Yesaya
9 Namun, kegelapan yang menimpa negeri ini tidak akan seteruk kesusahan yang berlaku ketika tanah Zebulun dan tanah Naftali dipandang hina.+ Pada masa depan, Tuhan akan mendatangkan kemuliaan kepada tempat-tempat yang dipandang hina itu—jalan di tepi laut, kawasan Sungai Yordan, Galilea yang didiami bangsa-bangsa lain.
2 Orang yang berjalan dalam kegelapan
Telah melihat cahaya yang gemilang.
Orang yang tinggal di negeri yang gelap-gelita
Telah disinari cahaya.+
3 Ya Tuhan, Engkau telah membuat bangsa ini bertambah banyak;
Engkau telah memberi mereka sukacita yang besar.
Mereka bergembira di hadapan-Mu,
Seperti orang yang bersukacita semasa menuai hasil tanaman,
Dan seperti orang yang bergembira semasa membahagi-bahagikan barang jarahan.
4 Engkau telah menghancurkan kuk* yang membebankan mereka dan mematahkan kayu yang digunakan untuk memukul bahu mereka.
Engkau memusnahkan tongkat yang dipegang oleh pengawas abdi mereka,
Sebagaimana Engkau mengalahkan orang Midian pada masa dahulu.+
5 Kasut para askar yang menggegarkan bumi ketika mereka berkawad
Dan semua pakaian mereka yang berlumuran darah
Akan musnah dijilat api.
6 Seorang anak telah dilahirkan bagi kita;+
Seorang anak lelaki telah dikurniakan kepada kita.
Dia akan memikul tugas sebagai pemerintah.+
Dia akan dipanggil Penasihat Bijaksana,+ Tuhan yang Berkuasa,*+ Bapa Kekal, dan Pemimpin Kedamaian.
7 Kekuasaannya sebagai pemerintah akan terus bertambah;
Pemerintahannya akan membawa kedamaian yang tidak berkesudahan.+
Dia akan duduk di atas takhta Daud+ untuk memerintah.
Dia akan mengukuhkan+ dan menguatkan kerajaannya
Berdasarkan keadilan+ dan kebaikan,+
Dari sekarang hingga selama-lamanya.
Yehuwa, ketua angkatan syurga, akan melaksanakan hal ini dengan semangat yang membara.
8 Yehuwa telah memberikan amaran kepada keturunan Yakub,
Dan perkhabaran-Nya telah disampaikan kepada orang Israel.+
9 Semua orang akan mendengar amaran itu.
Sesungguhnya, orang Efraim dan penduduk Samaria akan mendengarnya.
Dengan sombong dan tinggi hati, mereka berkata,
10 “Bangunan-bangunan yang diperbuat daripada batu bata telah roboh,
Tetapi kami akan membina bangunan yang diperbuat daripada batu yang dipahat.+
Pokok-pokok ara telah ditebang,
Tetapi kami akan menggantikannya dengan pokok sedar.”
11 Yehuwa akan menggerakkan musuh-musuh Rezin untuk menyerang mereka.
Dia akan mendorong musuh orang Israel untuk bertindak.
12 Bangsa Siria akan datang dari timur dan bangsa Filistin akan datang dari barat.+
Bangsa-bangsa itu akan mengangakan mulut untuk menelan Israel.+
Namun, kemurkaan Tuhan belum reda kerana mereka begitu jahat.
Maka, Dia masih akan menghulurkan tangan-Nya untuk menghukum mereka.+
13 Meskipun umat ini dihukum oleh Tuhan, mereka tidak kembali kepada-Nya;
Mereka tidak mencari Yehuwa, ketua angkatan syurga.+
14 Dalam masa sehari Yehuwa akan bertindak.
Dia akan memotong kepala dan ekor serta tunas dan rumput tinggi* di Israel.+
15 Para pemimpin yang terhormat ialah kepala,
Dan nabi yang memberikan ajaran sesat ialah ekor.+
16 Para pemimpin telah menyesatkan rakyat;
Mereka telah menyebabkan rakyat keliru.
17 Seluruh umat ini murtad dan jahat;+
Mereka semua mengucapkan kata-kata yang bodoh.
Oleh itu, Yehuwa tidak akan menyukai orang muda mereka,
Dan Dia tidak akan berbelas kasihan terhadap anak yatim dan balu mereka.
Namun, kemurkaan-Nya belum reda kerana mereka begitu jahat.
Maka, Dia masih akan menghulurkan tangan-Nya untuk menghukum mereka.+
18 Kejahatan mereka bagaikan api yang menyala,
Yang menghanguskan lalang dan semak berduri.
Belukar di hutan turut terbakar,
Sehingga asap naik berkepul-kepul.
19 Oleh sebab Yehuwa, ketua angkatan syurga, sangat murka,
Negeri ini dibakar,
Dan penduduknya menjadi bahan api.
Tiada seorang pun yang akan mengasihani saudaranya.
20 Mereka akan memotong apa-apa sahaja yang berada di sebelah kanan mereka untuk dimakan,
Tetapi mereka masih akan lapar.
Mereka akan memotong apa-apa sahaja yang berada di sebelah kiri mereka untuk dimakan,
Tetapi mereka masih tidak akan puas.
Orang akan memakan daging lengan sendiri;
21 Orang Manasye akan membaham orang Efraim,
Dan orang Efraim akan membaham orang Manasye.
Mereka akan bersama-sama menyerang Yehuda.+
Namun, kemurkaan Tuhan belum reda kerana mereka begitu jahat.
Maka, Dia masih akan menghulurkan tangan-Nya untuk menghukum mereka.+