereka berada. (Why. 21:3) Semasa Pemerintahan Seribu Tahun Kristus, aturan pentadbiran kota itu akan membawa manfaat kepada manusia di seluruh bumi. Maksudnya, para pentadbir, iaitu para penyelia, akan memberikan bimbingan dan arahan kepada masyarakat manusia yang membentuk “bumi baharu.”​—2 Ptr. 3:13.

      18. (a) Mengapakah kita yakin bahawa para pentadbir kota itu akan bertindak selaras dengan pemerintahan Tuhan? (b) Apakah keyakinan yang kita peroleh daripada nama kota itu?

      18 Mengapakah kita yakin bahawa para pentadbir kota itu akan bertindak selaras dengan pemerintahan Tuhan? Kota yang mempunyai 12 pintu gerbang itu mencerminkan kota di syurga yang juga mempunyai 12 pintu gerbang, iaitu Yerusalem Baharu (yang dianggotai oleh 144,000 raja). (Why. 21:2, 12, 21-27) Hal ini meyakinkan kita bahawa pentadbiran di bumi akan mencerminkan dan melaksanakan semua keputusan yang dibuat oleh Kerajaan Tuhan. Sememangnya, kota yang bernama “Yehuwa Ada di Situ” meneguhkan keyakinan kita bahawa ibadat sejati akan kekal selamanya. Alangkah indahnya masa depan itu!

      PERANAN ANDA DALAM IBADAT SEJATI

      1. Daripada penglihatan ini, apakah yang anda pelajari tentang menetapkan keutamaan hidup?

      2. Bagaimanakah anda dapat menyokong hamba yang setia?

      3. Apakah tanggungjawab utama anda?

Bahan Bacaan Bahasa Melayu (2004-2023)
Log Keluar
Log Masuk
  • Melayu
  • Kongsi
  • Pilihan
  • Copyright © 2025 Watch Tower Bible and Tract Society of Pennsylvania
  • Syarat Penggunaan
  • Polisi Privasi
  • Tetapan Privasi
  • JW.ORG
  • Log Masuk
Kongsi