PERPUSTAKAAN DALAM TALIAN Watchtower
Watchtower
PERPUSTAKAAN DALAM TALIAN
Bahasa Isyarat Malaysia
  • BIBLE
  • BAHAN BACAAN
  • PERJUMPAAN
  • nwt 34 1A-3S
  • Nahum

Tiada video untuk bahagian ini.

Maaf, terdapat masalah memainkan video.

  • Nahum
  • Kitab Suci Terjemahan Dunia Baharu
Kitab Suci Terjemahan Dunia Baharu
Nahum

NAHUM

1 Inilah perkhabaran yang dicatatkan mengenai kota Niniwe.+ Perkhabaran ini dinyatakan dalam suatu penglihatan kepada Nahum,* seorang lelaki dari Elkos:

 2 Tuhan Yehuwa menghendaki manusia menyembah Dia sahaja.+

Yehuwa akan menghukum musuh-musuh-Nya.

Yehuwa tidak lupa akan perbuatan jahat mereka dan Dia akan murka terhadap mereka.+

Dia akan melakukan pembalasan terhadap musuh-musuh-Nya.

 3 Yehuwa tidak cepat murka+ walaupun Dia amat berkuasa,+

Tetapi Yehuwa tidak akan membiarkan orang yang berdosa terlepas daripada hukuman.+

Di mana Dia berjalan, muncul angin kencang dan ribut yang dahsyat.

Awan ialah debu di bawah kaki-Nya.+

 4 Apabila Dia menegur laut,+ laut menjadi kering;

Dia juga mengeringkan semua sungai.+

Basan dan Karmel menjadi tempat yang gersang,+

Dan bunga-bunga di Lebanon menjadi layu.

 5 Gunung-ganang bergoncang disebabkan-Nya,

Dan bukit bukau akan lebur.+

Bumi akan bergegar di hadapan-Nya,

Begitu juga dengan dunia dan semua penduduknya.+

 6 Siapakah yang dapat tahan apabila Dia murka?+

Siapakah yang dapat terlepas daripada bahang kemurkaan-Nya?+

Dia akan melampiaskan api kemurkaan-Nya,

Dan batu-batu akan hancur disebabkan-Nya.

 7 Yehuwa itu baik,+ dan Dia merupakan kubu perlindungan pada masa kesusahan.+

Dia menjaga* orang yang berlindung kepada-Nya.+

 8 Dia akan mendatangkan banjir yang besar untuk membinasakan kota itu,*

Dan kegelapan akan mengejar musuh-musuh-Nya.

 9 Apakah yang dapat kamu rancang untuk melawan Yehuwa?

Dia akan membinasakan kamu sama sekali.

Kesengsaraan tidak akan berlaku lagi.+

10 Penduduk Niniwe seperti semak berduri yang berbelit-belit,

Dan mereka seperti orang yang mabuk setelah meminum arak;*

Tetapi mereka akan dibakar seperti jerami kering.

11 Seseorang yang membuat rancangan jahat untuk melawan Yehuwa akan muncul daripada kalanganmu,

Dia akan memberikan nasihat yang sia-sia.

12 Inilah firman Yehuwa:

“Walaupun mereka sudah bersedia sepenuhnya dan bilangan mereka ramai,

Mereka akan dibinasakan dan diserang.*

Aku sudah menyebabkan engkau* menderita, tetapi Aku tidak akan melakukannya lagi.

13 Sekarang, Aku akan mematahkan kuk* yang dikenakan oleh musuh ke atasmu,+

Dan Aku akan memutuskan rantai yang membelenggumu.

14 Inilah firman Yehuwa mengenai engkau:*

‘Tidak ada lagi keturunan yang akan menyandang namamu.

Aku akan menghancurkan patung-patung berhala yang ada di dalam kuil-kuil dewamu.

Aku akan menyediakan kuburan untukmu kerana engkau memang tidak berguna.’

15 Lihatlah, seseorang datang melalui gunung-gunung untuk menyampaikan berita baik.

Dia datang untuk mengumumkan kedamaian.+

Hai Yehuda, rayakanlah perayaan-perayaanmu+ dan tunaikanlah ikrarmu,

Kerana orang yang tidak berguna itu tidak akan menyerangmu lagi.

Dia akan dibinasakan sama sekali.”

2 Orang yang akan mencerai-beraikan engkau* telah datang untuk menyerangmu.+

Kawallah kubu-kubu.

Awasilah jalan-jalan.

Bersiaplah untuk berperang dan kerahkanlah segala kekuatanmu.

 2 Yehuwa akan memulihkan kemegahan Yakub

Dan juga kemegahan Israel.

Para penjarah telah merampas harta mereka+

Dan memusnahkan pokok anggur mereka.

 3 Tentera musuh telah datang dengan memakai pakaian berwarna merah.

Mereka membawa perisai berwarna merah.

Mereka bersedia untuk berperang.

Mereka mengangkat tombak kayu,

Dan perlengkapan besi pada kereta kuda mereka bagaikan api yang bernyala-nyala.

 4 Kereta-kereta kuda mereka bergerak dengan pantas di jalanan,

Dan meluru ke sana ke mari di tempat-tempat awam.

Kereta-kereta kuda itu bersinar bagaikan obor yang menyala dan bergerak sepantas kilat.

 5 Raja* akan memanggil para pegawainya.

Mereka akan tersandung ketika maju.

Mereka bergegas menuju ke tembok kota

Untuk memperkukuh pertahanan kota itu.

 6 Gerbang-gerbang sungai akan terbuka,

Dan istana pula akan runtuh.

 7 Hal ini telah pun ditentukan: Penduduk kota itu dimalukan di hadapan umum.

Mereka ditawan dan hamba-hamba perempuan di situ memukul dada kerana sedih.

Ratapan hamba-hamba perempuan itu seperti bunyi burung merpati.

 8 Sejak dulu lagi, Niniwe+ adalah seperti kolam air,

Tetapi sekarang, penduduknya melarikan diri dari situ.

Ada yang berteriak, “Berhenti! Berhenti!”

Namun tiada seorang pun yang kembali.+

 9 Rampaslah perak! Rampaslah emas!

Semua harta itu tidak akan habis.

Kota itu penuh dengan pelbagai jenis barang yang berharga.

10 Kota itu sudah musnah, terbiar, dan kosong!+

Penduduknya ketakutan sehingga lutut mereka menjadi lemah dan pinggul mereka menggeletar.

Muka mereka semua menjadi pucat.

11 Di manakah sarang singa,+ tempat anak singa diberi makan?

Di manakah tempat singa berjalan bersama anaknya?

Siapakah yang dapat membuat mereka berasa takut?

12 Singa mencabik-cabik mangsa supaya anak-anaknya cukup makan,

Dan mencekik mangsa untuk singa-singa betina.

Singa memenuhi sarangnya dengan mangsa-mangsanya,

Sarangnya penuh dengan cabikan daging binatang.

13 Yehuwa, ketua angkatan syurga, berfirman, “Lihatlah! Aku akan menentangmu.+

Aku akan membakar kereta kudamu di dalam asap,+

Dan Aku akan membunuh anak-anak singamu dengan pedang.

Engkau tidak akan memburu mangsamu di bumi lagi,

Dan suara utusanmu tidak akan kedengaran lagi.”+

3 Malanglah kota yang penuh dengan pertumpahan darah,

Yang sarat dengan penipuan dan pencurian,

Dan yang tidak henti-henti menangkap mangsanya!

 2 Kedengaran bunyi pukulan cemeti dan bunyi roda yang berputar,

Ada kuda yang berlari dengan pantas dan kereta kuda yang bergerak dengan laju.

 3 Ada penunggang kuda, pedang yang berkilat, dan tombak yang berkilauan.

Ada banyak orang yang dibunuh dan mayat yang bertimbun-timbun

—Bilangan mayat yang tidak terhitung banyaknya.

Mereka asyik tersandung pada mayat-mayat itu.

 4 Hal ini demikian kerana kota itu seperti seorang pelacur yang melakukan banyak pelacuran.

Pelacur itu cantik dan menawan serta mahir melakukan sihir.

Dia menjerat bangsa-bangsa dengan pelacurannya dan amalan sihirnya.

 5 “Lihatlah! Aku akan menentangmu,”* firman Yehuwa, ketua angkatan syurga.+

“Aku akan mengangkat hujung jubahmu sampai ke mukamu;

Aku akan menyebabkan bangsa-bangsa melihat keadaanmu yang telanjang,

Dan kerajaan-kerajaan akan melihat keadaanmu yang memalukan.

 6 Aku akan melemparkan kotoran ke atasmu

Dan Aku akan menghinamu;

Aku akan menjadikan engkau tontonan semua orang.+

 7 Semua orang yang melihat engkau akan menjauhimu+ dan berkata,

‘Niniwe sudah dimusnahkan!

Siapakah yang akan bersimpati terhadap dia?’

Dari manakah Aku dapat mencari orang yang akan melegakan hatimu?

 8 Adakah engkau lebih baik daripada No-amon,*+ yang terletak di tepi saluran air Sungai Nil?+

Kota itu dikelilingi air;

Laut merupakan sumber kekayaannya dan tembok perlindungannya.

 9 Etiopia* dan Mesir ialah sumber kekuatannya yang tidak terbatas.

Put+ dan orang Libia pula ialah pembantunya.+

10 Meskipun begitu, penduduk kota itu menjadi orang buangan;

Mereka telah ditawan.+

Anak-anak mereka juga telah dibunuh dengan kejam di setiap simpang jalan.

Para lelaki yang terhormat dalam kalangan mereka dibahagi-bahagikan dengan membuang undi,

Dan semua pembesar mereka telah diikat dengan rantai.

11 Engkau juga akan menjadi mabuk;+

Engkau akan menyembunyikan diri.

Engkau akan mencari perlindungan daripada musuh.

12 Semua kubumu adalah seperti pokok ara yang menghasilkan buah-buah yang masak untuk kali pertama;

Apabila pokok itu digoncang, buahnya akan jatuh ke dalam mulut orang yang ingin melahapnya.

13 Lihatlah! Askar-askarmu adalah seperti perempuan yang ada dalam kalanganmu.

Gerbang-gerbang negerimu akan terbuka luas bagi musuh-musuhmu.

Palang-palang gerbangmu akan habis dijilat api.

14 Timbalah air untuk menghadapi masa pengepungan!+

Perkukuhkanlah kubu-kubumu.

Pergilah ke kawasan berlumpur dan pijaklah tanah liat;

Dan buatlah batu bata.

15 Meskipun begitu, api akan membakar engkau.

Sebilah pedang akan membunuhmu.+

Api dan pedang akan memusnahkan engkau sepertimana anak belalang juta* memusnahkan tumbuh-tumbuhan.+

Engkau haruslah bertambah banyak seperti anak belalang juta!

Ya, jadilah banyak seperti belalang juta!

16 Engkau telah melipatgandakan para pedagangmu sehingga menjadi lebih banyak daripada bintang-bintang di langit.

Anak belalang juta menanggalkan kulitnya lalu terbang menghilang.

17 Para pengawalmu seperti belalang juta,

Dan para pegawaimu pula seperti kawanan belalang juta.

Kawanan belalang juta berlindung di dalam tembok-tembok batu pada hari yang sejuk,

Tetapi apabila matahari terbit, kawanan itu terbang menghilang;

Dan tiada sesiapa pun yang tahu di mana kawanan itu.

18 Wahai raja Assyria, para pemimpinmu sedang mengantuk;

Para pembesarmu tinggal di tempat kediaman mereka.

Rakyatmu tercerai-berai di kawasan pergunungan,

Dan tiada sesiapa pun yang mengumpulkan mereka.+

19 Engkau tidak akan mendapat kelegaan bagi malapetaka yang menimpamu.

Lukamu tidak dapat disembuhkan lagi.

Semua orang yang mendengar laporan tentang engkau akan bertepuk tangan;+

Kerana siapakah yang tidak menderita akibat kekejamanmu yang tidak henti-henti?”+

Maksudnya “Orang yang Melegakan Hati.”

Harfiah, “mengenali.”

Iaitu, Niniwe.

Atau “bir.”

Atau mungkin, “dan seseorang akan lalu di antara mereka.”

Iaitu, Yehuda.

Lihat Kamus.

Iaitu, Assyria.

Iaitu, Niniwe.

Mungkin merujuk kepada raja Assyria.

Iaitu, Niniwe.

Iaitu, Tebe.

Atau “Habsyah.”

Atau “sepertimana belalang juta yang merayap dan tidak bersayap.”

    Bahan Bahasa Isyarat Malaysia (2013-2024)
    Log Keluar
    Log Masuk
    • Bahasa Isyarat Malaysia
    • Kongsi
    • Pilihan
    • Copyright © 2025 Watch Tower Bible and Tract Society of Pennsylvania
    • Syarat Penggunaan
    • Polisi Privasi
    • Seting Privasi
    • JW.ORG
    • Log Masuk
    Kongsi