-
Markus 6:21-29Kitab Suci Terjemahan Dunia Baharu
-
-
21 Akhirnya peluang yang dinantikan Herodias tiba pada hari jadi Herodes.+ Herodes mengadakan jamuan makan untuk pegawai tinggi, ketua-ketua pasukan tentera, dan orang yang berpengaruh di Galilea.+ 22 Anak perempuan Herodias datang dan mempersembahkan tarian yang membuat Herodes dan tetamunya gembira. Maka Raja Herodes berkata kepada gadis itu, “Mintalah apa sahaja dan beta akan memberikannya kepadamu.” 23 Dia bahkan bersumpah kepadanya, “Apa sahaja yang kamu minta, beta akan memberikannya, biarpun kamu meminta separuh daripada kerajaan beta.” 24 Oleh itu, gadis itu pergi kepada ibunya dan bertanya, “Apakah yang patut saya minta?” Ibunya berkata, “Mintalah kepala Yohanes Pembaptis.” 25 Dengan segera, gadis itu menghadap raja dan memohon, “Berilah saya kepala Yohanes Pembaptis di atas sebuah dulang sekarang juga.”+ 26 Hal itu membuat raja sangat sedih. Tetapi memandangkan dia telah bersumpah di hadapan semua tetamunya, dia tidak mahu menolak permintaan gadis itu. 27 Maka raja segera mengarahkan pengawalnya untuk membawakan kepala Yohanes. Pengawal itu pun pergi ke penjara dan memancung kepala Yohanes. 28 Dia membawa kepala Yohanes di atas sebuah dulang dan memberikannya kepada gadis itu, lalu gadis itu memberikannya kepada ibunya. 29 Selepas murid-murid Yohanes mendengar hal itu, mereka datang mengambil mayatnya lalu mengebumikannya.
-